English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

MENGURUSKAN KETIDAKSTABILAN (VOLATILITY) HARGA TENAGA

SIARAN MEDIA
Tarikh: 21  JUN 2022 (SELASA)

MENGURUSKAN KETIDAKSTABILAN (VOLATILITY) HARGA TENAGA

Bekalan dan permintaan sumber di peringkat global berada dalam situasi tidak menentu akhir-akhir ini. Adakah kita mempunyai dasar yang betul untuk memastikan Malaysia lebih bersedia untuk menguruskan lonjakan harga dan kesannya kepada sektor penggunaan dan pembuatan tempatan?

Pemangkin kepada ketidakstabilan pasaran tenaga termasuk keterputus-putusan (intermittency) campuran Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) dalam campuran bahan api keseluruhan, liberalisasi pasaran elektrik peringkat global yang rapuh, permainan kartel oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan ahli (OPEC+), laluan peralihan yang tidak jelas kepada Sifar Bersih (Net Zero) dan kini perang Rusia-Ukraine. Bekalan sumber tenaga pada harga berpatutan dan berterusan adalah penting untuk operasi sektor ekonomi dan sosial yang lancar sambil memenuhi sasaran kelestarian.

Situasi Harga Tenaga Bagi Separuh Pertama Tahun 2022

Antara Januari 2022 dan Februari 2022 harga Minyak Mentah Brent berlegar di atas USD 80 setong. Mulai Mac 2022 harga mula berlegar di atas USD 90 setong dengan lonjakan sementara yang mendadak melebihi USD 120 setong. Sejak Mei 2022, harga telah melebihi USD 110 setong dan kadangkala mencecah USD 120 setong. Kenaikan yang berterusan ini akan meningkatkan harga tenaga untuk petrol dan diesel dengan serta-merta.

Di samping itu, impak kos kepada Gas Asli Cecair (LNG) dan arang batu akan bermula dan memberi kesan kepada kos penjanaan elektrik serta kos operasi sektor pembuatan. Harga arang batu telah meningkat 2 kali ganda pada suku pertama 2022 berbanding dengan suku pertama 2021. Harga gas asli juga meningkat dua kali ganda berbanding dengan suku pertama 2021.

Di sebaliknya, peruntukan subsidi elektrik dikurangkan daripada RM 80 juta pada 2021 kepada RM 78 juta pada 2022 dalam Belanjawan 2022. Peningkatan harga LNG dan arang batu akan menyebabkan Penyaluran Kos Tidak Seimbang (Imbalanced Cost Pass Through-ICPT) menjadi surcaj (surcharge) yang lebih tinggi mulai 1 Julai hingga 31 Disember tahun ini. Sejak ICPT mula dilaksanakan pada tahun 2014, ia telah menyalurkan rebat (rebate) serta surcaj untuk semua pengguna perniagaan dan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 300kWj atau RM 77 bil bulanan di Semenanjung Malaysia.

Menurut Imbangan Tenaga Kebangsaan (National Energy Balance) 2019, sektor pengangkutan merupakan pengguna terbesar penggunaan tenaga akhir (final energy consumption) iaitu 38% dan diikuti oleh sektor industri (28%). Penggunaan tenaga akhir sektor pengangkutan meningkat daripada 16,119 kilo tonne oil equivalent (ktoe) pada 2009 kepada 25,004 ktoe pada 2019 iaitu peningkatan sebanyak 55.12%. Bagi penggunaan tenaga akhir sektor industri, ia meningkat daripada 14,312 ktoe pada 2009 kepada 18,921 ktoe pada 2019 iaitu peningkatan sebanyak 32.20%. Penggunaan tenaga akhir sektor domestik dan komersial meningkat daripada 6,336 ktoe pada 2009 kepada 8,000 ktoe pada 2019 iaitu peningkatan sebanyak 26.26%.

Apa yang Malaysia Patut Lakukan?

1. Tubuh Dana Penstabilan Harga Tenaga
Hampir sedekad yang lalu, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah mencadangkan pembentukan Dana Penstabilan Harga Tenaga yang diperoleh daripada jualan sumber tenaga apabila harga tenaga dunia menurun. Dana ini akan bertindak sebagai penampan (buffer) untuk melindungi harga tenaga daripada kenaikan secara mendadak dan kesannya kepada harga barangan dan perkhidmatan. Ia beroperasi dengan had atas dan had bawah harga pasaran semasa dan bergerak mengikut arah aliran harga pasaran. Dana ini bukan skim subsidi. Malangnya, cadangan ini tidak pernah dilaksanakan dan kita berada pada situasi semasa untuk cuba membendung kesan negatif kenaikan harga tenaga berulang kali. Kini, kerajaan mesti membentuk dana ini akibat daripada ketidakstabilan harga tenaga dunia.

2. Optimumkan Pelaksanaan Kecekapan Tenaga
AWER juga telah mencadangkan banyak penyelesaian untuk mengurangkan penggunaan tenaga melalui dasar kecekapan tenaga secara menyeluruh untuk memastikan kita mengoptimumkan penggunaan tenaga dan mengurangkan kos operasi melalui campur tangan dasar serta inovasi. Adalah diketahui umum bahawa pelaksanaan kecekapan tenaga di Malaysia masih jauh daripada penyelesaian teknologi yang sedia ada dan mampu milik. Keadaan ini perlu berubah dengan cepat. Dalam memorandum kami mengenai Rancangan Malaysia ke-12 kepada kerajaan, kami telah menggariskan beberapa penyelesaian untuk meningkatkan pelaksanaan kecekapan tenaga secara menyeluruh.

3. Ketelusan Tempoh Kawal Selia 3 (Regulatory Period 3 - RP3) untuk Sektor Elektrik
Kerajaan telus dalam Tempoh Kawal Selia 1 dan 2 dengan menerbitkan dokumen-dokumen berkaitan secara terbuka. Malangnya, Suruhanjaya Tenaga (ST) masih belum menerbitkan maklumat RP3 dalam laman web mereka sehingga kini selepas mengumumkan pelaksanaan RP3 beberapa bulan lalu. Oleh itu, menteri yang bertanggungjawab bagi tenaga mesti mengarahkan Suruhanjaya Tenaga untuk menerbitkan maklumat ini dengan segera bagi membantu semua pihak berkepentingan meramalkan risiko operasi mereka semasa RP3.

4. Kurangkan Margin Simpanan Tenaga Elekrik
Laporan Pelan Pembangunan Penjanaan Semenanjung Malaysia 2021 masih belum diterbitkan dan dokumen Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) ini sepatutnya dikeluarkan pada suku pertama tahun 2022. Unjuran margin simpanan telah melonjak daripada 32% pada 2020 kepada 52% pada 2021 dan akan berada pada 51% pada tahun 2022 berdasarkan laporan-laporan yang diterbitkan oleh ST. Margin simpanan diunjurkan melebihi 40% sehingga tahun 2027. Sejak 2014, apabila ST memulakan beberapa anugerah loji janakuasa secara rundingan terus bermula dengan Track 4A (Pasir Gudang), AWER telah memberi amaran akan berlaku situasi margin simpanan yang tinggi ketika itu. Projek loji janakuasa rundingan terus terakhir telah dianugerahkan pada 2019. Margin simpanan yang lebih tinggi akan menyalurkan kos sistem yang tinggi kepada tarif elektrik. Selain itu, berdasarkan laporan ST pada tahun 2013, kriteria JPPPET untuk margin simpanan ialah Kehilangan Setara Beban (LOLE) pada <= 1 hari. Ini bersamaan dengan 22% tanda aras margin simpanan bagi ekonomi negara membangun. Kini, kerajaan mesti mencari penyelesaian untuk mengurangkan margin simpanan tenaga elektrik. Kerajaan mesti juga mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai kementerian tenaga, ST dan bekas pesuruhjayanya atas kesilapan ini.

5. Kerajaan Dan Agensi Berkaitan Mesti Memantau Harga Produk Dan Perkhidmatan
Apabila kerajaan mengurangkan subsidi dan menyebabkan harga bahan api meningkat atau menyalurkan surcaj di bawah ICPT, agensi-agensi berkaitan mesti membangunkan penunjuk kenaikan harga (price increase indicators) untuk pelbagai sektor. Kami telah menggesa kerajaan untuk membangunkan mekanisme ini bagi membantu pengguna dan agensi penguatkuasaan bagi memastikan tidak berlaku pencatutan atau kenaikan harga yang melampau yang menjejaskan kos sara hidup. Malangnya, kami tidak melihat penunjuk sedemikian diterbitkan untuk membantu pengguna dan memberi amaran kepada sektor perniagaan. Jadi, apabila keadaan ini tidak dikawal, pengguna akan terus terjejas. Begitu juga, agensi kerajaan mesti henti mengeluarkan kenyataan merapu seperti surcaj ICPT baru-baru ini tidak akan memberi kesan kepada pengguna domestik. Pada hakikatnya, pengguna domestik menggunakan kira-kira 20% daripada tenaga elektrik yang dijana dan surcaj kepada sektor perniagaan yang menggunakan 80% tenaga elektrik yang dijana akan menyalurkan kos kepada pengguna melalui harga barangan dan perkhidmatan. Justeru, perbuatan tidak bertanggungjawab sebegini mesti dihentikan.


PIARAPAKARAN S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies