English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

KOMEN-KOMEN MENGENAI BELANJAWAN 2022

SIARAN MEDIA
Tarikh: 01 NOVEMBER 2021 (ISNIN)

KOMEN-KOMEN MENGENAI BELANJAWAN 2022

Selepas mengkaji belanjawan terperinci bagi tahun 2022, Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-11 serta kajian dan laporan lain yang berkaitan dengan Air, Tenaga dan Alam Sekitar, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin memberikan komen-komen berikut untuk pertimbangan Kerajaan Persekutuan:

1.        Bekalan Air dan Elektrik Luar Bandar
Peruntukan untuk kos operasi bekalan elektrik alternatif telah berkurangan daripada RM 35.6 juta pada 2021 kepada RM 30 juta pada 2022. Peruntukan untuk penyelenggaraan dan pembaikan sistem perawatan air di bawah JAKOA mendapat peningkatan daripada RM 8 juta pada 2021 kepada RM 10 juta pada 2022.   Bagi bekalan air dan air alternatif luar bandar pula terdapat pengurangan dalam peruntukan daripada RM 472 juta pada 2021 kepada RM 382.34 juta pada 2022. Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan peruntukan untuk bekalan elektrik luar bandar daripada RM 215.6 juta pada 2021 kepada RM 485.3 juta pada 2022. AWER ingin menggesa kerajaan mengaudit peruntukan selama 2 dekad yang lalu untuk projek-projek bekalan air dan elektrik luar bandar dan pencapaian sebenar berbanding dengan output yang disasarkan. Ini adalah penting bagi Malaysia untuk mengenal pasti keberkesanan kos, halangan pelaksanaan dan juga pengajaran daripada pengalaman yang dapat dipelajari untuk memastikan operasi, penyelenggaraan dan kerja-kerja naik taraf pada masa hadapan dapat dilakukan dengan cara yang lebih berkesan.

2.        Pengairan dan Tebatan Banjir
Jabatan Pengairan dan Saliran di bawah kementerian pertanian mengalami penurunan peruntukan untuk kerja-kerja pengairan daripada RM 111.96 juta pada 2021 kepada RM 103.82 juta pada 2022. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah kementerian air mendapat tambahan peruntukan untuk menguruskan empangan, sistem amaran banjir dan infrastruktur tebatan banjir daripada RM 722.13 juta pada 2021 kepada RM 863.27 juta pada 2022. AWER ingin menggesa kerajaan untuk memperkemas pelaksanaan projek-projek ini kerana kerja-kerja tebatan banjir boleh membantu aktiviti pengairan dan mewujudkan nilai tambah kepada projek dan mengoptimumkan hasil serta kos.

3.        Peruntukan Pembangunan Sumber Air Baru
Beberapa kementerian sedang menguruskan pembangunan sumber air dan ini memerlukan penyelarasan bagi memastikan tiada pertindihan projek. Agensi-agensi ini juga harus menggunakan projek tebatan banjir untuk mengoptimumkan ketersediaan sumber air untuk kegunaan serta keberkesanan kos peruntukan. Berdasarkan pecahan bajet semasa, kementerian pertanian diperuntukan RM 24.5 juta pada 2021 dan RM 18.3 juta pada 2022 untuk membangunkan sumber air. Kementerian air pula telah ditambah peruntukan bagi tujuan ini daripada RM 6.06 juta pada 2021 kepada RM 12.7 juta pada 2022 di mana jumlah kos projek dianggar menelan belanja RM 94.5 juta duit pembayar cukai. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli turut diperuntukan RM 24 juta pada 2021 dan RM 5 juta pada 2022 untuk tujuan yang sama tetapi memberi tumpuan kepada air bawah tanah. Malangnya, projek dengan nombor kod 11900 (Kajian Sumber Air Tanah Negara) ini mempunyai percanggahan dalam pelaporan perbelanjaan sebenar dan jumlah anggaran kos projek sejak Bajet 2016. Sebagai contoh, anggaran kos projek telah meningkat daripada RM 68 juta untuk Bajet 2016 kepada RM 113.5 juta untuk Bajet 2018 dan terus meningkat kepada RM 129.5 juta untuk Bajet 2021. Ia hampir dua kali ganda daripada anggaran kos asal. AWER ingin menggesa Ketua Audit Negara mengaudit projek ini di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

4.        Pengurusan dan Pemulihan Sungai
JPS di bawah kementerian air diperuntukan RM 116 juta pada 2021 dan RM 332.84 juta pada 2022 untuk pengurusan sungai dan saliran serta pemulihan. Kementerian Wilayah Persekutuan juga diperuntukan RM 10 juta pada 2022 untuk melaksanakan projek pemulihan sungai.  Kementerian ini juga mengurus projek River of Life (ROL) (dan kerja-kerja pembetungan berkaitan) yang mempunyai kos keseluruhan projek berjumlah RM 7.7 bilion. Peruntukan bagi ROL dan projek pembetungan yang berkaitan pada 2021 adalah RM 130.14 juta dan RM 225.00 juta pada 2022. Sudah tiba masanya projek ROL diaudit berdasarkan objektif dan output asalnya supaya peruntukan tidak dibazirkan. AWER ingin menggesa Ketua Audit Negara untuk mula mengaudit projek ROL dengan segera.

5.        Kempen Anti Minyak Sawit
RM 20 juta diperuntukan pada 2022 untuk memerangi kempen anti minyak sawit dan sejumlah RM 47 juta telah diperuntukan untuk kedua-dua tahun 2020 dan 2021. AWER kecewa dengan jumlah yang begitu besar (RM 67 juta) dibazirkan untuk kempen. Jika kerajaan telah melabur jumlah ini dalam penyelidikan dan pembangunan serta satu pasukan untuk menjalankan Penilaian Kitaran Hayat (LCA) untuk minyak sawit dan minyak makan lain, Malaysia akan mempunyai data yang kukuh untuk melakukan perbandingan relatif. Jika data tersebut memihak kepada minyak sawit, Malaysia boleh menggunakan penyelesaian undang-undang untuk membatalkan larangan terhadap minyak sawit dengan lebih berkesan. Biobahan api (biofuel) akan memainkan peranan penting dalam pasaran input tenaga utama pada masa akan datang. Oleh itu, penambahbaikan strategi untuk melindungi produk minyak sawit adalah penting.

6.        Kos Elektrik pada 2022
Peruntukan subsidi elektrik dikurangkan daripada RM 80 juta pada 2021 kepada RM 78 juta pada 2022. Disebabkan pasaran bekalan sumber tenaga yang tidak menentu, kos bahan api dijangka meningkat. Ini disebabkan oleh situasi permintaan-bekalan dan keputusan kartel OPEC. Keadaan bekalan juga akan terjejas disebabkan oleh komitmen Sifar Bersih (Net Zero) dan bekalan bahan api peralihan yang terhad semasa situasi penguncupan bekalan. Untuk memburukkan lagi keadaan, margin simpanan elektrik di Semenanjung Malaysia adalah sangat tinggi disebabkan oleh kegagalan Suruhanjaya Tenaga sebagai pengawal selia. Pada 2022, sektor ini juga dijangka mempunyai peningkatan pembekalan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 800 MW (megawatt). Bagaimanakah kerajaan akan menguruskan kenaikan tarif elektrik berikutan kenaikan kos sistem yang disebabkan oleh margin simpanan yang tinggi di samping faktor luaran yang lain?

7.        Industri Perkhidmatan Air
Bekalan air telah diperuntukan RM 340.43 juta pada 2021 dan RM 233.35 juta disediakan melalui pembiayaan langsung dan RM 467.42 juta melalui pinjaman pada 2022. Secara keseluruhan sebanyak RM 700.77 juta diperuntukan untuk bekalan air pada tahun 2022. Bagi projek Air Tidak Terhasil (NRW) Negara yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM 1.91 bilion, RM 209.35 juta diperuntukan untuk tahun 2021 dan RM 300 juta diperuntukan untuk tahun 2022. Walau bagaimanapun, AWER ingin menegaskan bahawa pengurangan NRW adalah kecekapan operasi dan bukannya sebahagian daripada teknologi hijau. Di samping itu, projek pembetungan nasional yang mempunyai kos berjumlah RM 10.02 bilion, RM 764.27 juta telah diperuntukan pada 2021 dan meningkat kepada RM 817.52 juta pada 2022 yang boleh dibahagikan kepada RM 489.32 juta melalui pembiayaan langsung dan RM 328.20 juta melalui pinjaman. Indah Water Konsortium (IWK) diperuntukan RM 110 juta untuk 2022 sama seperti tahun 2021.

Berdasarkan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN), semua operator air perlu digabungkan di bawah satu syarikat peringkat  negeri  dan agensi air kerajaan negeri diwajibkan untuk dikorporatkan. Ini adalah langkah penting untuk memastikan ketelusan. IWK perlu diklusterkan (ring fenced) menjadi entiti berasaskan negeri menjelang akhir tahun 2010 dan mula bergabung dengan syarikat air negeri secara berperingkat antara tahun 2011 dan 2015. Langkah ini akan menggabungkan perkhidmatan perawatan air, bekalan air dan pembentungan di bawah setiap negeri untuk meningkatkan daya maju dan kelestarian operasi untuk Semenanjung Malaysia dan Labuan.

IWK dan kementerian air pada dasarnya tidak mengikuti pelaksanaan rancangan Malaysia ke-9, ke-10 dan ke-11. PSIPAN menggunakan model Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) yang dilahirkan setelah pindaan perlembagaan yang diluluskan oleh Majlis Raja-Raja dan Parlimen. Masalah yang dihadapi oleh sektor air adalah modal insan yang tidak kompeten dan mempunyai “kepentingan peribadi” (vested interest). Oleh itu, ia adalah mustahak bagi kerajaan untuk meneliti keadaan serius ini dan melakukan tindakan pembetulan dengan segera supaya peruntukan digunakan secara optimum.

8.        Sifar Bersih (Net Zero) menjelang 2050
Komitmen kerajaan terhadap Sifar Bersih menjelang 2050 bermakna setiap operasi, perkhidmatan dan barangan akan dinilai oleh ukuran potensi pemanasan global (global warming potential) untuk mencapai situasi sifar bersih dan menyelesaikan perubahan iklim sahaja. Maka, penubuhan pasaran karbon sukarela (voluntary carbon market) di Malaysia hanya menunjukkan bahawa kerajaan tidak memahami apa yang dipertaruhkan dalam tempoh 29 tahun akan datang. Industri Intensif Air, Tenaga dan Sumber (Water, Energy and Resources Intensive Industries-WERII) tidak akan mesra alam dan pelepasan gas rumah hijau akan diambil kira ke dalam setiap barangan dan perkhidmatan yang terlibat dalam rantaian bekalan mereka ke arah hiliran. Jika kita menambah baik input dan operasi WERII, keseluruhan rantaian bekalan akan mendapat manfaat. Oleh itu, ia adalah lebih penting bagi kerajaan untuk menyediakan dan membangunkan penyelesaian peralihan yang betul serta menaik taraf dan membangunkan infrastruktur penting untuk memenuhi sasaran Sifar Bersih. Kami ingin menggesa kerajaan menggunakan data dan sains dalam pelaksanaan Sifar Bersih kerana akan berlakunya masalah toksik baru yang akan melanda dunia seperti tsunami dalam beberapa dekad akan datang dengan isu permintaan-bekalan dan ketidaksamaan yang serius. Tolong jangan menjadikan pelaksanaan Sifar Bersih sama seperti pelaksanaan kempen minyak sawit merah satu sudu!



PIARAPAKARAN S.
President
Association of Water and Energy Research Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies