English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Laporan Ketua Audit Negara 2012: Komen-komen Mengenai Isu-isu Berkaitan dengan Air dan Tenaga Oleh AWER

SURAT KEPADA PENGARANG: Laporan Ketua Audit Negara 2012: Komen-komen Mengenai Isu-isu Berkaitan dengan Air dan Tenaga Oleh AWER
04 Oktober 2013 (Jumaat)

Hentikan Agensi-agensi yang Bertindih Tugas (Redundant)

Laporan Ketua Audit Negara menyentuh mengenai beberapa kegagalan oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA). Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah berulang kali membangkitkan isu agensi-agensi yang bertindih tugas dalam operasi kerajaan dan JPP adalah salah satu agensi tersebut. Kewujudan agensi sebegini sebenarnya akan menghalang rancangan sebenar yang ditetapkan dalam proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

AWER juga telah bertemu dengan Ketua Setiausaha KeTTHA bagi membincangkan pembubaran JPP dan menyerap pegawai-pegawainya ke KeTTHA, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) atau agensi-agensi kerajaan yang lain. Nota perbincangan ini juga telah dikemukakan semula kepada perhatian Menteri KeTTHA selepas kehilangan e-mel dan surat-surat dari AWER di pejabat menteri itu pada awalnya.

Begitu juga, Jabatan Bekalan Air (JBA) perlu menjalani proses pembubaran yang sama. Pertindihan tugas bukan sahaja menjadi penghalang tetapi ia juga menyebabkan salah urus operasi. Sebagai contoh, kejadian paip pecah bagi paip yang baru di pasang di Jalan Universiti telah menyebabkan kerosakan jalan yang teruk yang menyebabkan 3 kenderaan rosak dan seorang pemandu telah "terbang" naik ke udara kira-kira 10 meter pada akhir April 2010. Alasan yang diberikan bagi kejadian itu oleh JBA hanya membuktikan kegagalan untuk menjalankan tugas dengan betul. Tiada sebarang siasatan susulan yang dilakukan dan laporan yang disiarkan. Pada masa ini, tugas JBA boleh dilaksanakan dengan mudah oleh SPAN, PAAB dan syarikat-syarikat air yang lain. Di samping itu, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) yang dicemari dengan isu-isu Tarif Galakan (FiT) dan penubuhan juga bertindih dengan fungsi Suruhanjaya Tenaga (ST). Mengapa KeTTHA sentiasa beroperasi secara bertindih?

Beberapa hari lalu, Timbalan Perdana Menteri menggesa pegawai-pegawai kerajaan untuk menghentikan pergelutan politik pejabat yang menjejaskan prestasi keseluruhan operasi kerajaan. Di samping itu, kerajaan seharusnya memimpin melalui teladan dalam mengurangkan pertindihan dalam operasi kerajaan kerana langkah rasionalisasi subsidi yang sedang dilaksanakan. Langkah-langkah untuk mengurangkan pertindihan agensi-agensi akan dapat mengurangkan beban belanjawan operasi kerajaan khususnya di KeTTHA . Perubahan (untuk membubarkan JBA , JPP dan SEDA) ini boleh disyorkan oleh YAB Perdana Menteri dalam Belanjawan 2014 akan datang sebagai langkah pengoptimuman belanjawan operasi secara langsung memandangkan rasionalisasi subsidi sedang dilaksanakan dan kerajaan berusaha dalam mengurangkan kos pentadbiran.

Audit Projek-projek Bekalan Air dan Elektrik Luar Bandar Bagi Tempoh 10 Tahun yang Lepas

Baru-baru ini, AWER telah melawat masyarakat di Kampung Panggau Dau, Sarawak. Komuniti ini dibekalkan dengan bekalan elektrik sejak 1970-an. Tetapi, mereka masih belum menerima bekalan air terawat. Mereka masih bergantung kepada anak sungai untuk bekalan air mereka. Berapa banyak lagi rakyat Malaysia masih menunggu di kawasan luar bandar di Malaysia? Berbillion Ringgit diperuntukkan tetapi adakah ia sampai kepada rakyat di luar bandar?

Kami mengesyorkan kepada Ketua Audit Negara untuk menjalankan audit penuh ke atas  projek-projek bekalan air dan elektrik luar bandar yang telah dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan kawasan-kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia. Dengan hanya 6 tahun untuk mencapai Wawasan 2020, perkhidmatan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik tidak boleh diabaikan.

Di samping itu, AWER menggalakkan Sabah dan Sarawak untuk menyertai rejim WSIA untuk memperbaiki industri perkhidmatan air di kedua-dua negeri. Kami berharap kedua-dua negeri ini melengkapkan proses penstrukturan semula ini menjelang tahun 2015. Memberi sistem penuaian air hujan semata-mata bukanlah satu penyelesaian jangka panjang untuk bekalan air luar bandar. Selain itu, pembangunan ekonomi di kedua-dua negeri juga akan terjejas tanpa bekalan air terawat yang berterusan.


Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies