SURAT KEPADA PENGARANG
18 JUN 2013
Kawal Selia Industri - industri Intensif Tenaga dengan Ketat
Menurut Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (US Department of Energy), industri-industri intensif tenaga (energy intensive industry) adalah berkaitan dengan aluminium, acuan logam (metal casting), kimia, perlombongan, produk hutan, penapisan petroleum, kaca dan besi. Berdasarkan Projek Peningkatan Kecekapan Tenaga Perindustrian Malaysia (MIEEIP), terdapat 8 sub-sektor industri intensif tenaga iaitu, besi dan keluli, simen, kayu, makanan, kaca, pulpa & kertas, seramik dan getah. Kajian ini kemudian telah memperkenalkan 3 tambahan sub-sektor iaitu oleo-kimia, plastik dan tekstil.
Berdasarkan Imbangan Tenaga Kebangsaan 2010, permintaan gas asli telah meningkat daripada 476 ktoe (kilo ton oil equivalent) pada tahun 1990 ke 4310 ktoe pada tahun 2010 bagi sektor industri. Pada masa yang sama, sektor industri telah menggunakan sebanyak 44.4 % daripada jumlah keseluruhan penggunaan tenaga elektrik iaitu 104521 GWj (Giga Watt Jam) pada tahun 2010. Kedua-dua gas asli dan tenaga elektrik adalah diberikan subsidi yang tinggi dan adakah ini merupakan subsidi yang disasarkan dengan betul? Jika kebanyakan daripada produk yang dihasilkan adalah untuk pasaran antarabangsa, siapakah yang diberikan subsidi?
Industri intensif tenaga menimbulkan risiko besar kepada jaminan tenaga dan harga tenaga. Ada juga kemungkinan di mana tiada pulangan modal yang diperolehi daripada membawa masuk industri jenis ini ke Malaysia atau mengekalkan gergasi-gergasi yang tidak cekap tenaga seperti ini di sini. Kerajaan perlu mengenalpasti jumlah industri intensif tenaga di Malaysia dan mengkategorikan mereka dengan sewajarnya. Ia juga harus merangkumi penggunaan tenaga industri-industri ini dan status operasi semasa mereka. Penggunaan tenaga per unit produk yang dihasilkan akan dapat membantu melakukan penanda aras dengan cepat. Kami ingin mencadangkan bahawa langkah ini diketuai oleh Suruhanjaya Tenaga. Kami telah mengutarakan perkara ini dalam memorandum kepada kerajaan dan wakil-wakil rakyat baru-baru ini.
Pada masa ini, proses membawa masuk operasi baru industri intensif tenaga adalah tidak jelas. Sebelum industri intensif tenaga baru dibawa masuk, Suruhanjaya Tenaga mesti menilai prestasi kecekapan tenaga industri tersebut untuk memastikan ia adalah lestari. AWER ingin mengingatkan bahawa Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA) dan Penilaian Kesan Alam Sekitar Awalan (PEIA) tidak menjalankan apa-apa kajian kecekapan atau penilaian bagi tenaga atau air. Kedua-dua dokumen ini (DEIA dan PEIA) adalah BUTA kecekapan air dan kecekapan tenaga!
Sifat (nature) industri-industri ini akan memberikan impak yang tinggi kepada alam sekitar. Oleh itu, kerajaan perlu mengenakan cukai alam sekitar terhadap operasi industri ini bermula tahun 2014. Cukai ini harus berdasarkan ketidakcekapan setiap jenis industri intensif tenaga. Malah, banyak negara telahpun mula mengenakan cukai yang tinggi kepada ketidakcekapan oleh industri intensif tenaga.
Kami juga berharap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat menambahbaik Pelan Induk Perinduatrian Negara Ketiga. AWER tidak menentang penambahan industri di Malaysia. Untuk menjadi negara perindustrian dan maju seperti Jepun, Jerman dan Korea Selatan kita memerlukan industri-industri tetapi bukannya melalui kerugian pada sumber-sumber negara.
Jaminan tenaga adalah tunggak penting dalam keselaman negara; ia adalah mengenai kewujudan negara kita. Sediakan payung sebelum hujan.
Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)