Penggunaan air dibahagikan kepada sektor domestik, industri (termasuk komersil) dan pertanian yang menggunakan 17%, 21% dan 62% air masing-masing. Di samping itu, terdapat sesetengah industri dan hampir semua aktiviti pertanian menggunakan sumber air terus dari alam sekitar dan bukannya air terawat. Mengikut Malaysia Water Industry Guide 2010, sektor domestik menggunakan 2.02 billion meter padu air terawat (1 meter padu bersamaan dengan 1000 liter) pada tahun 2009. Maka, AWER menganggarkan penggunaan air sektor industri adalah sebanyak 2.5 billion meter padu air dan sektor pertanian menggunakan sebanyak 7.3 billion meter padu air.
Pembaziran air berlaku apabila seseorang individu atau entiti menggunakan air yang melebihi kapasiti yang diperlukan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyarankan supaya kita menggunakan 165 liter/kapita/hari untuk kegunaan domestik. Ini bermakna setiap pengguna domestic boleh mengguna sebanyak 5 meter padu air dalam sebulan. Sebagai contoh, jika sebuah isirumah mempunyai 5 penghuni, penggunaan air secara lestari adalah dalam lingkungan 25 meter padu air.
Akan tetapi, laporan Malaysia Water Industry Guide 2010 telah melaporkan bahawa purata penggunaan air di Malaysia bagi tahun 2009 adalah 202 liter/kapita/hari bagi sektor domestik. Kadar tertinggi adalah 286 liter/kapita/hari di Pulau Pinang di mana ia adalah hampir 2 kali ganda penggunaan air yang disarankan oleh WHO. Tetapi, jika kita bandingkan dengan Singapura, kadar penggunaan air sektor domestik Singapura adalah hanya 155 liter/kapita/hari.
Nilai pembaziran air bagi sektor industri dan pertanian adalah lebih sukar untuk dianggar. Ini kerana teknologi yang digunakan dalam proses operasi adalah berbeza-beza dan tiada statistik rasmi mengenai penggunaan air di sektor-sektor ini. Akan tetapi, perbandingan penggunaan air bagi produk atau perkhidmatan yang sama boleh dilaksanakan untuk memastikan kecekapan penggunaan air.
Punca pembaziran air adalah lebih tertumpu kepada tabiat kita dan teknologi yang diguna pakai. Sebagai contoh, pili yang mengeluarkan air dengan buih udara (water efficient tap) membantu mencuci sabun dengan cepat (biasanya digunakan di singki). Malangnya, terdapat sesetengah individu tidak biasa dengan penggunaan peralatan ini dan menukarkannya kepada pili tanpa buih yang tidak cekap air. Maka, teknologi yang baik mungkin tidak diguna pakai disebabkan oleh tabiat seseorang individu.
Penggunaan semula air sisa juga kurang dipraktikkan. Budaya ini bukannya sesuatu yang baru, tetapi telah dilupakan atau kurang menyenangkan. Air sisa domestik dibahagikan kepada graywater dan darkwater. Air sisa graywater ini berpunca daripada aktiviti seperti membasuh baju, penggunaan air di dapur, mandi dan sebagainya. Air sisa ini boleh diguna semula untuk tujuan bukan makan dan minum (non-potable use). Di sebaliknya, air sisa darkwater adalah air sisa tandas (sisa kumbahan) dan ianya tidak sesuai untuk digunakan semula atau dikitar semula di rumah.
Secara purata, hampir 80% air sisa domestik adalah graywater. Penggunaan semula atau kitar semua air sisa ini dapat membantu dalam kecekapan penggunaan air dan boleh mengurangkan penggunaan lebihan 37 liter/kapita/hari daripada saranan WHO dengan senang. Penggunaan semula boleh dilakukan untuk tujuan mencuci longkang, simbah tandas, menyiram tumbuh-tumbuhan dan kegunaan bukan makan-minum yang lain.
Bagi sektor industri dan pertanian, kecekapan air bermaksud mengurangkan atau mengoptimumkan penggunaan air bagi sesuatu proses tertentu. Ini dilihat sebagai kadar penggunaan air atau lebih dikenali sebagai water footprint. Water footprint membantu kita menetapkan penggunaan air di pelbagai sektor. Ini adalah pengurusan permintaan yang lebih efektif dan merentasi semua sektor. Sebagai contoh, kita menggunakan 140 liter air untuk menghasilkan secawan kopi, 184 liter air untuk 1kg tomato, 1000 liter air untuk 1 liter susu lembu dan 20,000 liter air untuk menghasilkan satu komputer riba (laptop). Melalui pengurangan nilai-nilai water footprint ini, sektor industri dan pertanian boleh menjadi lebih cekap air dan mengurangkan kebergantungan kepada air yang tinggi.
AWER menyeru Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyediakan kerangka kecekapan air kebangsaan untuk memastikan penggunaan air di semua sektor dapat dikawalselia dan mempertingkatkan kecekapannya.
Sediakan payung sebelum hujan.
Piarapakaran S., Presiden, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)