English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Terlewat 670 Hari Di Mana Ia Adalah Lebih Teruk Berbanding Dengan Kelewatan Dalam Langat 2!

SIARAN MEDIA - 1 NOVEMBER 2012 (KHAMIS)

PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR TERLEWAT 670 HARI DI MANA IA ADALAH LEBIH TERUK BERBANDING DENGAN KELEWATAN DALAM LANGAT 2!

Penstrukturan semula Industri Perkhidmatan Air di Malaysia tidak dapat dielakkan. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah melambatkan penstrukturan semula selama 670 hari dari tahun 2011 kerana ia sepatutnya siap pada akhir tahun 2010. Berbanding dengan kelewatan 589 hari dalam pembinaan loji rawatan air Langat 2, kelewatan penstrukturan semula industri perkhidmatan air akan menyebabkan kerugian bernilai berbilion Ringgit yang akhirnya akan disalurkan kepada orang ramai dan perniagaan melalui tarif. Ketidakcekapan pegawai Sektor Perkhidmatan Air di KeTTHA juga diketahui oleh rakyat Malaysia. Malangnya, sehingga kini tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh pengurusan tertinggi KeTTHA atau Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pegawai-pegawai ini bertanggungjawab ke atas semua perbuatan-perbuatan mereka yang salah.

1.       IMPAK KEPADA TARIF AIR DISEBABKAN OLEH PROJEK PENYALURAN AIR MENTAH PAHANG-SELANGOR DAN PROJEK LOJI RAWATAN AIR LANGAT 2

Menurut laporan berita pada 31 Julai, Menteri KeTTHA telah mengumumkan bahawa kos pembinaan loji rawatan air Langat 2 dianggarkan sekitar RM 3.744 bilion. Pembinaan loji rawatan air Langat 2 tidak boleh dielakkan disebabkan isu Bekalan-Permintaan. Walau bagaimanapun, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) menggesa ketelusan mengenai bagaimana Kerajaan Persekutuan memperolehi kos RM 3.744 bilion untuk projek Langat 2 di mana proses pembidaan hanya bermula pada 4 September. Tiada siapa pun yang akan mengumumkan anggaran kos projek sebelum proses pembidaan selesai! Pengumuman oleh menteri KeTTHA ini berkemungkinan akan membawa kesan negatif kepada keputusan proses bidaan.

Di samping itu, berdasarkan anggaran kos yang disebut oleh Menteri KeTTHA, AWER telah menjalankan analisis kewangan (berdasarkan kaedah amortization) untuk mengkaji impak kepada tarif air disebabkan oleh projek Penyaluran Air Pahang-Selangor dan projek loji rawatan air Langat 2. Sumber kewangan bagi Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor adalah melalui pinjaman dari JICA (Japan International Cooperation Agency). AWER telah mengutarakan beberapa soalan yang berkaitan dengan pinjaman ini kepada KeTTHA tetapi tidak ada jawapan dari KeTTHA sehingga kini. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1, impak kepada tarif oleh projek penyaluran air mentah ini adalah kira-kira 6 hingga 8 sen bagi setiap meter padu air terawat yang digunakan. Walau bagaimanapun, jika kos projek penyaluran air mentah ini dibayar terus oleh Kerajaan Persekutuan, kos yang dianggarkan dalam Jadual 1 tidak akan disalurkan kepada tarif. Sekarang, Kerajaan Persekutuan perlu menjelaskan kepada orang ramai sama ada kos ini akan disalurkan kepada tarif atau tidak.

Jadual 2 menunjukkan anggaran impak kepada tarif air disebabkan oleh projek loji rawatan air Langat 2. Kesan kepada setiap meter padu air terawat yang digunakan adalah dianggarkan antara 10 hingga 12 sen. Kos ini akan disalurkan kepada tarif. Dalam kajian ini, AWER tidak mengambil kira kenaikan tarif yang dicadangkan, caj air mentah dan pelbagai peningkatan dalam perbelanjaan operasi. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan mestilah telus dalam semua isu-isu yang berkaitan dengan kedua-dua projek ini dan tidak hanya menggesa untuk pembinaan Langat 2.

 

Jadual 1: Anggaran Impak kepada Tarif disebabkan oleh Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor

Kadar faedah

tahunan (%)

Wang pokok (RM) Jumlah bayaran faedah (RM)  Jumlah bayaran (RM)

Anggaran impak kepada

tarif (RM /m3)

3 2,481,000,000.00 1,048,554,808.55 3,529,554,808.55 0.067
4 2,481,000,000.00 1,447,689,601.84 3,928,689,601.84 0.074
5 2,481,000,000.00 1,870,103,678.81 4,351,103,678.81 0.083

 

Jadual 2: Anggaran Impak kepada Tarif disebabkan oleh Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Pakej 2A)

Kadar faedah

tahunan (%)

Wang pokok (RM) Jumlah bayaran faedah (RM)  Jumlah bayaran (RM)

Anggaran impak kepada

tarif (RM /m3)

3 3,744,000,000.00 1,582,341,477.46 5,326,341,477.46 0.101
4 3,744,000,000.00 2,184,663,390.51 5,928,663,390.51 0.112
5 3,744,000,000.00 2,822,115,347.48 6,566,115,347.48 0.124

 

Beberapa parameter yang digunakan dalam kajian Impak kepada Tarif Air
Kapasiti Loji Rawatan Air Langat 2: 1200 JLH (JLH = Juta Liter Sehari) (diperolehi dari maklumat tender)
Kapasiti perawatan air sedia ada di Selangor: 4581 JLH (selepas projek-projek mitigasi dilaksanakan menjelang tahun 2016)
Jumlah kapasiti perawatan air menjelang tahun 2016 di Selangor: 5781 JLH
Tahun pajakan oleh PAAB: 25 tahun (diperolehi dari Laporan Ketua Audit Negara 2011)
Kos Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor: RM 2.481 Bilion (Bernama - 31/07/2012)
Anggaran kos Loji Rawatan Air Langat 2: RM 3.744 Bilion (Bernama - 31/07/2012)


2.       TAKDIR LOJI RAWATAN AIR LANGAT 2 SELEPAS PEMBINAAN

Banyak telah diperkatakan mengenai keperluan untuk membina Langat 2 tetapi tidak ada yang menyebut tentang takdir loji ini selepas pembinaan. AWER telah menghantar beberapa soalan yang berkaitan dengan proses pembidaan kepada SPAN yang telah dikemukakan semula kepada KeTTHA untuk mendapatkan penjelasan. Malangnya, KeTTHA membisukan diri mengenai perkara ini.

Jika kita merujuk kepada Loji Rawatan Air Sg. Labu yang baru dibinakan di Selangor, ia telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk menguruskannya. Ini juga merupakan amalan yang sama bagi semua negeri-negeri yang telah distruktur semula di bawah model WSIA (Akta Industri Perkhidmatan Air 2006). Oleh itu, loji rawatan air Langat 2 mesti diserahkan kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk diuruskan selepas siap pembinaan. Sebarang rancangan lain oleh Kerajaan Persekutuan akan bercanggah dengan WSIA dan boleh dicabar di mahkamah.

3.       SEKTOR PERKHIDMATAN AIR KeTTHA - 'ROBIN HOOD SONGSANG'

Sejak tahun lepas, AWER telah mengutarakan kepada KeTTHA bahawa 'bailout' Bon Air Selangor adalah bercanggah dengan WSIA. Malangnya, ia tidak diendahkan. Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini juga tidak menyentuh mengenai kekhilafan besar ini yang dilakukan oleh pegawai-pegawai sektor perkhidmatan air di KeTTHA. Pada tahun 1999, Kerajaan Persekutuan telah 'bailout' Indah Water Konsortium (IWK) dan mengambil alih keseluruhan syarikat. Ini adalah satu proses 'bailout' yang betul dan biasanya diamalkan di seluruh dunia. Malangnya, bagi 'bailout' bon air di Selangor, Kerajaan Persekutuan tidak mengambil alih kepentingan ekuiti mana-mana syarikat konsesi air yang bersamaan dengan jumlah 'bailout' (RM 5.8 bilion). Ini adalah bersamaan dengan merompak rakyat untuk membantu syarikat konsesi air kerana jumlah 'bailout' ini akan disalurkan semula kepada tarif dan rakyat akan membayar akhirnya. Tambahan pula, jika Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih kepentingan ekuiti yang bersamaan dengan nilai 'bailout' bon air, ia akan menjadi lebih mudah bagi Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan kebuntuan dengan Kerajaan Negeri Selangor dalam penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor. Jika kedua-dua pihak terus menjadi jaguh gelut, syarikat konsesi air akan terus 'bebas' dan menjadi pemenang muktamad. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan mesti berbincang dengan Kerajaan Negeri Selangor pada kadar segera untuk menyempurnakan proses penstrukturan semula menjelang akhir Disember tahun ini!

Selain itu, 'Robin Hood' di KeTTHA ini juga mengganggu fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Politik pejabat yang ‘haram’ ini mesti dihentikan dengan serta merta! SPAN melaporkan diri kepada menteri dan bukannya 'Robin Hood' ini. SPAN mesti berdiri teguh dalam menjalankan fungsi - fungsi mereka.

Sehingga kini, YAB Perdana Menteri belum merombak semula Sektor Perkhidmatan Air di KeTTHA dan membuang 'Robin Hood' yang tidak cekap [Timbalan Ketua Setiausaha (Teknologi Hijau dan Air), Setiausaha Bahagian Kanan, Setiausaha Bahagian dan Ketua Penolong Setiausaha] walaupun AWER telah menulis surat kepada beliau berkali-kali. Malaysia mempunyai model yang baik untuk menstrukturan semula industri perkhidmatan air negara kita. Jika Kerajaan Persekutuan terus membiarkan pegawai-pegawai yang tidak cekap dan berkepala batu untuk menghancurkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara, Malaysia boleh mengucapkan selamat tinggal kepada status negara maju menjelang tahun 2020 dengan hutang yang 'berisi' bernilai lebih daripada RM 100 bilion!

Air adalah keperluan asas dan hak asasi manusia. Jangan hancurkannya!

 

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies