English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

KOMEN-KOMEN MENGENAI BELANJAWAN 2016

SIARAN MEDIA - 26th OKTOBER 2015 (ISNIN)

KOMEN-KOMEN MENGENAI BELANJAWAN 2016

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah mengkaji belanjawan terperinci bagi tahun 2016 dan membandingkannya dengan Rancangan Malaysia ke-9, ke-10 dan ke-11. Komen-komen terperinci kami adalah seperti berikut:

1. Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN)

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah melewatkan pelaksanaan NWSIR sejak berakhirnya Rancangan Malaysia ke-9. Kedah, Perlis, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Labuan masih belum menyempurnakan proses penstrukturan semula industri manakala Selangor hanya menyiapkan sebahagian daripada proses penstrukturan semula. Indah Water Konsortium (IWK) yang berada di bawah Kementerian Kewangan juga adalah sebahagian daripada PSIPAN dan masih belum menyempurnakan penstrukturan semula dan membatalkan perjanjian konsesinya. Kini, IWK juga sedang memohon semakan semula tarif. AWER tidak bersetuju dengan sebarang semakan semula tarif bagi IWK sebelum IWK menyempurnakan penstrukturan semula dan audit terperinci ke atas kos-kos IWK dilakukan. Kami telah berulang kali mengutarakan isu ini kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Tambahan pula, usaha untuk memastikan Sarawak dan Sabah menyertai PSIPAN bagi menambah baik pelaksanaan PSIPAN juga sangat lembab. Melalui PSIPAN, perkhidmatan air berkualiti tinggi dengan tarif yang berpatutan dan saksama dapat dicapai. Banyak langkah-langkah untuk menambah baik industri perkhidmatan air tidak tercapai disebabkan oleh kelewatan-kelewatan sebegini. Kami menyeru menteri KeTTHA dan pegawai-pegawai kanannya mengambil tanggungjawab atas kelewatan ini dan meletak jawatan. Kelewatan sebegini juga akan menyebabkan peningkatan kos perbelanjaan modal yang akan menyebabkan kos yang tidak perlu disalurkan kepada tarif air di mana objektif-objektif asal PSIPAN mungkin akan terpesong.

Di samping itu, rancangan-rancangan dalam Rancangan Malaysia ke-11 bagi sektor perkhidmatan air berkaitan dengan pengurusan permintaan air, pelan induk sektor pembentungan dan pengurangan kadar air tidak terhasil (NRW) tidak dibentangkan dalam ucapan belanjawan dan juga tidak tercatat dalam belanjawan terperinci.

2. Sektor Pengangkutan

Sektor pengangkutan di Malaysia menggunakan 43.34% daripada jumlah tenaga akhir (final energy use) pada 2013 dan ia adalah lebih tinggi daripada sektor industri. Bagaimana penggunaan tenaga yang tinggi di sektor pengangkutan dapat dikurangkan?

Pembinaan lebih banyak lebuhraya bukanlah penyelesaiannya. Adakah lebuhraya-lebuhraya ini akan menambahkan atau mengurangkan kesesakan trafik? Apakah jaminan yang boleh diberikan kepada pengguna-pengguna bahawa lebuhraya-lebuhraya baru ini dapat mengurangkan kesesakan lalulintas semasa waktu puncak? Adakah Kajian Impak Trafik (Traffic Impact Assessment-TIA) yang menggambarkan keadaan sebenar aliran trafik telah dilaksanakan?

Sambungan LRT dari Ampang telah hampir siap dan boleh digunakan di beberapa lokasi di Puchong minggu ini. Malangnya, jalan-jalan yang menghala ke lokasi stesen-stesen ini di Lebuhraya Bukit Jalil (juga dikenali Lebuhraya Puchong-Sg Besi) sangat tidak memuaskan. Kerja-kerja penurapan semula jalan yang teruk, laluan-laluan pejalan kaki yang telah musnah serta kekurangan sistem saliran air hujan hanya menunjukkan lebih banyak masalah bakal timbul. Dalam kajian peringkat kebangsaan yang telah dijalankan oleh AWER (menggunakan methodologi pesampelan Jabatan Perangkaan), 52.78% rakyat Malaysia berkata mereka akan beralih kepada pengangkutan awam jika perkhidmatan pengangkutan awam ditambahbaik untuk menjadi lebih berkesan. Ketersambungan (connectivity) dan juga capaian kepada hub-hub pengangkutan awam memainkan peranan yang penting. Kami menyeru agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan untuk meneliti perkara ini kerana sejumlah besar kewangan telah dibelanjakan untuk projek-projek sebegini dan ia sepatutnya tidak menyebabkan kesulitan kepada orang awam. Bagi projek-projek baru, kami menyeru ketersambungan dan capaian dikaji dengan teliti untuk memastikan aliran trafik yang lancar dan menggalakkan lebih banyak pengguna menggunakan pengangkutan awam.

Di samping itu, tindakan kerajaan untuk memberi subsidi bagi perjalanan-perjalanan bas yang tidak menguntungkan di kawasan luar bandar adalah satu tindakan yang baik. Ini adalah langkah yang tepat untuk memastikan ketersambungan ke lokasi terakhir (last mile connectivity) di antara sistem-sistem pengangkutan bandar-luar bandar.

Kerajaan juga tidak memberikan sebarang komitmen dalam kenderaan cekap tenaga (energy efficient vehicle) serta Piawaian Minima Pencapaian Tenaga (Minimum Energy Performance Standard-MEPS) bagi semua kategori kenderaan. Kedua-dua langkah ini berserta pengangkutan awam dapat mengurangkan kebergantungan tenaga yang tinggi bagi sektor pengangkutan.

3. Bekalan Air dan Elektrik Luar Bandar

Bagi lima tahun akan datang, bekalan elektrik luar bandar diperuntukkan RM 3.321 Billion dan RM 0.878 Billion telah diluluskan untuk tahun 2016. Begitu juga dengan bekalan air luar bandar yang telah diperuntukkan RM 10.027 Billion bagi lima tahun yang akan datang dengan RM 0.568 billion telah diluluskan untuk tahun 2016. Persoalannya, bilakah kerajaan akan mencapai sasaran 100% bekalan air dan elektrik untuk rakyat Malaysia? Berbilion-bilion Ringgit telah dibelanjakan setiap tahun tetapi masih ramai hidup tanpa bekalan air dan elektrik di luar bandar. Maka, kami menggesa kerajaan untuk menyeneraikan jumlah penduduk tanpa bekalan elektrik dan air serta jenis penyelesaian yang terpilih untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut bagi memastikan keberkesanan penyelesaian-penyelesaian dan kos-kos terbabit. Sebagai contoh, memberikan sistem penuaian air hujan bukanlah penyelesaian yang sesuai berbanding dengan sistem bekalan air komunal bagi kawasan luar bandar. Di samping itu, kualiti air bekalan air luar bandar juga mesti tertakluk kepada Piawaian Kualiti Air Minuman Kebangsaan (National Drinking Water Quality Standard) yang dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan air terawat yang dibekalkan itu mematuhi piawaian KKM.

4. Bekalan Air bagi Sektor Pertanian

Infrastruktur bekalan air untuk kegunaan pertanian mesti selari dengan penggunaan air yang cekap dalam bidang pertanian. Satu set perangkaan asas penggunaan air bagi setiap hektar atau setiap tan produk boleh dibangunkan. Kecekapan air boleh dicapai dengan mengurangkan penggunaan air setiap hektar atau setiap tan produk melalui pengurusan holistik. Setelah kaedah kecekapan air dioptimumkan, ini boleh ditetapkan sebagai piawaian baru untuk aktiviti pertanian. Ganjaran boleh diberikan melalui insentif untuk aktiviti pertanian yang paling menjimatkan air berdasarkan kategori produk.

5. Tebatan Banjir

Sejumlah RM 730 Juta telah diperuntukkan bagi projek tebatan banjir bagi seluruh negara. AWER menyeru Ketua Audit Negara menjalankan audit terperinci bagi projek-projek tebatan banjir dan saliran yang telah dirancang dan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-8, ke-9 dan ke-10. Skop audit juga perlu merangkumi keberkesanan setiap projek. Perlu juga ditekankan bahawa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan ke atas penyelesaian-penyelesaian ini. Apabila penyelesaian ini disarankan, ia adalah terpulang kepada Kerajaan Tempatan di bawah kerajaan-kerajaan negeri untuk melaksanakan saranan-saranan ini. Kebanyakan kali saranan-saranan ini diberikan tetapi tidak dikuatkuasakan oleh kerajaan tempatan. Untuk menyelesaiakan masalah banjir, projek-projek tebatan mesti berfungsi dengan saranan-saranan yang diberikan. Bolehkah JPS diberikan kuasa penguatkuasaan untuk memastikan projek tebatan banjir mempunyai keberkesanan yang lebih tinggi?

6. KeTTHA Perlu Menutup Agensi-Agensi yang Mempunyai Fungsi Bertindih supaya Sehaluan dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11)

Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) mempunyai fungsi bertindih dengan PAAB, SPAN dan Indah Water Konsortium. Jabatan Bekalan Air (JBA) mempunyai fungsi bertindih dengan PAAB, SPAN dan operator-operator air. Sepatutnya juga tidak ada sebarang percubaan untuk mengurangkan fungsi PAAB, SPAN, Indah Water Konsortium atau operator-operator air. Kedua-dua JBA dan JPP perlu ditutup dan kakitangannya boleh diserap oleh SPAN, PAAB, Indah Water Konsortium, operator-operator air atau kekosongan jawatan kerajaan yang lain. Jika ini dapat dilakukan, kerajaan akan menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan janji-janji dalam RMK11. Begitu juga, ia adalah diketahui oleh banyak pihak bahawa JPP sedang mencuba untuk membentuk Syarikat Pembetungan Negara (NaSCo) yang memainkan peranan yang sama seperti PAAB bagi industri pembetungan. Manipulasi dan penyelewengan dari model Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) seperti ini mesti dihentikan. Percubaan JPP untuk menubuhkan NaSCo akan menghancurkan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara melalui model WSIA.

Untuk sektor tenaga dan teknologi hijau, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Yayasan Hijau boleh ditutup. Fungsi SEDA boleh dijalankan oleh Suruhanjaya Tenaga. Sementara itu, fungsi Yayasan Hijau boleh dijalankan oleh GreenTech Corporation Malaysia. SEDA diilhamkan kerana politik pejabat dan bukannya keperluan dasar negara yang sebenar. Yayasan Hijau pada dasarnya melakukan beberapa kerja yang sebelum ini dilakukan oleh GreenTech Corporation Malaysia. Kami menggesa Kerajaan Persekutuan untuk memimpin melalui teladan untuk menutup agensi-agensi bertindih ini yang di bawah KeTTHA.


Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies