English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

SUBSIDI PETROL DAN DIESEL AKAN DIHAPUSKAN SECARA BERKALA, APAKAH ALTERNATIF UNTUK PENGGUNA?

02 OKTOBER 2014 - SURAT KEPADA PENGARANG

SUBSIDI PETROL DAN DIESEL AKAN DIHAPUSKAN SECARA BERKALA, APAKAH ALTERNATIF UNTUK PENGGUNA?

Penghapusan subsidi akan sentiasa mempunyai pelbagai reaksi dari semua peringkat pihak berkepentingan. Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin ketepikan isu-isu yang berkaitan dengan kos. Mari kita lihat kepada realiti, apakah alternatif yang ada atau boleh disediakan untuk rakyat and sektor perniagaan apabila penghapusan subsidi dilaksanakan? Adakah kerajaan dan agensi-agensinya bergerak lebih dekat menuju ke penyelesaian-penyelesaian ini?

Mari kita lihat beberapa statistik. Pada tahun 2012, sektor pengangkutan di Malaysia menggunakan tenaga sebanyak 17180 kilo tan bersamaan minyak (kilo tonne oil equivalent) mengikut Panduan Statistik Tenaga Malaysia 2014. Ia adalah 36.78% daripada jumlah penggunaan tenaga akhir. Sektor pengangkutan telah menggunakan jumlah tenaga yang lebih tinggi daripada sektor industri sejak tahun 2008. Berdasarkan laporan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Malaysia melepaskan sebanyak 1,494 kg CO2 (karbon dioksida) per kapita bagi sektor pengangkutan pada tahun 2010 dan AWER mengunjurkan pelepasan karbon daripada sektor Pengangkutan di bawah senario Tiada Perubahan (Business as Usual-BAU) pada tahun 2030 adalah kira-kira 2,272.83 kg CO2 per kapita.

Kini, bagaimana kita mengurangkan pelepasan karbon daripada sektor pengangkutan? Mengurangkan pelepasan karbon juga bermakna kita akan dapat mengurangkan kos yang berkaitan dengan penggunaan tenaga dalam sektor pengangkutan.

Pengangkutan Awam

Apabila AWER merujuk kepada pengangkutan awam, kami tidak mengambil kira teksi. Pengangkutan awam mesti berupaya untuk membawa satu kumpulan besar orang dari satu lokasi ke lokasi yang lain.
                         
Berdasarkan kajian soal selidik peringkat kebangsaan terkini yang dijalankan oleh AWER, kami mendapati fakta yang menarik mengenai pengangkutan awam. 4.17% rakyat Malaysia adalah pengguna harian pengangkutan awam, 24.75% rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam beberapa kali dalam seminggu, 51.64% rakyat Malaysia jarang menggunakan pengangkutan awam dan 19.43% rakyat Malaysia langsung tidak menggunakan pengangkutan awam. Berdasarkan data ini, kita dapat lihat bahawa ada kecenderungan untuk menggunakan pengangkutan awam tetapi mengapa penggunaan pengangkutan awam tidak dioptimumkan?

Apabila kami bertanya kepada responden apakah masalah utama pengangkutan awam di kawasan mereka, 41.18% rakyat Malaysia menjawab bahawa pengangkutan awam sentiasa penuh pada waktu puncak. Sebanyak 36.16% menjawab bahawa pengangkutan awam tidak mengikut jadual dan 14.54% menjawab bahawa perkhidmatan pengangkutan awam adalah jauh dari kawasan perumahan mereka. 7.92% pula mengadu bahawa tidak ada sistem pengangkutan awam di kawasan mereka.

Apabila kami bertanya adakah mereka akan mengambil pengangkutan awam lebih kerap jika perkhidmatan pengangkutan awam ditambahbaik untuk menjadi lebih berkesan, 52.78% rakyat Malaysia berkata mereka akan beralih kepada pengangkutan awam. Pada masa ini, pembahagian modal (modal share) yang dirancang bagi Lembah Klang adalah 20% pengangkutan awam dan 80% kenderaan persendirian. Maka, terdapat potensi yang besar untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam kepada 50%. Adakah kerajaan bersungguh-sungguh untuk melaksanakan sistem pengangkutan awam yang lebih baik?
                         
Projek MRT dan laluan tambahan LRT tertumpu kepada Lembah Klang sahaja. Pelaksanaan sistem pengangkutan awam secara tidak menyeluruh gagal menyelesaikan permintaan kepada sistem perkhidmatan pengangkutan awam sebenar yang diperlukan oleh rakyat Malaysia. Jika liputan pengangkutan awam adalah rendah, pengguna cenderung untuk memandu ke destinasi yang dikehendaki oleh mereka. Jaringan di antara bandar-bandar, pekan-pekan dan kawasan luar bandar serta negeri-negeri adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Apakah keberkesanan sistem pengangkutan awam semasa dan yang dicadangkan untuk membawa pengguna ke lokasi yang dikehendaki oleh mereka?

Tambahan pula, dalam kes MRT dan LRT, di manakah laporan penilaian impak trafik? Saya telah menerima beberapa maklum balas daripada pembaca di blog saya mengenai isu MRT. Adakah ia benar-benar perlu untuk meletakkan stesen MRT atau LRT di lokasi yang padat dan sesak? Adakah pemilik projek takut bahawa pengguna tidak akan mengambil pengangkutan awam apabila stesen yang mempunyai kemudahan tempat letak kereta dan jaringan bas yang lebih baik terletak di lokasi yang jauh sedikit? Dengan meletakkan stesen di lokasi yang sudah sesak, aliran trafik ke lokasi ini akan menjadi lebih teruk. Ini akan menghalang penggunaan pengangkutan awam kerana ia bukan satu laluan mudah untuk diambil walaupun dengan menggunakan bas. Maka, kita akan kembali kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat dengan pengangkutan awam yang telah diketengahkan oleh hasil kajian kami.

Reka Bentuk Jalan Raya yang Menyebabkan Kesesakan Lalu Lintas yang Teruk

Tol Sunway Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menuju ke Petaling Jaya adalah contoh klasik reka bentuk trafik yang mengerikan. Lorong tunai dan SmartTAG ditempatkan secara bertentangan dan dipisahkan oleh lorong 'Touch and Go' di tengah. Ini menyebabkan aliran trafik bertembung untuk mengambil jalan keluar ke Sunway atau menuju ke arah Petaling Jaya. Pertembungan sebegini melambatkan aliran trafik. Di Malaysia, lebuh raya pada asasnya direka untuk mengeluarkan aliran kenderaan yang tinggi dari satu lokasi dan melonggokkannya di lokasi yang lain. Bagaimana aliran trafik keluar dari sana adalah persoalan berasingan. Berapa laporan penilaian impak trafik telah dilakukan untuk memastikan lebuhraya benar-benar berfungsi untuk mengurangkan kesesakan? Berapa banyak projek lebuhraya sebenarnya mencapai objektif untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas?

Mewujudkan terlalu banyak pusingan-U dan laluan "alternatif" juga satu lagi masalah yang memberi kesan kepada aliran trafik. Penyelenggaraan jalan adalah juga satu lagi masalah sebenar yang menyebabkan kesesakan lalu lintas yang tidak diingini. Kegagalan dalam reka bentuk jalan raya sebenarnya menyebabkan kesesakan lalu lintas dan membazir bahan api. Mengapa masalah-masalah ini tidak ditangani secara holistik?

Ada pihak juga akan mengatakan bahawa jika anda tidak mahu membayar tol, anda boleh ambil jalan alternatif. Tetapi, apabila jalan raya tidak bertol ditukar kepada lebuhraya bertol, ia sudah tidak ada jalan alternatif. Walaupun terdapat jalan alternatif, jalan alternatif tersebut adalah terlalu jauh untuk perjalanan dan membazir petrol serta diesel kerana laluan ini juga sesak disebabkan oleh pelbagai sebab. Maka, adakah pengguna jalan raya benar-benar diberi alternatif?

Piawaian Minima Prestasi Tenaga (Minimum Energy Performance Standard - MEPS) dan Pelabelan Kecekapan Tenaga untuk Kenderaan

Bagaimana pula dengan mendapatkan kenderaan yang lebih cekap tenaga (EEV)? Ia  berbunyi seperti idea yang hebat kerana kita boleh menjadi mesra alam dan mengurangkan kos bahan api. AWER telah banyak kali mengutarakan isu ini untuk memastikan MEPS (kecekapan bahan api dan kriteria pelepasan karbon) dilaksanakan untuk kenderaan (termasuk kenderaan perdagangan) yang dijual di Malaysia. Dengan cara ini, pemilik persendirian atau pemilik kenderaan perdagangan akan diberi jaminan bahawa mereka akan membeli kenderaan yang bergerak jarak lebih jauh dengan penggunaan bahan api yang lebih rendah.

Keadaan ini adalah sama dengan pengenalan jenis bahan api yang lebih baik. Kini, kami menggunakan bahan api jenis EURO2 tetapi banyak model kenderaan baru telah direka untuk bahan api EURO4. EURO4 mengurangkan kesan pelepasan gas rumah hijau dalam sektor pengangkutan dengan ketara. Mengubahsuai kenderaan tertentu ke penggunaan EURO2 juga meningkatkan kos penyelenggaraan kenderaan. Pelaksanaan penggunaan bahan api jenis EURO4 perlu dipercepatkan. Ini akan membantu kerajaan untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon dengan ketara dan membantu mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan. Gabungkan langkah ini dengan penggunaan EEV dengan MEPS, ia adalah hasil gabungan dasar yang akan membantu rakyat Malaysia untuk menghadapi penghapusan subsidi bagi bahan api. Ini adalah alternatif yang paling cepat yang boleh ditawarkan pada masa ini.

Berhati-hati dengan Dakwaan Kenderaan Elektrik "Sifar" Pelepasan atau Mesra Alam

Terdapat sekumpulan individu menggambarkan bahawa kenderaan elektrik mempunyai "sifar" pelepasan dan lebih mesra alam. Ini bukan satu kenyataan yang betul secara saintifik. Pengeluaran bateri bagi kenderaan elektrik mempunyai satu siri kesan alam sekitar. Kesan alam sekitar daripada pengeluaran bateri ditambah pula dengan kesan alam sekitar daripada sektor penjanaan elektrik menjadikan kenderaan elektrik tidak layak sebagai penyelesaian sebenar untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG). Peningkatan dalam penggunaan arang batu untuk penjanaan tenaga elektrik serta pelanjutan operasi loji janakuasa yang lebih tua dengan kecekapan penjanaan yang lebih rendah menyebabkan peningkatan pelepasan GHG bagi tenaga elektrik. Secara keseluruhan, penggunaan kenderaan elektrik akan menyumbang kepada pelepasan GHG yang lebih berbanding kereta atau bas konvensional. Beberapa kajian Penilaian Kitar Hayat (LCA) yang dirujuk oleh AWER juga membuat kesimpulan yang sama.

Adakah kerajaan melaksanakan dasar yang tepat apabila terdapat isu yang serius dalam campuran bahan api di sektor penjanaan elektrik? Walaupun sesetengah pihak akan memberikan alasan bahawa kenderaan elektrik boleh mengurangkan pelepasan karbon di lokasi yang sesak, meletakkan kenderaan elektrik di atas jalan raya tidak mengurangkan kesesakan lalu lintas. Meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi boleh mengalahkan (out beat) dakwaan "sifar" pelepasan oleh kenderaan elektrik pada bila-bila masa. Kami percaya kerajaan perlu memberi keutamaan dan melaksanakan langkah yang berkesan dan bukannya percaya dakwaan "sifar" pelepasan kenderaan elektrik yang tidak terbukti.

Kesimpulan

Terdapat lima elemen yang boleh mengurangkan kebergantungan tenaga daripada sektor pengangkutan, iaitu pengangkutan awam yang berkesan, reka bentuk jalan (reka bentuk trafik), bahan api jenis EURO 4, EEV dan MEPS untuk kenderaan. Pelaksanaan bahan api jenis EURO 4, EEV dan MEPS untuk kenderaan mesti dipercepatkan kerana ia adalah penyelesaian jangka masa pendek yang dapat memberi hasil serta merta. Pengangkutan awam perlu menjadi penyelesaian jangka masa sederhana dan pegubahsuai semula reka bentuk jalan (reka bentuk trafik) sebagai penyelesaian jangka masa panjang.

Kini, jika alternatif-alternatif telah diberikan kepada rakyat Malaysia, mungkinkah wujudnya pihak-pihak yang mengadu dan tidak puas hati apabila kerajaan melaksanakan langkah penghapusan subsidi bahan api? Fikirkanlah. Dasar-dasar dan pelaksanaan yang betul hanya beberapa langkah ke hadapan.

Adakah saya akan menulis komen seperti ini sekali lagi apabila harga bahan api dinaikkan pada masa akan datang? Saya harap tidak!

Ke arah gaya hidup karbon rendah yang cekap dan kos efektif!

 

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies