English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

PARA PEGAWAI KANAN KeTTHA DAN SURUHANJAYA TENAGA MESTI MELAKSANAKAN PROSES BIDAAN KOMPETITIF YANG TELUS ATAU LETAK JAWATAN!

SIARAN MEDIA 10 JUN 2014 (SELASA)

PARA PEGAWAI KANAN KeTTHA DAN SURUHANJAYA TENAGA MESTI MELAKSANAKAN PROSES BIDAAN KOMPETITIF YANG TELUS ATAU LETAK JAWATAN!

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) menolak sebab-sebab yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar Suruhanjaya Tenaga yang bertarikh 31 Mei 2014 bagi membenarkan rundingan terus untuk pembinaan Track 4A. Sejak 2011, kami telah membangkitkan berulang kali kepada bekas Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mengenai keperluan untuk menyimpulkan rundingan semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) generasi pertama dengan cepat untuk membolehkan pelaksanaan proses bidaan kompetitif yang telus bagi penambahan kapasiti penjanaan yang baru.  Malangnya, KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga telah memberi pelbagai sebab kepada bekas menteri untuk mejustifikasikan tawaran "tidak masuk akal" yang berkaitan dengan kaedah-kaedah diguna pakai dalam penambahan kapasiti penjanaan loji baru dan pelanjutan beberapa PPA Penjana Bebas (IPP) generasi pertama. Satu mesyuarat di antara AWER dan Suruhanjaya Tenaga pada 11 September 2013 hanya dapat disimpulkan bahawa Suruhanjaya Tenaga sepatutnya boleh melakukan banyak lagi perkara untuk mengurangkan kesan kos sektor penjanaan ke atas tarif elektrik apabila kerajaan persekutuan sedang giat berusaha untuk meningkat harga gas asli bagi mencapai harga pasaran.

Penerbitan Rasmi Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Tenaga Hanya Menyebut Bidaan Kompetitif sebagai Langkah ke Hadapan

Laporan “Peninsular Malaysia Electricity Supply Industry Outlook 2013” yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Tenaga pada tahun 2013 telah menggariskan bahawa bidaan kompetitif merupakan salah satu inisiatif pembaharuan utama bagi Pembaharuan Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) (muka surat 65). Rundingan terus (direct negotiation) dan bidaaan terhad (restricted bidding) tidak dilaporkan sebagai sebahagian daripada strategi penambahan kapasiti penjanaan. Bengkel pembaharuan MESI yang dijalankan oleh MyPower (entiti tujuan khas di bawah KeTTHA) tidak pernah membincangkan rundingan terus dan bidaan terhad sebagai satu kaedah yang akan diguna pakai oleh Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA untuk menambahkan kapasiti penjanaan yang baru.

Di samping itu, dalam "Laporan Tahunan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2013" yang terkini (muka surat 45), Menteri KeTTHA, YB Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili telah melaporkan bahawa, "Pada masa yang sama, kerajaan juga meneliti secara serius kepelbagaian penjanaan tenaga dalam negara ini dalam melaksanakan pembidaan kompetitif bagi loji janakuasa baharu. Berdasarkan visi yang jelas, Malaysia bersedia untuk memperoleh kecekapan dan nilai yang lebih tinggi daripada sektor tenaga untuk faedah semua pihak berkepentingan terutamanya untuk seluruh rakyat Malaysia, bagi generasi hari ini dan masa hadapan." Menteri KeTTHA tidak menyebut bidaan terhad dan rundingan terus sebagai sebahagian daripada strategi menambahkan kapasiti penjanaan dan dia juga telah berjanji untuk melindungi kepentingan rakyat.

Ibu kepada semua dokumen awam, Rancangan Malaysia ke-10 pada muka surat 117 telah menggariskan bahawa, " Industri bekalan elektrik akan disusun semula supaya lebih bersandarkan prinsip pasaran. Langkah ini termasuk pengasingan akaun bagi aktiviti penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik, tawaran bidaan yang telus dan terbuka bagi loji jana kuasa baru serta rundingan semula perjanjian pembelian tenaga." Ini telah membuktikan bahawa kerajaan tidak bercadang untuk menggunakan bidaan terhad dan rundingan terus sebagai cara penambahan kapasiti penjanaan baru.

Ini adalah janji yang dibuat oleh kerajaan dalam dokumen-dokumen rasmi. Janji-janji ini adalah tidak sehaluan dengan dakwaan yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Tenaga dalam kenyataan medianya yang bertarikh 31 Mei 2014. Adakah Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA bercakap benar?

Pengurangan Bebanan (Load Shedding) Bukanlah Situasi Putus Bekalan (Blackout)

Pengurangan bebanan (load shedding) yang berlaku baru-baru ini adalah sebahagian daripada pelan tindakan kecemasan untuk mencegah kegagalan grid elektrik keseluruhan atau blackout. Gangguan tidak berjadual yang kerap daripada loji janakuasa telah dikenal pasti sebagai punca kejadian ini. Kedua-dua loji janakuasa Jimah dan Manjung telahpun menerima arahan daripada Suruhanjaya Tenaga untuk mereka bentuk semula (redesigning) dan perlu disiapkan pada pertengahan tahun 2015. Berdasarkan sudut pandangan teknikal, tidak ada sebab untuk mempercepatkan Track 4A melalui rundingan terus kerana permintaan terhadap tenaga elektrik adalah masih dalam unjuran peningkatan permintaan yang berada di antara 3% dan 4%. Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) juga telah menetapkan Kehilangan Beban (Loss of Load Equivalent/LOLE) pada < = 1 hari (yang bersamaan dengan penanda aras 22% margin simpanan bagi negara membangun) berbanding dengan status awal, iaitu LOLE < 1 hari (yang bersamaan dengan 32% margin simpanan) seperti yang dilaporkan di Laporan “Peninsular Malaysia Electricity Supply Industry Outlook 2013” (halaman 34). Kami menggesa KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga supaya tidak menggunakan strategi Blackout 1992 sekali lagi bagi 'mengesahkan' ('legalise') rundingan terus untuk Track 4A. Malaysia berbangga kerana mempunyai lebih jurutera dan profesional pada masa kini berbanding dengan tahun 1992. Jangan memandang rendah pengetahuan mereka!

Pada 2013, JPPPET Telah Memutuskan Bahawa Track 4A Perlu Disiapkan Menjelang Jun 2018

Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) telah memutuskan untuk membina Track 4A dan mengendalikannya menjelang Jun 2018 di dalam mesyuarat JPPPET tahun lepas (perancangan awal adalah Track 4A akan beroperasi pada tahun 2020). Track 4A merupakan loji penjanaan Combined Cycle (CCGT) yang akan mengambil masa kira-kira 3 tahun untuk disiap bina. Jika proses pembidaan kompetitif yang telus dijalankan sekarang dan Notice to Proceed (NTP) diberikan pada bulan Jun 2015, masih ada masa yang mencukupi untuk membina Track 4A. Oleh itu, masalah "kekurangan masa untuk melaksanakan bidaan kompetitif" seperti yang didakwa oleh Suruhanjaya Tenaga sebenarnya tidak wujud. Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA telah menggunakan taktik kelewatan yang sama semasa rundingan semula PPA generasi pertama. Kelewatan dalam rundingan semula akhirnya menyebabkan pelanjutan beberapa PPA generasi pertama. Sekarang, mengapa KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga mahu menawarkan rundingan terus memandangkan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk menjalankan proses pembidaan kompetitif yang telus untuk Track 4A? Mengapa Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA mengelirukan kita semua?

TNB dan YTL Mesti Meneliti Isu Kapitalisme Berkroni yang Diutarakan oleh Tan Sri Francis Yeoh

Berdasarkan penjelasan yang dikeluarkan oleh Pengarah Urusan YTL Corporation dan laporan media mengenai KAPITALISME BERKRONI, ia telahpun diterbitkan dan dibuktikan bahawa YTL menentang sekeras-kerasnya amalan yang keji dan menjijikkan ini. Berdasarkan ikrar yang dibuat oleh Tan Sri Francis Yeoh sendiri secara peribadi baru-baru ini, AWER menggesa beliau untuk mengarahkan YTL Power International Berhad untuk menolak tawaran rundingan terus Track 4A yang ditawarkan oleh Suruhanjaya Tenaga. Terdapat masa yang mencukupi untuk menjalankan bidaan kompetitif yang telus untuk memastikan hanya kos yang saksama dan berpatutan disalurkan kepada tarif. AWER juga menyeru kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menolak tawaran yang diberikan oleh Suruhanjaya Tenaga. Sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), TNB perlu mengambil bahagian dalam proses pembidaan kompetitif yang telus bagi memastikan rakyat, perniagaan dan pelabur yakin akan kedua-dua Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan yang diterajui oleh YAB Perdana Menteri di Malaysia dan di luar negara.

Di samping itu, Tan Sri Francis Yeoh juga seharusnya memimpin melalui teladan dan mendedahkan PPA di antara YTL dengan TNB untuk berkongsi kaedah "inovatif" PPA milik YTL kepada semua pihak berkepentingan termasuk IPP-IPP lain, rakyat Malaysia dan dunia. Mari kita semua menyaksikan KEBENARANNYA! Ini juga akan membantu YTL untuk membersihkan namanya berkenaan kesemua publisiti yang tidak baik yang telah diterima YTL selama 20 tahun yang lalu akibat daripada PPA generasi pertama yang dimeterainya dengan TNB. AWER berharap, IPP lain akan mendedahkan PPA masing-masing untuk membuktikan mereka tidak bersalah (innocence). Sekarang ia bergantung kepada anda semua, Tan Sri Francis Yeoh dan IPP-IPP sekalian!

'Loji-loji Komersil' (Merchant Plants) Akan Menyebabkan Peningkatan Kos kepada Tarif Elektrik

Untuk pengetahuan rakyat dan perniagaan, sudah ada satu mekanisme baru yang direka oleh KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga untuk membawa masuk semula loji-loji janakuasa yang bersara di bawah nama "Merchant Plants". Loji-loji ini tidak mempunyai PPA, maka mereka akan menyalurkan risiko operasi sebagai tarif purata (levelised tariff) yang lebih tinggi kepada tarif elektrik. Ironinya, ini adalah bertentangan dengan objektif industri tenaga elektrik iaitu membekalkan tenaga elektrik pada tarif yang saksama dan berpatutan serta janji-janji yang telah dibuat dalam kebanyakan laporan kerajaan. Kebanyakan loji-loji janakuasa yang telah bersara ini merupakan loji yang tidak mempunyai kecekapan yang tinggi di mana loji-loji ini akan menggunakan bahan api yang lebih banyak. Ini akan menambah beban tambahan dalam bentuk tarif kepada pengguna dan perniagaan secara tidak langsung. Kos Penjanaan (69%), kos Penghantaran (9%) dan kos Pengagihan (21%) merupakan 3 kos utama dalam tarif elektrik. Kos penjanaan boleh dipecahkan lagi kepada kos bahan api (41%) dan caj kapasiti (28%). Mengapa Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA mesti menggunakan kaedah-kaedah 'tidak masuk akal' untuk memerah wang dari rakyat dan perniagaan?

Para Pegawai Kanan KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga Mesti Meletak Jawatan jika Gagal untuk Melaksanakan Proses Bidaan Kompetitif yang Telus

Bebanan daripada levi sebanyak 1.6% kepada tarif elektrik disebabkan oleh Tarif Galakan (Feed-in-Tariff) untuk tenaga boleh diperbaharui sudahpun wujud. Bermula 1 April 2015, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan menambah lagi 6% caj tambahan kepada bil elektrik pengguna domestik (yang penggunaan tenaga elektrik melebihi 300 kWj sebulan) dan perniagaan. Kerajaan juga telah berhasrat untuk mengurangkan subsidi gas asli untuk penjanaan elektrik dan mencapai harga pasaran pada 1 Januari 2016. Jika harga gas asli ditingkatkan secara berkala untuk mencapai harga pasaran dan berdasarkan pemodelan AWER, kenaikan tarif adalah dianggarkan di antara 23.75% dan 39.33% dalam tempoh 18 bulan berbanding dengan purata tarif elektrik semasa (jika tarif asas TNB dan harga arang batu tidak berubah). Ini adalah kos yang akan disalurkan kepada rakyat dan perniagaan melalui tarif elektrik. Mengapa rakyat dan perniagaan perlu melalui masa depan yang lebih sukar jika kos tidak adil (yang disebabkan oleh rundingan terus, merchant plant, pelanjutan PPA, dll.) masih disalurkan kepada tarif elektrik?

AWER memberi amaran kepada KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga supaya tidak menggunakan strategi kelewatan dan blackout lagi. Umumkan proses pembidaan kompetitif yang telus untuk Track 4A sekarang. KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga boleh menipu rakyat Malaysia sekali (pelanjutan beberapa PPA generasi pertama), tetapi mengulanginya sekali lagi adalah memandang rendah keupayaan mental rakyat Malaysia.

AWER menggesa Kabinet, Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri untuk melindungi kesejahteraan rakyat, ekonomi Malaysia dan keyakinan pelabur. Ini adalah amanah yang diberikan oleh rakyat yang mengundi anda semua. Anda semua (Kabinet, Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri) mesti menghalang KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga daripada menjalankan rundingan terus untuk Track 4A.

Para Pegawai Kanan di KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga, pengerusi suruhanjaya serta ahli-ahli suruhanjaya dan juga menteri KeTTHA, anda semua mempunyai dua pilihan:
Pilihan 1: Menjalankan proses pembidaan kompetitif yang telus untuk Track 4A;
Pilihan 2: Meletak jawatan serta-merta kerana gagal untuk melaksanakan janji-janji yang diterbitkan dalam laporan-laporan rasmi kerajaan persekutuan serta mengelirukan rakyat, perniagaan dan pelabur.

Tuan-tuan dan puan-puan, pilihan ada di tangan anda!

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies