English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Gaya Hidup Rendah Karbon Boleh Selamatkan Alam Sekitar

Gaya Hidup Rendah Karbon Boleh Selamatkan Alam Sekitar
Oleh Melati Mohd Ariff
 
KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Gaya hidup rendah karbon? Mungkin ada yang menggeleng-gelengkan kepala mendengar ungkapan ini dan menyoal apa kena-mengena karbon dengan gaya hidup?

Dalam masa yang sama mungkin ada yang mengamalkannya tetapi tidak sedar dengan apa yang mereka lakukan. Contoh, selepas menggunakan peralatan elektrik, anda menutup suis dan mencabut palam kuasa daripada soket alir keluar.

Anda juga lebih selesa menggunakan pengangkutan awam untuk urusan
harian. Jika itu yang anda lakukan, anda sebenarnya mengamalkan gaya hidup rendah karbon.

 

PEMANASAN GLOBAL

Bagi mereka yang peka dengan isu-isu alam sekitar, sebut sahaja perkataan 'karbon', lantas mereka akan mengaitkannya dengan karbon dioksida serta 'kesan rumah hijau" yang mencetuskan fenomena pemanasan global.

Antara impak yang dikhuatiri berlaku akibat pemanasan global ialah peningkatan paras air laut akibat litupan ais kutub yang mencair, wabak penyakit, kepupusan flora dan fauna, kemarau melampau serta ribut taufan.

Gaya hidup rendah karbon secara langsung juga ada hubung kait dengan kegiatan yang tidak melepaskan lebih banyak karbon dioksida atau gas rumah hijau yang berkaitan.

Menurut S. Piarapakaran, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), ekonomi yang bergantung nyawa kepada petroleum dan bahan bakar fosil telah mencetuskan ketidakseimbangan kepada alam sekitar sejak seabad yang lepas.

"Kita seakan ketagihan sumber-sumber ini untuk penggunaan industri, tenaga, pengangkutan dan kegunaan-kegunaan lain.

"Memang kita berusaha mencari alternatif bagi mengurangkan impak ke atas perubahan iklim, bagaimanapun gaya hidup kita kekal sama. "Dalam erti kata lain, kita terus dengan gaya hidup yang mencetuskan banyak pencemaran dan dalam masa yang sama sibuk pula mencari penyelesaian di sana-sini," kata Piarapakaran semasa di temubual Bernama baru-baru ini.

 

AMALAN YANG DILUPAKAN

Ada gaya hidup rendah karbon yang sebenarnya sudah diamalkan oleh nenek moyang kita tetapi semakin dilupakan atau luput ditelan zaman.

Kita juga pada suatu ketika begitu berjimat dalam soal perbelanjaan tetapi
amalan berhemah ini semakin pupus. Piarapakaran mengambil contoh menadah atau menakung air hujan yang lebih kepada kegunaan mencuci dan menyiram tanaman.

"Dulu di tepi atau belakang rumah, di kampung-kampung terutamanya mesti ada tong besar atau tempayan untuk menadah atau menakung air hujan. Amalan ini wajar diteruskan," katanya.

Amalan tersebut, tambah beliau boleh membantu mengurangkan penggunaan air dirawat. Jelasnya, antara 25 hingga 35 peratus kos merawat dan membekal air berkait dengan penggunaan tenaga elektrik. Tenaga elektrik berhubungkait terus dengan pelepasan karbon.

Untuk tujuan yang sama, beliau turut mencadangkan penggunaan semula air cucian sayur-sayuran atau pakaian.

Piarapakaran turut mengimbau penggunaan basikal oleh ibu bapa dan nenek moyang.

"Hari ini basikal hanya digunakan oleh segelintir mereka termasuk yang berpendapatan rendah. Sebenarnya berbasikal ini adalah satu bentuk riadah yang menyihatkan dan boleh menyumbang kepada gaya hidup rendah karbon," jelasnya.

 

TURUT MENYUMBANG

Dalam nada yang sama, beliau mengulas kempen berkongsi kereta (car pool) yang sudah lama berkubur.

"Hampir semua daripada kita memandu sendirian ke tempat kerja justeru secara tidak langsung kita menyumbang kepada fenomena pemanasan global di samping menambah kepada kesesakan jalan raya," katanya.

Piarapakaran turut menegur sikap sesetengah pengguna yang lazimnya meninggalkan peralatan elektrik dalam mod sedia menggunakan alat kawalan jauh, sebagai contoh televisyen.

"Lakukan ini dan penggunaan elektrik anda untuk produk tersebut akan meningkat antara lima hingga 30 peratus. Produk lama mempunyai mod sedia yang lebih tinggi. "Sebagai contoh, jika anda menggunakan televisyen dengan penggunaan kuasa 200 Watt untuk tiga jam sehari dan kemudian membiarkannya dalam mod sedia setiap hari, dalam tempoh setahun anda akan membayar sekitar RM113 untuk penggunaan TV di mana kos untuk meninggalkan TV dalam mod sedia adalah RM66.

"Untuk mengelakkan kebocoran arus elektrik (leakages) atau pusuan kuasa (power surge), dinasihatkan palam kuasa dicabut selepas peralatan elektrik digunakan sebagai langkah keselamatan penggunaan elektrik" kata Piarapakaran.

 

TINGGI KARBON

Tanpa disedari ada di antara kita yang mengamalkan gaya hidup tinggi karbon (high carbon lifestyle) yang dikaitkan Piarapakaran dengan penggunaan tenaga elektrik yang berlebihan.

Beliau memberikan contoh, lebih 20 alat pendingin hawa untuk rumah dua tingkat. "Mungkin ada yang tidak percaya tetapi ada rumah yang macam itu," katanya sambil menambah gaya hidup seseorang itu sama ada rendah atau tinggi karbon boleh juga diukur melalui bil elektrik, air dan petrol.

Piarapakaran turut mengulas perbuatan sesetengah orang yang membeli ikan laut dan mempamerkannya di rumah kediaman mereka. "Dalam hal ini berlaku pembaziran elekrik dan mengapa mereka perlu diberi subsidi elektrik? Tengoklah nasib orang miskin dan miskin tegar?

Tidakkah mereka mempunyai hak untuk menyalakan lampu elektrik bagi menerangi kegelapan malam," kata Piarapakaran.

Berdasarkan perangkaan, Presiden AWER ini memberitahu separuh daripada pengguna domestik Malaysia menggunakan kurang dari 200 kWj (kiloWattjam) elektrik sebulan.

Ini termasuk penggunaan kipas, televisyen dan peralatan elektrik. Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa corak penggunaan tenaga kian berubah kepada tahap tinggi memandangkan peralatan elektrik yang menggunakan tenaga elektrik yang banyak semakin murah harganya.

"Kita perlu menyekat kecenderungan ini tanpa menghalang pengguna daripada menikmati kehidupan yang selesa," jelasnya.

 

PIKUL TANGGUNGJAWAB

Dalam soal gaya hidup rendah karbon ini, Piarapakaran menegaskan bukan sahaja individu yang perlu memainkan peranan, pihak industri dan perniagaan juga perlu memikul tanggungjawab yang sama. Beliau memberi contoh hotel atau bangunan pejabat komersial.

"Alat penghawa dingin di bangunan-bangunan berkenaan ditetapkan pada suhu paling rendah untuk keselesaan pelanggan mereka. Untuk kita yang tinggal di kawasan yang beriklim tropika, kita perlu berpakaian yang bersesuaian.

"Secara tidak langsung, cara berpakaian turut menyumbang kepada gaya hidup karbon yang tinggi," jelasnya.

Mengulas lagi tentang peranan industri, beliau berpandangan industri yang banyak menggunakan tenaga seperti simen, besi dan keluli, seramik, makanan, kaca, palpa dan kertas serta tekstil memerlukan penyusunan semula dalam teknologi mereka.

"Jika ini dilaksanakan, ia berpotensi menjimatkan kos. Dalam hal ini saya merasakan ramuan dalam ekonomi negara kita perlu distruktur semula.
"Ini membolehkan rakyat Malaysia bergerak dari gaya hidup tinggi karbon kepada gaya hidup rendah karbon," tegas Piarapakaran.

 

LAMAN WEB CLICK

Prihatin dengan keperluan amalan gaya hidup rendah karbon, AWER melancarkan sebuah laman web yang dikenali sebagai CLICK (www.click.org.my) pada 7 Dis 2011. Majlis pelancaran CLICK disempurnakan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi,
Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, Ray Kyles.

Menurut Piarapakaran, CLICK dibangunkan untuk menjadi panduan, pusat sehenti di samping pengimbang pasaran untuk rakyat.

AWER, katanya adalah badan bukan kerajaan berasaskan penyelidikan,
justeru AWER mahu menjadi inovatif dan kreatif dalam membantu rakyat Malaysia mempraktikkan gaya hidup rendah karbon.

"Pihak kami menyediakan maklumat yang berguna dari segi penjimatan tenaga elektrik. CLICK adalah usaha awal kami. Portal ini diharap akan berkembang menjadi pusat sehenti untuk gaya hidup rendah karbon," kata beliau.

 

KAJIAN AWER

AWER yang juga bermatlamat menghasilkan laporan berhubung produk elektrik dan elektronik terpilih secara berkala telah menyiapkan dua kajian yang boleh membantu pengguna memilih produk paling cekap tenaga.

Piarapakaran memberitahu bahawa kajian yang dijalankan adalah sebahagian daripada Projek Pembuatan dan Penggunaan Lestari yang ditaja Suruhanjaya Tinggi British, Kuala Lumpur dan Kerajaan British.

Antara kajian yang dibuat ialah ke atas proses mendidih air dan hasilnya menunjukkan cerek elektrik bergegelung mempunyai kecekapan pemanasan yang lebih baik berbanding cerek elektrik yang mempunyai elemen pemanasan rata.

"Produk yang tidak cekap bukan sahaja akan menyebabkan kos yang tinggi, sebagai contoh, untuk mendidihkan air tetapi juga menyebabkan kita membazirkan wang apabila kita memasak makanan lain.

"Dengan permintaan dan kos sumber tenaga yang semakin meningkat, pengguna perlu melakukan pilihan yang tepat.

"Layari laman web CLICK kepada gaya hidup rendah karbon," kata Piarapakaran.
-- BERNAMA
16 November, 2012 14:09 PM

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies