English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA 2021 – PEMULIHAN EKOSISTEM

Surat kepada Pengarang
3 Jun 2021

HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA 2021 – PEMULIHAN EKOSISTEM

Hari Alam Sekitar Sedunia disambut pada 5 Jun setiap tahun. Tema sambutan tahun ini adalah ‘Pemulihan Ekosistem’ dan ia juga menandakan bermulanya Dekad untuk Pemulihan Ekosistem oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi tahun 2021 -2030.

Menurut laporan-laporan yang dirujuk oleh PBB:
I.    Kira-kira $10 trilion KDNK global akan hilang menjelang tahun 2050 jika perkhidmatan ekosistem terus berkurangan,
II.    Kemerosotan tanah akan menurunkan produktiviti makanan global sebanyak 12%, yang akan menyebabkan harga makanan melambung sehingga 30% pada tahun 2040,
III.    Hampir 700 juta orang dianggarkan akan berhijrah kerana kemerosotan tanah dan perubahan iklim menjelang tahun 2050,
IV.    Penurunan kesuburan tanah di ladang jagung menelan belanja petani Amerika Syarikat sekitar setengah bilion dolar setahun untuk baja tambahan, dan
V.    Kemerosotan ekosistem akan meningkatkan pertembungan di antara manusia dan hidupan liar dan telah dikaitkan dengan wabak penyakit.

Terdapat banyak laporan menunjukkan kesan negatif daripada aktiviti manusia dan kemerosotan alam sekitar adalah disebabkan oleh perubahan guna tanah. Adakah Malaysia dan negara-negara lain di dunia mengambil gambaran yang serius dan luas mengenai alam semula jadi dan bagaimana ia berfungsi? Banyak penyelesaian baru untuk masalah alam sekitar menimbulkan masalah alam sekitar yang lebih baru dan lebih teruk pada masa akan datang. Penyelesaian-penyelesaian ekstrem ini didorong oleh pelbagai kumpulan berkepentingan dan negara masing-masing.

Kaliberasi Semula (Recalibrate)

Bahaya semasa kepada dunia kita bukan hanya perubahan iklim tetapi juga penggunaan sumber semula jadi yang berlebihan dan pencemaran. Oleh itu, tidak wajar dan lestari untuk membangunkan penyelesaian ekstrem yang diukur dengan menggunakan pembaris "pemanasan global" sahaja. Ia juga membingungkan bahawa para pemimpin dunia juga secara membuta tuli menyokong tindakan ekstrem ini untuk memaparkan agenda "hijau" mereka. Oleh itu, aktiviti melobi dan ketidakmampuan untuk memahami gambaran sebenar akan menyebabkan lebih banyak kerosakan kepada ekosistem menjelang tahun 2040. Adakah dunia bersedia untuk dikaliberasi semula jika ingin memulihkan ekosistem?

Nuklear dilihat sebagai teknologi mesra perubahan iklim. Pada bulan April tahun ini, Jepun mengumumkan akan melepaskan 1.25 juta tan air sisa terawat yang dicemari oleh Loji Tenaga Nuklear Fukushima Daiichi ke Laut Pasifik secara sepihak. Malangnya, bahaya yang tidak diketahui daripada pendedahan radioaktif terhadap kehidupan akuatik oleh sejumlah besar air sisa ini menimbulkan keresahan dan bantahan.

Sebilangan besar penyelesaian ekstrem ini juga melibatkan perlombongan berskala besar untuk memenuhi keperluan semua teknologi yang didakwa mesra "perubahan iklim". Adakah aktiviti perlombongan memusnahkan ekosistem atau melindungi ekosistem? Perlombongan dasar laut untuk Lithium, Tembaga dan Zink sudah mula dirancang dan ini secara langsung akan mempengaruhi ekosistem laut dan mata pencarian negara-negara yang mengambil hasil dari laut.

Oleh itu, arah tujuan PBB menuju ke arah penyelesaian "pemanasan global" yang ekstrem bertentangan dengan tuntutan mereka untuk memulihkan ekosistem. Adakah mereka menyedari perkara ini?

Susun Semula (Reorganise)

Perubahan guna tanah adalah masalah terbesar bagi ekosistem semula jadi. Kawasan berpenduduk padat, industri intensif sumber asli dan peladangan monokrop berskala besar adalah beberapa komponen yang memusnahkan hutan dara. Peladangan monokrop tidak begitu mesra perubahan iklim dan alam sekitar. Jenis tanaman berbeza mempunyai tahap kesan kepada alam sekitar yang berbeza. Kita perlu menghentikan pengondolan hutan dan mengoptimumkan apa yang sudah kita miliki. Pecahan populasi penduduk antara bandar dan luar bandar menyebabkan ketidaksepadanan sumber dan pembaziran terhadap pembangunan infrastruktur serta corak penggunaan dengan jurang yang besar.

Kita perlu mula memanfaatkan sisa kita sebagai sumber kita. AWER telah berulang kali mendorong kaedah Penilaian Kitaran Hayat (Life Cycle Assessment) untuk mewujudkan gaya hidup yang lebih lestari dan juga sektor ekonomi. Ia dapat dilakukan tetapi penggubal dasar lebih memberikan keutamaan kepada strategi "game changer" untuk melaungkan perkara-perkara kecil dengan tidak melakukan bina negara dengan kaedah yang lestari. Penggunaan sumber dan hasilnya secara cekap mesti menjadi sebahagian daripada gaya hidup. Sebagai contoh, kejayaan AWER mendorong pelabelan 5 bintang mandatori dan Piawaian Prestasi Tenaga Minimum (MEPS) untuk produk elektrik adalah pencapaian yang hebat tetapi memerlukan penambahbaikan berterusan agar tetap relevan.

Pembinaan, perobohan (demolition) dan sektor hartanah perlu dikaji semula. Apa yang harus menjadi dasar pemerintah: untuk segelintir orang memiliki terlalu banyak hartanah atau untuk semua rakyat memiliki hartanah? Pembinaan juga menggunakan sumber dan dalam beberapa kes, sisa perobohan sudah dikitar semula. 10 tahun yang lalu, terdapat rumah-rumah yang dibina di Jepun yang dibuat daripada bahan kitar semula dan rumah-rumah ini dapat dikitar semula lagi.



Sekiranya dasar kita menetapkan langit sebagai batas, bumi ini tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan kita. Maka, lebih ramai pemimpin “Pak Pandir” seperti Donald Trump akan muncul untuk melombong di ruang angkasa. Tanpa menyusun semula dasar dan keutamaan kita, kita tidak akan berjaya menuju ke masa depan yang lestari untuk semua.

Fikir Semula untuk Memulihkan (Rethink to Restore)

Malaysia perlu mengkaji semula dasarnya dan menetapkan keutamaan yang tepat. Adakah kita bersedia mengikuti penyelesaian ekstrem yang akan memusnahkan ekosistem? Mulakan dengan pendidikan. Berdasarkan pengalaman kami, banyak kesan negatif daripada sumber yang boleh diperbaharui tidak disebut dengan jelas dalam buku teks. Ada juga seketika masa para pelajar dibasuh otak (brainwashed) dengan templat "nuklear itu baik dan boleh dikawal" yang diterbitkan untuk mempersiapkan rakyat Malaysia untuk menerima pembinaan loji tenaga nuklear pertamanya. Pendidikan bersifat neutral dan semua sifat positif dan negatif teknologi tertentu mesti dijelaskan dengan terperinci agar generasi akan datang dapat membuat pilihannya sebagai warganegara yang berpengetahuan dan bukannya secara buta hati.

Kegiatan perhubungan awam untuk menanam pokok telah berjalan sekian lama. Kawasan tepi hutan yang tidak terganggu akan berkembang sekiranya dibiarkan. Oleh itu, perkenalkan semula spesies flora dan fauna asli tempatan jika kita mahu memulihkan ekosistem. Tidak boleh ada tindakan rawak dan membuta tuli. Ia harus diselaraskan supaya kita dapat membantu alam semula jadi memulih secara berperingkat ke arah yang betul. Taman-taman, kawasan-kawasan perumahan dan zon-zon perniagaan kita juga harus memulakan agenda spesies asli tempatan yang serupa.

Memulihkan ekosistem memerlukan komponen utama yang lain iaitu pembalikan pencemaran. Tidak dapat dipertikaikan bahawa peningkatan kepadatan penduduk dan kegiatan ekonomi akan meningkatkan pencemaran ke persekitaran kita dan khususnya sungai kita. Piawaian pelepasan air sisa semasa oleh Jabatan Alam Sekitar tidak akan dapat mengurangkan masalah pencemaran air. Ini kerana daya tampung sungai adalah terhad dan semakin berkurang pada musim panas. Piawaian pelepasan air sisa berasaskan beban pencemaran mesti dilaksanakan untuk memulakan pembalikan pencemaran. Dalam jangka masa panjang, ini akan membantu memastikan kawasan tadahan air di hulu dilindungi. Kaedah pembalikan pencemaran ini juga akan mewujudkan tadahan air baru di tengah dan hilir sungai sambil memastikan sokongan yang diperlukan untuk memulihkan ekosistem kita.

Penyelesaian lestari bukan untuk orang kaya sahaja. Penyelesaian-penyelesaian ini mesti menyokong keupayaan dan kemampuan orang tempatan untuk setiap negara. Kami berharap agensi-agensi kerajaan Malaysia menetapkan dasar yang jelas untuk mendorong anjakan paradigma kelestarian kerana kami melihat dasar-dasar PBB yang bertentangan berdasarkan penyelesaian ekstrem akan menyebabkan lebih banyak ancaman kepada alam sekitar kita dan meninggalkan masalah yang lebih besar kepada generasi akan datang. Oleh itu, adalah tanggungjawab kita untuk memastikan kita tidak tertipu dengan keputusan yang dilobi dan buta hati.




Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies