English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

PENGGUNA TERPAKSA MENANGGUNG KOS TAMBAHAN DI ANTARA RM 11.2 BILION DAN RM 15.4 BILION DISEBABKAN KEMELUT TRACK 4A & 4B

SIARAN MEDIA - 28 APRIL 2016 (KHAMIS)

PENGGUNA TERPAKSA MENANGGUNG KOS TAMBAHAN DI ANTARA RM 11.2 BILION DAN RM 15.4 BILION DISEBABKAN KEMELUT TRACK 4A & 4B

1. Track 4A - Kegagalan Berterusan Untuk Memuktamadkan Sumber Kewangan (Financial Close)

Kedua-dua Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA telah menggunakan pelbagai alasan yang meragukan untuk menjustifikasikan penganugerahan Track 4A (loji 1000-1400 MW kitar bersepadu gas turbin-CCGT) melalui rundingan terus. Track 4A dijadualkan untuk memuktamadkan sumber kewangan (financial close) pada Oktober 2015. Malangnya, projek ini telah gagal memuktamadkan sumber kewangan sehingga kini. Projek ini telah dianugerahkan kepada sebuah konsortium SIPP-YTL-TNB dengan tarif purata (levelised tariff) ditanda aras pada 34.7 sen/kWj. Walau bagaimanapun, kedua-dua YTL dan TNB telah menarik diri daripada projek itu. Perkembangan terbaru menunjukkan bahawa salah sebuah rakan konsortium telah bekerjasama semula dengan SIPP dengan tarif purata melebihi 38 sen/kWj. Tahun lepas Suruhanjaya Tenaga telah menolak dua permohonan tarif purata oleh konsortium SIPP-TNB yang berada di dalam lingkungan 36 sen/kWj dan 39 sen/kWj kerana tarif purata yang dimohon telah melebihi tarif purata yang ditanda aras iaitu 34.7 sen/kWj. Mengapakah kini tiba-tiba ada pusingan-U?

Suruhanjaya Tenaga adalah terikat dengan Seksyen 14 (1) (b), (d), (g), dan (m) dalam Akta Suruhanjaya Tenaga serta Seksyen 4(f) dalam Akta Bekalan Elektrik iaitu untuk memastikan bahawa pemegang lesen dapat membiayai penjalanan aktiviti yang dibenarkan oleh lesen mereka untuk dijalankan. Ini bermakna Suruhanjaya Tenaga mesti membatalkan penganugerahan tersebut dan memberi nasihat kepada Menteri KeTTHA berlandaskan undang-undang apabila pemegang lesen gagal memenuhi keperluan untuk memuktamadkan sumber kewangan. Menteri KeTTHA juga terikat dengan kedua-dua Akta Bekalan Elektrik dan Akta Suruhanjaya Tenaga di mana tindakan beliau hanya boleh menambahbaik pelaksanaan akta-akta tersebut dan bukannya memudaratkannya. Seksyen 4(d) dalam Akta Bekalan Elektrik juga memandatkan Suruhanjaya Tenaga untuk melindungi kepentingan pengguna.

Mengapakah tiada pembatalan penganugerahan Track 4A selepas kegagalan memuktamadkan sumber kewangan? Mengapakah Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA gagal untuk melaksanakan bidaan kompetitif yang memastikan manfaat kepada rakyat dan sektor perniagaan daripada persaingan firma-firma untuk mencapai tarif purata yang lebih rendah?

2. Track 4B - Hak Pembangunan Projek Telah Dijual

Satu jawapan bertulis oleh Menteri KeTTHA kepada Dewan Rakyat untuk soalan mengapa Track 4B diberi melalui rundingan terus kepada 1MDB pada 9 Oktober 2014 telah menyatakan bahawa Track 4B dianugerahkan terus kepada 1MDB disebabkan oleh kemampuan dan kebolehan dari segi kepakaran dalam mengendalikan dan melaksanakan projek-projek penjanaan elektrik yang dimilikinya serta 1MDB adalah syarikat milik penuh kerajaan dan atas kepentingan strategik negara secara keseluruhannya. Apabila 1MDB mahu menjual aset-aset tenaga dan hak pembangunan loji janakuasa, ia telah menunjukkan 1MDB tidak mampu membiayai projek Track 4B tetapi Suruhanjaya Tenaga telah gagal menggunakan Seksyen 4(f) dalam Akta Bekalan Elektrik untuk membatalkan penganugerahan Track 4B. Kini, penganugerahan tersebut mesti dibatalkan kerana Edra Global Energy bukan lagi sebuah syarikat milik kerajaan Malaysia (berdasarkan jawapan di Parlimen) dan jualan hak pembangunan untuk projek-projek loji janakuasa adalah tidak dibenarkan.

Tambahan pula, berdasarkan Penyata Rasmi parlimen pada 16 November 2015 (DR-16.11.2015), menteri kewangan kedua telah menyatakan, "Kita ada lima sahaja IPP yang terlibat dengan Edra. Lima sahaja, yang lain di luar negara." Tiada kenyataan bahawa hak pembangunan loji-loji janakuasa juga akan dijual. Kedua-dua KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga tidak menjelaskan isu ini sehingga kini. Mujurlah, Suruhanjaya Penyeliaan dan Pentadbiran Aset-Aset Milik Negara (State-owned Assets Supervision and Administration Commission of the State Council-SASAC) Republik Rakyat China telah menerbitkan bahawa CGN (melalui Edra) akan fokus untuk membangunkan loji janakuasa 2000-2400 MW CCGT di Melaka (Track 4B). Kini, ia adalah jelas bahawa hak pembangunan Track 4B sebenarnya telah dijual semasa penjualan aset-aset tenaga oleh 1MDB.

Mengimbas kembali, apabila 1MDB gagal memuktamadkan sumber kewangan (financial close) untuk Track 3B (loji janakuasa arang batu 2000 MW - Jimah East), hak pembangunan telah diserahkan kepada Suruhanjaya Tenaga. Suruhanjaya Tenaga kemudiannya telah merujuk kepada proses bidaan dan menetapkan harga bidaan kedua terendah sebagai had bagi tarif purata (levelised tariff) Track 3B. TNB dan sebuah IPP tempatan telah mengambil bahagian dalam proses tersebut di mana TNB telah memenanginya. Ini menunjukkan bahawa hak pembangunan tidak boleh dijual walaupun projek tersebut mempunyai Perjanjian Pembelian Tenaga (dalam kes Track 3B ini). Kini, mengapakah Suruhanjaya Tenaga membenarkan penjualan hak pembangunan Track 4B serta 500 MW Solar Berskala Utiliti (USS)? Patutkah rakyat Malaysia membenarkan Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA bebas untuk melanggar Akta Suruhanjaya Tenaga serta Akta Bekalan Elektrik dengan begitu sahaja?

Track 4B mempunyai masa yang mencukupi untuk melalui proses pembidaan kompetitif yang telus. AWER menggesa KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga untuk membatalkan penganugerahan Track 4B dan melaksanakan pembidaan kompetitif untuk membolehkan tarif purata (levelised tarif) yang adil dan berpatutan dicapai.

3. Impak Kos Daripada Track 4A Dan 4B Kepada Tarif Elektrik

Setiap kenaikan 1 sen dalam tarif purata (levelised tariff) bagi loji kuasa 1000 MW dengan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bertempoh 25 tahun akan menyalurkan kos tambahan sekitar RM 1.75 Bilion kepada tarif elektrik. Jika tarif purata Track 4A (1000-1400 MW) adalah sekitar 38 sen/kWj berbanding dengan tarif purata yang ditanda aras iaitu 34.7 sen/kWj, kos tambahan minimum yang akan disalurkan kepada tarif elektrik adalah di antara RM 5.78 Bilion dan RM 8.09 Bilion. Tambahan pula, kelewatan dalam projek Track 4A yang 'dipercepatkan' telah menyebabkan loji-loji janakuasa gas lama dilanjutkan operasi baru-baru ini. Tarif purata (levelised tariff) untuk loji-loji janakuasa gas lama yang dilanjutkan ini juga tidak diumumkan oleh Suruhanjaya Tenaga dan ini telah menyebabkan kos tambahan yang disebabkan oleh caj kapasiti tidak diketahui. Walau bagaimanapun, kos bahan api tambahan untuk setiap 6 bulan bagi kelewatan Track 4A selama 1 setengah tahun boleh dianggarkan seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1. Jumlah kos bahan api tambahan yang disebabkan oleh kelewatan Track 4A boleh dianggarkan di antara RM 1.32 Bilion dan RM 1.85 Billion. Ketidakcekapan KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga untuk mengendali Track 4A akan menyalurkan kos tambahan di antara RM 7.1 Bilion dan RM 9.94 Bilion kepada tarif elektrik.

Jadual 1: Kos bahan api tambahan disebabkan oleh kelewatan dalam Track 4A

Tahun Separuh Kedua
2018
Separuh Pertama
2019
Separuh Kedua
2019
Kos bahan api tambahan bagi 1000 - 1400 MW
(RM Juta)
416.3 - 582.8 440.6 - 616.8 464.9 - 650.9


Selain daripada itu, Track 4B (1800 - 2400 MW CCGT) dijangka akan mempunyai tarif purata (levelised tarif) yang lebih tinggi daripada tarif purata penanda aras (34.7 sen/kWj), iaitu tarif purata yang boleh mencapai hampir kepada 36 sen/kWj. Ini akan menyalurkan kos tambahan minimum kepada tarif elektrik di antara RM 4.10 Bilion - RM 5.46 Bilion. Walau bagaimanapun, jika bidaan kompetitif yang adil dan telus dijalankan untuk Track 4B, tarif purata berpotensi untuk mencapai pada paras di bawah 34.2 sen/kWj yang akan menyalurkan penjimatan minimum kepada tarif elektrik di antara RM 1.58 Bilion and RM 2.1 Bilion.

Maka, hanya melalui proses pembidaan kompetitif yang adil dan telus, tarif purata (levelised tariff) yang adil dan berpatutan boleh dicapai. Ini kerana kos pembiayaan projek dan teknologi dapat ditentukan dan ia adalah sifat bersaing pembida-pembida untuk mengurangkan margin keuntungan mereka yang akan membolehkan tarif purata (levelised tariff) yang lebih rendah bagi kedua-dua Track 4A dan Track 4B dicapai. Malangnya, KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga telah gagal untuk mengikuti gesaan berulang daripada AWER untuk melaksanakan proses pembidaan kompetitif yang adil dan telus bagi Track 4A dan Track 4B. Kejahilan mereka yang jelas ini akhirnya akan menyalurkan kos tambahan kepada tarif elektrik di antara RM 11.2 Bilion dan RM 15.4 Bilion.

Kini, adakah Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA akan menghalang pengguna domestik dan perniagaan daripada menikmati hasil penjimatan melalui tarif purata (levelised tarif) yang lebih rendah dan menyalurkan kos tambahan di antara RM 11.2 Bilion dan RM 15.4 Bilion kepada tarif elektrik kita?

4. AWER Menyeru Ketua Audit Negara Untuk Menyiasat KeTTHA, Suruhanjaya Tenaga Dan Proses-Proses Berkaitan

Ia adalah terbukti bahawa pembinaan loji janakuasa dan kosnya memberikan impak yang tinggi kepada tarif elektrik, daya saing, kemampuan membeli produk dan perkhidmatan, keyakinan para pelabur dan bina negara. Kami menyeru Ketua Audit Nagara untuk mengaudit isu-isu berikut:
(i)    audit semua proses kelulusan dan surat anugerah bagi loji janakuasa di KeTTHA, Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA)  mulai 2012;
(ii)    audit semua keputusan, minit mesyuarat, dokumen dan persembahan(presentation) JPPPET mulai 2012;
(iii)    pengendalian proses bidaan kompetitif bagi loji janakuasa baru dan dokumentasi termasuk bagaimana nodal point dan keperluan tanah (green field dan brown field) ditetapkan;
(iv)    proses pelanjutan bagi loji janakuasa lama dan proses pembidaannya; dan
(v)    kegagalan SEDA dan FiT untuk memenuhi sasaran campuran RE serta misteri proses penubuhan SEDA dan mekanisme FiT.

Semua proses pembidaan kompetitif loji janakuasa masa depan mestilah adil dan telus. Begitu juga, memandangkan loji-loji janakuasa adalah aset-aset strategik negara, had ekuiti pegangan asing 49% MESTI dikekalkan!


Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air Dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies