English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

BEDAH-SIASAT SURUHANJAYA TENAGA DAN LOJI-LOJI JANAKUASA ARANG BATU YANG KOTOR - SIAPA YANG BAYAR UNTUK KETIDAKCEKAPAN MEREKA?

SIARAN MEDIA - 25 SEPTEMBER 2014 (KHAMIS)

BEDAH-SIASAT SURUHANJAYA TENAGA DAN LOJI-LOJI JANAKUASA ARANG BATU YANG KOTOR - SIAPA YANG BAYAR UNTUK KETIDAKCEKAPAN MEREKA?

Kebelakangan ini, sektor penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia telah dilanda pelbagai adegan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di mana ia akan menyebabkan lebih banyak masalah dan menyalurkan kos tambahan untuk ditanggung oleh kedua-dua pengguna domestik dan perniagaan. Membuat ikrar untuk bidaan kompetitif dan akhirnya membuat pusingan 'U' akan menghakis keyakinan pelabur dan rakyat dengan serius. Perbuatan yang paling memalukan dalam peristiwa-peristiwa ini adalah orang-orang yang memegang jawatan di peringkat kementerian telah tampil ke hadapan dan memberikan alasan yang tidak masuk akal untuk menjustifikasikan mengapa mereka tidak menunaikan janji mereka. Tetapi, ketidakcekapan mereka tetap akan bocor tidak kira bagaimana ia dilindungi.

Kini, mari kita bedah-siasat sektor penjanaan arang batu yang kotor ini.

Pelan untuk Menduplikasi TNB Fuel Services Sdn Bhd

Berdasarkan maklumat yang diterima daripada MyPower Corporation pada suku keempat tahun 2013, satu entiti baru sedang dirancang untuk mendapatkan bekalan arang batu. Mengapakah keputusan dibuat tanpa memahami sifat perniagaan lombong arang batu dan masalah-masalah yang dihadapi oleh Malaysia beberapa tahun yang lalu dalam perolehan arang batu? Adakah wujudnya satu lagi entiti yang mampu mendapatkan bekalan arang batu dengan harga yang lebih murah daripada entiti yang sedia ada?

TNB Fuel Services Sdn Bhd (TNBF) telah ditubuhkan pada September 1998 sebagai sebuah anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB). Peranan utamanya adalah untuk bertindak sebagai pembekal arang batu dan bahan api kepada TNB Generation dan Penjana Bebas (IPP) yang mempunyai Perjanjian Pembelian Tenaga dengan TNB. Keputusan itu dibuat oleh kabinet pada waktu itu untuk memastikan hanya kos yang saksama disalurkan dan mencegah aktiviti mengaut keuntungan melalui pembelian terus bahan api oleh loji janakuasa.

Pada masa ini, berdasarkan perancangan kapasiti penjanaan, campuran penjanaan arang batu dijangka berganda menjelang tahun 2020. Ini bermakna, perolehan arang batu juga akan berganda. Dengan peningkatan dalam jumlah arang batu yang perlu diperoleh, TNBF akan mempunyai kuasa tawar-menawar yang lebih baik untuk mengurangkan kos arang batu yang diperoleh dari pasaran antarabangsa. Ini akan mengurangkan kos bahan api daripada campuran arang batu dan penjimatan ini boleh disalurkan kepada tarif elektrik.

Di samping itu, berdasarkan Laporan Peninsular Malaysia Electricity Supply Industry Outlook 2013, terdapat keperluan untuk meningkatkan stok simpanan arang batu dari 45 hari hingga 90 hari untuk meningkatkan jaminan bahan api. Kini, terdapat perbincangan di kalangan industri bahawa kemudahan simpanan dan pengendalian arang batu berpusat sedang dirancang oleh pihak tertentu. Buat masa ini, semua loji janakuasa arang batu perlu mempunyai simpanan arang batu sebanyak 45 hari. Keperluan ini boleh dipinda untuk meningkatkan simpanan arang batu di setiap loji janakuasa arang batu untuk 90 hari. Ia adalah pendekatan yang jauh lebih kos efektif dan berisiko rendah serta berkesan yang diamalkan pada masa ini. Ini juga akan membatalkan keperluan untuk membina kemudahan simpanan dan pengendalian arang batu berpusat yang hanya akan menambahkan kos penjanaan elektrik. Kemudahan berpusat seperti ini juga akan menjadi ancaman keselamatan kerana ia adalah satu kemudahan simpanan tunggal yang boleh melumpuhkan bekalan arang batu untuk semua loji janakuasa sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini. Maka, kemudahan berpusat seperti ini bukannya satu penyelesaian. Mengapakah ada desakan untuk membina kemudahan simpanan dan pengendalian arang batu tunggal? Siapa yang 'meminta' projek seperti ini bagi mengaut keuntungan dan salurkan kos ini kepada tarif elektrik?

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin mengingatkan agensi-agensi yang berkaitan untuk berpegang kepada keputusan (untuk membentuk TNBF) yang telah dibuat oleh kabinet pada tahun 1998. Matlamat utama dalam penjanaan elektrik adalah untuk menjana elektrik dengan kos yang optimum. Pihak AWER juga ingin menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji pelaksanaan di mana TNBF melapor kepada Parlimen kerana ia adalah sebuah entiti yang ditubuhkan untuk melindungi kepentingan negara. Ini akan membolehkan wakil-wakil rakyat untuk memahami isu-isu dan masalah-masalah yang dihadapi dalam mendapatkan bahan api untuk sektor penjanaan serta memantau pencapaian TNBF.

