English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

MEMORANDUM MENGENAI JAMINAN AIR DAN TENAGA UNTUK MALAYSIA



29 MEI 2013 (RABU)
MEMORANDUM MENGENAI JAMINAN AIR DAN TENAGA UNTUK MALAYSIA
kepada               
> Ahli-ahli Parlimen yang baru (MP)
> Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang baru (ADUN)
> Kerajaan-kerajaan Negeri
> Kerajaan Persekutuan
> Media

1.         PENGENALAN

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) sentiasa mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan air, tenaga dan alam sekitar. Walaupun beberapa masalah sama ada telah diselesaikan ataupun sedang diselesaikan, senarai masalah yang belum diselesaikan terus meningkat lebih cepat daripada masalah yang telah wujud sebelum ini. MP dan ADUN yang baru dipilih mesti memahami bahawa isu-isu yang berkaitan dengan air dan tenaga adalah isu-isu keselamatan negara (national security). Orang ramai juga tidak harus terpedaya dengan janji-janji "manis" yang dibuat oleh ahli-ahli politik semasa pilihan raya. Kegagalan untuk mencapai jaminan air dan tenaga di Malaysia adalah bersamaan dengan kehilangan negara ini secara keseluruhannya.

2.         JAMINAN AIR

2.1       Perlindungan Air Mentah

AWER berharap semua kerajaan negeri mewartakan kawasan tadahan air (termasuk hutan, sungai, tasik, dan lain-lain) sebagai rizab kekal menjelang akhir tahun 2015 dan tidak ada sebarang pembangunan harus dibenarkan. Bagi kawasan yang telah dibangunkan, standard pelepasan air sisa perlu dipertingkatkan secara berkala dan dikuatkuasakan oleh kerajaan-kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar. Maklumat-maklumat ini juga perlu disediakan untuk makluman semua pihak secara telus menjelang akhir tahun 2015.

Kegagalan untuk menjalankan cadangan ini, AWER akan mengusulkan untuk menjalankan satu referendum untuk menghapuskan kuasa kerajaan negeri ke atas sumber air dan menempatkan kuasa ini terus di bawah Parlimen (bukan di bawah sesebuah kementerian) untuk memastikan ketelusan dalam pelaksanaan. Kami juga akan mendapatkan nasihat daripada DYMM Yang Dipertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia pemerintah negeri untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara dilindungi melalui jaminan air mentah.

Tarif air mentah berasaskan kualiti air mentah juga perlu dilaksanakan untuk memastikan kerajaan-kerajaan negeri dapat menerima pendapatan yang saksama daripada perlindungan sumber air mentah termasuk air mentah merentasi sempadan (transboundary). Kami mencadangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengetuai pelaksanaan ini.

2.2       Penstrukturan Semula Industri Air Selangor & Krisis Air

Kami menggesa SPAN untuk mendedahkan hasil siasatan forensik terhadap krisis air yang berlaku pada awal tahun ini. Krisis air tersebut dikaitkan dengan kegagalan Rumah Pam Wangsa Maju. Ramai ahli politik telah menuding jari antara satu sama lain tanpa melihat kepada fakta sebenar semasa krisis berlaku.

Kami menggesa juga Kerajaan Negeri Selangor yang telah diberi mandat oleh rakyat bertekad hati untuk melaksanakan penstrukturan semula Industri Perkhidmatan Air Selangor dan menamatkan perjanjian konsesi melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) menjelang akhir tahun 2013. Tawaran terbaru oleh kerajaan negeri Selangor sebelum pilihan raya boleh dianggap sebagai satu tawaran yang baik. Syarikat - syarikat konsesi harus menerima tawaran ini. Tidak ada apa-apa jenis pembiayaan patut diberikan kepada SYABAS daripada mana-mana pihak melalui jalan pintas sehingga penstrukturan semula diselesaikan.

Berdasarkan kajian pemodelan AWER pada awal tahun ini, peningkatan purata tahunan dalam pengeluaran air terawat adalah 2.09% dari tahun 2007 hingga 2011 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Peningkatan permintaan tahunan sebanyak 2% akan menyebabkan krisis air pada tahun 2020. Walau bagaimanapun, peningkatan permintaan tahunan di antara 3.5% dan 5.0% akan menyebabkan krisis air pada tahun 2016 dan 2014 masing-masing. Kerjasama di antara semua pihak adalah penting untuk meningkatkan margin simpanan air terawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mengelakkan kekurangan bekalan air terawat. Pada masa ini, peningkatan permintaan tahunan adalah terkawal kerana tidak ada kelulusan bagi permohonan projek-projek baru dan permohonan peningkatan kapasiti daripada pengguna yang sedia ada.

2.3       Penstrukturan Semula Industri Air bagi Semua Negeri

Kami menggesa kerajaan-kerajaan negeri baru Kedah, Terengganu, Pahang dan Kelantan serta Wilayah Persekutuan Labuan untuk melengkapkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air menjelang akhir tahun 2013. Banyak perkara yang tertangguh perlu diselesaikan untuk memastikan industri perkhidmatan air di negeri-negeri ini adalah setaraf dengan piawaian dunia.

Di samping itu, AWER menggalakkan Sabah dan Sarawak untuk menyertai rejim WSIA untuk memperbaiki industri perkhidmatan air di kedua-dua negeri. Kami berharap kedua-dua negeri ini melengkapkan proses penstrukturan semula ini menjelang tahun 2015. Memberi sistem penuaian air hujan semata-mata bukanlah satu penyelesaian jangka panjang untuk bekalan air luar bandar. Selain itu, pembangunan ekonomi di kedua-dua negeri juga akan terjejas tanpa bekalan air terawat yang berterusan. Oleh itu, MP dan ADUN baru di Sabah dan Sarawak perlu memastikan kedua-dua negeri ini menstruktur semula dan memperbaiki perkhidmatan air kepada rakyat dan perniagaan.

2.4       Penstrukturan Semula IWK

Penstrukturan semula Indah Water Konsortium (IWK) sepatutnya siap seawal tahun 2008. Apakah yang melambatkan Kementerian Kewangan (MOF) daripada berbuat demikian? Tambahan pula, IWK juga memohon kenaikan tarif dan akan menerima peruntukan bagi projek-projek pemulihan infrastruktur pembetungan secara berterusan. AWER ingin menggesa Kerajaan Persekutuan supaya tidak membenarkan apa-apa kenaikan tarif IWK sebelum menstruktur semula IWK mengikut model WSIA. Kami berharap Kerajaan Persekutuan akan memimpin melalui teladan dengan memastikan Kementerian Kewangan memansuhkan perjanjian konsesi ini. Dalam jangka masa panjang, IWK akan dipecahkan kepada entiti-entiti peringkat negeri untuk digabungkan dengan syarikat-syarikat bekalan air di peringkat negeri bagi meningkatkan kemampanan ekonomi industri perkhidmatan air. Ini adalah model WSIA yang lengkap.

2.5       Menutup Agensi-Agensi yang Bertindih (Redundant)

Kami menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menutup Jabatan Bekalan Air (JBA) dan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP). Kedua-dua agensi ini mengulangi operasi SPAN, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan dalam beberapa kes dengan IWK dari segi pengawalseliaan, pengurusan projek dan pelaksanaan projek. Mereka sebenarnya menduplikasi dan merunsingkan tugas-tugas dan fungsi-fungsi yang sepatutnya dijalankan oleh SPAN, PAAB dan IWK. Pertindihan sebegini ini bukan sahaja akan memperlahankan keberkesanan pengawalselia (SPAN) untuk melaksanakan tugasnya tetapi juga membuka ruang untuk penyalahgunaan kuasa dan salah urus daripada pegawai JBA dan JPP. Sebagai contoh, JPP telah memberikan sokongan (recommendation) untuk projek yang melibatkan IWK dan sebuah syarikat swasta untuk dilaksanakan di mana ia tidak mempunyai sebarang KUASA KAWALSELIA. Kuasa pengawalseliaan untuk perkhidmatan pembetungan adalah di bawah SPAN mengikut WSIA. Oleh itu, JBA dan JPP perlu ditutup dan pegawai-pegawainya boleh diserap ke dalam SPAN, PAAB dan IWK sebagai pilihan atau memilih kekosongan jawatan kerajaan yang lain.

3.         JAMINAN TENAGA

3.1       Sumber Tenaga
U

ntuk memastikan jaminan tenaga, Kerajaan Persekutuan mesti menyediakan dasar campuran tenaga (energy mix) jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang yang jelas dan mengumumkannya untuk pengetahuan rakyat. Ini termasuk kajian terperinci mengenai sumber-sumber tenaga yang digunakan di Malaysia. Sumber-sumber bahan api fosil dan nuklear adalah sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui dan akan kehabisan satu hari nanti. Kajian ini mesti disiapkan menjelang akhir tahun 2013 sebelum kerajaan mengumumkan sebarang projek pembinaan loji janakuasa yang baru.

3.2       Ketelusan Dalam Isu Penjana Bebas (IPP)

Apakah model yang telah digunakan oleh Suruhanjaya Tenaga untuk melanjutkan beberapa Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bagi IPP generasi pertama pada akhir tahun 2012? Loji Janakuasa Prai yang baru dan boleh mencapai kecekapan 60% ini telah menerima tarif imbangan yang lebih rendah berbanding dengan loji-loji janakuasa IPP generasi pertama yang boleh dikatakan sebagai besi buruk dari segi teknikal. Ketelusan dalam perkara ini adalah penting untuk mengetahui apakah klausa-klausa yang menjadikan pelanjutan PPA IPP generasi pertama ini lebih lumayan berbanding dengan membina sebuah loji janakuasa yang baru dan lebih cekap tenaga. Jika kita boleh membina 2 lagi loji janakuasa gas pada kecekapan 60%, tarif yang saksama dapat dicapai di samping mengurangkan kadar pelepasan karbon bagi penjanaan tenaga elektrik negara. Ini kerana loji janakuasa IPP generasi pertama mempunyai kecekapan tenaga yang lebih rendah dengan tarif imbangan yang tinggi. Kami menggesa semua MP dan ADUN yang baru dipilih memastikan ketelusan bagi IPP dilakukan secara serentak dengan usaha Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan ketelusan Tenaga Nasional Berhad. Rakyat membayar tarif dan mereka pasti mempunyai hak untuk mengetahui tawaran yang telah dipersetujui dan apa sebenarnya yang mereka sedang bayar dalam bil mereka.

3.3       Tutup Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Tangguhkan Pelaksanaan FiT

Mekanisme Tarif Galakan (Feed-in-Tariff / FiT) telah diterima pakai oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan bukannya dibangunkan secara tempatan untuk pelaksanaan projek-projek Tenaga Diperbaharui (RE). Sehingga kini, formula untuk menetapkan kos unit FiT tidak diketahui. Kerajaan Persekutuan langsung tidak telus dalam proses mengira Perbelanjaan Modal (capex), Perbelanjaan Operasi (opex), Keuntungan Terkawal (Regulated Profit) dan Faedah Kecekapan (Efficiency Perks). FiT dibiayai oleh rakyat dan rakyat mesti mengetahui mekanisme dan butir-butir pengiraannya.

Di samping itu, pelaksanaan RE melalui mekanisme FiT masih boleh dipersoalkan. Model ini tidak menjamin pertumbuhan industri RE yang mapan dan berterusan. Apa yang akan berlaku selepas 'tahun-tahun menguntungkan'? Adakah pelabur akan terus melabur? Agensi-agensi kerajaan bukan sahaja tidak membalas keraguan AWER terhadap FiT secara profesional, malahan telah memberi beberapa jawapan disalin dari Wikipedia. Pada masa ini, Jerman sendiri sudah menghadapi isu-isu serius dengan mekanisme FiT berdasarkan perundingan AWER dengan beberapa pakar dari Jerman dan laporan-laporan  yang diterbitkan. Oleh itu, penggunaan Jerman sebagai contoh yang utama oleh Kerajaan Persekutuan bagi justifikasi pelaksanaan RE melalui mekanisme FiT boleh dipersoalkan.

Tahun lepas (2012), maklumat mengenai bagaimana FiT solar PV telah dimonopoli oleh individu-individu tertentu telah diketengahkan oleh beberapa Ahli Parlimen. Walau bagaimanapun, SEDA (Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif dan kakitangan) telah menuding jari dengan sewenang-wenangnya kepada objek mati seperti sistem komputer bagi semua masalah dan menyatakan ia adalah mekanisme yang 'telus'. Komputer hanya boleh menjadi mekanisme kawalan kerana manusia masih mengawal input dan output. Perkara ini perlu disiasat secara terperinci dan bebas oleh Kerajaan Persekutuan dengan segera bagi memastikan integriti dan ketelusan yang dijanjikan oleh YAB Perdana Menteri ditegakkan.

Kami menggesa Kerajaan Persekutuan dan semua MP yang baru dipilih untuk menubuhkan Panel Bebas bertujuan untuk mengkaji pelaksanaan Akta Tenaga Boleh Diperbaharui 2011 di bawah Suruhanjaya Tenaga secara langsung untuk mengelakkan pertindihan tugas dan pembaziran dana operasi. Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 dengan jelasnya telah menetapkan bidang kuasa untuk membangunkan RE adalah di bawah Suruhanjaya Tenaga. Ini juga bermakna Akta SEDA 2011 perlu dimansuhkan disebabkan pertindihannya dan SEDA mesti ditutup. Ia adalah penting untuk membina industri RE yang berkembang tetapi model masa kini akan gagal dengan teruk kerana ia tidak mampan dan Malaysia langsung bukanlah pemilik teknologi. Panel ini juga perlu menyiasat individu-individu yang telah memperdaya Parlimen dalam meluluskan pelaksanaan mekanisme FiT yang cacat ini melalui SEDA dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka untuk mengelakkan kesilapan sebegini daripada berulang. Berhenti memperlekehkan rakyat dan wakil-wakil mereka.

3.4       Nuklear yang Tidak Jelas

AWER menggesa Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (Malaysia Nuclear Power Corporation) yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menjadi lebih telus dalam operasi harian mereka. Kami juga menggesa Kerajaan Persekutuan menangani isu-isu berikut yang TIDAK JELAS:
i. Semua lokasi yang dicadangkan bagi loji janakuasa nuklear mesti didedahkan dari awal perancangan;
ii. Prosedur-prosedur kebocoran radioaktif, tindak balas kecemasan dan laporan mesti dijelaskan kepada orang ramai dengan teliti;
iii. Kos penutupan (decommissioning) loji janakuasa nuklear sentiasa merupakan satu kebimbangan. Kami tidak melihat aspek ini diketengahkan sama sekali;
iv. Modal insan yang profesional dan berpengalaman adalah penting untuk menguruskan kemudahan loji janakuasa nuklear kerana kebanyakan laporan juga menunjukkan bahawa kebocoran atau insiden nuklear adalah amat berkait dengan kesilapan manusia;
v. Pelupusan sisa nuklear (spent fuel) adalah "ibu" kepada semua isu-isu yang berkaitan dengan nuklear. Keselamatan proses penyimpanan dan kemudahan sisa adalah kebimbangan utama dari segi alam sekitar. Apakah unjuran kos kemudahan dan impaknya kepada tarif elektrik?; dan
vi. Tenaga elektrik yang murah daripada tenaga nuklear bukanlah satu realiti. Bagaimanakah sebuah negara boleh mencapai tarif elektrik yang rendah melalui tenaga nuklear di mana begitu banyak isu-isu dan kos perlu dipertimbangkan?

3.5       Industri-industri Intensif Tenaga (Energy Intensive Industries)

Menurut Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (US Department of Energy), industri-industri intensif tenaga adalah berkaitan dengan aluminium, acuan logam (metal casting), kimia, perlombongan, produk hutan, penapisan petroleum, kaca dan besi. Berdasarkan Projek Peningkatan Kecekapan Tenaga Perindustrian Malaysia (MIEEIP), terdapat 8 sub-sektor industri intensif tenaga iaitu, besi dan keluli, simen, kayu, makanan, kaca, pulpa & kertas, seramik dan getah. Kajian ini kemudian telah memperkenalkan 3 tambahan sub-sektor iaitu oleo-kimia, plastik dan tekstil. Industri intensif tenaga menimbulkan risiko besar kepada jaminan tenaga  dan harga tenaga. Ada juga kemungkinan di mana tiada pulangan modal yang diperolehi daripada membawa masuk industri jenis ini ke Malaysia atau mengekalkan gergasi-gergasi yang tidak cekap tenaga seperti ini di sini. Kerajaan perlu mengenalpasti jumlah industri intensif tenaga di Malaysia dan mengkategorikan mereka dengan sewajarnya. Ia juga harus merangkumi penggunaan tenaga industri-industri ini dan status operasi semasa mereka. Penggunaan tenaga per unit produk yang dihasilkan akan dapat membantu melakukan penanda aras dengan cepat. Kami ingin mencadangkan bahawa langkah ini diketuai oleh Suruhanjaya Tenaga.

Pada masa ini, proses membawa masuk operasi baru industri intensif tenaga adalah tidak jelas. Sebelum industri intensif tenaga baru dibawa masuk, Suruhanjaya Tenaga mesti menilai prestasi kecekapan tenaga industri tersebut untuk memastikan ia adalah lestari. AWER ingin mengingatkan bahawa Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA) dan Penilaian Kesan Alam Sekitar Awalan (PEIA) tidak menjalankan apa-apa kajian kecekapan atau penilaian bagi tenaga atau air. Kedua-dua dokumen ini (DEIA dan PEIA) adalah BUTA kecekapan air dan kecekapan tenaga!

Sifat (nature) industri-industri ini akan memberikan impak yang tinggi kepada alam sekitar. Oleh itu, kerajaan perlu mengenakan cukai alam sekitar terhadap operasi industri ini bermula tahun 2014. Cukai ini harus berdasarkan ketidakcekapan setiap jenis industri intensif tenaga. Malah, banyak negara telahpun mula mengenakan cukai yang tinggi kepada ketidakcekapan oleh industri intensif tenaga.

3.6       Kontrak Pencapaian Tenaga (Energy Performance Contracting-EPC) Mesti Dihentikan

AWER ingin menyeru semua kementerian dan agensi-agensi kerajaan lebih berwaspada dalam melaksanakan program EPC. Pertama sekali, semua bangunan kerajaan perlu melakukan audit tenaga yang menyeluruh untuk mengenal pasti tiga komponen pelaburan kecekapan tenaga yang utama iaitu peluang-peluang tiada pelaburan, pelaburan yang rendah dan pelaburan yang tinggi.

Kerajaan perlu melaksanakan inisiatif tiada pelaburan dengan serta-merta. Inisiatif tiada pelaburan adalah secara langsung berkaitan dengan corak tingkah laku, pola penggunaan dan penyesuaian ringkas dalam operasi harian. Inisiatif pelaburan yang rendah adalah yang melibatkan penukaran peralatan, pendawaian elektrik direka bentuk semula untuk memperkenalkan zon (lampu), perubahan panel kaca, dan lain-lain. Inisiatif pelaburan yang rendah boleh dilakukan secara langsung oleh kerajaan dan tidak memerlukan penglibatan pihak ketiga untuk mengelakkan membazirkan wang pembayar cukai.

Penjimatan dari kedua-dua inisiatif (tiada pelaburan dan pelaburan yang rendah) ini kemudiannya boleh digunakan oleh kerajaan untuk langkah penambahbaikan yang lain. Sebagai contoh, selepas 5 tahun pelaksanaan penuh inisiatif TIADA pelaburan dan pelaburan RENDAH, kerajaan akan dapat mengurangkan hampir 20% (kadang-kadang lebih) daripada jumlah penggunaan elektrik. Penjimatan ini boleh digunakan untuk melabur dalam langkah-langkah kecekapan tenaga yang memerlukan pelaburan yang tinggi. Ini adalah bagaimana pelaksanaan kecekapan tenaga perlu dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan. Jika EPC dilaksanakan, syarikat-syarikat ini akan menggunakan inisiatif TIADA pelaburan dan pelaburan RENDAH untuk kepentingan mereka di dalam kontrak.

EPC sebenarnya tidak menjimatkan perbelanjaan kerajaan kerana sebahagian besar penjimatan ini akan disalurkan kepada pemilik kontrak EPC. Kenyataan "Penjimatan" ini yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) akhir tahun lepas adalah satu kenyataan mengelirukan yang serius. Tambahan pula, KeTTHA tidak dapat membuktikan penjimatan RM 800 juta sama sekali apabila kami membangkitkan isu itu kepada mantan menteri. Kami menggesa supaya kabinet sedar akan kesan negatif dalam melaksanakan kontrak EPC. Dokumen pendaftaran oleh Suruhanjaya Tenaga untuk syarikat-syarikat perkhidmatan tenaga (yang akan menggunakan kaedah kontrak EPC) adalah tidak releven kerana mana-mana pihak pun boleh mendaftar selagi mereka memenuhi kriteria asas.

Kerajaan mesti memimpin melalui teladan dalam melaksanakan penyelesaian berasaskan kejuruteraan "sebenar" untuk menjadi cekap tenaga dan elakkan daripada diperdaya oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika.

4.         KESIMPULAN

Perkara-perkara di atas adalah isu-isu yang belum diselesaikan yang memerlukan tindakan segera. AWER akan mengemukakan memorandum ini kepada semua ADUN, MP, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sebagai 'senarai kerja penting' mereka.

Selain itu, menjanjikan tarif air dan tenaga elektrik yang murah sahaja tidak membuat seorang ahli politik lebih baik. Semua ADUN dan MP yang dipilih perlu memastikan rakyat menikmati tarif dan harga yang saksama serta bekalan air, sumber tenaga dan bekalan tenaga elektrik yang berterusan dan boleh dipercayai. Ahli-ahli politik perlu menggunakan kaedah yang bertanggungjawab dan profesional seperti proses penetapan tarif yang telus, rundingan semula PPA, bidaan terbuka yang telus dan amalan penanda aras kos untuk memastikan rakyat dan perniagaan hanya membayar apa yang mereka perlu bayar untuk penggunaan air dan tenaga. Ini adalah janji yang lebih matang dan bertanggungjawab yang boleh disampaikan kepada rakyat. AWER telah berjaya mendesak Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan Proses Penetapan Tarif yang Telus bagi penetapan tarif air. Kami sedang berusaha untuk melakukan perkara yang sama untuk tarif elektrik.

Oleh itu, kami menyeru kepada semua ADUN dan MP untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dalam memastikan Jaminan Air dan Tenaga di Malaysia dengan cara yang profesional!

Yang benar,
Piarapakaran S.
Presiden

Komen (2 Posted)

  1. G. Lalchand


    2013-07-02
    Arrow Dear Mr. Piara, I congratulate you for being quite "fast on the draw" to get the new YBs to start earning their keep by giving them some homework to do. You are more directly involved in the water industry & I agree with some, but not all, of your criticisms, comments & recommendations. I hope you succeed in getting the key ones attended to. As for EE & RE, you know me quite well & we have been involved together in some of the Workshops on these programmes. I wish you had been able to put AWER‘s weight behind Zaini & other Malaysian Green Professionals Group members (including yours truly)‘s "hammering" of the lack of action from KeTTHA & ST to get the NEEMP going. Even the Green Prospects Asia‘s comment on the matter failed to get any response. We‘ve lost about 2.5 years since the APEC Peer Review Team of Experts conducted the review in Dec. 2010. Malaysia could have gained a lot of demand reduction thru‘ EE & reduced the need for more power stations. However, I have to disagree with some of your proposals on the EE & RE topics in your memo. You had previously quoted me as "the consultant who called SEDA a Robin Hood in Reverse". Yes I have issues with SEDA on the lucrative FiT rates granted for the PV systems & support you fully on the need to rectify that anomaly. In fact I‘m still carrying on that "battle" to SEDA‘s discomfort, I thnk ;-). But that does not justify any proposal for the "liquidation" of an agency set up under an Act of Parliament to perform a function. This is more so as the agencies that existed then had failed, or been unable to perform those functions for whatever reasons. I‘m glad that you‘ve commented on the nuclear issue but surprised that you seem to have missed out on the ST‘s proposal to develop 3,000 MW of (polluting) coal-fired power plants before 2020. Do we really need this additional power capacity, or will it lead to too high a reserve margin again? I think it would be more to the national benefit if AWER can initiate the formulation of suitably competent & independent panels to review the issues you‘ve raised especially for energy. I know there was a govt/private sector group under ST to discuss some of these issues but I‘m not sure if such a group still exists. I have no axe to grind against ST, but sadly ST had not been very successful in pursuing EE (after the DANIDA supported EE/DSM project) & RE under the SREP programme. I think that ST, as a Regulator, should concentrate on regulatory issues like Licensing & Competency cerrtification & registration, power supply security, effective IPP & Utility performance, tariffs & consumer interests, MEPS & efficiency grading of appliances etc. & should not be burdened with having to implement programmes like EE & RE. Sorry to be so long in my comments (& that is without trying to address each issue separately). For the record, I have to state that I have been involved in most of the projects & programmes that I have referred to above & am willing to participate in any discussions on these topics. I also offer myself as an "industry veteran" of about 50 years in the electricity supply industry from utility TNB/LLN & CEB from 1963) & being involved in EE & RE policy & projects since 2000.

    Piara, 2013-07-17
    Dear Mr Lal, Thanks for the comment and sorry for the late approval coz i have received a lot of spams as comments recently. Many meeting that I have attended is more of how KeTTHA (certain officer) preventing ST from doing its work. One of the former Chairman was not also supportive of ST going into EE and RE. So, it is not entirely ST's fault. Centralised agency is vital to reduce operational cost and increase efficiency in long term. I'm sure you are also very aware of the office politics of the policy makers that sours all implementations. EE and RE can be implemented under ST and RE Act was ready sometime back. I met Hadri in 2008 where he asked my support to push FiT. Unfortunately, when I asked details on the calculations and related issues, I didn't get the answers. I did postpone an appointment with you, no worries it is still in the back of my mind. Will find a suitable time to meet up. We have not raised the coal power plant issue as it is already raised in Panel Perunding Tenaga and few other close door meetings which "they" are now studying the "approval" as well as reasons such as green field and brown field (due to EIA process) used for the approvals. There are few issues I cannot mention here, but, there must be an independent panel to investigate SEDA and the first batch of approval. Thanks.
  1. Mei Lan


    2013-06-02
    Arrow Dear Piara, Well said, I do hope the changes are put in place. For us the everage people, we just want things to be in order. If my children does not get water, does that mean I have failed as a parent? Certainly, I still have limited power to make major shifts. But, as a community we still can demand for a better change. Perhaps, every politician must have a lie detector attached 24-7. Thanks.

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies