English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

KRISIS TENAGA GLOBAL MENJELANG MUSIM SEJUK – MALAYSIA MESTI BERSEDIA

SIARAN MEDIA
Tarikh: 29 SEPTEMBER 2022 (KHAMIS)

KRISIS TENAGA GLOBAL MENJELANG MUSIM SEJUK – MALAYSIA MESTI BERSEDIA

Hari ini, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menghantar surat kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk memaklumkan mengenai kemungkinan situasi krisis tenaga dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh Malaysia untuk memastikan kita dapat meminimumkan kesan kos akibat kenaikan harga sumber tenaga global. Isu-isu yang diutarakan dan cadangan-cadangan kami kepada Perdana Menteri dan kabinetnya adalah seperti di bawah.

A. MENGERUHKAN KRISIS TENAGA GLOBAL

Banyak faktor akan memburukkan lagi keadaan permintaan-bekalan yang akan membawa kepada krisis tenaga global. Berikut adalah beberapa faktor-faktor utama:

1. Musim Sejuk dan Rusia

Perang Napoleon, Perang Dunia ke-2 dan perampasan Crimea telah membuktikan bahawa musim sejuk memihak kepada Rusia dan ini masih sah sehingga kini. Rusia terus membenarkan Kesatuan Eropah (EU) bergantung kepada sumber tenaganya. Walaupun selepas Rusia merampas Crimea dari Ukraine, EU sangat perlahan dalam mengurangkan kebergantungan sumber tenaga mereka daripada Rusia. Sidang kemuncak G7 baru-baru ini memutuskan untuk mengehadkan harga sumber tenaga dari Rusia supaya ia tidak memberikan pulangan besar kepada Rusia untuk membiayai perang menentang Ukraine. Di sebaliknya, Rusia telah membalas bahawa ia akan menghentikan penjualan sumber tenaga kepada negara yang mengenakan had harga. Sekarang, apa akan berlaku jika Rusia menutup semua bekalan tenaga ke EU seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini untuk mengurangkan stok simpanan Gas Asli Cecair (LNG) menjelang musim sejuk 2022 dan kesannya terhadap persediaan musim sejuk 2023 dengan keadaan simpanan stok yang berkurangan atau tiada simpanan stok? Sekiranya perang berlarutan, masalah krisis tenaga pada musim sejuk 2023 akan menjadi lebih teruk disebabkan oleh infrastruktur pengendalian LNG yang terhad dan tidak mencukupi di EU.

2. Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan OPEC+

Pada awal September, OPEC dan OPEC+ telah bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak mulai Oktober 2022 supaya harga minyak mentah dapat dikekalkan pada harga yang diingini. Situasi ini digabung dengan sekatan ke atas Rusia hanya akan memburukkan lagi situasi krisis tenaga pada musim sejuk yang akan menghentam pasaran global akibat daripada kebergantungan EU terhadap sumber tenaga Rusia yang tinggi. Kenaikan harga minyak mentah akan memberi kesan kepada harga gas asli dan arang batu. Maka, ia akan mewujudkan gelombang kedua impak kos.

3. Kombo Minyak Mentah, Gas Asli dan Arang Batu

Kenaikan harga minyak mentah yang mendadak akan mendorong harga gas asli dan arang batu untuk melonjak juga. Ini adalah corak yang dapat kami perhatikan sejak pengimbangan semula campuran tenaga bagi penjanaan elektrik pasca 2011 di mana pembinaan loji janakuasa arang batu meningkat untuk mengimbangi semula impak kos daripada loji janakuasa gas asli. Pada masa ini, EU tidak dapat menggantikan kebergantungan gas asli daripada Rusia dengan segera kerana infrastruktur pengegasan semula (regasification) memerlukan masa untuk dibina bagi mengimport lebih banyak LNG dari negara lain. Walaupun EU mula mendapatkan lebih banyak sumber tenaga dari negara lain, infrastruktur yang mencukupi dan kos yang berpatutan memainkan peranan penting. Beberapa ahli negara EU sudah mengeluarkan kenyataan bahawa jiran mereka mungkin perlu mencari haba pemanasan mereka sendiri semasa musim sejuk. Kini, terdapat kemungkinan krisis tenaga yang teruk di seluruh dunia semasa musim sejuk yang akan datang dengan andaian bahawa pengeluaran arang batu tidak terjejas secara logistik seperti yang telah berlaku pada musim sejuk 2021 yang disebabkan oleh hujan monsun.


B. APAKAH YANG MALAYSIA PATUT BUAT?

Penyelesaian 1. Malaysia Mungkin Boleh Mengambil Pendirian Seperti India dan Beberapa Negara Lain mengenai Jaminan Tenaga (Energy Security)

Walaupun sekatan telah dikenakan ke atas Rusia, EU masih bergantung kepada sumber tenaga Rusia dan mesyuarat G7 baru-baru ini juga sedang menekan Rusia untuk mengurangkan harga sumber tenaganya melalui sekatan yang boleh dilaksanakan. Keadaan ini hanya akan memberi manfaat kepada EU jika semua negara mengharungi harga sumber tenaga yang tinggi secara global dan mengenakan sekatan terhadap Rusia. Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) telah membuat pendirian untuk tidak berpihak kepada sesiapa semasa Perang Dingin. Malaysia adalah negara anggota kepada NAM. Sekarang, patutkah Malaysia meneruskan pendirian NAM kita seperti India dan negara-negara Asia dan Afrika yang lain? Objektif utama Malaysia adalah kita mesti memastikan negara kita dapat terus meningkatkan jaminan tenaga kita dan mengurangkan input kos sumber tenaga serta beberapa keluaran hiliran (downstream outputs) seperti baja. Tekanan yang dilakukan melalui sekatan adalah untuk melindungi kepentingan warga EU dan ekonominya. Justeru itu, Malaysia mempunyai hak yang sama untuk melindungi rakyat dan ekonomi kita.

Penyelesaian 2. Tingkatkan Faktor Beban (Load Factor) Loji Hidroelektrik

Pengalaman terdahulu telah menunjukkan bahawa peningkatan operasi loji hidroelektrik semasa musim hujan dapat mengurangkan penggunaan bahan api fosil dan kos bahan api keseluruhan untuk penjanaan elektrik. Untuk menjadikan pendekatan ini sebagai penyelesaian pengurangan kos yang berjaya, pemodelan banjir mesti dilakukan untuk memastikan peningkatan operasi loji hidroelektrik tidak meningkatkan kebarangkalian kejadian banjir semasa musim hujan. Pengurangan penggunaan bahan api fosil akan mengurangkan input kos bahan api melalui mekanisme ICPT. Selain daripada itu, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) boleh mengenakan had keuntungan bagi peningkatan faktor beban loji hidroelektrik yang melebihi faktor beban yang dipersetujui atau dirancang supaya lebih banyak penjimatan boleh disalurkan kepada tarif elektrik.

Penyelesaian 3. Para Pesalah Mesti Dihukum Kerana Menyebabkan Margin Simpanan Yang Tinggi

Unjuran margin simpanan melonjak daripada 32% pada 2020 kepada 52% pada 2021 dan menjadi 51% pada 2022 berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh ST. Margin simpanan diunjurkan melebihi 40% sehingga 2027. Sejak 2014, apabila ST memulakan beberapa rundingan terus penganugerahan loji janakuasa yang bermula dengan Track 4A (Pasir Gudang), AWER telah memberi amaran tentang situasi margin simpanan yang tinggi. Projek loji janakuasa rundingan terus terakhir telah diberikan pada 2019. Margin simpanan yang lebih tinggi akan menyalurkan kos sistem yang lebih tinggi kepada tarif elektrik. Di samping itu, berdasarkan laporan ST pada 2013, kriteria JPPPET untuk margin simpanan adalah Kehilangan Setara Beban (Loss of Load Equivalent - LOLE) pada <= 1 hari. Ini bersamaan dengan 22% tanda aras margin simpanan kepada ekonomi membangun. Oleh itu, situasi 52% adalah bersamaan dengan 2.4 kali nilai penanda aras.

Pelaksanaan yang salah oleh agensi kerajaan sendiri telah menyebabkan keadaan margin simpanan yang tinggi untuk bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia. Memandangkan kerajaan menggesa rakyat dan sektor perniagaan berkongsi beban harga sumber tenaga yang tinggi di peringkat global, kerajaan juga mesti mengambil tindakan terhadap para pegawai yang berkaitan atas kegagalan mereka dalam memastikan margin simpanan berada pada tahap optimum iaitu 22%. Oleh itu, kami menggesa Perdana Menteri bersikap adil dan mengambil tindakan terhadap bekas-bekas menteri, para pegawai dan para pesuruhjaya ST dan kementerian tenaga yang telah menyebabkan kesalahan ini. Kami telah memberi amaran berkali-kali bahawa rundingan terus bagi pembinaan loji-loji janakuasa baru lebih awal daripada keperluan akan meningkatkan kos yang disetarakan (levelised cost) dan margin simpanan. Jika rakyat dan sektor perniagaan perlu menelan pil pahit ini akibat daripada langkah tidak masuk akal oleh para pegawai kerajaan, maka pegawai-pegawai ini mesti bertanggungjawab atas kesalahan mereka dan tindakan setimpal mesti diambil segera.

Penyelesaian 4. Mengenakan Had Ekuiti Asing Tidak Boleh Ditarik Balik (Irreversible Foreign Equity Cap)  yang Ketat dalam Sektor Tenaga dan Elektrik

Kerajaan sudah mempunyai dasar had ekuiti asing 49% untuk industri elektrik. Kebergantungan sumber tenaga Russia-Kesatuan Eropah adalah contoh yang jelas mengapa kita mesti melindungi aset-aset strategik negara kita. Malangnya, ST dan kementerian berkaitan telah gagal melaksanakan dasar ini beberapa tahun lalu dengan membenarkan syarikat asing mengambil alih pemilikan beberapa loji janakuasa di Malaysia dan ini telah melanggar dasar had ekuiti asing 49%. Selain daripada itu, ST dan kementerian berkaitan juga telah membenarkan penjualan anugerah projek loji janakuasa kepada syarikat asing ini. Anugerah projek bukanlah sesuatu yang boleh dijual berdasarkan dasar kerajaan yang sedia ada. Maka, ia adalah mustahak bagi kerajaan mengambil tindakan terhadap ST dan kementerian berkaitan yang menyebabkan gangguan kepada jaminan tenaga. Kerajaan juga mesti melaksanakan had ekuiti asing yang tidak boleh ditarik balik dalam sektor tenaga dan elektrik serta mengharamkan penjualan anugerah projek berkaitan aset-aset strategik negara seperti loji janakuasa untuk mengelakkan kejadian seperti ini berulang.

Penyelesaian 5. Tangguhkan Pembinaan Loji Baru Untuk Mengelakkan Margin Simpanan yang Lebih Tinggi

Langkah terakhir yang boleh dilaksanakan adalah penangguhan pembinaan loji baru. Pilihan ini pernah dilaksanakan pada masa lalu untuk memastikan margin simpanan berada pada tahap optimum. Justeru itu, kerajaan juga mesti menyemak semula semua projek loji janakuasa yang telah dianugerahkan dan berunding dengan syarikat-syarikat berkaitan untuk menangguhkan pemuktamadan sumber kewangan (financial close) serta Tarikh Operasi Komersial (COD).

Selain daripada itu, keadaan pertukaran mata wang yang tidak menentu juga akan memberi kesan kepada sektor elektrik berikutan situasi pengimportan arang batu 100%. Kami berharap Perdana Menteri akan bertindak dengan tuntas untuk memastikan jaminan tenaga Malaysia terjamin dan peningkatan kos harga sumber tenaga diminimumkan dengan melaksanakan cadangan-cadangan kami.


Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air Dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies