SURAT KEPADA PENGARANG - 26 November 2012
PIAWAIAN MINIMUM PRESTASI TENAGA (MEPS) BOLEH MEMBANTU RAKYAT MALAYSIA UNTUK MENJADI CEKAP TENAGA
Kecekapan tenaga adalah apabila kita menggunakan tenaga yang kurang untuk menjalankan kerja-kerja yang sama atau lebih tanpa menjejaskan keselesaan atau output sebenar yang diingini. Berdasarkan laporan Suruhanjaya Tenaga 2009, sebanyak 92753 GWj (GigaWattjam) elektrik telah dijual di Malaysia. Sektor domestik menggunakan hampir 20% daripada keseluruhan penggunaan dan menghasilkan 11.7 juta tan CO2. Oleh itu, peningkatan 20% dalam kecekapan tenaga dalam sektor domestik akan dapat mengurangkan lebih daripada 2.34 juta tan CO2 setiap tahun dari tahun 2025 jika produk tidak cekap tenaga ditamatkan secara berperingkat-peringkat sepenuhnya dari pasaran menjelang tahun 2020. Di samping itu, peningkatan permintaan kepada sumber-sumber tenaga yang berterusan hanya akan menyebabkan sumber-sumber ini lebih mahal dan akan terus meningkatkan tarif elektrik serta harga bahan api.
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menjalankan konsultasi dengan pihak berkepentingan seperti agensi-agensi kerajaan, industri dan orang ramai untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai masalah-masalah yang berkaitan dengan dasar, kerangka perundangan, standard dan pelabelan serta mendapatkan maklum balas mengenai penyelesaian-penyelesaian yang dicadangkan oleh AWER untuk meningkatkan kecekapan tenaga bagi sektor domestik. Tambahan pula, kami juga telah menjalankan kajian pelaksanaan kecekapan tenaga di negara-negara Asia Pasifik terpilih dan ASEAN untuk membandingkan pencapaian Malaysia.
Piawaian Minimum Prestasi Tenaga (MEPS) Satu Keperluan
Berdasarkan laporan-laporan terperinci dan kajian kes-kes yang dikaji oleh AWER, kami dapat membuat kesimpulan bahawa gabungan pelabelan secara mandatori dan sukarela (voluntary) serta Piawaian Minima Prestasi Tenaga (Minimum Energy Performance Standard - MEPS) adalah penting untuk menghalang produk tidak cekap tenaga daripada memasuki pasaran Malaysia.
MEPS adalah tahap prestasi minimum yang ditetapkan bagi pelbagai jenis produk yang menggunakan tenaga. Melalui piawaian mandatori ini, kemasukan produk tidak cekap tenaga ke pasaran dapat dihentikan. Hanya 8 daripada 17 negara yang telah kami kaji telah melaksanakan MEPS. Korea Selatan dan China merupakan ekonomi yang menerajui dalam pelaksanaan MEPS. Malaysia masih tidak mempunyai MEPS sehingga kini.
Selepas beberapa siri hasil kajian yang dikeluarkan kepada media oleh AWER, baru-baru ini Suruhanjaya Tenaga telah tampil ke hadapan dan mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan MEPS dengan segera untuk peralatan yang sudahpun mempunyai pelabelan kecekapan tenaga 5 bintang. Ini adalah satu langkah yang kami alu-alukan. Walau bagaimanapun, MEPS juga perlu diperluaskan kepada peralatan lain yang mempunyai penggunaan tenaga yang tinggi. Ini adalah fungsi utama dalam pelaksanaan MEPS. Di samping itu, dasar pelaksanaan pelabelan kecekapan tenaga 5 bintang juga perlu di kaji semula.
Kaji Semula Pelaksanaan Pelabelan Kecekapan Tenaga 5 Bintang
Produk yang telah mempunyai pelabelan penilaian kecekapan tenaga 5 bintang secara sukarela perlu dinaik taraf kepada pelabelan mandatori di mana piawaian penilaian kecekapan tenaga mesti disemak semula bersama-sama MEPS.
Pengenalan skim pelabelan penilaian kecekapan tenaga bagi produk baru mesti bermula dengan pelabelan sukarela untuk tempoh 12 bulan. Selepas itu, ia boleh dinaik taraf kepada pelabelan mandatori. Ini adalah bagaimana pelabelan kecekapan tenaga dilaksanakan di peringkat antarabangsa.
Pelabelan mandatori biasanya dilaksanakan bagi peralatan dengan penggunaan tenaga yang tinggi atau untuk peralatan yang digunakan dalam kuantiti yang besar atau peralatan yang digunakan untuk satu tempoh masa yang panjang. Korea Selatan telah menerajui amalan pelabelan mandatori bagi membantu pengguna untuk memilih produk-produk yang sesuai. Secara tidak langsung, ia membolehkan pembangunan teknologi produk dan modal insan.
Maklumat Kepada Orang Ramai
Suruhanjaya Tenaga juga perlu menyusun dan mengemaskini pangkalan data atas talian (online) bagi produk yang telah mendapat penilaian kecekapan tenaga dan MEPS supaya semua pihak yang berkepentingan boleh membuat rujukan. Pangkalan data atas talian juga perlu menyimpan butir-butir produk yang telah hilang kelayakan, ditarik balik atau diharamkan atas sebab-sebab teknikal atau perundangan. Ini akan membantu pengguna untuk mengenal pasti produk yang mengelirukan atau palsu. Sistem pangkalan data atas talian ini akan menjadi satu kelebihan kepada Suruhanjaya Tenaga untuk menjalankan penguatkuasaan. Orang awam juga akan dapat membuat aduan terus kepada suruhanjaya jika ada apa-apa penyelewengan dikesan.
Pengawal Selia yang Bertanggungjawab
Kesimpulannya, rombakan pelabelan untuk produk yang menggunakan tenaga adalah penting. Sebagai pengawalselia yang bertanggungjawab, Suruhanjaya Tenaga mempunyai kewajipan untuk membetulkan semua masalah pelabelan.
Berdasarkan lengkungan kos pengurangan gas rumah hijau global (Global GHG abatement cost curve), kecekapan tenaga berada di bawah sektor tiada pelaburan atau kurang pelaburan. Banyak audit-audit tenaga dan kajian telah memberikan trend yang hampir sama. Ini bermakna bahawa pelaburan dalam bidang kecekapan tenaga mempunyai pulangan segera dan tidak membazirkan. Untuk sektor perniagaan, risiko melabur dalam kecekapan tenaga adalah agak rendah juga. Meyakinkan orang awam dan perniagaan tentang penjimatan kos dan faedah kepada alam sekitar melalui pelaksanaan kecekapan tenaga memerlukan satu pendekatan yang lebih berkesan.
AWER telah memulakan proses ini di Malaysia melalui Low CO2 Tool kami, iaitu Tangkap si Pencuri (Click d' Thief) yang membantu sektor domestik, komersial, industri dan lain-lain untuk menjalankan audit tenaga yang mudah. Audit tenaga ini memberi tumpuan kepada penggunaan elektrik untuk mendapatkan kos dan jumlah pelepasan karbon (carbon footprint). Ia boleh digunakan secara PERCUMA di www.click.org.my.
Sumber-sumber tenaga semakin berkurangan, kita tiada ruang untuk mambazir! Mula mengCLICK kepada gaya hidup rendah karbon.
Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)