Keteguhan (Robustness) Loji Janakuasa Arang Batu Mesti Disiasat

Sebuah loji janakuasa arang batu perlu direka untuk mengguna semua jenis arang batu dan ia adalah satu keperluan yang ditetapkan dalam Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bagi loji janakuasa arang batu. Keupayaan untuk menggunakan semua jenis arang batu boleh disebut sebagai keteguhan reka bentuk (robustness of design). Jika mana-mana entiti yang menandatangani PPA mereka bentuk boiler untuk memenuhi arang batu jenis tertentu sahaja untuk sebab-sebab tertentu termasuk untuk mengurangkan kos teknologi, ia akan menjejaskan jaminan bekalan elektrik dari loji janakuasa tersebut kerana loji janakuasa tersebut mungkin menghadapi masalah semasa operasi. Tambahan pula, amalan operasi dan penyelenggaraan (O & M) adalah sama penting untuk memastikan output yang stabil bagi tenaga elektrik yang dijana oleh sesebuah loji janakuasa.

Derailment loji-loji janakuasa arang batu pada Mei tahun ini yang telah menyebabkan beberapa negeri tanpa bekalan elektrik bukanlah satu perkara yang mudah. Kekurangan keteguhan reka bentuk dan juga amalan operasi dan penyelenggaraan adalah isu jaminan bekalan elektrik. Ini adalah keadaan yang berbahaya kerana setelah derailment kecil berlaku, ia sudah terlambat untuk membuat langkah-langkah pembetulan segera untuk mencegah gangguan bekalan elektrik. Akhirnya, insiden load shedding seperti yang berlaku pada Mei tahun ini tidak dapat dielakkan.

Kini, persoalannya ialah patutkah pengguna (domestik dan perniagaan) membayar untuk kegagalan loji janakuasa untuk mematuhi PPA yang ditandatangani? Apakah isu-isu 'ghaib' lain sedang diselindung oleh sektor penjanaan elektrik? Derailment ini hanya sebahagian kecil daripada perkara sebenar!

AWER ingin mencadangkan Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan satu panel siasatan teknikal untuk mengkaji semula semua loji janakuasa yang beroperasi dan yang dalam proses pembinaan. Panel ini perlu mengkaji keteguhan reka bentuk, proses-proses O & M dan kecekapan loji janakuasa. Panel ini perlu melaporkan kepada Parlimen hasil siasatan dan laporan tersebut mesti disiarkan untuk pengetahuan umum. Apa-apa isu dan masalah yang diselindung akhirnya akan disalurkan kepada pengguna melalui tarif elektrik. Suruhanjaya Tenaga perlu bersikap telus dan bukan sebaliknya.

Keupayaan Suruhanjaya Tenaga Mengawal Selia Sektor Penjanaan Diragui

Sedangkan derailment menunjukkan kelemahan Suruhanjaya Tenaga dalam mengawal selia sektor penjanaan, kelewatan dalam pembinaan loji janakuasa arang batu 1000 MW (MegaWatt) merupakan satu lagi tamparan hebat kepada kredibiliti mereka (yang telah menghakis cepat) sebagai pengawal selia. Suruhanjaya Tenaga telah memilih untuk melaksanakan pembidaan terhad (restricted bidding) pada tahun 2011 dan anugerahkan projek kedua loji janakuasa arang batu (1000 MW) kepada Malakoff (salah satu daripada dua pembida yang gagal dalam proses pembidaan pertama). Proses pembidaan terhad ini diberikan kepada brown field (lokasi yang telahpun mempunyai loji janakuasa arang batu yang beroperasi). Ini juga bermakna bahawa kedua-dua Suruhanjaya Tenaga dan Malakoff harus mengetahui lokasi dan masalah yang berkaitan dengannya. Sekarang, mengapakah kelewatan ini berlaku dan mengapakah maklumat mengenai masalah asas tapak (foundation) projek tidak sampai kepada pengetahuan pengawal selia untuk tempoh yang cukup lama? Mengapakah pengawal selia tidak memantau perkembangan pembinaan loji janakuasa?

Kini, adakah kita boleh yakin dengan Suruhanjaya Tenaga bahawa agensi ini dapat melaksanakan objektif mereka dengan sewajarnya? Adakah terdapat keperluan untuk merombak modal insan agensi ini bagi memastikan keupayaannya dipertingkatkan untuk memastikan jaminan bekalan elektrik dicapai tanpa 'kegelinciran'? Bagaimana pula dengan pesuruhjaya-pesuruhjaya yang sepatutnya menjadi "otak" suruhanjaya ini untuk mengarahkan tenaga kerjanya ke jalan yang sepatutnya? Adakah mereka sesuai untuk jawatan tersebut?

Satu-satunya realiti pada masa ini adalah segala kos dan perbelanjaan tambahan akibat dari ketidakcekapan di semua peringkat dalam sektor penjanaan elektrik akan "disalurkan" ke tarif elektrik kita. Patutkah pengguna domestik dan perniagaan terus membayar untuk ketidakcekapan seperti ini?

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies