English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

PELANJUTAN PERJANJIAN KONSESI IWK ADALAH TIDAK SAH

SIARAN MEDIA
Tarikh: 09 SEPTEMBER 2021 (KHAMIS)

PELANJUTAN PERJANJIAN KONSESI IWK ADALAH TIDAK SAH

Perjanjian konsesi Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) adalah dijadualkan untuk tamat pada 31 Mac 2022. Malangnya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menandatangani perjanjian dengan IWK pada 12 Ogos 2021 untuk melanjutkan perjanjian konsesi bagi tambahan 12 tahun. Selepas pengumuman ini, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah mengkaji dokumen-dokumen sedia ada dan kronologi yang membawa kepada kita Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN).  

Sebelum ini, IWK telah membuat banyak percubaan untuk melanjutkan perjanjian konsesi dan elak distruktur semula di bawah PSIPAN. Maka, pengumuman ini tidaklah mengejutkan. Malangnya, KASA tidak mempunyai kuasa untuk melanjutkan perjanjian konsesi IWK.  KASA hanya mempunyai kuasa untuk menamatkan perjanjian konsesi yang tersenarai dalam Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (WSIA) dan menstruktur semula penjanjian-perjanjian ini mengikut PSIPAN melalui model WSIA. PSIPAN merupakan dasar yang melahirkan WSIA, Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan setiap enakmen negeri yang terlibat untuk memberikan kuasa eksekutif ke atas perawatan dan bekalan air kepada Kerajaan Persekutuan serta memecahkan perkhidmatan pembentungan (IWK) dan gabungkannya dengan syarikat-syarikat air di peringkat negeri. Perubahan ini tidak melibatkan Sabah dan Sarawak.

Pada awal Disember 2020, berlaku satu lagi percubaan penswastaan ke atas IWK dengan pengumuman oleh Ranhill Utilities Bhd (RUB) kepada Bursa dengan dakwaan bahawa Menteri Kewangan Diperbadankan ingin melupuskan saham IWK kepada RUB. Dakwaan capap sebegini telah dinafikan oleh Kementerian Kewangan (MOF). Malangnya, tiada siasatan dilakukan ke atas dakwaan oleh RUB (yang telah ditarik balik pengumuman kemudian) dan sama ada terdapat sebarang penglibatan daripada MOF dan/atau IWK.

AWER menolak sekeras-kerasnya sebarang langkah yang memesong daripada landasan PSIPAN. Kami menggesa YAB Perdana Menteri dan barisan kabinet untuk menghentikan langkah pelanjutan perjanjian konsesi IWK yang terbukti salah dan mengikuti model penstrukturan semula yang asal sebagaimana yang dipersetujui sebelum pindaan perlembagaan persekutuan pada tahun 2006.

Penswastaan adalah satu kegagalan
Penswastaan industri perkhidmatan air (perawatan air, bekalan air dan perkhidmatan pembentungan) adalah kegagalan yang terbukti dan IWK adalah salah satu contoh terunggul dalam kegagalan sebegini. Agak mengejutkan apabila KASA membuat dakwaan bahawa IWK berjaya dengan cemerlang dalam 30 tahun yang lalu tanpa mengemukakan sebarang perbandingan kukuh dan relatif. Di bawah model WSIA, perjanjian konsesi akan dihentikan dan kerajaan negeri akan membentuk syarikat untuk menguruskan perawatan dan bekalan air untuk meningkatkan ketelusan dan kecekapan. IWK sepatutnya telah dipecahkan kepada entiti berasaskan negeri dan bergabung dengan syarikat air di peringkat negeri menjelang tahun 2010. Inilah model yang dikemukakan kepada kerajaan-kerajaan negeri dan Majlis Raja-Raja yang telah dipersetujui sebelum pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan enakmen negeri masing-masing.  Langkah KASA untuk memesong daripada proses pentrukturan semula ini akan menyebabkan kerajaan-kerajaan negeri mempersoalkan kesahan (legitimacy) langkah tersebut dan mungkin berjuang untuk membatalkan pindaan Perlembagaan Persekutuan kerana Kerajaan Persekutuan gagal mengikuti rancangan penstrukturan semula yang sebenar. Penggabungan komponen perawatan air, bekalan air dan pembentungan dilihat sebagai model terbaik untuk memastikan kelestarian ekonomi, sosial dan alam sekitar setelah membandingkan banyak model di seluruh dunia. Apakah objektif KASA untuk membelakangkan persetujuan yang dibuat kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan-kerajaan negeri berkaitan dengan PSIPAN?

Apa yang patut dibuat kepada IWK?
Kelewatan penstrukturan semula IWK juga disebabkan oleh kakitangan IWK yang melobi untuk memesongkan rancangan penstrukturan semula yang sebenar. Pegawai-pegawai ini hanya mengutamakan kepentingan mereka sendiri yang mengatasikan kepentingan negara dengan melewatkan proses ini selama bertahun-tahun. AWER telah mencadangkan rancangan penstrukturan semula IWK kepada MOF dalam proses perundingan belanjawan 2022 dan perundingan-perundingan sebelumnya. Rancangan ini akan memecah operasi IWK menjadi entiti berasaskan negeri dan digabungkan dengan syarikat air negeri masing-masing dalam 3 fasa menjelang tahun 2025.

Fasa 1: Selangor (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Johor, Melaka, Labuan dan Pulau Pinang akan siap menjelang Jun 2022.
Fasa 2: Kedah, Perlis, Perak dan Negeri Sembilan akan siap pada akhir 2023
Fasa 3: Kelantan, Terengganu dan Pahang akan siap pada akhir 2025

Selepas pelaksanaan penggabungan ini, syarikat-syarikat air boleh mengoptimumkan air terawat, efluen terawat, sisa kepada pendapatan dan integrasi perniagaan di samping mengawal pencemaran kepada alam sekitar dan mengurangkan kos perawatan air yang akan membantu mencapai tarif yang berpatutan dan industri perkhidmatan air yang berdikari. Maka, adakah ia adil kepada negara apabila sekumpulan kecil individu dalam pengurusan atasan IWK dan rakan konspirator mereka untuk manafikan kita daripada memperoleh kelestarian sosial, ekonomi dan alam sekitar dengan pelaksanaan model WSIA?

AWER menyeru YAB Perdana Menteri dan barisan kabinet untuk menghentikan pemesongan ini daripada berlaku. Tindakan pemecatan serta merta ke atas pengurusan atasan KASA dan IWK juga patut dilakukan untuk mengelak Kerajaan Persekutuan dilihat seperti membelakangkan persetujuan dengan kerajaan-kerajaan negeri. Kita perlu melaksanakan PSIPAN untuk memastikan jaminan air dicapai. Sebarang pemesongan hanya akan mengancam jaminan bekalan air di Malaysia dan akan menelan belanja lebih tinggi pada masa hadapan untuk mengatasi masalah-masalah yang akan timbul.

PIARAPAKARAN S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies