English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

BEDAH SIASAT ISU-ISU ALAM SEKITAR DALAM RANCANGAN MALAYSIA KE-12

SIARAN MEDIA
Tarikh: 11 OKTOBER 2021 (ISNIN)

BEDAH SIASAT ISU-ISU ALAM SEKITAR DALAM RANCANGAN MALAYSIA KE-12

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menyediakan komen-komen bagi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). Komen-komen ini adalah berdasarkan kepada laporan-laporan dan cadangan-cadangan yang diterbitkan oleh AWER serta maklumat-maklumat yang didapati di dalam RMK12, Rancangan Malaysia ke-11, Rancangan Malaysia ke-10 dan Rancangan Malaysia ke-9.

1. Bandar Lestari & Pintar (Sustainable & Smart Cities)
Bandar pintar akan dilengkapi dengan pelbagai alat elektronik yang menghasilkan sisa elektronik (e-waste) di mana sisa ini mesti dimasukkan dalam perancangan pengurusan sisa. Ia juga adalah penting bagi kerajaan untuk memastikan bahan binaan yang cekap tenaga dan mesra alam digunakan di bandar lestari dan pintar dalam usaha mengoptimumkan hasil yang positif. Dalam perancangan bandar-bandar lestari, perancangan mesti merangkumi kesan "lantunan" (rebound) yang mungkin menyebabkan kriteria kelestarian dan hasil asal yang ditetapkan tidak tercapai. Penerapan pengasingan sisa pada sumber (separation at source), 3R (Pengurangan, Guna Semula dan Kitar Semula) serta pendekatan sisa kepada kekayaan (waste to wealth) mesti dilakukan secara koheren dan bertentangan dengan beberapa perjanjian konsesi yang sedia ada serta model pengurusan sisa yang kuno supaya bandar lestari berjaya dicapai.

2. Kepelbagaian Biologi Bandar (Urban Biodiversity)
Kerajaan mesti melaksanakan cadangan AWER untuk mewujudkan kawasan tadahan pertengahan (mid-stream) dan hiliran (downstream) yang akan melengkapkan rancangan untuk mewujudkan kepelbagaian biologi bandar sambil mengoptimumkan kos.

3. Memulihara dan Memelihara Modal Semulajadi (Conserving and Preserving Natural Capital)
Modal semulajadi merujuk alam sekitar kita sebagai sumber. Ia adalah langkah yang patut dipuji apabila kerajaan memberi komitmen untuk memulihara dan memelihara modal semulajadi. Namun, bagaimana penukaran modal semulajadi kepada sumber kewangan melalui aktiviti perlombongan, penebangan hutan, pembalakan, perladangan monokrop dan lain-lain menyumbang kepada Agenda Pembangunan Lestari 2030 untuk memulihara dan memelihara alam sekitar? Kenyataan yang bercanggah dalam RMK12 adalah tidak selari dengan komitmen kerajaan yang sebenar apabila merujuk kepada isu alam sekitar. Apakah analisis, sasaran atau had terperinci yang ditetapkan agar rakyat jelas mengenai berapa banyak sumber alam sekitar yang pasti akan dimusnahkan dalam beberapa dekad akan datang?
4. Penguatkuasaan Kendiri untuk Industri adalah Satu Kepalsuan (Industry Self-Regulation is a Fallacy)
Pada akhir tahun 2018, ketika kerajaan ingin melaksanakan penguatkuasaan kendiri, AWER membantah tindakan yang tidak masuk akal ini. Perkara ini juga telah disampaikan kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar pada akhir tahun 2018. Setelah beberapa insiden pencemaran termasuk Pencemaran Pasir Gudang terburuk sebanyak 2 kali dan tindak balas yang memalukan daripada pengawal selia, ini adalah contoh yang jelas bahawa perniagaan didorong oleh keuntungan dan penguatkuasaan kendiri tidak akan melindungi alam sekitar. Peraturan yang jelas dan penguatkuasaan yang lebih baik mesti dibangunkan untuk melindungi modal alam sekitar yang semakin berkurangan dan penguatkuasaan kendiri mesti ditolak.

5. Mengurangkan Kebergantungan terhadap Sumber Asli
Komitmen kerajaan untuk menjana sumber kewangan daripada modal semulajadi dan kenyataan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber semulajadi tidak menyimpulkan komitmen untuk melindungi modal semulajadi. Komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% litupan hutan telah diulang dari masa ke semasa. Kerajaan mesti menerbitkan statistik tahunan yang diaudit untuk memastikan kenyataan litupan hutan 50% mempunyai data sebenar untuk menyokongnya.

6. Mengurangkan Insiden Pencemaran
Ini mesti menjadi Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ketat bagi Ketua Pengarah dan Pengarah Negeri Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Menteri dan Ketua Setiausaha kementerian yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Sekiranya terdapat peningkatan insiden pencemaran berdasarkan perbandingan Tahun ke Tahun, individu-individu ini mesti meletak jawatan dengan segera. Begitu juga, mekanisme pelaporan dan pemantauan juga mesti ditambahbaikan untuk memastikan ketelusan dan ketepatan dalam melaporkan insiden pencemaran.

7. Negara Rendah Karbon dan Tapak Pelupusan Bertoksik Tinggi
Semuanya bermula ketika kerajaan mengumumkan untuk mengurangkan Intensiti Pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) satu dekad yang lalu. Pengukuran tidak seimbang (pengurangan pelepasan karbon) akan memberikan kesan serius kepada alam sekitar kerana hanya ada 29 tahun lagi untuk mencapai Sifar Bersih (Net Zero) menjelang tahun 2050. Banyak penyelesaian dan teknologi "mesra iklim" yang baru sangat bergantung pada aktiviti seperti perlombongan dan menggunakan bahan kimia berbahaya (sisa berjadual) sebagai sebahagian daripada produk "mesra iklim". Oleh itu, Malaysia mesti berhati-hati agar tidak berhijrah sepenuhnya ke dunia yang toksik. AWER tertanya-tanya mengapa pemimpin tempatan dan dunia tidak melihat isu utama ini yang sudah menjadi masalah yang semakin meruncing di seluruh dunia. Langah tergesa-gesa menggunakan kayu ukur “pengurangan pelepasan karbon” akan melumpuhkan tujuan kelestarian yang diwar-warkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sendiri. Kita sebenarnya sedang menghadapi pelbagai cabaran persekitaran dan perubahan iklim adalah salah satu daripadanya.

8. Tindakan Iklim Melalui Cukai Karbon dan Skim Perdagangan Pelepasan Gas Rumah Hijau
Bagaimanakah cukai karbon akan menjadikan Malaysia lebih lestari apabila dasar-dasar kita tidak menyasarkan kelestarian dengan tepat? Ketidak padanan antara apa yang ditulis dalam rancangan-rancangan Malaysia dan output pada akhir rancangan selalunya menghancurkan harapan. Cukai karbon hanya akan menjadi pendekatan seperti "dadah" dan mengelakkan ekonomi berskala sebenar dan kecekapan kos tercapai. Ini juga akan menyebabkan kenaikan kos keseluruhan yang tidak perlu dalam tempoh peralihan. Tambahan pula, pendekatan seperti skim perdagangan pelepasan gas rumah hijau mesti ditolak kerana ia serupa dengan pihak ketiga dituduh melakukan pembunuhan sementara pembunuh sebenar masih meneruskan pembunuhan. Ia tidak membawa manfaat teknikal dan alam sekitar untuk negara kita. Manfaat alam sekitar akan dilaporkan di bawah negara atau entiti yang mencemarkan. Ini hanya akan membolehkan mereka yang mengelak untuk melaksanakan peralihan Sifar Bersih untuk terus berniaga seperti biasa.

Kerajaan perlu mempunyai dasar dan instrumen untuk mengalihkan sektor perniagaan kita ke operasi yang lebih lestari. Kerajaan juga harus melindungi perniagaan kita agar produk dari Malaysia tidak menghadapi halangan-halangan perdagangan (trade barriers) ang menggunakan parameter alam sekitar seperti yang berlaku kepada sektor minyak sawit kita. Apa tindakan sebenar yang kita dapat dari agensi kerajaan kecuali khidmat bibir (lip service) dan satu sudu minyak sawit merah setiap hari? Di manakah data untuk membuktikan pengeluaran minyak sawit di Malaysia secara relatifnya lebih lestari berbanding dengan jenis minyak lain untuk membatalkan larangan tersebut? Terdapat banyak keadaan di mana dasar-dasar tidak mendorong industri kita menjadi sektor nilai tambah yang memberikan lebih banyak pendapatan kepada negara.

9. Ekonomi Kitaran (Circular Economy) tanpa Data yang Kukuh
Ekonomi Kitaran hanya dapat dilaksanakan dengan berjaya melalui data, sains dan perancangan yang kukuh. Model penggunaan linear semasa memerlukan penyesuaian kitaran untuk menjadikan perniagaan dan kehidupan seharian kita lebih lestari. Penilaian Kitaran Hayat (Life Cycle Assessment - LCA) adalah kaedah penting untuk mencapai peralihan ini. Melalui sokongan data LCA yang kukuh, kita menggunakan pendekatan langkah demi langkah untuk membangunkan pendekatan "pintu ke pintu" (gate to gate) yang dapat digabungkan untuk membentuk pendekatan "buaian ke kubur" (cradle to grave) yang dapat dianalisis lebih lanjut untuk mencapai pendekatan "buaian ke buaian" (cradle to cradle) yang kini dikenali sebagai Ekonomi Kitaran. Proses-proses mesti dinilai untuk mendapat penyelesaian yang paling efektif dan dengan kos berpatutan dalam proses selari. Akhirnya, kita dapat mencapai Reka Bentuk untuk Alam Sekitar (Design for Environment - DfE), pemasangan dan nyah-pemasangan menggunakan proses yang sama, peningkatan hasil kitar semula dan proses pemulihan.

10. Perluasan Tanggungjawab Pengeluar (Extended Producers Responsibility) dan Pembentukan Peraturan Baru bagi Sisa Elektrik dan Elektronik Isi Rumah
AWER menyambut baik langkah-langkah ini kerana kami telah mencadangkannya kepada kerajaan berulang kali. Berdasarkan kajian kami mengenai menghentikan penggunaan produk tidak cekap tenaga pada tahun 2011, kami juga menemui risiko lonjakan sisa elektrik dan elektronik semasa proses penghentian (phase-out) secara berstruktur. Kami juga mengalu-alukan penggunaan dasar pengambilan balik (take back policy). AWER telah mencadangkan dasar pengambilan balik yang komprehensif dalam laporan kami (yang diberikan kepada semua kementerian dan agensi kerajaan berkaitan) yang juga melihat kepada mekanisme perkongsian kos yang telah dicadangkan berdasarkan proses perundingan kami dengan pelbagai pihak berkepentingan. Pemantauan dan penguatkuasaan adalah kunci utama untuk menjayakan langkah ini dan boleh diguna pakai untuk menguruskan aliran sisa yang lain.

11. Pencegahan Pencemaran
AWER mengalu-alukan komitmen untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling yang diterbit dalam RMK12 kerana ini telah berulang kali disebut sejak sedekad yang lalu. Kami mengharapkan proses pindaan yang holistik dan cepat untuk memastikan penguatkuasaan yang lebih ketat dan pengiraan yang lebih tepat kepada kos pencemaran sebenar. AWER telahpun mengemukakan pindaan dan cadangan yang diperlukan kepada kerajaan. Kami juga mengalu-alukan komitmen kerajaan terhadap seruan kami untuk mengkaji keberkesanan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan menambahkan aktiviti yang ditetapkan (prescribed activity) yang baru. Semak semula ini juga mesti merangkumi proses peralihan wajib untuk industri yang sedia wujud juga. Gesaan kami terhadap kerajaan untuk membangunkan sistem pangkalan data tertutup bagi memantau pergerakan bahan kimia dan bahan berbahaya juga diterima pada RMK12. Kami akan memantau perkembangan komitmen-komitmen ini dengan teliti untuk memastikannya membawa lebih banyak nilai dalam melindungi modal semulajadi, ekonomi dan rakyat kita.

12. Daya Tahan Terhadap Perubahan Iklim
Kami menyambut baik langkah kerajaan untuk mula menerapkan pendekatan berdasarkan bukti untuk mitigasi perubahan iklim. Kesan-kesan ini telah mempengaruhi corak taburan hujan kita dan menyebabkan musim kering yang berpanjangan, banjir kilat, banjir, cuaca buruk terlampau dan tanah runtuh yang memberi kesan kepada ekosistem semulajadi dan cara kita menjalankan aktiviti harian. Ini juga menyebabkan kerosakan infrastruktur dan berpotensi menyebabkan kehilangan nyawa sekaligus mempengaruhi jaminan air dan tenaga di Malaysia. AWER telah mencadangkan berkali-kali mengenai keperluan menilai kadar perubahan corak cuaca kita agar dapat melakukan pemodelan baru mengenai ketersediaan air mentah yang sudahpun menghadapi risiko akibat daripada pengurangan kawasan tadahan air.

13. Memulihara dan Memelihara Ekosistem Alam Semulajadi
Kerajaan harus segera menyandarkan kenyataan "litupan hutan minimum 50%" dengan kesahihan pada kadar segera. Laporan tahunan mesti diterbitkan untuk menunjukkan semua jenis hutan simpan termasuk tetapi tidak terhad kepada kawasan tadahan air, hutan simpan tetap, tanah lembab (wetland), paya dan hutan simpan dengan kegiatan pengekstrakan. Dengan ini, data yang telus dan sahih tentang litupan hutan yang sebenar dapat dipantau berbandingkan dengan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan yang dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan dan negeri serta peningkatan penyah-gazetan sehala.

14. Perlombongan Lestari adalah Penipuan Hijau
Apabila kita melombong mineral atau mengeluarkan hidrokarbon dari permukaan bumi, kita tidak dapat mengembalikan kawasan tersebut ke keadaan asalnya. Tambahan pula, penggunaan "penarafan perlombongan lestari" tidak akan menjadikan suatu proses perlombongan menjadi lestari. Mineral yang dilombong boleh membawa pendapatan jangka pendek dan tidak menjamin keuntungan ekonomi jangka panjang. Siapakah yang akan nyahcemar kawasan-kawasan perlombangan dan berapakah kosnya? Adakah ia hanya akan ditimbus dengan tanah dan dijadikan kawasan pembangunan hartanah seperti apa yang sedang berlaku kepada bekas lombong-lombong timah? Lebih penting lagi, bagaimanakah ini memenuhi syarat sebagai melindungi modal semulajadi?

15. Memperkukuhkan Pengurusan Sumber Air
Pihak berkuasa sumber air negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memainkan peranan penting untuk semak dan imbang tadbir urus sumber air kita . Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) adalah hubungan yang longgar dan kerajaan mesti memastikan peruntukan tidak dibazirkan pada aksi-aksi publisiti. Tindakan afirmatif yang berkaitan dengan penguatkuasaan, pemantauan, pengesanan awal, hukuman yang lebih berat, menyenarai hitam perniagaan yang mencemar dan pengarah masing-masing serta tindakan yang disokong melalui perundangan akan memberikan hasil yang lebih baik dan seragam berbanding dengan IWRM.

16. Loji-loji Perawatan Air Sisa Bersepadu
AWER telah mencadangkan langkah ini untuk sekian lama. Ini adalah langkah penting untuk mengurangkan kos perawatan air sisa dan mematuhi standard pelepasan air sisa yang lebih tinggi. Pemetaan zon industri dan jenis industri adalah suatu kemestian untuk menjadikan usaha ini berjaya bagi zon industri yang sedia ada. Inilah yang harus dilakukan oleh kerajaan untuk memperbaiki pengurusan air sisa dan meningkatkan kualiti air mentah di sungai-sungai kita. Berdasarkan kenyataan dalam RMK12, fokus ini hanya untuk projek baru. Bagi zon perindustrian baru, kita patut membangunkan hubungan "simbiotik" di antara industri ke arah sasaran sifar sisa yang merupakan pendekatan yang lebih komprehensif dan bersesuaian dengan pembangunan baru. Kami menggesa kerajaan persekutuan melaksanakan cadangan kami untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.

17. Beban Pencemaran
Ia adalah penting bagi JAS untuk bergerak ke arah standard pelepasan air sisa berasaskan beban pencemaran yang telah kita gesa sekian lama. Kajian Jumlah Beban Harian Maksimum (Total Maximum Daily Load-TMDL) yang dicadangkan mesti mempunyai hasil yang konkrit untuk meningkatkan standard pelepasan air sisa menjelang tahun 2025. Begitu juga, kajian TMDL lain yang dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan dan institusi-institusi pengajian tinggi lain mesti dikumpulkan terlebih dahulu untuk mengelakkan kajian atau kawasan berulang. Selain daripada itu, kemunculan pencemar-pencemar sumber tetap (point source) yang baru dapat ditangani melalui perundangan yang ditambahbaik juga. Kerajaan mesti juga meningkatkan pemantauan dan rekod pencemaran sumber tidak tetap (non-point source) yang berasal dari kegiatan pembangunan, perlombongan, pertanian dan perladangan memandangkan tiada data komprehensif sebegini pada masa ini.

18. Memperkukuhkan Pihak Berkuasa Tempatan
Ini selari dengan gesaan AWER kerana kebanyakan pihak berkuasa tempatan dilatih mengenai penguatkuasaan yang tidak berkaitan dengan alam sekitar. Penglibatan pihak berkuasa tempatan dalam membantu agensi persekutuan dan negeri akan menjadi kunci untuk melindungi alam sekitar kita dan mencegah kejadian pencemaran. Kami telah mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan mengenai jenis bantuan yang dapat diberikan oleh pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan penguatkuasaan alam sekitar.

19. Amanah Lestari Alam lawan Yayasan Hijau
Pertindihan tugas adalah mimpi ngeri bagi penetapan dasar dan pelaksanaan. Kerajaan harus menggunakan Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (Malaysian Green Technology and Climate Change Centre-MGTC) berbanding dengan mencari kaedah inovatif untuk membazirkan wang pembayar cukai dengan membentuk entiti baru yang bertindih tugas. Agensi yang bertindih tugas akan menyumbang kepada perkhidmatan awam yang berlebihan tenaga kerja (bloated) serta lebih banyak pertikaian dan pertembungan kuasa antara agensi. Oleh itu, kami mengesa kerajaan untuk menutup Yayasan Hijau dan tidak membentuk Amanah Lestari Alam. Memusatkan dan mengoptimumkan MGTC supaya kita mempunyai pelaksanaan yang diselaraskan dengan lebih baik.


PIARAPAKARAN S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies