English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

"PERSAHABATAN" DI ANTARA AIR DAN TENAGA

SURAT KEPADA PENGARANG

Tarikh: 21 Mac 2014 (JUMAAT)

SAMBUTAN HARI AIR SEDUNIA PADA 22 MAC 2014 - "PERSAHABATAN" DI ANTARA AIR DAN TENAGA

Hari Air Sedunia disambut setiap 22 Mac. Ia adalah untuk menandakan kepentingan air terutamanya kepada manusia. Ia adalah sebahagian daripada aktiviti Dekad untuk Air (2005 - 2015) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tema sambutan tahun ini ialah "Air dan Tenaga". Perjalanan "persahabatan" di antara air dan tenaga bermula apabila air dari permukaan bumi menyejat selepas menyerap tenaga daripada matahari. Ia kemudian membentuk awan dan kerpasan (precipitation) bermula dalam bentuk hujan dan salji. Pengaruh hujan dan salji kepada ekosistem adalah cukup luas. Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin meringkaskan gambaran "persahabatan" di antara air dan tenaga seperti berikut.

Air Menjana Tenaga

Apabila air mengalir dari kawasan yang tinggi, ia akan menukarkan tenaga keupayaan yang tersimpan kepada tenaga kinetik. Ini terbukti apabila roda air (water wheel) dicipta untuk menghasilkan kuasa mekanikal dan sebaliknya. Kini, air disimpan di dalam empangan bagi mewujudkan tenaga keupayaan untuk menghasilkan tenaga elektrik melalui loji janakuasa hidroelektrik.

Sehingga 31 Disember 2011, Malaysia mempunyai 10.5 % atau 3,015 MW (MegaWatt) kapasiti terpasang (installed capacity) untuk hidroelektrik dan ia dijangka meningkat di Sabah dan Sarawak. Hidroelektrik masih merupakan bahagian terbesar sumber tenaga boleh diperbaharui dan pelepasan karbon (carbon footprint) adalah antara 6.5g bersamaan CO2 setiap kWj ( kiloWattjam ) bagi penjanaan hidroelektrik air larian sungai (mini hidro) dan 60g bersamaan CO2 setiap kWj untuk tenaga elektrik yang dijana daripada empangan hidroelektrik berskala besar. Sebuah loji janakuasa arang batu sub-kritikal yang baru melepaskan lebih daripada 1000g bersamaan CO2 setiap kWj.

Air Menggunakan Tenaga

Air mentah perlu dirawat untuk memastikan ia memenuhi piawaian kualiti air minuman yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Maka, kita memerlukan sejumlah besar tenaga untuk merawat dan membekalkan air terawat. Ini adalah disebabkan oleh penggunaan tenaga elektrik oleh sistem pam yang dipasang untuk membawa air mentah ke loji perawatan air, proses perawatan itu sendiri dan untuk mengepam air terawat ke zon permintaan. Kos untuk perawatan dan bekalan air boleh dilihat sebagai peratusan nisbah di antara kos tenaga dan jumlah perbelanjaan operasi (OPEX) untuk perawatan dan bekalan air.

Sistem pam yang lama menyebabkan kos yang lebih tinggi disebabkan pam yang tidak cekap tenaga berbanding dengan pam berkecekapan tinggi yang baru. Nisbah purata kos tenaga dan OPEX di Malaysia adalah kira-kira 25% pada tahun 2012 mengikut Malaysia Water Industry Guide 2013. Nisbah tertinggi kos tenaga dan OPEX adalah di Perlis (53%) dan nisbah terendah adalah di Sabah (6%). Sistem aliran berpandukan graviti (gravity feed) bagi perawatan dan bekalan air boleh mengurangkan penggunaan tenaga dengan ketara kerana tenaga keupayaan yang tersimpan di dalam air digunakan untuk mengalirkan air. Walau bagaimanapun, kawasan berpenduduk padat dengan bangunan-bangunan bertingkat dan lokasi yang jauh dari kemudahan-kemudahan perawatan air masih akan menyebabkan penggunaan tenaga yang lebih tinggi untuk membekalkan air terawat.

Air Sisa Menggunakan dan Menjana Tenaga

Sektor domestik, komersil dan industri menghasilkan air sisa. Air sisa ini perlu dirawat untuk mencegah ia daripada mencemari sungai kita dan seterusnya alam sekitar. Proses-proses perawatan memerlukan banyak kuasa mekanikal yang digerakkan oleh tenaga elektrik. Ini meningkatkan penggunaan tenaga untuk merawat air sisa. Air sisa industri yang mempunyai bahan kimia berbahaya mungkin perlu menggunakan input tenaga yang lebih tinggi dalam proses perawatan air sisa.

Namun begitu, sisa kumbahan dan biomas boleh menghasilkan gas metana. Metana adalah sumber tenaga boleh diperbaharui. Proses ini membolehkan sisa kumbahan dan biomas ditukar menjadi tenaga elektrik atau biogas. Sebahagian daripada biogas yang dihasilkan digunakan untuk pengangkutan, memasak dan proses pembakaran bagi industri.

Sisa pepejal yang terhasil dapat dibakar atau dirawat untuk digunakan sebagai bahan tambah (admixture) konkrit, bahan peningkatan kualiti tanah dan baja. Air sisa yang telah dirawat daripada loji-loji pembetungan juga boleh dibekalkan untuk kegunaan bukan makan dan minum (non-potable) dalam kedua-dua aplikasi industri dan bukan industri. Ini akan mengurangkan permintaan bagi air terawat dan sekali gus mengurangkan jumlah kos tenaga kerana sesetengah zon permintaan bagi air sisa yang telah dirawat ini adalah lebih dekat dengan loji-loji pembetungan berpusat.

Air untuk Pertumbuhan Tenaga (biofuel)

Di Malaysia, jumlah penggunaan air dibahagikan kepada sektor domestik, industri (termasuk komersil) dan pertanian yang menggunakan penggunaan 17%, 21% dan 62% masing-masing. Berdasarkan statistik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pada tahun 2012 jumlah permintaan bagi air terawat untuk sektor domestik adalah kira-kira 5,881 Juta Liter sehari (JLH). Kita boleh menganggar secara kasar bahawa sektor pertanian menggunakan sekitar 21,448 JLH air (air mentah dan sedikit air terawat) bagi kedua-dua penggunaan langsung dan tidak langsung kerana tidak ada pengukuran secara langsung yang dilakukan bagi sektor ini.

Keperluan untuk mencari sumber tenaga boleh diperbaharui yang boleh ditanam telah mengilhamkan penciptaan biofuel. Biofuel dicipta dengan menukar bahan mentah dari sektor pertanian dalam bentuk kanji atau minyak kepada bahan api yang boleh digunakan seperti etanol atau metil ester (methyl ester). Di Malaysia, minyak sawit digunakan sebagai bahan mentah untuk menghasilkan metil ester yang boleh dibakar. Walau bagaimanapun, ini telah menimbulkan banyak isu sama ada produk pertanian patut digunakan untuk memenuhi permintaan makanan atau permintaan bahan api. Apakah yang akan berlaku jika biofuel merupakan sektor yang lebih menguntungkan dan menyebabkan bekalan produk pertanian sebagai makanan dikurangkan? Ini adalah faktor utama dalam kenaikan harga makanan pada tahun 2007 - 2008 di seluruh dunia.

Kecekapan Air dan Tenaga adalah Jaminan Keselamatan Negara Kita dan Kunci yang Menentukan Kewujudan (Survival) Kita

Peningkatan mendadak terhadap permintaan air dan tenaga akan menyebabkan pemburuan ganas untuk mendapatkan sumber. Pernahkah kita terfikir untuk mengoptimumkan penggunaan air dan tenaga kita? Bergegas untuk memenuhi permintaan hanya akan menyebabkan semua tamadun hancur.

AWER telah mewujudkan alat perancangan untuk membantu Malaysia untuk mencapai kedua-dua kecekapan air dan tenaga. Ini adalah model 3C50 kami. Kami telah memulakan beberapa kerja kami untuk mengubah dasar-dasar di Malaysia untuk memacu ke arah kecekapan air dan tenaga di sepanjang kitaran hayat air dan tenaga. Kami juga telah menghasilkan alat atas talian yang percuma. Untuk meningkatkan kecekapan tenaga bagi semua peringkat pengguna, kami telah mencipta Tangkap si Pencuri (Click d' Thief) yang boleh dilayari melalui www.click.org.my dan untuk menggalakkan kecekapan air bagi pengguna domestik, kami telah mencipta Tangkap si Hydro (Catch d' Hydro) yang boleh dilayari melalui www.water.org.my.

Kami masih berusaha untuk menjalankan lebih banyak kerja-kerja penyelidikan untuk meningkatkan kecekapan air dan tenaga di Malaysia bagi memastikan jaminan keselamatan negara kita dilindungi dan kelangsungan hidup (survival) kita untuk masa depan yang lebih sukar adalah terjamin.

Kesimpulan

Perkara penting boleh diulang banyak kali. Tetapi, ia juga perlu diikuti oleh tindakan daripada agensi-agensi yang diberi kuasa dan dibayar gaji untuk menjalankan tugas mereka. Hubungan "persahabatan" di antara air dan tenaga hanya menunjukkan bahawa kita masih dalam peringkat pembelajaran awal dalam menuai potensi untuk mendapatkan air dan tenaga secara lestari melalui kemajuan teknologi.

Apabila hujan mula turun, kita lupa apa yang kita hadapi semasa krisis air. Sehingga ia berulang sekali lagi, kita teringat. Bukan AWER yang berkata, sejarah berulang sendiri! Tetapi, apa yang kami tanyakan adalah BILA AGAKNYA PIHAK BERKUASA KITA AKAN BELAJAR?

 

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies