English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Pelabelan Produk-produk Elektrik dan Elektronik Memerlukan Rombakan: Hentikan Kekeliruan!

SIARAN MEDIA
TARIKH: 1 JULAI 2012 (AHAD)

PELABELAN PRODUK-PRODUK ELEKTRIK DAN ELEKTRONIK MEMERLUKAN ROMBAKAN: HENTIKAN KEKELIRUAN!

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menjalankan konsultasi dengan pihak berkepentingan seperti agensi-agensi kerajaan, industri dan orang ramai untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai masalah-masalah yang berkaitan dengan pelabelan serta mendapatkan maklum balas mengenai penyelesaian-penyelesaian yang dicadangkan oleh AWER. Beberapa lawatan lapangan telah dilakukan untuk mengkaji produk-produk dalam pasaran dan mengumpul pelbagai sampel label. Kajian ini adalah sebahagian daripada Projek Pembuatan dan Penggunaan Lestari (Sustainable Production and Consumption) yang ditaja oleh Suruhanjaya Tinggi British, Kuala Lumpur dan Kerajaan British.

Masalah-masalah dengan Pelabelan Produk

Label produk direka untuk memberi ringkasan maklumat penting kepada pengguna mengenai produk tertentu dan akreditasinya. Malangnya, label sentiasa menjadi elemen hiasan atau elemen misteri dalam produk. Terdapat 3 masalah utama yang dikaitkan dengan label.

Masalah 1: Lokasi label

Label produk-produk seperti peti sejuk-beku, ketuhar mikro, mesin basuh dan televisyen selalu terletak di bahagian bawah (tapak) produk atau belakang produk. Ini menjadikannya sukar untuk pengguna memdapatkan maklumat tentang produk tersebut.

Masalah 2: Maklumat yang meragukan dan mengelirukan dicetak pada label

Berdasarkan lawatan lapangan dan konsultasi dengan orang awam, pelbagai jenis simbol pada label cenderung untuk memberi maklumat yang meragukan dan mengelirukan pengguna. Penggunaan nilai Kuasa Output yang bukan penggunaan elektrik sebenar dan label penilaian kecekapan tenaga (energy efficiency star rating label) yang palsu juga mengelirukan pengguna. Berdasarkan perbincangan dengan beberapa kakitangan jualan, ia hanya menunjukkan bahawa mereka tidak pasti mengenai akreditasi produk dan hanya bergantung kepada jaminan yang diberikan oleh pembekal bahawa produk tersebut adalah berkualiti baik dan mendapat akreditasi tertentu.

Masalah 3: Penguatkuasaan

Elemen utama dalam pelaksanaan kaedah, peraturan, piawaian dan undang-undang yang digubal adalah penguatkuasaan. Ini kerana peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab sentiasa mencari cara baru dan inovatif untuk melepaskan diri dari ketetapan yang sedia ada. Keadaan ini bertambah buruk apabila pengawalselia yang dipertanggungjawabkan tidak menjalankan penguatkuasaan dengan betul. Pada masa ini, Suruhanjaya Tenaga mengawalselia barangan elektrik dan elektronik secara terpilih dan bakinya “ditolak” kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Ini adalah bercanggahan dengan Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik yang memberi kuasa kepada suruhanjaya untuk mengawalselia semua produk yang menggunakan tenaga elektrik. KPDNKK telah ditenggelami dengan tanggungjawabnya untuk mengawalselia pelbagai jenis produk pengguna. KPDNKK juga mengharapkan Suruhanjaya Tenaga akan mengawalselia semua peralatan yang menggunakan elektrik secara langsung kerana mereka tidak mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

Cadangan-cadangan daripada AWER

Disebabkan 3 masalah utama yang dinyatakan di atas, pengguna mungkin menjadi mangsa dengan salah membeli produk yang tidak cekap tenaga atau produk palsu. Ini akan menyebabkan kerugian kerana mereka perlu membayar bil elektrik bulanan yang tinggi. Berdasarkan maklumbalas orang ramai semasa perbincangan AWER dengan mereka, kami yakin bahawa pelaksanaan cadangan kami boleh membantu pengguna untuk memilih produk cekap tenaga serta mengurangkan kos elektrik mereka dan pelepasan karbon.
                                                                                                              
Cadangan 1: Menetapkan Piawaian Pelabelan dan Piawaian Pelabelan Penilaian Kecekapan Tenaga (energy efficiency star rating label) bagi produk-produk elektrik dan elektronik

Label-label produk elektrik dan elektronik sentiasa dicetak dengan pelbagai maklumat yang tidak membantu pengguna untuk mengenal pasti maklumat yang tepat. Berdasarkan perbincangan kami dengan pihak berkepentingan mengenai label model yang disediakan oleh AWER untuk produk elektrik dan elektronik, kami telah menerima sambutan yang amat baik daripada orang ramai. Walaupun banyak maklumat boleh ditambah kepada label, maklumat asas yang perlu dicetak pada label mesti dijadikan mandatori dan dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Tenaga. Model label yang disediakan oleh AWER dibahagikan kepada 3 kategori:
(i) label produk dengan MEPS dan Penilaian Kecekapan Tenaga dikuatkuasakan;
(ii) label produk dengan MEPS dikuatkuasakan;
(iii) label produk Biasa.
Cadangan label-label ini akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Tenaga untuk pelaksanaan.

Cadangan 2: Menghentikan penggunaan Label Pengesahan Kecekapan Tenaga (Endorsement Label)

Berdasarkan perbincangan dengan orang ramai yang mempunyai latar belakang pendidikan dan pekerjaan yang berlainan, label Penilaian Kecekapan Tenaga sudah memadai untuk membantu mereka untuk mengenal pasti produk cekap tenaga. Label Pengesahan dilihat sebagai logo yang mengelirukan sahaja. AWER menggesa Suruhanjaya Tenaga untuk menghentikan penggunaan label pengesahan untuk peralatan elektrik.

Cadangan 3: Ujian Produk di Makmal-makmal Ujian Serantau yang Diakreditasi

Walaupun Suruhanjaya Tenaga memaklumkan kepada AWER bahawa ujian produk boleh dilakukan melalui mana-mana makmal ujian serantau yang diiktiraf oleh Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia),  pembuat dan penjual produk-produk elektrik dan elektronik telah memberikan maklum balas yang berlainan. Hampir semua pemain industri yang kami telah temui membangkitkan kekangan-kekangan yang mereka hadapi dengan SIRIM. Pada masa yang sama, SIRIM juga mengakui bahawa masalah-masalah ini berlaku dan menyatakan bahawa ia berpunca daripada kekangan kewangan di SIRIM. Oleh itu, Suruhanjaya Tenaga perlu membuat satu kenyataan rasmi mengenai perkara ini serta merangka dan menerbitkan satu garis panduan bagi mekanisme ujian produk.

Cadangan 4: Pelaksanaan Piawaian Minima Prestasi Tenaga (Minimum Energy Performance Standard - MEPS) untuk Lebih Banyak Produk

AWER mencadangkan proses penetapan MEPS dijalankan seperti berikut:
(i) Proses konsultasi dengan orang awam untuk penetapan MEPS mesti dijalankan;
(ii) Menjalankan penanda aras antarabangsa (international benchmarking) bagi produk dan penilaian kecekapan tenaga untuk memastikan MEPS tidak ditetapkan pada standard yang terlalu rendah atau terlalu tinggi;
(iii) Sebaik sahaja proses penetapan MEPS selesai, suatu notis 6 bulan perlu dibuat dan diumumkan oleh penguatkuasa;
(iv) Apabila notis 6 bulan telah disampaikan kepada pemain industri, mereka tidak boleh dibenarkan untuk mengimport atau menghasilkan produk yang berada di bawah piawaian MEPS. Mereka juga perlu menghabiskan semua stok sedia ada dalam tempoh 6 bulan.

Di samping itu, MEPS memerlukan kajian semula mandatori setiap 5 tahun.

Cadangan 5: Pelabelan Penilaian Kecekapan Tenaga Mandatori dan Suka Rela

Produk yang telah mempunyai pelabelan penilaian kecekapan tenaga sukarela perlu dinaik taraf kepada pelabelan mandatori di mana piawaian penilaian kecekapan tenaga disemak semula bersama-sama MEPS. Suruhanjaya Tenaga mesti melaksanakan syor ini sebelum 1 Januari 2013 untuk manfaat semua rakyat.

Pengenalan skim pelabelan penilaian kecekapan tenaga bagi produk baru mesti bermula dengan pelabelan sukarela untuk tempoh 12 bulan. Selepas itu, ia boleh dinaik taraf kepada pelabelan mandatori.

Cadangan 6: Pangkalan Data Atas Talian (Online) bagi Produk-produk yang Diluluskan

Suruhanjaya Tenaga perlu menyusun dan mengemaskini pangkalan data atas talian bagi produk yang telah mendapat penilaian kecekapan tenaga dan MEPS supaya semua pihak yang berkepentingan boleh membuat rujukan. Pangkalan data atas talian juga perlu menyimpan butir-butir produk yang telah hilang kelayakan, ditarik balik atau diharamkan kerana apa-apa sebab teknikal atau perundangan. Ini akan membantu pengguna untuk mengenal pasti produk yang mengelirukan atau palsu. Sistem pangkalan data atas talian ini akan menjadi satu kelebihan kepada Suruhanjaya Tenaga untuk menjalankan penguatkuasaan. Orang awam juga akan dapat membuat aduan terus kepada suruhanjaya jika ada apa-apa penyelewengan dikesan.

Kesimpulannya, rombakan pelabelan untuk produk yang menggunakan tenaga adalah penting. Sebagai pengawalselia yang bertanggungjawab, Suruhanjaya Tenaga mempunyai kewajipan untuk membetulkan semua masalah pelabelan. Jika tidak, mereka akan dilabel sebagai agensi "TIDAK BERKESAN".

 

Piarapakaran  S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies