English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

LOJI-LOJI JANAKUASA TRACK 4A, TRACK 4B DAN 500 MW SOLAR SKALA UTILITI - KELAM KABUT DI SEKTOR PENJANAAN TENAGA

SIARAN MEDIA - 16 DISEMBER 2015 (RABU)

LOJI-LOJI JANAKUASA TRACK 4A, TRACK 4B DAN 500 MW SOLAR SKALA UTILITI - KELAM KABUT DI SEKTOR PENJANAAN TENAGA

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah berulang kali membangkitkan isu-isu mengenai bidaan kompetitif yang adil dan telus serta impak positifnya kepada tarif elektrik serta mendisiplinkan pemain-pemain industri penjanaan elektrik. Akan tetapi, kekurangan etika dan disiplin pegawai-pegawai Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Suruhanjaya Tenaga akan menyebabkan risiko yang lebih tinggi kepada sektor penjanaan elektrik dalam bentuk ancaman kepada jaminan tenaga.

Hak pembangunan projek yang ditawarkan kepada syarikat tertentu atau sebuah konsortium syarikat-syarikat mesti mematuhi beberapa syarat dan juga kedua-dua Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik. Pertama sekali, syarikat atau rakan kongsi konsortium yang ditawarkan projek loji janakuasa mesti mempunyai loji janakuasa sedia ada yang beroperasi. Keduanya, 49% had ekuiti pemilik asing mesti diteruskan kerana ia adalah penting untuk ekonomi pada saiz Malaysia melindungi aset-aset strategik negara. Ketiga, surat tawaran projek tidak membenarkan hak pembangugn untuk dijual kepada mana-mana pihak. Mari kita melihat isu Track 3B (Jimah East) sebagai kes rujukan.

1. PENGAJARAN DARIPADA PROJEK TRACK 3B (JIMAH EAST)

Track 3B atau lebih dikenali sebagai Jimah East ialah loji janakuasa arang batu 2000 MW. 1MDB telah gagal memenuhi keperluan untuk memuktamadkan sumber kewangan bagi projek ini yang mereka menang melalui pembidaan kompetitif. Oleh itu, 1MDB telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Tenaga untuk memaklumkan Suruhanjaya Tenaga bahawa 1MDB tidak boleh meneruskan pembangunan projek Track 3B. Selepas itu, Suruhanjaya Tenaga telah menganugerahkan projek ini kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Berdasarkan maklumat yang kami kumpulkan, TNB dan satu lagi Penjana Bebas (IPP) telah dijemput untuk membincangkan entiti mana yang boleh menawarkan tarif purata (levelised tariff) yang dihadkan kepada tawaran bidaan kedua terendah iaitu 26.67 sen/kWj. TNB tidak membeli hak pembangunan Track 3B dan langkah tersebut telah diambil oleh Suruhanjaya Tenaga kerana Track 3B telah dianugerahkan melalui pembidaan kompetitif.

2. PROJEK-PROJEK TERKINI YANG BERMASALAH

(I) Projek 500 MW Solar Berskala Utiliti (USS)

Satu jawapan bertulis oleh Menteri KeTTHA kepada Dewan Rakyat bagi soalan mengapa projek 50MW USS dianugerahkan melalui rundingan terus kepada 1MDB pada 10 November 2014 telah menyatakan bahawa projek 50 MW USS tersebut adalah sebuah projek perintis yang akan membuka peluang kepada projek-projek akan datang yang akan dianugerahkan di dalam proses tender terbuka di mana kepentingan negara dilindungi. Kini, persoalannya ialah mengapakah 1MDB dianugerahkan projek 500MW USS melalui rundingan terus? Adakah menteri KeTTHA tidak memaklumkan kepada Parlimen akan saiz sebenar projek USS yang dianugerahkan melalui rundingan terus? Yang lebih penting lagi,  adakah KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga telah meluluskan penjualan hak pembangunan projek 500MW USS dalam penjualan aset-aset Edra baru-baru ini? Sekarang, mari kita merujuk kepada kes Track 3B. Hak pembangunan projek tidak boleh dijual dan ia perlu diserahkan kembali kepada Suruhanjaya Tenaga sekiranya pemilik projek gagal memenuhi syarat-syarat atau milestones yang telah ditetapkan. Jika KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga telah meluluskan penjualan sebegini, KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga telah melanggar kedua-dua Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik.

(II) Track 4A 1000 MW - 1400 MW Turbin Kitaran Bersepadu Gas (CCGT)

Satu jawapan bertulis oleh Menteri KeTTHA kepada Dewan Negara untuk soalan mengapa Track 4A telah diberikan melalui rundingan terus pada 30 Jun 2014, Menteri KeTTHA telah menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk mempercepatkan tarikh penyiapan projek bagi memenuhi keperluan sistem. Projek ini telah dianugerahkan kepada sebuah konsortium SIPP-YTL-TNB. Walau bagaimanapun, kedua-dua YTL dan TNB telah menarik diri daripada projek ini. Satu syarat yang penting bagi projek loji janakuasa untuk dianugerahkan kepada sesebuah syarikat atau konsortium adalah syarikat yang menerima anugerah atau rakan kongsinya mesti mempunyai loji janakuasa yang beroperasi. Dalam kes Track 4A, kedua-dua syarikat (YTL dan TNB) yang mempunyai loji janakuasa yang beroperasi telah menarik diri daripada projek ini. Tambahan pula, SIPP telah gagal memenuhi keperluan untuk memuktamadkan sumber kewangan (financial close) bagi Track 4A. Maka, penganugerahan projek ini mesti dibatalkan. Mengapakah KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga masih berdolah-dalih untuk membatalkan penganugerahan Track 4A dan melaksanakan proses pembidaan kompetitif yang baru? Kegagalan oleh KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga untuk mematuhi kedua-dua Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik telah menyebabkan pelanjutan perjanjian pembelian tenaga beberapa loji janakuasa gas lama yang tidak cekap di mana ia akan menyalurkan kos bahan api yang lebih tinggi kepada tarif elektrik.

(III) Track 4B 2000 MW CCGT di Melaka

Satu jawapan bertulis oleh Menteri KeTTHA kepada Dewan Rakyat untuk soalan mengapa Track 4B diberi melalui rundingan terus kepada 1MDB pada 9 Oktober 2014 telah menyatakan bahawa Track 4B dianugerahkan terus kepada 1MDB disebabkan oleh kemampuan dan kebolehan dari segi kepakaran dalam mengendalikan dan melaksanakan projek-projek penjanaan elektrik yang dimilikinya serta 1MDB adalah syarikat milik penuh kerajaan dan atas kepentingan strategik negara secara keseluruhannya. Menteri KeTTHA juga telah memanipulasi isu margin simpanan (reserve margin) untuk mewajarkan penganugerahan itu melalui rundingan terus. Jawapan oleh Menteri KeTTHA secara khusus telah menekankan bahawa Track 4B dianugerahkan kepada syarikat milik penuh kerajaan dan atas kepentingan strategik negara secara keseluruhan. Oleh itu, adakah ia 'STRATEGIK' untuk menjual hak pembangunan projek Track 4B? Sekali lagi, adakah KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga telah meluluskan penjualan hak pembangunan Track 4B dalam penjualan aset-aset Edra baru-baru ini dan melanggar kedua-dua Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik?

3. KeTTHA DAN SURUHANJAYA TENAGA MESTI MENJAWAB PERSOALAN

Kedua-dua KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga perlu berhenti bermain pekak badak dan mula menjawab soalan-soalan penting yang dibangkitkan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan 500 MW USS, Track 4A dan Track 4B.

AWER berdiri teguh dengan pendirian kami bahawa tarif elektrik yang berpatutan dan saksama hanya boleh dicapai melalui pembidaan kompetitif yang adil dan telus. Kos teknologi-teknologi penjanaan tenaga elektrik adalah sesuatu yang diketahui secara meluas di kalangan pemain-pemain industri. Bagi seseorang pembida untuk memenangi projek, pembida tersebut mesti sanggup mengurangkan margin keuntungannya dan juga menanggung sebahagian risiko-risiko kewangan berkaitan dengan projek supaya ia dapat mengurangkan kos pembiayaan projek. Harga bidaan yang lebih rendah akibat daripada kos pembiayaan projek dan margin keuntungan yang lebih rendah akan diterjemahkan kepada penjimatan kos jangka panjang bagi pengguna domestik dan perniagaan melalui terif elektrik. Maka, ia adalah tidak munasabah untuk melaksanakan rundingan terus.

AWER juga menyeru ahli-ahli Parlimen untuk mengambil tindakan ke atas Menteri KeTTHA kerana memberi jawapan terumbang-ambing di Parlimen mengenai penganugerahkan projek-projek melalui rundingan terus dan keadaan kucar-kacir yang telah diwujudkan oleh KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga dalam sektor penjanaan elektrik.

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies