SIARAN MEDIA - 12 OKTOBER 2014 (AHAD)
KOMEN MENGENAI BELANJAWAN 2015
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah memperincikan komen-komen mengenai Belanjawan 2015.
1. Sektor Air
Ia adalah berita baik di mana National Water Blueprint akan dibangunkan dengan meliputi pelbagai aspek. AWER memuji langkah ini kerana banyak daripada cadangan kami telah dirangkumi ke dalam pembangunan blueprint ini termasuk sektor industri dan pertanian yang telah lama diabaikan. Kami menggesa penglibatan pihak-pihak berkepentingan yang menyeluruh dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan untuk memastikan blueprint ini memberikan penyelesaian pengurusan yang holistik kepada sumber air kita yang berharga. Kami juga ingin mengingatkan mengenai risiko eksplorasi air bawah tanah yang dicadangkan dalam blueprint ini. Banyak projek-projek yang dikenal pasti untuk penggunaan air bawah tanah setakat ini berada di dalam lembangan yang sama di mana air permukaan digunakan. Ini bermakna pengekstrakan air bawah tanah akan mengurangkan kandungan air permukaan. Tambahan pula, pengekstrakan air bawah tanah berskala besar dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar yang tidak dapat dipulihkan (irreversible). Pada musim kering yang berpanjangan, keadaan kebakaran tanah gambut juga akan menjadi lebih teruk jika aras air bawah tanah berkurangan disebabkan projek pengekstrakan air bawah tanah. Oleh itu, Penyelidikan dan Pembangunan yang terperinci serta Penilaian Impak Alam Sekitar Terperinci (DEIA) mesti dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat. Ia adalah ternyata kita mempunyai air permukaan yang mencukupi tetapi terdapat kekurangan usaha dalam menguruskannya. Projek pengekstrakan air bawah tanah adalah tidak diperlukan.
Kami juga memuji langkah untuk mengutamakan Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) dalam belanjawan. Sejak 2011, ia merupakan satu usaha yang mencabar bagi AWER untuk menerangkan kepentingan pengurangan NRW kepada pihak-pihak berkepentingan termasuk agensi-agensi kerajaan. Krisis air baru-baru ini di Lembah Klang telah menunjukkan bukti yang kukuh untuk mengekalkan tahap NRW yang rendah dan memastikan air terawat ini disalurkan untuk penggunaan. AWER akan terus memantau tahap NRW dan prestasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negera (SPAN) dan industri perkhidmatan air (rawatan dan bekalan). AWER telah menetapkan tahap 20% NRW (purata negara) pada tahun 2020 sebagai Indeks Prestasi Utama bagi SPAN dan industri perkhidmatan air.
Bekalan air luar bandar adalah inisiatif yang baik yang dilaksanakan setiap tahun. Ketua Audit Negara telah mengutarakan isu-isu mengenai projek yang tidak memuaskan dalam siri laporan audit yang diterbitkan. Oleh itu, pemantauan yang ketat dalam pelaksanaan projek bekalan air luar bandar amat didperlukan. Pemantauan sebegini perlu dilaksanakan untuk projek-projek bekalan elektrik luar bandar juga.
2. Sektor Pengangkutan
Penambahbaikan pengangkutan awam dari segi meningkatkan perkhidmatan berdasarkan rel adalah penting. Penambahbaikan perkhidmatan bas di lokasi terpilih juga diperhatikan dalam belanjawan baru-baru ini. Kami berharap lebih banyak tumpuan diberikan kepada pengangkutan awam dalam belanjawan-belanjawan yang akan datang untuk memastikan kebergantungan kepada bahan api dari sektor pengangkutan dapat dikurangkan dengan ketara. AWER juga ingin mencadangkan insentif atau pengecualian cukai berasaskan prestasi diberikan kepada pengusaha-pengusaha bas yang melanjutkan perkhidmatan mereka untuk laluan yang tidak menguntungkan bagi memastikan jangkauan pengangkutan awam dimaksimumkan dari Arau, Perlis ke Semporna, Sabah dan sehingga penghujung di Ulu Lachau, Sarawak.
Lebuhraya Sg Besi - Ulu Klang, Lebuhraya Pantai Barat (Taiping - Banting), Lebuhraya Damansara - Shah Alam, Lebuhraya Lingkaran Luar Kuala Lumpur, MRT 2 (Selayang - Putrajaya) dan LRT3 (Bandar Utama - Shah Alam - Klang) adalah projek yang akan memerlukan Penilaian Impak Alam Sekitar Terperinci (DEIA). AWER menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) hanya memproses DEIA setelah Penilaian Impak Trafik (TIA) yang menyeluruh telah dikemukan. Ketiadaan TIA mungkin tidak dapat menjustifikasikan pengurangan aliran trafik kerana banyak projek-projek lebuhraya dan projek-projek rel sebelum ini telah gagal untuk mengurangkan aliran trafik serta pelepasan karbon. Memandangkan Kerajaan Persekutuan telah berjanji untuk meneruskan rasionalisasi subsidi, DEIA perlu mengambil kira pengurangan sebenar aliran trafik kerana pengguna-pengguna tidak patut dibebani dengan pembaziran bahan api yang disebabkan oleh kesesakan trafik yang semakin berleluasa. Penalti dan pembatalan perjanjian (konsesi) juga perlu diterokai jika infrastruktur seperti ini gagal untuk mencapai sasaran-sasaran yang ditetapkan. AWER juga ingin mengingatkan kepada Kerajaan Persekutuan mengenai risiko projek Lebuhraya Lingkaran Luar Kuala Lumpur kerana projek ini mengancam 4 hutan simpanan. Apabila hutan diganggu, ia akan memberi kesan-kesan yang tidak dapat dipulihkan termasuk penurunan dalam fungsi hutan-hutan ini sebagai kawasan tadahan air.
3. Sustainable Mobility Fund
AWER telah mengemukakan amaran kami mengenai dakwaan "kelestarian" (sustainability) oleh kenderaan elektrik kepada Malaysian Green Technology Corporation dalam siri perbincangan langsung. Kami telah berkongsi hasil kajian kami dan kajian-kajian yang dijalankan di peringkat antarabangsa dan yang paling penting, dengan memperkenalkan kenderaan elektrik, intensiti karbon dari sektor pengangkutan pasti akan meningkat disebabkan oleh campuran bahan api penjanaan elektrik Malaysia. Dengan hanya memberi tumpuan kepada parameter Potensi Pemanasan Global (pelepasan karbon), ia tidak dapat dinafikan bahawa berlakunya kesan alam sekitar yang tinggi dalam pengeluaran bateri dan juga semasa fasa penggunaan (penggunaan elektrik) kenderaan elektrik. Jika lain-lain parameter prestasi alam sekitar seperti penipisan ozon, karsinogen, Keekotoksikan akuatik, Terra Keekotoksikan dan pengasidan akuatik diguna pakai, kenderaan elektrik akan mempunyai kesan alam sekitar yang lebih tinggi berbanding dengan kenderaan konvensional. Maka, AWER menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula rancangan untuk memperkenalkan kenderaan elektrik dan kajian terperinci mesti dilakukan sebelum memulakan program sebegini.
4. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)
Mengenakan GST kepada sektor elektrik bukan satu langkah yang bijak kerana terdapat kos ketidakcekapan yang tinggi dalam tarif elektrik. Kos ketidakcekapan ini disebabkan oleh pelanjutan operasi loji-loji janakuasa lama yang tidak cekap dan kegagalan yang melampau oleh Suruhanjaya Tenaga (gross failure of Energy Commission) untuk menjalankan proses pembidaan kompetitif. Adakah ia adil untuk mengenakan cukai terhadap pengguna apabila Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Suruhanjaya Tenaga gagal dengan teruk untuk memastikan tarif elektrik yang saksama? Mengenakan GST untuk pengguna domestik yang menggunakan elektrik lebih daripada 300kWh tidak dapat mengurangkan kesan kos GST kepada orang ramai. Berdasarkan pengumuman kewangan Tenaga Nasional Berhad, jumlah jualan elektrik bagi Semenanjung Malaysia pada tahun 2013 adalah RM 33.857 Billion. Dengan menggunakan data ini sebagai asas pengiraan dan menggunakan kenaikan tarif elektrik serta peningkatan permintaan yang prorata, AWER mengunjurkan anggaran kutipan GST dari sektor elektrik di Semenanjung Malaysia sahaja pada tahun 2015 adalah RM 1.654 Bilion dan pada 2016 dianggarkan RM 2.498 Billion. Sektor komersil dan industri pasti akan menyalurkan kos tambahan ini kepada pengguna melalui harga barangan dan perkhidmatan.
Sebagai contoh, sektor perkhidmatan air telahpun menghadapi kesukaran untuk mengunjurkan kos berkaitan penggunaan elektrik mereka. Ini disebabkan oleh kegagalan KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga untuk melaksanakan penetapan tarif yang telus bagi sektor elektrik. Komponen kos tenaga dalam perbelanjaan operasi sektor perkhidmatan air boleh mencapai tahap setinggi 55%. Kini, kos tenaga dalam perbelanjaan operasi sektor perkhidmatan air pasti akan meningkat disebabkan 6% GST yang akan dikenakan kepada bil elektrik mereka. Oleh itu, adakah sektor perkhidmatan air dapat mencapai pulangan kos sepenuhnya dengan kos tambahan sebegini yang dikenakan dalam bil elektrik mereka? Air dan Tenaga merupakan pemacu pertumbuhan (growth enablers) bagi Malaysia. Oleh itu, AWER menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula pelaksanaan GST ke atas penggunaan tenaga elektrik.
5. Pembangunan Tenaga Nuklear "Kabur" ("Not Clear" Nuclear Energy Development)
Pada tahun 2013, KeTTHA telah diperuntukkan belanjawan untuk program kesedaran tenaga nuklear. Apakah hasil program ini? Adakah program kesedaran ini dijalankan untuk pihak berkepentingan atau kementerian itu sendiri?
Di samping itu, Malaysia Nuclear Power Corporation telah wujud sejak 2011. Di bawah program tenaga nuklear, projek bernilai RM 76.6 Juta telah diperuntukan sejak 2011, Dalam belanjawan 2015, bahagian terakhir peruntukan berjumlah RM 14.7 juta telah diperuntukkan. Apa yang telah dibangunkan? Di manakah laporan atau justifikasi terperinci? Apa penemuan terperinci yang telah diterbitkan? Perkara di bawah adalah antara soalan-soalan teras yang diajukan oleh AWER kepada pihak berkuasa yang berkenaan sebelum mereka memulakan pembangunan tenaga nuklear di Malaysia:
i. Dasar campuran tenaga (energy mix) jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang mesti digariskan dengan jelas dan diumumkan untuk pengetahuan umum. KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga tidak menunjukkan keupayaan untuk menguruskan perancangan penjanaan elektrik setakat ini. Adakah mereka bersedia untuk menguruskan nuklear? Banyak negara maju mengunjurkan pertumbuhan permintaan sejauh 50 tahun, tetapi di Malaysia, kita sudah mempunyai masalah sebelum tahun 2020.
ii. Lokasi loji tenaga nuklear mesti didedahkan dari awal perancangan. Penerimaan orang ramai adalah satu kemestian dalam membina sebuah loji tenaga nuklear. Oleh kerana terdapat laporan bahawa beberapa lokasi telahpun dikenal pasti, mengapa terdapat kelewatan dalam mendedahkan lokasi-lokasi ini?
iii. Kebocoran radioaktif, tindak balas kecemasan dan prosedur laporan mesti dijelaskan kepada orang ramai. Kebocoran dan insiden nuklear tidak dapat dielakkan. Insiden Fukushima Daiichi telah benar-benar menunjukkan perkara ini adalah di luar kawalan manusia. Banyak kejadian lain juga dilaporkan secara berterusan. Adakah pihak berkuasa kita dapat mengendalikan senario seperti ini? Di manakah "pakar tenaga nuklear" kita apabila insiden Fukushima Daiichi berlaku?
iv. Kos penutupan operasi (decommissioning) loji tenaga nuklear sentiasa menjadi kebimbangan bagi kebanyakan negara yang menjana tenaga nuklear. Dengan undang-undang dan peraturan yang lebih ketat dalam pelupusan sisa nuklear dan bahan berkaitan, peningkatan kos penutupan operasi loji tenaga nuklear akan berlaku. Adakah generasi masa depan terpaksa menbayar kos ini?
v. Modal insan yang berkeupayaan untuk menguruskan kemudahan tenaga nuklear adalah penting. Banyak laporan juga telah menunjukkan bahawa kebocoran atau insiden nuklear adalah sangat berkait dengan kesilapan manusia. Kegagalan untuk mempunyai kepakaran teknikal yang bersesuaian bermakna kita mengundang masalah dan mewujudkan bencana nuklear untuk kita sendiri. Graduan sains nuklear semata-mata tidak akan cukup untuk menguruskan loji tenaga nuklear. Apakah pelan pembangunan modal insan di Malaysia?
vi. Pelupusan sisa nuklear (spent fuel) adalah "ibu" kepada semua isu-isu yang berkaitan dengan nuklear. Kos dan keselamatan kemudahan penyimpanan sisa adalah kebimbangan alam sekitar yang utama. Apakah kos yang diunjurkan dan kesannya kepada tarif? Bagaimana pula dengan kebocoran daripada kemudahan simpanan disebabkan oleh kejadian semulajadi? Adakah kerajaan megambil kira perkara seperti ini dalam perancangan mereka?
vii. Tarif elektrik yang murah dari tenaga nuklear, adakah ia satu realiti? Adakah ia benar-benar lebih murah untuk menguruskan loji tenaga nuklear dalam jangka masa panjang? Tambahan pula, Malaysia bukanlah pemilik teknologi. Mengapakah semua pihak berdiam diri mengenai aspek ini?
Kami menggesa agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam perancangan pembangunan tenaga nuklear bertindak lebih telus mengenai hasil penemuan dan menjalankan pebincangan dengan pihak-pihak berkepentingan secara menyeluruh.
Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)