English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

BERSEDIA UNTUK MENGHADAPI BANJIR YANG LEBIH TERUK JIKA KADAR PENGONDOLAN HUTAN BERTERUSAN!

SURAT KEPADA PENGARANG - 28 Disember 2014 (Ahad)

BERSEDIA UNTUK MENGHADAPI BANJIR YANG LEBIH TERUK JIKA KADAR PENGONDOLAN HUTAN BERTERUSAN!

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) memandang serius cubaan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, tidak logik, bodoh dan kurang waras untuk mengaitkan banjir sekarang dengan menuding jari kepada "hukuman daripada Tuhan" ataupun menyatakan kejadian banjir ini sebagai satu banjir luar biasa. Sebenarnya, jika pengondolan hutan kita berterusan, cuba bayangkan situasi banjir yang akan kita hadapi apabila kita tinggal hanya separuh daripada hutan dara kita yang sedia ada?

Dalam Rancangan Malaysia ke-10, sebanyak RM 5 Billion telah diperuntukan bagi projek-projek tebatan banjir (muka surat 296). Berdasarkan pecahan Belanjawan 2015 terkini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sepatutnya melaksanakan projek-projek bernilai RM 4.638 Billion untuk tebatan banjir dari tahun 2011 sehingga 2015, tetapi hanya RM 2.459 Billion telah diperuntukan sehingga kini. Tambahan pula, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM 1.788 Billion dan RM 3.998 Billion untuk tebatan banjir di bawah Rancangan Malaysia ke-8 dan ke-9 masing-masing. Apakah status terkini projek-projek ini? Apakah impak yang sepatutnya diberikan oleh projek-projek yang sudah siap setakat Disember 2014 ini?

Berdasarkan nilai anggaran, kehilangan kewangan yang disebabkan oleh banjir adalah sekitar RM 1 Billion setahun. Ini merupakan nilai pada tahun 2002 yang telah diterbitkan oleh JPS. Dengan itu, kehilangan kewangan yang disebabkan oleh banjir boleh dianggar sekitar RM 12 Billion atau lebih sehingga tahun 2013. Banjir tahun ini akan menyebabkan kehilangan kewangan yang jauh lebih tinggi. Walau bagaimanapun, kehilangan kewangan ini tidak termasuk kos peruntukan projek-projek tebatan banjir, pembinaan semula infrastruktur dan pampasan. Berapakah yang kita akan hilang pada masa depan jika pengondolan hutan masih berterusan?

Situasi banjir semakin serius saban tahun dan sudah tiba masanya untuk audit projek-projek tebatan banjir ini. AWER menyeru Ketua Audit Negara menjalankan audit terperinci bagi projek-projek tebatan banjir dan saliran yang telah dirancang dan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-8, ke-9 dan ke-10. Skop audit juga perlu merangkumi keberkesanan setiap projek. Ketua Audit Negara juga mesti melaporkan kehilangan kewangan tahunan bagi negeri-negeri dan negara yang disebabkan oleh kejadian banjir.

Sains asas menempatkan banjir sebagai sebahagian daripada kitar air. Memandangkan Malaysia mempunyai iklim Khatulistiwa, "hujan" menjadi kata kunci penting. Seperti yang telah kami terangkan dahulu, apabila hujan turun, sebahagian daripada air hujan ini diserap oleh hutan dan tanah dan baki air hujan ini akan mengalir pada permukaan sebagai air larian permukaan (surface runoff). Apabila kapasiti penyerapan secara semulajadi berkurang, kadar aliran air larian permukaan akan bertambah. Mengapakah kapasiti penyerapan berkurangan? Ia berkurang akibat daripada pengondolan hutan, perubahan dalam guna tanah (land use), pertambahan dalam permukaan tidak telap air (permukaan yang tidak menyerap air) dan secara keseluruhan, pembangunan untuk menampung peningkatan populasi penduduk.

Hal-hal berkaitan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan-kerajaan negeri. Ini meliputi perlindungan hutan dara dan pewartaan guna tanah di bawah setiap kerajaan tempatan. Pengondolan hutan dara dan menanam semula dengan tumbuhan pertanian tidak menjadikan kawasan ini "hijau" dan "semula jadi". Kemusnahan hutan akan menghapuskan keupayaan alam semulajadi untuk "melambatkan" pergerakan air larian permukaan. Maka, tumbuhan pertanian yang berwarna hijau tidak menjamin tebatan banjir semulajadi. Apabila hutan musnah, ia adalah jalan sehala untuk kita semua!

AWER ingin menyeru kerajaan untuk mematuhi hukum alam (nature's law). Setiap penyelesaian tebatan banjir yang dirancang mesti "meniru" kaedah-kaedah semulajadi. Air mengalir dari kawasan tinggi ke rendah dengan mengikut laluan yang paling logik (disebabkan oleh graviti). Ia juga membentuk kawasan-kawasan paya air tawar dan tasik-tasik dalam perjalanannya. Pergerakan air dalam kuantiti yang banyak tidak akan mengikut saliran yang manusia sediakan. Ia bergerak berdasarkan momentumnya sendiri dan menghanyut segala yang berada dalam laluanya yang ia boleh atasi. Inilah insiden yang kita telah saksikan di Lembah Bertam, Cameron Highlands. Meniru alam semulajadi dan kaedah melambatkan adalah satu-satunya cara untuk mengurangkan atau mengelakkan insiden yang menyebabkan kemusnahan.

Pembinaan infrasturktur-infrastuktur tebatan banjir adalah penting. Pada masa yang sama, penyelenggaraan infrastruktur-infrastruktur ini juga amat diperlukan. Walau bagaimanapun, jika litupan hutan semakin berkurangan, tidak kira berapa banyak kita belanjakan, Malaysia tidak akan dapat meminimumkan atau menyelesaikan masalah banjir ini. Ini adalah kerana kuantiti air yang banyak akan mengatasi infrastruktur-infrastruktur yang kita bina dengan tujuan "cuba" mengawal banjir.

Ingat, kita hidup dalam keseimbangan dengan alam sekitar. Apa-apa cubaan untuk memusnahkannya, kita merancang kemusnahan sendiri!

 


Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies