English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

TANJUNG BIN ENERGY DAN JIMAH EAST POWER - SIAPA YANG LEWAT DAN SIAPA YANG BAYAR?

SIARAN MEDIA - 03 DISEMBER 2014 (RABU)

TANJUNG BIN ENERGY DAN JIMAH EAST POWER - SIAPA YANG LEWAT DAN SIAPA YANG BAYAR?

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) menyeru Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menilai semula penalti yang dikenakan apabila berlakunya kelewatan dalam pembinaan loji janakuasa. Kini, kedua-dua Tanjung Bin 1000 MW (dijadual siap pada 1 Mac 2016) dan Jimah East (unit pertama dijadual siap pada 15 November 2018 dan unit kedua dijadual siap pada on 15 Mei 2019) sedang memohon pelanjutan masa pembinaan.

Kedua-dua loji janakuasa arang batu ini (Tanjung Bin and Jimah East) adalah loji yang mempunyai kecekapan yang tinggi di mana ia akan dapat mengurangkan impak kos bahan api kepada tarif elektrik. Kelewatan dalam menyiapkan loji janakuasa arang batu yang baru ini akan menyebabkan pelanjutan operasi loji-loji janakuasa gas yang lama yang akan ataupun sudah berhenti beroperasi. Jika loji-loji janakuasa gas lama ini menjana tenaga elektrik pada kecekapan purata yang di bawah 30% berbanding loji janakuasa arang batu baru yang sepatutnya mencapai 55% kecekapan dalam  penjanaan tenaga elektrik, kos tambahan bahan api dan caj kapasiti yang akan disalurkan kepada pengguna adalah tinggi. Berdasarkan majalah Energy Malaysia (volume 2, 2014) yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Tenaga, kos bahan api adalah 41% daripada tarif purata tekini (38.53 sen/kWj). Maka, impak kos bahan api kepada tarif elektrik adalah sangat tinggi. Malangnya, penalti ke atas kelewatan hanya dihadkan kepada RM 108 juta setiap 1000 MW (MegaWatt). Siapa yang akan menanggung kos selebihnya?

Penyemakan semula harga gas asli (piped gas) telah ditetapkan secara longgar sekitar RM 3.00 per mmBTU setiap 6 bulan. Jika penyemakan ini digunakan sebagai asas pengiraan (anggaran konservatif), harga gas asli dijangka mencapai RM 21.20 per mmBTU semasa berlakunya kelewatan pembinaan Tanjung Bin. Kelewatan pembinaan Tanjung Bin dijangka di antara 6 hingga 12 bulan. Berdasarkan harga gas asli ini dan pelanjutan operasi loji janakuasa gas asli yang tidak cekap, kos tambahan bahan api yang akan disalurkan kepada tarif elektrik bagi kelewatan 6 bulan adalah sekitar RM 321.97 juta dan bagi kelewatan 1 tahun adalah sekitar RM 643.94 juta bagi 1000MW.

Kos tambahan ini telah dikira selepas menolak kos bahan api daripada loji janakuasa arang batu berkecekapan tinggi yang beroperasi mengikut jadual. Jika harga LNG (Liquefied Natural Gas) dipuratakan kepada harga gas asli, impak kos bahan api akan meningkat sebanyak 1.48 kali (kos tambahan bahan api dianggar RM 955.24 juta). Anggaran ini tidak termasuk caj kapasiti yang akan dikenakan oleh loji janakuasa gas yang tidak cekap.

Tambahan pula, jika harga bahan api di antara tahun 2018 dan 2019 adalah lebih tinggi, kelewatan pembinaan loji janakuasa Jimah East akan menyalurkan kos yang lebih tinggi kepada tarif elektrik. Ini kerana loji janakuasa Jimah East mempunyai kapasiti penjanaan sebanyak 2000 MW. Jika entiti-entiti yang mendapat Perjanjian Pembelian Tenaga yang lumayan hanya perlu membayar penalti RM 108 juta bagi setiap 1000MW dan baki kos tambahan (kos bahan api dan caj kapasiti) disalurkan kepada tarif elektrik, Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA akan memberikan satu contoh yang buruk dalam pasaran elektrik. Kos yang tidak adil ini pula akan dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6% dan levi Tarif Galakan sebanyak 1.6%. Mengapa pengguna domestik dan perniagaan perlu membayar tarif elektrik yang lebih tinggi disebabkan kelewatan pembinaan loji janakuasa oleh Tanjung Bin dan Jimah East?

AWER menyeru Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA memastikan kedua-dua Tanjung Bin dan Jimah East mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan membayar semua kos tambahan (kos bahan api dan caj kapasiti) yang disebabkan oleh kelewatan pembinaan kedua-dua loji janakuasa ini. Kami juga menyeru orang ramai dan perniagaan menolak sebarang cubaan yang menyalurkan kos tambahan ini kepada tarif elektrik.

Kita patut mengajar mereka yang ingin mengoperasi loji janakuasa elektrik di Malaysia cara berniaga yang sah dan beretika. Tiada ruang untuk pengecut-pengecut yang inginkan jalan pintas!

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies