English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

TARIF ELEKTRIK MUNGKIN MENINGKAT DI ANTARA 24% DAN 39% DALAM MASA 18 BULAN JIKA HARGA GAS ASLI BAGI SEKTOR PENJANAAN ELEKTRIK MENCAPAI HARGA PASARAN PADA 1 JAN 2016

SIARAN MEDIA | 21 MEI 2014 (RABU)
TARIF ELEKTRIK MUNGKIN MENINGKAT DI ANTARA 24% DAN 39% DALAM MASA 18 BULAN JIKA HARGA GAS ASLI BAGI SEKTOR PENJANAAN ELEKTRIK MENCAPAI HARGA PASARAN PADA 1 JAN 2016
Pada tahun 2013, Suruhanjaya Tenaga telah mengumumkan bahawa sesi percubaan pelaksanaan Peraturan Berdasarkan Insentif (Incentive Based Regulation-IBR) akan dimulakan pada 1 Januari 2014 dan mekanisme penyaluran kos bahan api akan dilaksanakan juga. Kerajaan juga telah bertekad untuk menaikkan harga gas asli bagi penjanaan elektrik secara berkala untuk mencapai harga pasaran pada akhir tahun 2015. Ini juga bermakna tarif elektrik akan dikaji semula setiap enam bulan jika kerajaan mengikut jadual yang dirancang.
Sektor elektrik menggunakan 1300 mmscfd (million standard cubic feet per day) gas asli bagi penjanaan elektrik dan 1000 mmscfd yang pertama ditetapkan pada harga dikawal selia (atau juga dikenali sebagai harga subsidi). Baki 300 mmscfd dan ke atas akan dijual kepada sektor elektrik pada harga pasaran. Harga Gas Asli Cecair (LNG) ditetapkan pada RM 41.68 bagi setiap mmBTU mulai 1 Januari 2014 selepas peningkatan tarif.
Berdasarkan maklumat di atas, AWER telah menjalankan pemodelan linear bagi kenaikan tarif elektrik disebabkan oleh peningkatan harga gas asli untuk penjanaan elektrik.
SENARIO 1: PENINGKATAN HARGA GAS ASLI ADALAH SECARA PRORATA UNTUK MENCAPAI HARGA PASARAN PADA 1 JAN 2016
Senario pertama dimodelkan menggunakan harga gas asli yang berbeza. Peningkatan ini di prorata dan disalurkan secara berkala. Model ini juga menganggarkan kesan kepada kenaikan tarif yang akan datang sekiranya harga gas asli tetap sama selepas kenaikan tarif. Jadual 1 menunjukkan anggaran harga gas asli bagi tarikh-tarikh kenaikan tarif yang berkemungkinan. Harga LNG semasa adalah sekitar RM 47 bagi setiap mmBTU.
Jadual 2 menunjukkan anggaran tarif purata pada harga gas asli yang berbeza. Jadual 3 menunjukkan anggaran tarif purata pada 1 Januari 2016 (apabila harga gas asli mencapai harga pasaran) pada harga gas asli yang berbeza dan anggaran peningkatan berbanding dengan tarif purata semasa (38.53 sen/kWj).

Jadual 1: Anggaran Harga Gas Asli bagi Tarikh-tarikh Kenaikan Tarif yang Berkemungkinan
Tarikh-tarikh kenaikan tarif yang berkemungkinan Anggaran harga gas asli semasa kenaikan tarif
(RM bagi setiap  mmBTU)
1 Januari 2014
(kenaikan tarif terakhir)
42
1 Julai 2014 47
1 Januari 2015 50
1 Julai 2015 53
1 Januari 2016 55
Jadual 2: Anggaran Tarif Purata bagi Harga Gas Asli yang Berbeza
Anggaran harga gas asli semasa kenaikan tarif
(RM bagi setiap  mmBTU)
Anggaran Tarif Purata pada
1 Julai 2014 1 Januari 2015 1 Julai 2015 1 Januari 2016
42 40.85 43.12 45.40 47.68
47 41.88 44.58 47.29 49.99
50 41.88 45.29 48.33 51.38
53 41.88 45.29 49.21 52.76
55 41.88 45.29 49.21 53.69

Jadual 3: Anggaran Tarif Purata pada 1 Januari 2016 bagi Harga Gas Asli yang Berbeza dan Anggaran Peningkatan Berbanding Tarif Purata Semasa
Anggaran harga gas asli semasa kenaikan tarif
(RM bagi setiap  mmBTU)
Anggaran tarif purata pada 1 Januari 2016 Anggaran jumlah peningkatan berbanding tarif purata semasa
sen %
42 47.68 9.15 23.75
47 49.99 11.46 29.74
50 51.38 12.85 33.34
53 52.76 14.23 36.94
55 53.69 15.16 39.33

Jika kerajaan mengambil pendekatan ini untuk menaikkan harga gas asli secara berkala untuk mencapai harga pasaran (iaitu harga LNG), anggaran kenaikan tarif adalah di antara 23.75% dan 39.33% dalam tempoh 18 bulan berbanding tarif purata semasa. Dalam pemodelan senario 1, harga arang batu adalah kekal dan tidak ada peningkatan kepada tarif asas TNB.
SENARIO 2: KENAIKAN HARGA GAS ASLI PADA KADAR TETAP
Senario kedua dimodelkan berdasarkan harga pasaran semasa bagi gas asli (RM 47 bagi setiap mmBTU) dan kenaikan harga gas asli pada kadar tetap. Jadual 4 menunjukkan anggaran tarif purata bagi kadar kenaikan harga gas asli yang berbeza. Jadual 5 menunjukkan anggaran tarif purata pada 1 Januari 2016 bagi kadar kenaikan harga gas asli yang berbeza dan anggaran peningkatan berbanding dengan tarif purata semasa (38.53 sen/kWj).
Jadual 4: Anggaran Tarif Purata bagi Kadar Kenaikan Harga Gas Asli yang Berbeza
Anggaran Kadar Kenaikan Tetap bagi Harga Gas Asli
(RM per mmBTU)
Anggaran Tarif Purata pada
1 Julai 2014 1 Januari 2015 1 Julai 2015 1 Januari 2016
1.50 39.69 40.20 40.71 41.22
3.00 40.20 41.22 42.24 43.26
6.00 41.22 43.26 45.30 47.34
9.00 42.24 45.30 48.36 49.99

Jadual 5: Anggaran Tarif Purata Pada 1 Januari 2016 Bagi Kadar Kenaikan Harga Gas Asli Yang Berbeza Dan Anggaran Peningkatan Berbanding Dengan Tarif Purata Semasa
Anggaran Kadar Kenaikan Tetap bagi Harga Gas Asli
(RM per mmBTU)
Anggaran tarif purata pada 1 Januari 2016 Anggaran jumlah peningkatan berbanding tarif purata semasa
sen %
1.50 41.22 2.69 6.98
3.00 43.26 4.73 12.27
6.00 47.34 8.81 22.86
9.00 49.99 11.46 29.74
 
Berdasarkan keputusan dalam Jadual 5, kenaikan tarif adalah dianggarkan di antara 6.98% dan 29.74% dalam tempoh 18 bulan berbanding tarif purata semasa. Harga gas asli perlu meningkatkan hampir RM 9.00 bagi setiap mmBTU setiap 6 bulan jika kerajaan persekutuan ingin harga gas asli untuk mencapai harga pasaran pada penghujung tahun 2015 ( jika harga pasaran bagi gas asli kekal pada RM 47 bagi setiap mmBTU). Jika harga gas asli meningkat dalam jangka masa terdekat, peningkatan dalam kadar kenaikan tetap bagi harga gas asli akan berlaku. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui Senario 1 diunjurkan oleh AWER. Dalam pemodelan senario 2, harga arang batu adalah kekal dan tidak ada peningkatan kepada tarif asas TNB.
Daripada keputusan pemodelan Senario 1 dan 2, kenaikan tarif tidak dapat dielakkan disebabkan oleh rancangan kerajaan untuk menaikkan harga gas asli secara berkala sehingga ia mencapai harga pasaran. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan mesti melaksanakan MEKANISME PENETAPAN TARIF YANG TELUS untuk memastikan rakyat dan perniagaan masing-masing bersedia untuk menghadapi impak kenaikan tarif kepada kehidupan harian dan operasi mereka.
KOMPONEN KOS TARIF ELEKTRIK DAN KEPERLUAN UNTUK PROSES BIDAAN TERBUKA YANG TELUS, KOS EFEKTIF DAN CEKAP
Kos penjanaan (generation), kos penghantaran (transmission) dan kos pembahagian (distribution) merupakan 3 kos utama tarif elektrik. Berdasarkan kepada pembentangan oleh Tenaga Nasional Berhad pada Minggu Tenaga di Singapura, pecahan kos adalah seperti berikut: kos Penjanaan (69%), kos Penghantaran (9%), kos Pembahagian (21%) dan lain-lain (1%). Kos penjanaan boleh dipecahkan lagi kepada kos bahan api (41%) dan caj kapasiti (28%).
 
Berdasarkan struktur kos tarif elektrik, kenaikan kos bahan api akan memberi impak terbesar kepada tarif kerana ia merupakan 41% daripada kos tarif. Di samping itu, caj kapasiti berada pada tangga kedua dengan 28% kesan kepada tarif. Pada masa ini, Suruhanjaya Tenaga hanya mengawal selia kos penghantaran dan pembahagian yang berjumlah 30% daripada jumlah kos tarif elektrik melalui Peraturan Berdasarkan Insentif (IBR).
Khabar angin baru-baru ini mengenai rundingan terus (direct negotiation) untuk Track 4A (loji janakuasa baru) merupakan isu yang membimbangkan. Rakyat Malaysia dihantui dengan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) yang berat sebelah selama beberapa dekad dan PPA yang berat sebelah ini merupakan hasil dari rundingan terus. Disebabkan kos bahan api disalurkan kepada tarif dan memberi impaknya yang tinggi (41%) kepada tarif, Kerajaan Persekutuan perlu memastikan kesan caj kapasiti loji janakuasa baru kepada tarif diminimumkan dan PROSES BIDAAN TERBUKA YANG TELUS merupakan SATU-SATUNYA JALAN PENYELESAIAN.
 
Di samping itu , beberapa kriteria bidaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga akan menyebabkan kos bidaan yang lebih tinggi kepada pembida tertentu. Sebagai contoh, kriteria “green field” (lokasi baru) dan “brown field” (lokasi loji janakuasa yang sedia ada) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga tidak perlu kerana terdapat hanya sebilangan kecil pihak berkepentingan yang membida dan kebanyakan daripada mereka mempunyai “brown field”. Jika kriteria tanah tidak diguna pakai, ia akan membolehkan pembida untuk memperolehi tanah yang murah supaya kesan kos tanah kepada tarif dapat dikurangkan dan membolehkan mereka membida pada harga lebih rendah. Ia juga akan mengurangkan kos berkaitan dengan sambungan talian penghantaran (transmission lines connectivity) kepada Grid secara langsung.
 
AWER melihat dengan serius perkembangan semasa kerana kesannya kepada daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa adalah tinggi. Oleh itu, satu panel bebas (independent panel) perlu ditubuhkan untuk mengkaji langkah-langkah dan kriteria proses pembidaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga dan melaksanakan perubahan yang perlu. Janji yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-10, pembaharuan kepada Industri Bekalan Elektrik Malaysia (Malaysian Electricity Supply Industry-MESI) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) perlu dipenuhi untuk memastikan rakyat dan perniagaan hanya membayar untuk tarif yang saksama dan berpatutan!
 
Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies