English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Kesan Dasar-dasar Kecekapan Tenaga Kepada Penghasilan Sisa Berbahaya

SURAT KEPADA PENGARANG - 30 JUN 2013 (AHAD)

KESAN DASAR-DASAR KECEKAPAN TENAGA KEPADA PENGHASILAN SISA BERBAHAYA

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah melaksanakan kajian kes penghasilan sisa kesan daripada menghentikan penggunaan produk tidak cekap tenaga secara berperingkat. Kajian ini memfokus dalam menetapkan mekanisme yang sesuai supaya pelaksanaan dasar-dasar kecekapan tenaga tidak memberikan impak kepada alam sekitar. Kajian ini adalah sebahagian daripada Projek Pembuatan dan Penggunaan Lestari (Sustainable Production and Consumption) yang ditaja oleh Suruhanjaya Tinggi British, Kuala Lumpur dan Kerajaan British.

Sisa Elektronik (E-waste) ditakrifkan sebagai sisa dari pemasangan peralatan elektrik atau elektronik (E&E) yang dikategorikan sebagai SW110 mengikut Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Sisa Terjadual) 2005 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA). Lampu kalimantang dan lampu kalimantang mampat (CFL) yang mengandungi merkuri (raksa)dikelaskan sebagai SW109. Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS), penjanaan e-waste pada tahun 2008 adalah kira-kira 688,000 tan metrik dan diramal menjadi 1.11 juta tan metrik pada tahun 2020. Walau bagaimanapun, kesan peningkatan penghasilan sisa daripada pelaksanaan program menghentikan penggunaan produk tidak cekap tenaga secara berperingkat tidak termasuk dalam anggaran ini.

Semasa proses perundingan dengan orang ramai, kebanyakan pengguna tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepada e-waste atau sisa terjadual (dengan merkuri) selepas di pungut oleh pihak-pihak tertentu. Apabila mereka membeli produk yang baru, pemborong enggan mengambil semula produk yang lama atau rosak. Syarikat pengendali sisa domestik juga enggan mengambil produk-produk ini. Oleh itu, mereka mengambil jalan mudah untuk membuangnya atau menyimpan peralatan lama ini. Kami juga telah bertemu dengan pihak industri dan juga Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) serta JAS untuk mengkaji semula situasi terkini.

Cadangan-cadangan berikut adalah penting untuk memastikan pelaksanaan dasar-dasar kecekapan tenaga tidak memudaratkan alam sekitar.


Cadangan 1: Pendekatan 'Buaian ke Buaian' (Cradle to Cradle Approach)

Membangunkan kitar hayat bagi produk-produk E&E adalah penting untuk menyelesaikan masalah pengurusan sisa. Pada masa ini, pendekatan 'Buaian ke Kubur' iaitu daripada pengekstrakan sumber sehingga pelupusan sisa biasa dipraktikan. Kita perlu menukarkannya untuk mencapai proses Pemulihan Sumber. Ini akan 'mengepam semula' sumber-sumber kepada sektor pembuatan dan mengwujudkan satu kitar. Kita perlu beralih dari model penggunaan linear seperti pendekatan 'Buaian ke Kubur' kerana ia akan menghabiskan sumber asli.

Cadangan 2: Sistem PENGAMBILAN SEMULA Bersepadu Mesti Diperkenalkan

Sistem Pengambilan Semula Bersepadu (Inclusive Take Back System) mesti dilaksanakan untuk merangkumi semua jenis aliran sisa yang telah dikenal pasti oleh AWER. Aliran masuk sisa yang utama adalah pemborong dan pengeluar, kontraktor sisa pepejal, pusat-pusat kitar semula, peniaga barangan terpakai dan juga pembuangan haram. Sebagai contoh, pemborong dan pengeluar boleh memperkenalkan sistem rebat (rebate system) kepada pelanggan yang memulangkan produk lama untuk membeli produk baru. Ini boleh membantu untuk mengumpul jumlah besar e-waste dan sisa terjadual (dengan merkuri).

Cadangan 3: Struktur Kos Sistem PENGAMBILAN SEMULA Mesti Dibangunkan

Kos untuk menguruskan e-waste dan sisa terjadual (dengan merkuri) hendaklah diuruskan bersama oleh industri, kerajaan dan orang ramai. Kawalan keuntungan melalui Perbelanjaan Modal (Capex) dan Perbelanjaan Operasi (Opex) yang telah diaudit perlu ditetapkan. Tambahan pula, untuk memastikan jumlah pengumpulan e-sisa atau buangan terjadual (dengan merkuri) yang tinggi, loji-loji peringkat serantau dan penyelarasan serantau adalah langkah wajar. Penyelarasan antara Malaysia, Singapura, Brunei dan Thailand boleh dilihat sebagai satu langkah segera yang perlu dipertimbangkan. Jumlah aliran sisa yang lebih tinggi untuk pemulihan sumber akan memastikan kos yang rendah dan kejayaan yang baik untuk sistem Pengambilan Semula.

Cadangan 4: Pengawal Seliaan dan Penguat Kuasaan Sistem PENGAMBILAN SEMULA

E-waste dan sisa terjadual (dengan merkuri) mesti dikendalikan dengan betul untuk mengelakkan pencemaran dan larut lesap (leaching) di keseluruhan proses pengumpulan, pengangkutan, penyimpanan, pemulihan separa serta premis pemulihan penuh yang boleh mencemarkan alam sekitar dengan serta merta. Prosedur asas mesti dibangunkan dan pemantauan berkala adalah penting. AWER juga telah memantau beberapa lokasi pengumpulan dan mengenal pasti banyak perbuatan yang salah serta kekurangan kesedaran daripada pihak-pihak berkepentingan. JPSPN dan JAS perlu memastikan maklumat yang mencukupi boleh didapati untuk membantu kedua-dua pengguna domestik dan perniagaan.

Cadangan 5: Daftar Peniaga Barangan E&E Terpakai Serta Hadkan Hayat Produk-produk

Peniaga produk-produk E&E terpakai mesti didaftarkan oleh Suruhanjaya Tenaga. Peniaga-peniaga ini akan memainkan peranan dalam 'penggunaan semula' produk-produk E&E atau bahagian-bahagiannya. Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan terhadap apa yang sebenarnya berlaku seperti isu-isu keselamatan, pelabelan, bahagian-bahagian yang tidak digunakan, dan lain-lain. Produk-produk ini sekurang-kurangnya mesti memenuhi standard keselamatan asas dan direkodkan. Satu sistem pendaftaran juga akan dapat mengawal para peniaga barangan terpakai untuk memastikan tiada pembuangan sisa secara haram yang dilakukan selepas mengambil bahagian-bahagian yang boleh digunakan semula Di samping itu, terdapat juga keperluan untuk menghadkan hayat produk atau bahagian-bahagian yang boleh dijual sebagai barangan terpakai. Langkah ini adalah penting untuk memastikan golongan berpendapatan sederhana dan berpendapatan rendah tidak dibebankan dengan produk-produk yang tidak cekap tenaga dan boleh menyebabkan bil elektrik yang tinggi dalam tempoh masa panjang. Memperkenalkan produk E&E terpakai yang tidak cekap tenaga ke dalam pasaran adalah bertentangan dengan objektif untuk meningkatkan kecekapan tenaga di Malaysia.

Hasil-hasil kajian kami ini juga akan di kongsi bersama-sama dengan kedua-dua JPSPN dan DOE yang telah memberikan kerjasama penuh semasa proses konsultasi. Marilah kita berusaha untuk pelaksanaan dasar kecekapan tenaga yang lebih baik dan menyeluruh di Malaysia.


Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies