English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

MELITAR PINTAS ISU-ISU TENAGA DI RANCANGAN MALAYSIA KE-12

SIARAN MEDIA
Tarikh: 13 OKTOBER 2021 (RABU)

MELITAR PINTAS ISU-ISU TENAGA DI RANCANGAN MALAYSIA KE-12

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menyediakan komen-komen bagi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). Komen-komen ini adalah berdasarkan kepada laporan-laporan dan cadangan-cadangan yang diterbitkan oleh AWER serta maklumat-maklumat yang didapati di dalam RMK12, Rancangan Malaysia ke-11, Rancangan Malaysia ke-10 dan Rancangan Malaysia ke-9.

1. Membangunkan Sektor Biojisim (Biomass)
Halatuju Tenaga Boleh Diperbaharui untuk Malaysia pada dasarnya dicemari dengan politik pejabat dan gagal mewujudkan sektor biojisim yang lebih baik sejak sedekad yang lalu. Sebagai permulaan, kerajaan mesti meneliti semua input biojisim dari pelbagai aktiviti yang mesti dikenal pasti dan dinilai. Cadangan untuk insentif bagi mengurangkan masalah logistik di sektor biojisim mesti berdasarkan output. Memandangkan input biojisim adalah berbeza disebabkan oleh aliran sisa yang berbeza, ia adalah penting untuk membangunkan kepakaran tempatan dan teknologi pemprosesan. Pembangunan campuran tenaga biojisim yang terjamin memerlukan anjakan paradigma besar untuk menangani faktor beban (loading factor) serta masalah kecekapan penjanaan (generation efficiency) yang secara langsungnya berkaitan dengan penstabilan nilai kalori (calorific value) input biojisim. Pembangunan yang holistik dalam sektor biojisim akan menyumbang kepada pengurangan pencemaran dengan pelaksanaan sasaran sifar sisa.

2. Kecekapan Tenaga Bagi Bangunan
Peraturan Kecekapan Tenaga Bagi Bangunan yang baru mesti dibangunkan dan dikuatkuasakan untuk bangunan baru dan menambah baik (retrofit) bangunan yang sedia ada. Peraturan tersebut mesti membantu menambah baik Sistem Pemanasan, Pengudaraan dan Penyamanan Udara (Heating, Ventilation and Air Conditioning - HVAC), bahan dan reka bentuk bangunan, bahan penebat dan aplikasi lain yang sedang muncul (emerging). Tempoh peralihan, penguatkuasaan dan garis panduan yang bersesuaian (untuk merangkumi pelbagai operasi / fungsi bangunan) juga mesti dibangunkan. Peraturan ini mesti mempunyai tempoh kaji semula setiap 5 tahun untuk memastikan kita mengikuti teknologi terbaru yang tersedia wujud. Dengan ini, semua jenis bangunan (kerajaan, komersial dan domestik) dapat dirancang untuk menjadi cekap tenaga pada peringkat pembinaan secara berterusan dan akan dapat membantu mengurangkan beban permintaan puncak (peak load).

3. Bekalan Elektrik Luar Bandar
Kerajaan menyasarkan untuk membawa bekalan elektrik kepada 28,000 isi rumah baru untuk mencapai 99% liputan bekalan elektrik di luar bandar menjelang 2025. Ini adalah pencapaian yang memberangsangkan bagi sebuah negara membangun. AWER ingin menggesa kerajaan mengaudit peruntukan selama 2 dekad yang lalu untuk projek-projek bekalan elektrik luar bandar dan pencapaian sebenar berbanding dengan output yang disasarkan. Ini adalah penting bagi Malaysia untuk mengenal pasti keberkesanan kos, halangan pelaksanaan dan juga pengajaran daripada pengalaman yang dapat dipelajari untuk memastikan operasi, penyelenggaraan dan kerja-kerja naik taraf pada masa hadapan dapat dilakukan dengan cara yang lebih berkesan.

4. Membangunkan Subsektor Minyak dan Gas Di Sabah dan Sarawak
Pembangunan sektor perindustrian di Sabah dan Sarawak akan memberi banyak manfaat kepada ekonomi tempatan. AWER ingin kerajaan mengambil perhatian  mengenai komitmen Sifar Bersih (Net Zero) menjelang 2050 dan perancangannya untuk Sabah dan Sarawak. Dengan hanya kurang daripada 30 tahun untuk mencapai Sifar Bersih, berapakah pulangan pelaburan dan apakah kebolehlanjutan infrastruktur tersebut di Sabah dan Sarawak menjangkaui tahun 2050? Kami menggesa analisis manfaat kos yang tepat dan penyelesaian penambahbaikan yang berpotensi dilakukan untuk memberi hasil jangka panjang bagi infrastruktur tersebut di Sabah dan Sarawak .

5. Membangunkan Dasar Tenaga Nasional yang “Menyeluruh”
Memandangkan peralihan campuran bahan api (fuel mix) dan tenaga primer yang berskala besar akan berlaku dalam 3 dekad akan datang, ia adalah penting bagi kerajaan untuk meneliti kegagalan-kegagalan yang lalu yang menyebabkan rakyat Malaysia dan sektor ekonomi terpaksa membayar kos yang lebih tinggi. Kerajaan mesti melihat kepada pelaksanaan kecekapan tenaga berskala penuh secara menyeluruh. Ia adalah penting untuk memastikan pola penggunaan tenaga digerakkan ke arah penyelesaian yang lebih cekap dengan perubahan tingkah laku, penukaran teknologi dan penambahbaikan. Kecekapan adalah parameter utama dalam melandai keluk permintaan tenaga. Di samping itu, penyelesaian-penyelesaian teknologi yang dipilih mesti melalui Analisis Kitaran Hayat (LCA) yang tepat agar kita tidak menghadapi masalah alam sekitar yang baru. Kerajaan juga harus "memilih dan memadankan" sumber tenaga dengan sektor penggunaan masing-masing supaya setiap sektor ekonomi dan awam tidak melabur terlalu banyak untuk sesuatu pembangunan infrastruktur. Dengan menggunakan pendekatan "pilih dan padan", pembangunan infrastruktur yang tersasar dan berkesan dapat dilakukan dengan lebih cepat. Sebarang kesilapan dalam Dasar Tenaga Nasional akan menyebabkan akibat yang buruk menjelang tahun 2050 dan ekonomi negara akan menanggung kerugian yang tidak dapat dipulihkan.

6. Biobahan api (Biofuel) - Perbahasan Makanan atau Bahan Api
Apabila kerajaan memansuhkan mekanisme harga kawalan minyak masak, harga minyak masak botol meningkat dengan mendadak untuk mencerminkan harga pasaran. Akan tetapi, ketika harga minyak sawit mentah merosot, harga minyak masak tidak turun. Setelah kerajaan memperkenalkan tindakan mandatori untuk mencampurkan biobahan api ke dalam diesel, sektor kelapa sawit menikmati pemulihan keuntungan yang pesat. Dalam proses mencapai Sifar Bersih, biobahan api akan mula mengambil bahagian pasaran tenaga primer yang lebih besar dan ini pasti akan mempengaruhi harga minyak sawit dan produk-produk berkenaan yang boleh dimakan (edible derivatives). Adakah kerajaan mempunyai jaringan keselamatan makanan yang cukup terhadap sektor kelapa sawit yang didorong oleh keuntungan untuk memastikan kita tidak berakhir dengan perbahasan makanan atau bahan api pada dekad yang akan datang? Sektor perladangan monokrop juga menjadi penyumbang kepada kemerosotan alam sekitar, pencemaran sumber tidak tetap (non-point source) dan banjir.

7. Gas Asli sebagai "Bahan Api Peralihan" (Transition Fuel)
Kebanyakan syarikat minyak dan gas di seluruh dunia telah menempatkan gas asli sebagai bahan api peralihan yang sesuai dan boleh dipercayai untuk mencapai sasaran Sifar Bersih 2050 dengan pantas. 3 dekad akan datang akan menimbulkan risiko bekalan dan kos yang tinggi kepada Malaysia ketika peralihan bermula. Kerajaan mesti menetapkan tempoh peralihan dan jenis campuran bahan api yang akan berubah dalam 30 tahun akan datang. Jenis bahan api dan sektor sasaran mesti dikenal pasti dengan betul untuk mengoptimumkan pembangunan infrastruktur serta keberkesanan kos bagi memastikan penyambungan maksimum. Keseimbangan tenaga (energy balance) dan Analisis Kitaran Hayat (LCA) mesti dilaksanakan untuk menilai bahan api alternatif dan menentukan manfaat keseluruhan kepada alam sekitar sebelum memilih sesuatu penyelesaian sebagai sebahagian daripada campuran tenaga kita.

8. Meningkatkan Kapasiti Terpasang Tenaga Boleh Diperbaharui (RE)
Isu utama berkaitan dengan RE adalah ciri tidak stabil (intermittence) input tenaga. Faktor beban (load factor), kebolehpercayaan (reliability) dan memenuhi permintaan beban asas (base load) akan menentukan masa depan RE dan implikasi kosnya yang sepadan. Cabaran utama yang kita hadapi di Malaysia sekarang adalah margin simpanan bekalan elektrik yang tinggi akibat daripada kegagalan pengurusan Suruhanjaya Tenaga (ST) yang membenarkan rundingan terus (direct negotiation) dan pembinaan loji janakuasa baru termasuk beberapa projek RE sebelum keperluan sebenar wujud. AWER telah membantah langkah ini sejak 2014 dan memberi amaran mengenai implikasi kos masa depan kepada tarif elektrik. Hari ini, unjuran margin simpanan bekalan elektrik melonjak dari 32% pada tahun 2020 kepada 52% pada tahun 2021 berdasarkan laporan-laporan yang diterbitkan oleh ST. Margin simpanan ini akan terus berada pada paras melebihi 40% sehingga 2027. Di samping itu, peningkatan kapasiti terpasang RE dari 2021 dan seterusnya hanya akan menambah lebih banyak kos kepada sistem bekalan elektrik. Mengapakah pengguna dan sektor perniagaan perlu memikul kesan buruk akibat daripada kegagalan ST? Tambahan pula, berdasarkan laporan ST pada 2013, kriteria Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) bagi margin simpanan adalah Loss of Load Equivalent (LOLE) pada < = 1 hari. Ini bersamaan dengan penanda aras margin simpanan bekalan elektrik 22% untuk ekonomi membangun. Adakah kerajaan akan mengambil tindakan terhadap ST dan bekas pesuruhjayanya atas kesalahan ini? AWER tidak menentang peningkatan campuran RE kepada bekalan elektrik. Akan tetapi, langkah ini tidak sepatutnya membebankan rakyat atau membazirkan wang pembayar cukai.

9. Meningkatkan Kecekapan Tenaga (EE)
Keperluan untuk menggubal undang-undang baru (Energy Efficiency and Conservation Act) bagi meningkatkan pelaksanaan EE di Malaysia tidak wujud. Pindaan ke atas Akta Suruhanjaya Tenaga untuk mewujudkan klausa pembolehdaya agar memberi kuasa kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) melaksanakan EE yang menyeluruh adalah jauh lebih mudah. Pemacuan pelaksanaan EE adalah pendekatan teknikal dan teknologi telah berkembang pesat di seluruh dunia untuk memenuhi sasaran Sifar Bersih 2050. Ia adalah lebih pragmatik untuk menggunakan kaedah (rules) dan peraturan (regulation) memandangkan aspek perundangan ini dapat dikaji semula dengan lebih cepat tanpa perlu dibahas di Parlimen. Ini adalah pendekatan serupa yang diguna pakai oleh sektor air melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Kerajaan harus menggunakan platform yang sedia ada dan mengoptimumkan output.

10. Ketua Audit Negara Mesti Menyiasat Sektor Elektrik

AWER menyeru Ketua Audit Negara untuk menyiasat sektor elektrik kerana terlalu banyak kos tambahan telah disalurkan kepada pengguna dan ini bertentangan dengan Akta Bekalan Elektrik. Kami ingin menggesa Ketua Audit Negara untuk mengaudit isu-isu berikut:
(i)    mengaudit semua proses kelulusan dan surat penganugerahan loji janakuasa di KeTSA, Suruhanjaya Tenaga dan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) mulai 2011 dan seterusnya;
(ii)    mengaudit semua keputusan JPPPET, minit mesyuarat, dokumentasi dan pembentangan mulai tahun 2012 dan seterusnya;
(iii)    pengendalian proses pembidaan kompetitif untuk loji janakuasa baru dan dokumentasi termasuk bagaimana titik nod (nodal point) dan jenis pembangunan (green field dan brown field) ditetapkan;
(iv)    proses pelanjutan kontrak loji janakuasa lama dan proses pembidaannya; dan
(v)    kegagalan SEDA dan FiT (tariff galakan) untuk memenuhi sasaran campuran RE serta proses penubuhan SEDA secara misteri dan bagaimana mekanisme FiT ditetapkan.


PIARAPAKARAN S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies