English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

KOMEN-KOMEN AWER BAGI BELANJAWAN 2023

SURAT KEPADA PENGARANG
Tarikh: 28 FEBRUARI 2023 (SELASA)

KOMEN-KOMEN AWER BAGI BELANJAWAN 2023

Selepas meneliti belanjawan terperinci untuk 2023 bersama dengan rancangan kerajaan serta kajian dan laporan berkaitan Air, Tenaga dan Alam Sekitar, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin mengetengahkan ulasan berikut untuk pertimbangan Kerajaan Persekutuan:

1.     Bekalan Air dan Elektrik Luar Bandar
Peruntukan bekalan elektrik alternatif telah meningkat kepada RM 38 juta berbanding dengan RM 35.6 juta pada 2021 dan RM 30 juta pada 2022. Peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan sistem rawatan air di bawah JAKOA dikekalkan pada RM 10 juta berbanding dengan RM 8 juta pada tahun 2021 dan RM 10 juta pada 2022.

Bagi bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif pula, peruntukan telah meningkat sedikit pada tahun 2023 kepada RM 379.41 juta berbanding dengan RM 298.23 juta pada tahun 2022 tetapi peruntukan 2023 ini adalah lebih rendah daripada peruntukan pada tahun 2021 iaitu RM 472 juta. Di samping itu, peruntukan bekalan elektrik luar bandar juga telah meningkat sedikit kepada RM 472.07 juta bagi 2023 berbanding dengan RM 215.6 juta pada 2021 dan RM 352.35 juta pada 2022.

Memandangkan Malaysia menyasarkan untuk mencapai 99% bekalan elektrik luar bandar dan 98% penduduk luar bandar mendapat bekalan air menjelang tahun 2025, kerajaan mesti mengaudit peruntukan-peruntukan 2 dekad yang lalu untuk bekalan air dan elektrik luar bandar dan pencapaian sebenar berbanding dengan output yang disasarkan. Langkah ini akan membantu mengenal pasti keberkesanan kos, halangan dan pengajaran yang berpotensi untuk memastikan operasi, penyelenggaraan dan kerja menaik taraf pada masa hadapan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

2.    Tebatan Banjir
Peruntukan untuk menguruskan empangan, sistem amaran banjir dan infrastruktur tebatan banjir telah berkurang daripada RM 722.13 juta pada tahun 2021 kepada RM 670.16 juta pada tahun 2022. Walau bagaimanapun, jumlah peruntukan telah berganda kepada RM 1.31 Bilion bagi tahun 2023. Menurut lapaoran media pada tahun 2022, kerajaan telah menggangar sebanyak RM 392 bilion diperlukan untuk tebatan banjir sehingga tahun 2100.

Secara amnya, projek mitigasi yang dicadangkan akan dimodelkan, direka bentuk dan digabungkan dengan faktor keselamatan untuk menjadikannya projek yang berfungsi. Malangnya, apabila guna tanah (land use) di sekeliling berubah selepas projek siap, projek tebatan banjir ini mungkin tidak dapat berfungsi mengikut kapasiti reka bentuk. Ini kerana projek tersebut tidak direka bentuk untuk menampung peningkatan air larian permukaan (surface runoff) yang melebihi kapasiti reka bentuk akibat daripada perubahan guna tanah. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan perlu memastikan kerajaan-kerajaan negeri tidak mengubah guna tanah yang boleh mambawa risiko kegagalan terhadap projek tebatan banjir selain memastikan keberkesanan pelaksanaan projek. Rangka kerja kawal selia perlu diwujudkan supaya semua pihak memainkan peranan mereka dan tidak menyebabkan kegagalan projek tebatan banjir yang akhirnya memerlukan peruntukan tambahan untuk menyelesaikan 'kegagalan' tersebut.

3.    Kempen Anti Minyak Sawit
Pada tahun 2023, kerajaan telah memperuntukkan RM 10 juta untuk memerangi kempen anti minyak sawit dan sejumlah RM 67 juta telah diperuntukkan antara 2020 dan 2022. Baru-baru ini juga dilaporkan bahawa sekatan terhadap minyak sawit di pasaran Eropah diperketatkan lagi. Kini, persoalan telah timbul sama ada usaha menangani kempen anti minyak sawit betul-betul berkesan. Adakah persepsi negatif terhadap minyak sawit telah berubah?

Kami menggesa kerajaan untuk melaksanakan pendekatan berstruktur dan berasaskan sains yang betul supaya kemampanan minyak sawit kita dan sektor lain yang berkaitan dapat dipertingkatkan. Berbanding membelanjakan RM 67 juta untuk kempen sedemikian, jika kerajaan telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan serta Penilaian Kitaran Hayat (LCA) untuk minyak sawit dan minyak makan lain, kini kita akan mempunyai data yang mencukupi untuk menjalankan kajian perbandingan relatif. Apabila kemampanan minyak sawit dapat dibuktikan, Malaysia boleh melawan sekatan terhadap minyak sawit dengan lebih berkesan. Biofuel dan biojisim akan memainkan peranan penting dalam campuran tenaga negara dalam masa terdekat. Oleh itu, adalah penting untuk menggunakan pendekatan yang nyata (tangible) untuk mencapai sasaran secara berkesan.

4.    Kepentingan Pembidaan Kompetitif (Proses Tender Terbuka)
Perdana Menteri telah menegaskan dalam ucapan belanjawan bahawa kerajaan dapat menjimatkan RM 2 bilion bagi projek tebatan banjir yang bernilai RM 15 bilion melalui proses tender terbuka. Begitu juga, beberapa projek loji janakuasa telah dianugerahkan melalui rundingan terus dan bukannya pembidaan kompetitif mulai 2014. Berdasarkan pemodelan AWER, penjimatan kos daripada pembidaan kompetitif yang  dianggarkan lebih daripada RM 15 bilion tidak dapat disalurkan kepada tariff elektrik akibat daripada rundingan terus yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga. Anggaran penjimatan kos ini dibuat berdasarkan 3 projek loji janakuasa Turbin Gas Kitaran Bersepadu (CCGT) yang dianugerahkan melalui rundingan terus di antara 2014 dan 2019. Antaranya, satu anugerah projek CCGT turut dijual kepada sebuah syarikat negara asing di mana penjualan ini adalah bertentangan dengan prosedur kerajaan. Pada Januari tahun ini, AWER telah bertemu dengan menteri yang bertanggungjawab bagi tenaga dan mencadangkan beberapa penyelesaian untuk merunding semula dan mengurangkan caj kapasiti di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bagi projek-projek loji janakuasa yang dianugerahkan melalui rundingan terus memandangkan kos tambahan sebegini tidak adil kepada para pengguna. Kami berharap kerajaan akan mengguna pakai cadangan-cadangan kami untuk merunding semula dan mengurangkan kesan kos penjanaan elektrik kepada tarif elektrik.



5.     Menutup Agensi-agensi yang Bertindih Fungsi
Perdana Menteri juga berjanji bahawa kerajaan akan menggabungkan agensi yang mempunyai fungsi yang hampir sama. Ini adalah penyelesaian yang tersedia wujud dalam Rancangan Malaysia Ke-11. Kami ingin mencadangkan kepada Perdana Menteri beberapa agensi yang boleh ditutup menjelang 2023 dan digabungkan dengan agensi sedia ada dalam kementerian. Di bawah Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN), satu rangka kerja pelesenan dan kawal selia telah diwujudkan dan pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai pengawal selia bagi sektor perkhidmatan air telah dilaksanakan. Justeru itu, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dan Bahagian Bekalan Air (sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Bekalan Air) boleh ditutup dan para pegawai boleh diserap ke SPAN dan juga bahagian perkhidmatan air di bawah kementerian.

Bagi sektor tenaga pula, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) mempunyai pertindihan fungsi yang tinggi dengan Suruhanjaya Tenaga (ST). Kerajaan boleh memperkenalkan jabatan di bawah ST untuk menyerap kakitangan dari SEDA dan menutup SEDA sepenuhnya. Yayasan Hijau (YaHijau) adalah satu lagi entiti yang patut ditutup juga. Agensi ini sebenarnya menjalankan aktiviti-aktiviti yang pernah dilakukan oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sebelum ini. Akhir sekali, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, satu lagi entiti bertindih fungsi telah dirancang iaitu Amanah Lestari Alam. Kerajaan boleh membantu rakyat Malaysia dengan tidak membentuk entiti bertindih fungsi ini dan menjalankan fungsi-fungsi tersebut melalui agensi dan entiti yang sedia ada.


PIARAPAKARAN S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies