English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Komen-komen Mengenai Belanjawan 2013 bagi Isu-isu Air dan Tenaga

SIARAN MEDIA
DATE: 2 OKTOBER 2012 (SELASA)

KOMEN-KOMEN MENGENAI BELANJAWAN 2013 BAGI ISU-ISU AIR DAN TENAGA

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah mengkaji Belanjawan 2013 (Bajet 2013) serta belanjawan terperinci bagi beberapa kementerian berkaitan yang telah diterbitkan oleh Kementerian Kewangan (MOF). Kami menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan cadangan-cadangan berikut untuk mengurangkan ketirisan perbelanjaan kewangan kerajaan dan mungkin boleh menjimatkan berbilion Ringgit daripada terbazir.

1) INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR NEGARA

Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM 300 juta untuk penggantian paip air dan pembentungan untuk memperbaiki sistem bekalan air dan pembentungan. Di samping itu, belanjawan terperinci Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menunjukkan hampir semua negeri akan menerima sama ada dana atau pinjaman untuk pembangunan infrastruktur perkhidmatan air yang berjumlah hampir RM 2.8 bilion bagi tahun 2012 dan 2013. Malangnya, ini tidak selaras dengan model Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) kerana terdapat beberapa negeri yang masih belum distruktur semula. Kami menggesa Kerajaan Persekutuan untuk memastikan Labuan, Kedah, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Selangor distruktur semula di bawah WSIA sebelum dana atau pinjaman disalurkan. Dana ini juga mesti ditadbir oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana SPAN adalah pengawal selia untuk industri air dan pembentungan. SPAN mengawal selia industri-industri ini dari perspektif ekonomi, kualiti perkhidmatan dan teknikal. Ini akan memastikan penggunaan peruntukan secara berkesan.

Selain daripada itu, perjanjian konsesi Indah Water Konsortium (IWK) mesti dimansuhkan dan IWK mesti distruktur semula di bawah model WSIA secepat mungkin. Ini akan membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan model WSIA. Penstrukturan semula IWK sepatutnya siap sebelum tahun 2010 mengikut Rancangan Malaysia ke-9. Kini, ia telah dilengahkan hampir 2 tahun. Apa yang melambatkan MoF daripada berbuat demikian? Tambahan pula, IWK juga sedang memohon untuk mendapatkan kenaikan tarif dan akan menerima peruntukan bagi projek pemulihan infrastruktur pembentungan dari Belanjawan 2013. Tiada satu pun di atas boleh diberikan kepada IWK sehingga ia distruktur semula dan dikawal selia sepenuhnya oleh SPAN.

Kerajaan Persekutuan juga mesti menutup Jabatan Bekalan Air (JBA) dan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP). Kedua-dua agensi ini sedang mengulangi operasi yang sepatutnya dilaksanakan oleh SPAN dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Mereka sebenarnya menduplikasi dan mengucar-kacirkan tugas-tugas yang patut dijalankan oleh SPAN dan PAAB. Dalam satu insiden, JPP telah memberikan sokongan (recommendation) untuk projek yang melibatkan IWK dan sebuah syarikat swasta untuk dilaksanakan di mana ia tidak mempunyai sebarang KUASA KAWAL SELIA. Kuasa pengawal seliaan bagi perkhidmatan pembentungan adalah di bawah SPAN mengikut WSIA. Sebarang sokongan mengenai projek-projek yang berkaitan dengan industri pembentungan perlu dilakukan oleh SPAN dan bukannya JPP. AWER telah membuat komunikasi rasmi dengan SPAN untuk menyiasat perkara ini. Menutup agensi-agensi yang tidak diperlukan (redundant) ini akan mengurangkan perbelanjaan operasi kerajaan, mengoptimumkan penggunaan wang pembayar cukai dan menghapuskan masalah operasi yang tidak diperlukan.

2) BEKALAN AIR DAN ELEKTRIK LUAR BANDAR

Jadual 1 meringkaskan program-program bekalan air dan elektrik luar bandar bagi Belanjawan 2010 hingga 2013. Secara umumnya, hampir RM 10 bilion telah diperuntukkan untuk program-program ini sejak tahun 2010. Kami menggesa Ketua Audit Negara untuk menjalankan audit khusus dan terperinci untuk program bekalan air dan elektrik luar bandar dari tahun 2000 hingga 2012. Skop audit mesti merangkumi hasil program, kos, ketelusan, ketahanan bahan (material durability), jangka hayat operasi dan kualiti air. Tahun lepas, kami juga telah menyeru Kerajaan Persekutuan untuk mendidik masyarakat di luar bandar dalam kerja-kerja penyelenggaraan asas untuk menyelenggara projek-projek yang dilaksanakan dalam komuniti masing-masing. Ini juga akan mewujudkan pekerja separuh mahir di kalangan rakyat tersebut dan meningkatkan kualiti hidup mereka secara serentak.

Dalam Belanjawan 2013, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM 100 juta untuk memasang sistem penuaian air hujan di Sabah dan Sarawak. Penuaian air hujan adalah satu mekanisme yang digunakan untuk menyimpan air hujan bagi kegunaan bukan makan minum (non-potable). Menurut Piawaian Kebangsaan bagi Kualiti Air Minuman oleh Kementerian Kesihatan, standard pH air minuman harus berada di antara 6.5 dan 9.0. Walau bagaimanapun, menurut Jabatan Meteorologi, negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur menerima hujan dengan pH antara 4.8 dan 5.2 manakala bahagian-bahagian lain di semenanjung menerima hujan dengan pH antara 4.4 dan 4.8. Keasidan ini akan memberi impak langsung kepada paip, kelengkapan dan tangki sistem penuaian air hujan. Penggunaan air hujan yang ditadah untuk kegunaan makan minum (potable) tanpa rawatan yang betul juga boleh menjejaskan kualiti hidup rakyat di Sabah dan Sarawak. Ini adalah kerana air hujan yang ditadah tidak dibasmi kuman (disinfection) dan kemungkinan berlakunya kontaminasi adalah tinggi. Najis burung dan kotoran lain di atas bumbung senang memasuki sistem penuaian air hujan. Mungkin terdapat injap yang dipasang untuk mencegah aliran awal air hujan memasuki sistem penuaian air hujan. Walau bagaimanapun, ini tidak menjamin kualiti air yang ditadah. Penyelenggaraan penapis dan tangki juga satu kemestian.

Oleh itu, pelaksanaan model WSIA untuk Sabah dan Sarawak tidak dapat dielakkan. Di bawah model WSIA, program bekalan air terawat tidak hanya merangkumi loji perawatan air yang besar. Loji perawatan air yang kecil berasaskan komuniti dan program bekalan air luar bandar juga adalah sebahagian daripada WSIA. Kami menggesa Kerajaan Persekutuan untuk membentuk satu pasukan petugas khas untuk memulakan dan mempercepatkan pelaksanaan model WSIA di Sabah dan Sarawak. Ini akan memanfaatkan kedua-dua negeri ini untuk meningkatkan liputan bekalan air terawat berbanding dengan pemberian peruntukan berbilion-bilion untuk menjalankan pelaksanaan ad-hoc yang tidak mampan dan menjejaskan kualiti hidup rakyat.

3) NUKLEAR UNTUK TENAGA

Berdasarkan belanjawan terperinci KeTTHA, mereka sedang merancang untuk memulakan program kesedaran awam mengenai penggunaan nuklear untuk tenaga. Walaupun kementerian ini membisu mengenai isu-isu yang dibangkitkan berkaitan dengan loji tenaga nuklear, program yang dirancang ini akan menyebabkan rakyat untuk menganggap bahawa Malaysia akan membina loji tenaga nuklear tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan dan KeTTHA mesti menangani 7 isu-isu teras (7 core issues) seperti berikut sebelum memulakan projek loji tenaga nuklear:
i. Dasar campuran tenaga (energy mix) jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang mesti digariskan dengan jelas dan diumumkan untuk pengetahuan umum. Uranium, plutonium dan thorium merupakan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui dan juga akan kehabisan suatu hari. Oleh itu, nuklear mungkin bukan satu jalan penyelesaian sebenar. Ia bermungkinan hanya boleh membantu Malaysia dalam pengurusan campuran tenaga jangka pendek. Sebagai contoh, kegagalan Loji Hidroelektrik Bakun untuk membekalkan elektrik ke Semenanjung Malaysia (seperti yang dirancangkan) memaksa orang ramai untuk menanggung tarif tambahan dengan pembinaan loji penjanaan gas asli yang baru.

ii. Lokasi loji tenaga nuklear mesti didedahkan dari awal perancangan. Ini termasuk semua lokasi yang berkemungkinan menjadi tapak loji. Ia akan membolehkan perbincangan awam yang lebih luas mengenai isu-isu yang berkaitan dengan loji tenaga nuklear. Penerimaan orang ramai (public’s acceptance) terhadap penggunaan nuklear untuk tenaga mesti dilakukan secara telus dan bukannya perundingan secara "kosmetik".

iii. Kebocoran bahan radioaktif, tindak balas kecemasan dan prosedur laporan mesti diperjelaskan kepada orang ramai. 'Pakar' nuklear sentiasa mendakwa bahawa nuklear adalah selamat. Jika ia adalah selamat, mengapa ada kebocoran? Sebagai contoh, insiden kebocoran di Perancis adalah kira-kira 150 insiden setahun. Jawapannya patut satu sahaja, sama ada ia akan bocor atau tidak. Oleh itu, laporan insiden teknologi nuklear dan kebocoran mesti dibuat secara telus dan jelas kepada orang ramai. Kejadian Fukushima yang berlaku tahun lepas telah merosotkan keyakinan pelbagai pihak dalam teknologi nuklear secara mendadak dan mendedahkan kegelapan dalam 'ketelusan' laporan insiden nuklear. Apakah dasar yang Malaysia ada untuk menangani kejadian seperti ini jika ia berlaku?

iv. Kos penutupan operasi (decommisioning) loji tenaga nuklear sentiasa menjadi kebimbangan bagi kebanyakan negara-negara yang menggunakan nuklear untuk penjanaan elektrik. Dengan undang-undang dan peraturan-peraturan yang semakin ketat untuk pelupusan sisa nuklear dan bahan-bahan yang berkaitan, kita akan melihat peningkatan mendadak dalam kos penutupan operasi loji tenaga nuklear. Apabila kerajaan menyatakan bahawa penggunaan nuklear untuk tenaga adalah menjimatkan, kita hanya boleh mengandaikan bahawa kerajaan telah mengecualikan komponen kos penutupan operasi dari keseluruhan perancangan penggunaan nuklear untuk tenaga. Isunya, siapa yang akan menanggung kos ini? Sekiranya generasi-generasi akan datang yang akan menanggung kos ini, adakah ia adil kepada mereka jika kita lepas tangan begitu sahaja?

v. Modal insan (human capital) yang berkebolehan untuk menguruskan loji tenaga nuklear adalah penting. Malangnya, kita tidak pernah melihat mana-mana 'pakar nuklear' dari Malaysia melanjutkan kepakaran mereka untuk menyelesaikan atau mengawal krisis kebocoran nuklear seperti apa yang telah berlaku di Fukushima tahun lepas. Banyak laporan juga telah menunjukkan bahawa kebocoran atau insiden nuklear adalah sangat berkaitan dengan kesilapan manusia. Kegagalan untuk mempunyai kepakaran teknikal yang betul bermakna bencana nuklear akan berlaku di tanah air kita sendiri. Apakah perancangan Malaysia untuk membangunkan kepakaran sedemikian? Graduan sains nuklear sahaja tidak cukup untuk menguruskan loji tenaga nuklear.

vi. Pelupusan sisa nuklear (spent fuel) adalah "ibu" kepada semua isu-isu yang berkaitan dengan nuklear. Sisa nuklear dari loji tenaga mesti didepositkan ke dalam kemudahan simpanan sisa secara selamat. Oleh itu, kos dan keselamatan kemudahan penyimpanan sisa adalah kebimbangan utama dari segi alam sekitar. Apakah unjuran kos kemudahan penyimpanan sisa dan impaknya kepada tarif? Bagaimana pula dengan kebocoran daripada kemudahan simpanan sisa ini disebabkan kuasa alam? Adakah KeTTHA telah mengambil kira butiran-butiran seperti ini dalam perancangan mereka?

vii. Tarif elektrik yang murah dari tenaga nuklear, adakah ia satu realiti? Sekumpulan 'pakar nuklear' Korea Selatan gagal menjawab soalan yang mudah ini apabila isu bekalan bahan mentah telah dibangkitkan kepada mereka. Bagaimana sebuah negara boleh mencapai tarif elektrik yang rendah melalui tenaga nuklear di mana begitu banyak isu perlu diambil kira dalam kos penjanaan? Tambahan pula, dengan tekanan untuk perlindungan alam sekitar daripada sisa nuklear yang semakin meningkat, kos menjana elektrik daripada nuklear dijangka meningkat. Kita juga telah menyaksikan peningkatan harga gas asli yang drastik apabila banyak negara beralih kepada loji janakuasa gas asli. Bagaimana KeTTHA boleh menjamin bekalan elektrik yang murah apabila banyak negara juga beralih kepada tenaga nuklear pada masa yang sama?

AWER menggesa Kerajaan Persekutuan untuk membentuk sebuah pasukan petugas bebas (independent task force) untuk menyelia proses memperkenalkan penggunaan nuklear untuk tenaga di Malaysia dan menyelesaikan 7 isu utama yang dibangkitkan sebelum membina loji tenaga nuklear. Ahli-ahli pasukan petugas ini mestilah bebas (independent) dan pasukan petugas ini juga mesti melaporkan perkembangan kepada orang ramai secara berkala (sekali dalam 6 bulan). Program kesedaran sahaja tidak mencukupi apabila sebahagian besar daripada isu-isu teras disembunyikan.

AWER berharap bahawa cadangan yang diberi oleh pihak kami dapat dipertimbangkan dengan sewajarnya dan dilaksanakan demi kebaikan negara dan rakyat. Pindaan dan cadangan ini adalah untuk memantapkan pelaksanaan rancangan-rancangan Belanjawan 2013 dan untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

 

Piarapakaran  S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

 

Jadual 1: Prorgram Bekalan Air dan Tenaga Luar Bandar

Belanjawan Manfaat program bekalan air dan tenaga luar bandar
2010 Bekalan air – RM 530 Juta untuk 16,000 isi rumah
Bekalan elektrik – RM 825 Juta untuk 30,000 isi rumah
2011 Bekalan air dan elektrik:
- RM 1.2 Bilion untuk Sarawak
- RM 1.5 Bilion untuk Sabah
- RM 556 Juta untuk Semenanjung
2012 Bekalan air - RM 2.1 Bilion untuk 200,000 isi rumah
Bekalan elektrik - RM 1.1 Bilion untuk 39,000 isi rumah
2013 Bekalan air dan elektrik - RM 1.6 Bilion
- Bekalan air untuk 24 ribu rumah
- Bekalan elektrik untuk 19 ribu rumah
RM 88 juta untuk pembangunan ekonomi dan projek bekalan air perkampungan Orang Asli
RM 100 Juta untuk tangki sistem penuaian air hujan (40 ribu tangki) di Sabah dan Sarawak

 

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies