English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

KeTTHA DAN SURUHANJAYA TENAGA MESTI TELUS DALAM PENGUMUMAN SEMAKAN SEMULA TARIF

SIARAN MEDIA - 09 DISEMBER 2015 (RABU)

KeTTHA DAN SURUHANJAYA TENAGA MESTI TELUS DALAM PENGUMUMAN SEMAKAN SEMULA TARIF

Persatuan Penyelidikan Air dan Penyelidikan Tenaga Malaysia (AWER) bimbang dengan kaedah tidak telus Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Suruhanjaya Tenaga dalam mengumumkan semakan semula tarif bagi tempoh Januari hingga Jun 2016. Maklumat dimanipulasi untuk menggambarkan situasi yang berbeza berbanding dengan keadaan yang sebenar. KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga tidak boleh memanipulasi dan memberi gambaran data yang salah dalam apa-apa cara yang menghakis keyakinan orang ramai dan perniagaan ke atas ekonomi negara kita.

1. PECAHAN KOS SEMAKAN TARIF 1 JANUARI 2014 - 31 DISEMBER 2017

Pertama sekali, mari kita merujuk semula mekanisme penetapan tarif yang menggunakan Penyaluran Kos Tidak Seimbang (Imbalanced Cost Pass Through - ICPT). Bermula 1 Januari 2014, purata tarif baru ditetapkan pada 38.53 sen/kWj. Tarif purata ini (38.53 sen / kWj) terdiri daripada kos bahan api, caj kapasiti, penghantaran, pengagihan dan kos-kos lain. Kos bahan api akan dilaksanakan melalui mekanisme ICPT yang akan menyalurkan penjimatan atau kos tambahan bahan api semula kepada tarif elektrik setiap 6 bulan. Kos caj kapasiti, penghantaran, pengagihan dan kos-kos lain digabungkan sebagai tarif asas (base tariff). Berdasarkan pecahan tarif seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1, komponen kos bahan api adalah 15.68 sen/ kWj yang akan dikaji semula setiap 6 bulan untuk mencerminkan kos bahan api yang terkini. Tarif asas yang ditetapkan dari 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2017 ialah 22.85 sen/kWj. Gas asli berpaip ditetapkan pada harga RM 15.20 setiap mmBTU, Gas Asli Cecair (LNG) ditetapkan pada harga RM 41.68 setiap mmBTU dan arang batu ditetapkan pada harga USD 87.50 setiap tan metrik.

Jadual 1: Pecahan Tarif Purata Berdasarkan Komponen-komponen Kos Tarif

Komponen Kos Tarif Tarif (sen/kWj)
Kos bahan api 15.68
Caj kapasiti 10.71
Pengagihan (Distribution) 8.24
Penghantaran (Transmission) 3.66
Operasi pembeli tunggal and operasi sistem grid 0.24
TARIF PURATA 38.53


Jika kos bahan api meningkat melebihi nilai-nilai yang digunakan semasa penetapan tarif (harga gas asli berpaip adalah RM 15.20 setiap mmBTU, harga LNG adalah RM 41.68 setiap mmBTU dan harga arang batu adalah USD 87.50 setiap tan metrik berkuatkuasa pada 1 Jan 2014) dalam 6 bulan semasa, kos bahan api tambahan akan disalurkan pada 6 bulan berikutnya. Jika kos bahan api berkurangan bagi 6 bulan semasa, penjimatan daripada pengurangan kos bahan api akan diberikan sebagai rebat pada 6 bulan berikutnya.

2. ICPT DAN APA SEBENARNYA YANG TELAH BERLAKU

Sejak awal tahun 2015, harga LNG dan arang batu telah berkurang dan membantu mewujudkan penjimatan dalam kos bahan api. Ini adalah wang yang telah dibayar oleh pengguna domestik dan perniagaan yang perlu dikembalikan semula sebagai rebat di bawah mekanisme ICPT. Bermula 1 Julai 2015, harga gas asli berpaip telah meningkat sebanyak RM 1.50 bagi setiap mmBTU. Ini menyebabkan harga gas asli berpaip meningkat daripada harga penetapan tarif iaitu RM 15.20 setiap mmBTU kepada 16.70 setiap mmBTU. Kenaikan harga gas asli berpaip sebanyak RM 1.50 setiap mmBTU akan meningkatkan kos bahan api sebanyak kira-kira RM 280 juta.

Semalam, menteri KeTTHA mengumumkan bahawa harga gas asli berpaip akan meningkat sebanyak RM 1.50 setiap mmBTU kepada RM 18.20 setiap mmBTU berkuatkuasa 1 Januari 2016. Walau bagaimanapun, harga gas asli sebenarnya meningkat sebanyak RM 3.00 setiap mmBTU berdasarkan harga gas asli berpaip RM 15.20 setiap mmBTU yang digunakan semasa penetapan tarif untuk 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2017. Ini menjadikan harga gas asli berpaip kepada RM 18.20 setiap mmBTU . Ini bermakna kira-kira RM 560 juta dari penjimatan kos bahan api di antara Julai 2015 dan Disember 2015 akan digunakan untuk menampung kenaikan kos harga gas asli berpaip antara Januari 2016 dan Jun 2016. Dalam erti kata lain, jumlah rebat kepada pengguna akan mengalami kekurangan RM 560 juta antara Januari 2016 dan Jun 2016. Jika kerajaan tidak meningkatkan harga gas asli berpaip dan menyalurkan RM 560 juta ini sebagai rebat tarif, pengguna akan mendapat tambahan 1.117 sen/kWj sebagai rebat tarif. Ini bermakna rebat tarif sebenar sepatutnya adalah 2.637 sen/kWj dan BUKANNYA 1.52 sen/kWj seperti yang diumumkan oleh Menteri KeTTHA semalam. Sebab sebenar mengapa rebat yang lebih rendah disalurkan di antara Januari 2016 dan Jun 2016 adalah disebabkan oleh peningkatan dalam harga gas asli berpaip. Jadual 2 meringkaskan penjimatan kos bahan api yang dilaporkan oleh KeTTHA dan penjimatan kos bahan api sebenar.

Jadual 2: Ringkasan Penjimatan Kos Bahan Api yang Dilaporkan oleh KeTTHA dan Penjimatan Kos Bahan Api Sebenar

Masa
Penjimatan kos bahan api 
yang dilaporkan oleh KeTTHA 
(RM Juta)
 Penjimatan yang digunakan untuk 
menampung peningkatan harga gas asli berpaip 
(RM Juta)
Penjimatan Kos Bahan Api yang Sebenar 
(RM Juta)
Januari - Jun 2015 1,085.67 280 1,365.67
Julai - Disember 2015 762.03 560

1,322.03

 

3. KERAJAAN PERLU TELUS DALAM HARGA GAS ASLI BERPAIP

Harga pasaran semasa LNG adalah RM 31.317 setiap mmBTU. Walau bagaimanapun, gas asli berpaip tidak akan mempunyai kos tambahan seperti LNG yang terdiri daripada kos menukarkan gas asli kepada cecair, kos pengangkutan dari pelabuhan ke pelabuhan dan kos penukaran daripada cecair kepada gas.

Ia adalah penting bagi Malaysia kekal berdaya saing dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Ketelusan dan harga yang kompetitif bagi sumber tenaga adalah penting untuk pertumbuhan Malaysia. AWER menyeru kerajaan untuk mendedahkan mekanisme pengiraan bagi kedua-dua gas asli berpaip dan LNG. Maka, kerajaan mesti mendedahkan perbelanjaan modal, perbelanjaan operasi dan margin keuntungan yang telah diaudit untuk harga gas asli berpaip. Kos grid gas asli juga perlu telus supaya pecahan kosnya adalah jelas. Jika kos tarif elektrik boleh dipecahkan kepada bahagian-bahagian yang terperinci, kos LNG, gas asli berpaip dan grid gas asli juga boleh telus dengan menggunakan kaedah yang sama.

4. MASALAH RUNDINGAN TERUS SEKALI LAGI?

Mengapakah KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga melakukan begitu banyak rundingan terus bagi loji janakuasa bahan api fosil dan projek solar berskala utiliti (USS)? Walaupun Kerajaan Persekutuan telah berjanji proses pembidaan kompetitif dalam kedua-dua Rancangan Malaysia ke-10 dan ke-11, realitinya adalah begitu banyak rundingan terus sedang dijalankan melalui pintu belakang. Ini pasti akan memberi kesan negatif kepada penetapan tarif masa depan kerana kos akan meningkat akibat daripada rundingan terus. Beberapa projek loji janakuasa yang telah dianugerah melalui rundingan terus seperti Track 4A telah mengalami kelewatan dan memberi laluan untuk perjanjian pembelian tenaga besi buruk (loji janakuasa gas asli yang tidak cekap) dilanjutkan manakala tarif purata pelanjutan ini masih kekal sebagai misteri.

Oleh itu, AWER menyeru Kerajaan Persekutuan untuk mengumum dan menerbitkan semua ramalan perancangan dan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tariff (JPPPET) untuk pengetahuan umum. Semua keputusan yang dibuat oleh JPPPET akan memberi impak langsung kepada tarif elektrik dan keputusan ini perlu didedahkan kepada umum. KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga telah memperbodohkan semua orang kerana masih menggunakan alasan "mempercepatkan" pembinaan loji-loji janakuasa baru bagi menjustifikasi rundingan terus. Alasan bodoh seperti ini mesti dihentikan sebelum pelabur-pelabur hilang keyakinan dalam struktur sektor tenaga elektrik dan penetapan tarif tenaga elektrik di Malaysia.

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

 

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies