English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

DRAMA TRACK 4A - CONTOH JELAS BAGAIMANA KOS YANG TIDAK BERPATUTAN DISALURKAN KEPADA TARIF ELEKTRIK

SIARAN MEDIA - 4 OGOS 2014 (ISNIN)

DRAMA TRACK 4A - CONTOH JELAS BAGAIMANA KOS YANG TIDAK BERPATUTAN DISALURKAN KEPADA TARIF ELEKTRIK

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah sekian lama menggesa kerajaan memastikan pelaksanaan tarif elektrik yang telus, saksama dan berpatutan. Penghapusan subsidi gas asli bagi sektor tenaga akan menaikkan harga gas asli untuk penjanaan tenaga elektrik. Di samping itu, Tarif Galakan (FiT) sudahpun mengenakan levi 1.6%. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berjumlah 6% juga akan dikenakan dalam bil elektrik. Secara keseluruhan, semua sektor perniagaan akan dikenakan caj tambahan berjumlah 7.6% dalam bil elektrik mereka mulai 1 April 2015. Caj tambahan yang serupa juga akan dikenakan kepada pengguna domestik yang menggunakan elektrik lebih daripada 300 kWj (kiloWattjam) sebulan. Drama Track 4A telah menunjukkan tanda-tanda jelas bahawa Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) tidak mempeduli tentang daya saing Malaysia apabila merujuk kepada tariff elektrik atau kenaikan kos sara hidup rakyat Malaysia. Fikirkanlah! Bagaimana pelabur-pelabur akan fikir tentang Malaysia? Mereka mempunyai pakar-pakar tersendiri dan memutar belitkan fakta kejuruteraan menyebabkan pengawalselia negara kita nampak bodoh di peringkat antarabangsa.

1. Ketelusan dalam Kos Tenaga Elektrik Tidak Wujud

AWER telah bertemu dengan Suruhanjaya Tenaga pada akhir tahun 2013 dan meminta agar mekanisme penetapan tarif yang bersesuaian dilaksanakan seperti yang telah dicadangkan oleh AWER (seperti yang diterbitkan dalam laporan AWER yang bertajuk 'Perjuangan: Masa Depan Industri Elektrik Negara', 2011). Pegawai-pegawai kanan Suruhanjaya Tenaga menyatakan bahawa mereka sudi melaksanakan cadangan-cadangan kami tetapi mendakwa bahawa "tangan mereka terikat". Penetapan tarif secara telus akan membolehkan orang ramai dan sektor perniagaan mengakses pecahan kos yang disalurkan sebagai tarif elektrik kepada mereka. Kos penjanaan (generation), kos penghantaran (transmission) dan kos pembahagian (distribution) merupakan 3 kos utama tarif elektrik. Berdasarkan pembentangan Tenaga Nasional Berhad pada Minggu Tenaga di Singapura, pecahan kos adalah seperti berikut: kos Penjanaan (69%), kos Penghantaran (9%), kos Pembahagian (21%) dan lain-lain (1%). Kos penjanaan boleh dipecahkan lagi kepada kos bahan api (41%) dan caj kapasiti (28%).

Memandangkan komponen kos bahan api dijangka meningkat dengan ketara pada masa akan datang, ia juga penting untuk memecahkan komponen kos caj kapasiti (kos seunit kWj bagi setiap loji janakuasa). Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA masih enggan mendedahkan nombor-nombor ini sehingga kini. Ini akan membawa kita kembali kepada persoalan mengapa kerajaan mengarahkan Petronas untuk memberi subsidi gas asli pada tahun 1997? Sebelum itu, tidak ada elemen subsidi dalam sektor penjanaan elektrik kita untuk kos bahan api dan ia adalah penyaluran kos bahan api sepenuhnya. Pada waktu itu, kebanyakan Penjana Bebas (IPP) generasi pertama telahpun beroperasi dengan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) yang lumayan. Adakah Petronas terpaksa kehilangan pendapatannya supaya IPP generasi pertama boleh terus mengaut keuntungan tanpa dipersoalkan?

Sudah tiba masanya kita mempunyai mekanisme penetapan tarif yang telus untuk memastikan hanya kos sebenar disalurkan kepada tarif elektrik dan memastikan Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA tidak menyalurkan kos-kos tidak berpatutan seperti yang dilakukan oleh mereka dalam Drama Track 4A.

2. MyPower dan Pembaharuan MESI Membazirkan Wang Cukai Rakyat

MyPower Corporation ialah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan untuk meneliti pembaharuan Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI). Ia adalah satu urusan mewah dengan pelantikan perunding-perunding asing, aktiviti perhubungan awam yang mahal, bengkel-bengkel dan banyak lagi. Dalam Drama Track 4A ini, kita boleh melihat dengan jelas bahawa wang cukai rakyat telah dibazirkan untuk menjalankan MESI yang "undur ke belakang" ("Back-Pedalling") dan bukannya pembaharuan seperti yang dijanjikan. Pembaharuan yang mewah ini telah menjanjikan tarif elektrik yang telus, saksama dan berpatutan.

Oleh kerana rakyat Malaysia telah dipaksa untuk menerima penyaluran kos bahan api dalam kenaikan tarif tahun ini (1 Januari 2014), Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA kini bereksperimen untuk menyalurkan kos yang tidak berpatutan kepada tarif elektrik akibat kegagalan untuk melaksanakan pembidaan kompetitif yang telus seperti yang dapat dilihat di Drama Track 4A.

Sebagai contoh, tanpa pembidaan kompetitif, sudah tentunya tidak ada cara untuk meramalkan dan mencapai tarif purata (levelised tariff) yang terendah. Ini kerana tiada entiti sanggup mengurangkan margin keuntungannya jika entiti tersebut tidak perlu membida sesebuah projek melalui pembidaan kompetitif yang telus. Kos teknologi dan talian penghantaran agak sama bagi semua pembida; penurunan dalam margin keuntungan merupakan tindakan yang membolehkan pembida memenangi proses bidaan sesebuah projek. Dalam Drama Track 4A, projek Loji Janakuasa Prai digunakan sebagai penanda aras oleh Suruhanjaya Tenaga untuk mengaburkan mata semua pihak berkepentingan. Projek ini telah diluluskan 3 tahun yang lalu dan kos teknologi yang sama telah berkurangan selama ini. Dengan pengurusan risiko yang betul, kos kewangan yang lebih rendah boleh dicapai untuk mencapai tarif purata (levelised tariff) yang lebih rendah dengan Kadar Pulangan Dalaman (Internal Rate of Return - IRR) yang lebih rendah. Malangnya, Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA telah memutar belit fakta kejuruteraan untuk mengelirukan semua pihak untuk melaksanakan rundingan terus melalui MESI yang "undur ke belakang".

Lebih banyak isu-isu sebegini sedang diplotkan memandangkan inisiatif MESI yang "undur ke belakang" sedang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA secara SENYAP-SENYAP. Hakikatnya, semua kos tambahan yang mereka salurkan kepada tarif elektrik akan dikenakan 7.6% kos tambahan (GST dan FiT) bermula 1 April 2015.

3. Isu IPP Dan Rundingan Terus Merupakan Modal Politik Untuk Ramai Ahli-ahli Politik. Mengapakah Hanya Terdapat Beberapa Bantahan Kedengaran ke atas Drama Track 4A Ini?

Ia bukanlah satu perkara yang baru di mana ramai pemimpin politik menggunakan isu IPP, PPA dan rundingan terus sebagai modal politik mereka atas nama berjuang untuk rakyat bagi membolehkan tarif yang saksama dan berpatutan. Malangnya, hanya segelintir ahli-ahli politik menyuarakan bantahan mereka tentang Drama Track 4A semasa sesi Parlimen yang lepas dan situasi telah kembali tenang selepas itu. Ini merupakan peluang keemasan untuk semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap rundingan terus Track 4A. AWER ingin menggesa wakil-wakil rakyat untuk mendesak Kerajaan Persekutuan membentuk sebuah panel siasatan ke atas perbuatan putar belit fakta oleh pihak berkuasa (iaitu Suruhanjaya Tenaga dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) dalam menjustifikasikan rundingan terus Track 4A. Pengundi-pengundi anda semua telah meletakkan kepercayaan bahawa anda semua akan memperjuangkan kesejahteraan mereka. Kini tiba masanya untuk anda semua MENUNJUKKANNYA dan MEMBUKTIKANNYA.

4. TNB Boleh Teruskan Perbincangan dengan SIPP tetapi Sebagai Sebuah GLC,  TNB Perlu Tolak Tawaran Rundingan Terus

Dalam kenyataan TNB kepada Bursa Malaysia, ia telah mengumumkan bahawa TNB telah menandatangani Perjanjian Dasar (Heads of Agreement) dengan SIPP bagi Track 4A. TNB boleh meneruskan usaha sama dengan SIPP atau mana-mana pihak lain. Tetapi, TNB mesti menolak tawaran rundingan terus Track 4A. Penyelesaian yang lebih baik adalah TNB juga menggesa Suruhanjaya Tenaga melaksanakan pembidaan kompetitif yang telus untuk projek Track 4A. Pada Minggu Tenaga yang berlangsung di Singapura, TNB juga telah membentangkan bahawa pembidaan kompetitif berjaya menjimatkan berbilion-bilion Ringgit di mana penjimatan ini akan disalurkan kepada tarif elektrik. Tambahan pula, kesemua kesatuan pekerja TNB juga telah menentang rundingan terus dengan sekeras-kerasnya kerana amalan itu akan mendorong harga yang lebih tinggi dan memberi kesan kepada tarif elektrik. Di samping itu, kerajaan juga telah berikrar untuk melaksanakan pembidaan kompetitif yang telus untuk pembinaan loji janakuasa baru melalui Rancangan Malaysia Ke-10, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan pembaharuan MESI.

AWER yakin jurutera-jurutera dan perancang-perancang di TNB akan dapat menasihati pihak pengurusan TNB bahawa sekarang masih ada masa yang mencukupi untuk melaksanakan bidaan kompetitif dan pembinaan Track 4A dapat diselesaikan pada Jun 2018 selepas Suruhanjaya Tenaga mengeluarkan Notice to Proceed (NTP) pada bulan Jun 2015. AWER menggesa TNB supaya memimpin melalui teladan untuk mengambil bahagian dalam pembidaan kompetitif yang telus sama dengan ikrar yang telah dibuat oleh YTL apabila YTL metolak tawaran rundingan terus Track 4A oleh Suruhanjaya Tenaga. Kini tiba masanya untuk sebuah GLC seperti TNB membuktikan mereka boleh berprestasi dengan lebih baik daripada IPP yang telah dikutuk banyak kali disebabkan oleh PPA mereka.

Kesimpulan

Rancangan Malaysia ke-10, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan pembaharuan MESI bukanlah wayang kulit semata-matanya. Ini adalah janji kerajaan kepada rakyat, perniagaan dan pelabur. Memungkiri janji-janji ini akan mengundang impak-impak negatif yang serius dan menghakis keyakinan pelabur terhadap ketelusan kos tenaga elektrik. Mengapa semua orang perlu membayar lebih dalam tarif elektrik mereka akibat daripada sekumpulan orang ingin mengaut keuntungan? Ini juga akan memberi kesan kepada daya saing Malaysia terutamanya bagi operasi sektor perniagaan. Dengan kenaikan kos sara hidup dan banyak lagi pemotongan subsidi serta cukai GST yang bakal dilaksanakan, ia adalah tidak adil untuk kerajaan membenarkan Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA mengokestrakan Drama Track 4A.

 

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies