English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

KAJIAN JAMINAN TENAGA KEBANGSAAN - APAKAH PENDAPAT RAKYAT MALAYSIA MENGENAI PENGURANGAN SUBSIDI?

SIARAN MEDIA | 06 NOVEMBER 2014 (KHAMIS)

KAJIAN JAMINAN TENAGA KEBANGSAAN - APAKAH PENDAPAT RAKYAT MALAYSIA MENGENAI PENGURANGAN SUBSIDI?

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menjalankan Kajian Jaminan Tenaga Kebangsaan (National Energy Security Survey-NESS) untuk mewujudkan data asas mengenai isu-isu berkaitan tenaga. Rangka pensampelan yang digunakan adalah senarai Blok Penghitungan (BP) yang dikemaskini maklumat Tempat Kediaman (TK) daripada Banci Penduduk dan Perumahan 2010. Pensampelan dibangunkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Apabila ditanya sama ada responden sokong usaha kerajaan untuk mengurangkan subsidi dan menstruktur semula subsidi elektrik dan bahan api, hanya 27.55% rakyat Malaysia menyokong usaha ini. Baki 72.45% tidak menyokong usaha ini. Sokongan paling tinggi adalah daripada Putrajaya (46.38%), diikuti oleh Pahang (31.91%), Negeri Sembilan (31.25%) dan Sarawak (31.25%). Pulau Pinang merekod peratusan tertinggi yang tidak menyokong usaha ini sebanyak 82.57%, diikuti oleh Selangor (81.25%) dan Kuala Lumpur (80.26%).

Untuk memahami dengan lebih lanjut keputusan mereka, AWER telah merekodkan sebab-sebab di sebalik keputusan mereka. Jadual 1 menunjukkan pecahan sebab-sebab rakyat Malaysia menyokong usaha ini (27.55%) dan Jadual 2 menunjukkan pecahan sebab-sebab rakyat Malaysia tidak menyokong usaha ini (72.45%). 18.13% rakyat Malaysia berpendapat bahawa subsidi perlu diberikan kepada golongan yang amat memerlukan subsidi. Tetapi, 27.53% rakyat Malaysia berpendapat bahawa mendapat subsidi adalah hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Ini diikuti oleh 26.32% rakyat Malaysia berpendapat bahawa mereka memerlukan subsidi untuk mengurangkan beban perbelanjaan mereka. Di samping itu, 18.50% rakyat Malaysia berpendapat bahawa ia adalah tugas kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Jadual 1: Pecahan sebab-sebab menyokong mengurangan subsidi (27.55%)

Sebab menyokong pengurangan subsidi Peratus (%)
Pengagihan ekonomi yang lebih baik 6.95%
Memberikan subsidi kepada golongan yang amat memerlukan subsidi 18.13%
Saya tidak menikmati subsidi 1.79%
Saya tidak perlukan subsidi 0.64%
Lain-lain 0.04%

Jadual 2: Pecahan sebab-sebab tidak menyokong mengurangan subsidi (72.45%)

Sebab tidak menyokong pengurangan subsidi Peratus (%)
Saya perlukan subsidi untuk kurangkan beban perbelanjaan saya 26.32%
Mendapat subsidi adalah hak saya sebagai rakyat 27.53%
Ia adalah tugas kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat 18.50%
Lain-lain 0.10%

Apabila di tanya sama ada mereka ingin mengetahui bagaimana penjimatan daripada pengurangan subsidi ini dibelanjakan oleh kerajaan secara terperinci, 68.38% rakyat Malaysia ingin mengetahuinya dan baki 31.62% daripada mereka tidak ingin mengetahui perincian perbelanjaan. Kuala Lumpur merekodkan respon tertinggi (79.93%) untuk mengetahui perbelanjaan terperinci daripada penjimatan, diikuti oleh Johor (76.64%) dan Selangor (75.99%). Pahang merekodkan respon tertinggi (47.37%) untuk tidak ingin mengetahui perbelanjaan terperinci daripada penjimatan, diikuti oleh Perlis (46.38%) dan Kedah (43.42%).

Apabila ditanya sama ada mereka yakin kerajaan akan menyalurkan subsidi kepada golongan sasaran (miskin dan miskin tegar) dengan betul, 42.52% rakyat Malaysia yakin dan baki (57.48%) daripada mereka tidak yakin. Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi bahawa kerajaan akan memberikan subsidi kepada golongan sasaran iaitu 82.89%, diikuti oleh Perlis (47.37%) dan Sarawak (46.71%). Di sebaliknya, peratusan ketidakyakinan yang tinggi adalah daripada Pulau Pinang (68.09%), diikuti oleh Kuala Lumpur (66.78%) dan Kelantan (66.45%).

Bagaimanapun, tahap keyakinan rakyat Malaysia tenggelam apabila di tanya sama ada mereka yakin kerajaan akan menggunakan penjimatan daripada pengurangan subsidi dengan betul dan tanpa pembaziran bagi tujuan projek-projek kemudahan rakyat. Hanya 33% rakyat Malaysia yakin dan baki  67% daripada mereka tidak yakin. Putrajaya mempunyai tahap keyakinan yang tertinggi iaitu 82.24%, diikuti oleh Pahang (48.03%) dan Johor (37.17%). Tahap ketidakyakinan yang tinggi datang daripada Melaka (87.17%), diikuti oleh Kelantan (76.97%) dan Perak (76.32%). Maklumat terperinci diberikan dalam Jadual 3.

Jadual 3: Yakin bahawa kerajaan akan menggunakan penjimatan daripada pengurangan subsidi dengan betul dan tanpa pembaziran bagi tujuan projek-projek kemudahan rakyat

 

Negeri Yakin Tidak Yakin
Johor 37.17% 62.83%
K. Lumpur 30.26% 69.74%
Kedah 33.88% 66.12%
Kelantan 23.03% 76.97%
Labuan 31.91% 68.09%
Melaka 12.83% 87.17%
N. Sembilan 27.63% 72.37%
P. Pinang 25.99% 74.01%
Pahang 48.03% 51.97%
Perak 23.68% 76.32%
Perlis 24.34% 75.66%
Putrajaya 82.24% 17.76%
Sabah 33.22% 66.78%
Sarawak 29.93% 70.07%
Selangor 26.64% 73.36%
Terengganu 37.17% 62.83%
Malaysia 33.00% 67.00%

 

Berdasarkan respon yang diterima oleh AWER dalam kajian ini, peningkatan kos sara hidup mungkin menjadi salah satu faktor yang menyebabkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan pengurangan subsidi. Perkara ini dapat di lihat dengan jelas apabila 26.32% rakyat Malaysia berpendapat bahawa mereka memerlukan subsidi untuk mengurangkan beban perbelanjaan mereka dan 18.50% rakyat Malaysia berpendapat bahawa ia adalah tugas kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat. Rakyat juga menuntut ketelusan tentang bagaimana penjimatan daripada pengurangan subsidi dibelanjakan untuk golongan sasaran dan projek-projek kemudahan rakyat.

Secara kebiasaan pengurangan subsidi (atau rasionalisasi subsidi) di lihat sebagai satu langkah yang tidak popular. Apabila langkah ini digabungkan dengan penjelasan-penjelasan yang teruk, adalah sukar bagi rakyat Malaysia untuk memahami pengurang subsidi secara keseluruhan. Sebagai contoh, sebab utama kenaikan tarif elektrik yang mendadak bermula 1 Januari 2014 ialah pelaksanaan harga gas asli dua lapisan (two-tier natural gas pricing). Kegagalan untuk menangani kos sebenar gas asli dan mengaitkan harga gas asli pada harga premium tidak disenangi industri. Walaupun agensi-agensi kerajaan berulang kali mengeluarkan kenyataan bahawa proses pengurangan subsidi mempunyai kesan minimum dalam meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan, realitinya di peringkat akar umbi adalah bagai bumi dengan langit.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kita sering mendengar alasan-alasan yang tidak masuk akal mengenai pengurangan subsidi untuk bahan api (diesel dan petrol RON 95). Adakah kos bahan api yang kita bayar mencerminkan kos bahan api sebenar atau sebaliknya? Isu asas seperti ini harus ditangani secara holistik agar orang ramai dan perniagaan boleh memahami pelaksanaan pengurangan subsidi sepenuhnya. Kerajaan juga harus menerbitkan perbelanjaan terperinci tentang bagaimana penjimatan ini akhirnya digunakan.

Adakah agensi-agensi berkaitan akan mendedahkan maklumat penting yang berkaitan dengan harga bahan api, penjimatan daripada pengurangan subsidi dan perbelanjaan terperinci penjimatan? Jika kerajaan serius tentang pengurangan subsidi, ia mesti mengambil kira bagaimana rakyat memandang isu ini.

Kepada agensi-agensi yang berkaitan, jangan berpeluk tubuh lagi!

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies