English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

WSIA 2006 Menjamin Bekalan Air yang Bersih dan Berterusan untuk rakyat Kelantan

 

SIARAN MEDIA

TARIKH: 23 OGOS 2011 (SELASA)

WSIA 2006 MENJAMIN BEKALAN AIR YANG BERSIH DAN BERTERUSAN UNTUK RAKYAT KELANTAN

 

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menerima aduan-aduan mengenai perkhidmatan bekalan air yang tidak memuaskan di Kelantan dan kami telah melaksanakan penyiasatan lapangan untuk mengetahui keadaan sebenar perkhidmatan bekalan air di negeri tersebut. Maklumbalas yang telah diterima adalah dari kawasan Kuala Krai, Temangan, Kota Bharu, Machang, Pasir Puteh, Jeli, Bachok, dan Tanah Merah.

 

Antara kes-kes yang diutarakan adalah:

  1. Tiada sambungan bekalan air
  2.  Sambungan bermeter wujud tetapi tiada bekalan air
  3.  Gangguan bekalan (tidak terjadual)
  4.  Bekalan air yang ‘kotor’ / air berwarna / air keruh
  5.  Bekalan air berbau dan banyak lagi.

 

Semasa sesi maklumbalas, individu-individu ini telah menegaskan bahawa mereka tiada masalah membayar bil air asalkan mendapat bekalan air yang bersih. AWER juga telah mengumpulkan maklumat untuk menganggar kos pembinaan sistem bekalan air yang ringkas yang dilakukan oleh rakyat Kelantan untuk memenuhi keperluan asas mereka masing-masing. Kebanyakan sistem adalah berdasarkan air bawah tanah. Beberapa anggaran kos adalah seperti berikut:

 

(i)                TELAGA TUIB (tubewell) – paip tiub yang ditempatkan di bawah tanah secara menegak melalui proses ‘boring’

Pelaburan awal bagi satu telaga tuib dengan kedalaman 100 kaki adalah hampir RM 1400 bagi kedua-dua proses pengerudian (boring) dan paip tiub. Kos mengerudi 1 kaki adalah RM 10 dan kos paip tiub adalah dikira berasingan.

(ii)             TELAGA – kaedah penggunaan air bawah tanah yang biasa

Bagi sistem ini, kos adalah dikira mengikut silinder konkrit pratuang atau lebih dikenali kerek di Kelantan. Kos buruh untuk menempatkan setiap kerek adalah RM 30 dan kos setiap kerek adalah di antara RM 25 hingga RM 30. Jika 10 kerek ditempatkan untuk membina telaga, kos keseluruhan adalah sekitar RM 600.

(iii)           PAM AIR– untuk ekstrak air daripada telaga

Kos pam air elektrik (dikenali sebagai Enjin di Kelantan) adalah di antara RM 300 hingga RM 500 dan secara kebiasaannya, 2 hingga 3 pam air digunakan untuk mengekstrak air dari telaga. Kos elektrik untuk menggunakan pam-pam ini adalah dianggarkan di antara RM 10 hingga RM 20 sebulan berdasarkan maklumbalas yang diterima.

 

Setelah mereka menyiapkan pembinaan telaga, jika telaga ini tidak mempunyai sumber air atau sumber air terlalu kotor, keseluruhan pelaburan ini terbazir sama sekali dan mereka terpaksa melabur semula. Bagi mereka yang tiada alternatif lain, penapis air yang mahal adalah salah satu pilihan. Kos sebuah penapis air boleh menjangkau ke RM 2000. Kos penyelenggaraan penapis ini adalah tinggi disebabkan kualiti bekalan air yang tidak memuaskan.

 

Berdasarkan tarif air semasa di Kelantan, sebuah keluarga dengan 4 ahli mempunyai kos air RM 8.00 sebulan jika menggunakan air sebanyak 20 meter padu (m3). Jika penggunaan air adalah lebih tinggi, katakan 30 meter padu (m3) sebulan, jumlah kos hanya RM 15.50. Kos ini adalah jauh lebih rendah berbanding perbelanjaan-perbelanjaan lain yang perlu dibebani oleh rakyat Kelantan untuk membina kemudahan bekalan air sendiri.

 

Bagi kawasan yang berdekatan dengan kawasan tanah tinggi, penggunaan air bukit (mata air) adalah satu kebiasaan.  Di Kuala Krai, terdapat maklumbalas bahawa risiko penyakit Leptospirosis dari sumber air ini adalah tinggi. Penyakit berjangkit akut ini juga dikenali sebagai Penyakit Kencing Tikus dan boleh menyebabkan kematian jika tidak dikesan dan dirawat dengan awal. Walau bagaimanapun, penduduk-penduduk ini mengambil risiko tinggi dengan nyawa mereka semata-mata untuk mendapatkan air!

 

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2008, kualiti bekalan air minuman di Kelantan diklasifikasikan sebagai tidak memuaskan bersama-sama Pahang, Perlis dan Sabah. Tambahan pula, maklumbalas yang diterima oleh AWER membuktikan rakyat Kelantan tidak berpuas hati dengan kualiti air yang dibekalkan. Ini adalah kerana bekalan air berwarna dan berbau serta kadang-kadang ketiadaan bekalan air.

  

Berdasarkan Malaysia Water Industry Guide 2011, purata populasi yang dibekalkan dengan bekalan air di Sabah, Sarawak dan Kelantan adalah 79.0%, 93.3% dan 57.0% masing-masing. Ini menunjukkan bahawa negeri Kelantan mempunyai liputan bekalan air yang paling teruk di Malaysia. Tetapi, bagi premis yang mempunyai sambungan paip bermeter, kewujudan bekalan air berterusan adalah satu isu yang sentiasa menghantui mereka.

 

Pada bulan April tahun ini, pihak AWER telah menghantar satu salinan laporan “Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara – Hakikatnya” kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan dan ADUN-ADUN dari negeri-negeri lain.  AWER menyeru kerajaan negeri Kelantan untuk bermigrasi ke rejim Akta Industri Perkhidmatan Air (Water Services Industry Act 2006 - WSIA) dengan kadar segera. Model kewangan dan penguatkuasaan melalui WSIA akan meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air kepada rakyat Kelantan. Pihak kami juga mengambil tahu isu ketiadaan bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan sebelum ini untuk pembangunan infrastruktur bekalan air. Tetapi, rejim WSIA telahpun berfungsi dan terdapat sumber kewangan yang mencukupi untuk membangunkan  industri perkhidmatan bekalan air di Kelantan. Kami berharap pihak kerajaan negeri akan bermigrasi ke rejim WSIA secepat mungkin untuk mempertingkatkan kualiti hidup rakyat Kelantan.

 

Tambahan pula, negeri-negeri lain yang masih belum bermigrasi ke rejim WSIA adalah Kedah, Perak, Selangor, Pahang, Terengganu dan Labuan. AWER juga menyeru kerajaan-kerajaan negeri Sabah dan Sarawak turut serta bermigrasi ke rejim WSIA untuk melindungi sektor perkhidmatan bekalan air dengan menempatkan kepentingan rakyat di tangga teratas.  Laporan penuh mengenai kebaikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air boleh dimuat turun dari laman web kami di www.awer.org.my.

 

PIARAPAKARAN  S., Presiden, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (1 Posted)

  1. Kamal Daniru


    2012-01-08
    Arrow Terima kasih di atas pemberian air bersih yang merupakan keperluan penting dalam hidup ini.

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies