English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Undang-undang Alam Sekitar Yang Lebih Ketat Adalah Halatuju Yang Baik

SURAT KEPADA PENGARANG - 23 Oktober 2012 (Selasa)

UNDANG-UNDANG ALAM SEKITAR YANG LEBIH KETAT ADALAH HALATUJU YANG BAIK

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh YB Datuk Seri Douglas Uggah Embah, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar mengenai pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA). Penguatkuasaan kepada aktiviti yang tidak memerlukan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) adalah satu langkah yang baik untuk melindungi sumber semula jadi kita dan menegakkan kelestarian negara.

Kami juga ingin mengutarakan beberapa perkara penting kepada kementerian serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk dipertimbangkan semasa pelaksanaan pindaan ini untuk meningkatkan dan memperbaiki kualiti alam sekitar.

Perkara 1: Modal Insan untuk Unit Penguatkuasaan di JAS Perlu Ditingkatkan
Pada masa ini, JAS sudahpun dibebani dengan banyak kerja yang berkaitan dengan pemantauan dan penguatkuasaan alam sekitar. Tedapat kekurangan yang kritikal dalam penguatkuasaan disebabkan kekurangan pegawai-pegawai teknikal yang boleh bergerak pantas untuk penyiasatan. AWER mengalami pengalaman yang serupa dengan JAS dalam perkara ini apabila kami mengadu beberapa kejadian pencemaran alam sekitar. Keadaan sedemikian akan menghalang pelaksanaan pindaan EQA. Oleh itu, kerajaan mesti mempertimbangkan untuk meningkatkan modal insan teknikal dan berpengetahuan di JAS. Satu Skuad Alam Sekitar 24 jam juga perlu dibentuk untuk memastikan pesalah ditangkap semasa pencemaran dilakukan.

Perkara 2: Kos Pemulihan Alam Sekitar Sepenuh Perlu Dibangunkan
Apabila sesebuah syarikat mencemarkan alam sekitar, ia dikenakan penalti. Walau bagaimanapun, penalti ini adalah satu jumlah yang kecil bagi kebanyakan mereka yang mengaut keuntungan besar. Seksyen 47 daripada EQA jelas menyatakan bahawa JAS diberi kuasa pemulihan kos dan perbelanjaan kepada alam sekitar. Kami menggesa kementerian untuk menyediakan satu mekanisme untuk Kos Pemulihan Alam Sekitar Sepenuh untuk memastikan pihak yang didapati bersalah membayar kembali untuk tindakan mereka yang salah dan ini adalah bayaran tambahan kepada penalti yang dikenakan.

Perkara 3: Preliminary EIA (PEIA) harus digantikan sepenuhnya dengan Detailed EIA (DEIA)
PEIA adalah EIA yang tidak lengkap kerana banyak parameter alam sekitar dan kajian biasanya tidak disertakan. Banyak PEIA yang dirujuk oleh AWER biasanya tidak berguna. Sebaliknya, DEIA adalah satu proses yang lebih menyeluruh dengan kebanyakan impak alam sekitar dinilai. Oleh itu, PEIA harus sepenuhnya digantikan dengan DEIA untuk memastikan penilaian yang betul dan tepat.

Perkara 4: Panel dan Perunding EIA Mesti Mempunyai Kod Etika yang Ketat
Panel dijemput berdasarkan kepakaran mereka untuk memberi komen teknikal sebelum EIA bermula dan selepas ianya siap. Terdapat kes-kes di mana selepas mesyuarat projek DEIA pertama, panel menarik diri dan melompat untuk menjadi perunding projek yang sama. Tindakan ini mesti dihentikan kerana ia adalah cara tidak beretika untuk mencari pendapatan sampingan. Di samping itu, siasatan ke atas salah lapor atau laporan tidak beretika dalam EIA oleh perunding mesti diambil serius. Satu jawatankuasa siasatan bebas perlu ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut. Jika perunding EIA didapati bersalah, dia tidak harus dibenarkan untuk menjadi perunding EIA selama-lamanya.

Malaysia memerlukan penguatkuasaan yang lebih ketat untuk melindungi sumber semula jadi kita. Tiada apa-apa yang patut menghalang kita daripada berbuat demikian. Kita meminjam sumber-sumber ini daripada generasi akan datang. Ia bukan hak kita untuk memusnahkannya.

Piarapakaran  S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies