SIARAN MEDIA - 5 OGOS 2013 (ISNIN)
AWER MENGGESA KeTTHA dan ST TIDAK MEMBUNUH RAKYAT DAN EKONOMI MALAYSIA DENGAN TARIF ELEKTRIK
Baru-baru ini, terdapat laporan berita bahawa tiada peluang pasaran yang adil untuk bidaan loji-loji janakuasa yang baru, Mekanisme Penyaluran Kos Bahan Api dan kedudukan sukar bagi Suruhanjaya Tenaga (ST) sebagai pengawal selia. Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menerbitkan satu laporan bertajuk "Perjuangan: masa depan industri elektrik negara" pada pertengahan tahun 2011. Banyak cadangan telah diberikan di dalam laporan ini bagi memastikan industri elektrik Malaysia terus berkembang ke tahap yang lebih tinggi dengan model operasi yang lebih baik. Walau bagaimanapun, terdapat sekumpulan orang-orang yang mempunyai kepentingan tertentu dan dijangkiti Sindrom 'Amalan Terbaik Antarabangsa' menyuntik pelbagai cadangan yang akan membunuh ekonomi negara dan rakyat jika dilaksanakan.
Apakah objektif utama bagi industri elektrik di Malaysia? Ia adalah untuk memastikan bekalan elektrik yang berterusan, boleh dipercayai dan selamat dengan tarif yang saksama kepada rakyat dan perniagaan untuk memastikan jaminan tenaga dan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Adakah kita menghampiri objektif utama ini apabila ramai individu yang berkepentingan mencadangkan pelbagai jenis penyelesaian? Berikut adalah beberapa isu yang AWER mahu Kerajaan Persekutuan tangani dengan SEGERA sebelum individu-individu berkepentingan mengebumikan ekonomi Malaysia dengan Sindrom 'Amalan Terbaik Antarabangsa'.
ISU 1: Mengawal Selia Sektor Penjanaan. Apa yang ST Sedang Tunggu?
"Imbangan Tenaga Kebangsaan 2010" melaporkan sejumlah 32,068 kilo tan bersamaan minyak (ktoe) tenaga elektrik telah dijana di Malaysia pada tahun 2010. Campuran bahan api (fuel mix) terdiri daripada gas asli (53.0%), arang batu (40.4%), hidro (4.9%), minyak diesel (1.3%) dan fuel oil (0.4%).
Gas asli yang merupakan sumber tenaga bersubsidi mencatat nilai tertinggi dalam campuran bahan api diikuti oleh arang batu yang kini sedang dibeli pada harga pasaran. Kerajaan Persekutuan telah memulakan Rasionalisasi Subsidi (pengurangan subsidi) dan penggunaan gas asli yang tinggi untuk menjana tenaga elektrik pasti akan memberi impak yang lebih tinggi kepada tarif elektrik melalui proses ini.
Semasa pelaksanaan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA), pada mulanya, bahan api telah dibeli oleh Penjana Bebas (IPP) dan semua kos bahan api dibilkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Walau bagaimanapun, terdapat isu dimana harga seunit bahan api yang dibeli yang berbeza-beza kerana pelbagai sebab. Oleh itu, kerajaan telah tugaskan TNB untuk memastikan kos bahan api diperoleh adalah stabil. Sebagai contoh, arang batu yang diperoleh pada harga pasaran oleh TNB Fuel Services Sdn Bhd untuk memastikan tiada manipulasi kos bahan api berulang.
Di samping itu, sektor penjanaan menyumbang 80% daripada keseluruhan kos elektrik dan sektor penghantaran (Grid) adalah kira-kira 18%. Baki 2% adalah daripada sektor pembahagian (distribution). Dengan statistik ini sebagai rujukan, Suruhanjaya Tenaga (ST) sepatutnya melaksanakan dasar-dasar dan peraturan-peraturan yang selaras untuk membuat industri elektrik kita menjadi lebih kos efektif. Malangnya, ST tidak berbuat demikian. Keseluruhan Peraturan Berasaskan Insentif (Incentive Based Regulation - IBR) sebenarnya memberi tumpuan dalam mengawal selia sektor penghantaran dan pembahagian yang merupakan 20% daripada keseluruhan kos elektrik. AWER masih berkeras bahawa adalah TIDAK BERMAKNA ST menjadi pengawal selia jika 80% daripada kos tenaga elektrik tidak dikawal selia.
Kini, rakyat dan perniagaan boleh bayangkan bahawa pelaksanaan IBR yang dicadangkan oleh ST yang mempunyai Mekanisme Penyaluran Kos Bahan Api (Fuel Cost Pass Through - FCPT) sebagai komponen di dalamnya, pada asasnya hanya mengawal selia TNB sahaja dan IPP masih bebas. Mengapa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan ST takut untuk mengawal selia sektor penjanaan terutamanya IPP? Adakah KeTTHA dan ST mengelirukan Parlimen, perniagaan dan rakyat? Tanpa mengawal selia sektor penjanaan, FCPT akan menyalurkan kos ketidakcekapan dalam penggunaan bahan api secara langsung kepada rakyat dan perniagaan. Seterusnya, perniagaan akan menyalurkan kos tambahan ini kepada perkhidmatan dan produk mereka. Akhirnya, rakyat adalah mangsa.
ISU 2: Pembaharuan PPA Bagi IPP Generasi Pertama Di Buat Dengan Kaedah Yang Salah
Apakah model yang telah digunakan oleh ST untuk melanjutkan beberapa Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bagi IPP generasi pertama pada akhir tahun 2012? Loji Janakuasa Prai baru yang boleh mencapai kecekapan 60% telah menerima tarif imbangan (levelised tariff) yang lebih rendah berbanding dengan loji-loji janakuasa IPP generasi pertama (yang boleh dikatakan sebagai besi buruk dari segi teknikal). Ketelusan dalam perkara ini adalah penting untuk mengetahui apakah klausa-klausa yang menjadikan pelanjutan PPA bagi IPP generasi pertama ini lebih lumayan berbanding dengan membina sebuah loji janakuasa yang baru dan lebih cekap tenaga. Jika kita boleh membina 2 lagi loji janakuasa gas pada kecekapan 60%, tarif yang saksama dapat dicapai serta merta. Ini kerana loji janakuasa IPP generasi pertama mempunyai kecekapan tenaga yang lebih rendah dengan tarif imbangan yang tinggi. Ketidakcekapan dalam sektor penjanaan akan menyebabkan tarif elektrik meningkat secara drastik jika Penyaluran Kos Bahan Api (FCPT) dilaksanakan oleh KeTTHA dan ST. Adakah ini "kecekapan" yang KeTTHA dan ST war-warkan?
ISU 3: Adakah Suruhanjaya Tenaga Melaksanakan Bidaan Terbuka Yang Betul?
Baru-baru ini, terdapat laporan media bahawa, keupayaan TNB untuk membida bagi projek loji janakuasa pada kos lebih rendah adalah tidak baik untuk ekonomi negara. Adakah membina loji janakuasa pada kos lebih rendah tidak baik untuk Malaysia ATAU ia adalah tidak baik untuk poket sesetengah individu? Sebenarnya, entiti-entiti yang gagal dalam bidaan juga boleh membida untuk projek-projek pada harga yang lebih rendah kerana mereka sendiri boleh mengeluarkan 'Jaminan Korporat' (Corporate Guarantee) untuk mencapainya.
Di samping itu, terdapat satu tempoh masa di mana ST tidak membenarkan TNB untuk membida projek loji janakuasa kerana keupayaan TNB untuk membida pada harga yang lebih rendah. Tetapi, adakah ia betul untuk membenarkan pembida yang tidak cekap untuk menyalurkan kos yang lebih tinggi kepada tarif? Mengapa Penjanabebas (yang mewakili IPP) menggesa kerajaan untuk tidak membenarkan TNB untuk membida walaupun TNB boleh membida pada harga yang lebih rendah? Kos pembinaan yang lebih rendah bagi loji janakuasa bermakna impak yang lebih rendah kepada tarif. Mengapa rakyat dan perniagaan perlu membayar tarif yang lebih tinggi disebabkan oleh keengganan pembida untuk mengeluarkan 'Jaminan Korporat' untuk mendapatkan pembiayaan yang lebih baik? Adakah ia kerana pembida hanya berniat untuk membuat keuntungan dengan cepat dan tutup kedai apabila ia tidak menguntungkan? Jika syarikat atau konsortium syarikat-syarikat gagal untuk mendapatkan sumber kewangan yang baik, ia bermakna mereka adalah tidak cekap.
ISU 4: KeTTHA Dan ST Melindungi Kepentingan Negara Atau Poket IPP
ST mesti berupaya untuk menjalankan bidaan terbuka sebenar bagi membolehkan matlamat utama untuk membekalkan tenaga elektrik dicapai. Setiap pembida boleh menggunakan kuasa pasaran mereka untuk mendapatkan projek loji janakuasa tetapi jika mereka hanya mempunyai KEUNTUNGAN LUMAYAN sebagai matlamat utama mereka, mereka biasanya tidak akan memenangi bidaan.
Alasan yang diberikan oleh KeTTHA dan ST bahawa TNB menggunakan kuasa pasaran adalah seiring dengan hujah terbaru IPP untuk menghentikan TNB daripada membida. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa IPP yang cukup besar untuk bersaing dengan TNB. Jika IPP tidak mampu untuk memberi 'Jaminan Korporat' untuk mendapatkan pembiayaan yang lebih baik dan tawarkan pada harga bidaan yang lebih rendah, mereka boleh memilih untuk bersara daripada industri elektrik kerana industri elektrik merupakan industri sosial-ekonomi. KEUNTUNGAN LUMAYAN tidak dibenarkan di sini.
Mungkin, kini rakyat dan perniagaan boleh memahami mengapa AWER terus berkeras kepada KeTTHA dan ST untuk pelaksanaan mekanisme penetapan tarif yang telus bagi tenaga elektrik. Ia adalah hak anda untuk membayar apa yang anda sepatutnya bayar, ia bukan tugas atau tanggungjawab anda untuk membayar berdasarkan teori ekonomi yang bodoh untuk membuat seseorang kaya melalui PPA yang LUMAYAN.
Jika ST dan KeTTHA gagal melaksanakan bidaan terbuka sebenar dan mengikuti beberapa cadangan bodoh untuk menghalang pembinaan loji janakuasa pada kos yang lebih rendah, AWER tiada pilihan kecuali untuk mengheret kedua-dua entiti ini kepada Siasatan Diraja dan akhirnya ke kes mahkamah kerana mereka gagal untuk memastikan objektif utama untuk menyalurkan tenaga elektrik yang berterusan, boleh dipercayai dan selamat dengan tarif yang saksama kepada rakyat dan perniagaan.
KESIMPULAN
Anak ke-18 Maharaja Shi Huang Di (Dinasti Qin), Qin Er Shi (Hu Hai) menjayakan bapanya dan mempunyai seorang pegawai yang bernama Zhao Gao (seorang sida-sida). Sida-sida ini mahu menguji pegawai-pegawai dinasti yang setia kepadanya untuk motif tersembunyi. Jadi, pada satu hari sida-sida ini telah membawa seekor rusa untuk menghadap Qin Er Shi dan mendakwa ia sebagai seekor kuda. Maharaja berkata sida-sida berbohong dan ia adalah seekor rusa. Kemudian Zhao Gao pula meminta semua pegawai yang hadir di dalam balai soalan yang sama. Mereka yang menjawab ia adalah seekor rusa telah dibunuh secara melampau oleh sida-sida ini selepas itu. Insiden ini dalam sejarah Cina digunakan ke atas orang-orang atau sekumpulan orang yang memberi gambaran fakta yang salah dengan motif tersembunyi. Kita mempunyai banyak "ZHAO GAO" di KeTTHA, ST, 'pemerhati industri elektrik' dan tentunya IPP, tetapi AWER yakin bahawa rakyat tidak mempunyai pemimpin yang berkelakuan seperti Qin Er Shi yang menyebabkan Dinasti Qin hapus dalam tempoh 3 tahun pemerintahannya. Kita perlukan pemimpin yang berani untuk menghentikan putar belit fakta.
Mengapa rakyat dan perniagaan perlu membayar kos tambahan jika sesetengah individu ingin mengaut keuntungan melalui tarif elektrik? Apa teori ekonomi yang bodoh ini? Pakar ekonomi bodoh yang mana mewar-warkan ini? Mungkin individu seperti sida-sida Zhao Gao atau sekumpulan individu seperti sida-sida Zhao Gao melakukan ini.
Jaminan Tenaga adalah salah satu Tunggak Keselamatan Negara. Kami menggesa YAB Perdana Menteri dan Menteri KeTTHA untuk bertindak sewajarnya untuk mengelakkan pembunuhan industri elektrik kita kerana orang-orang yang mempunyai kepentingan tertentu seperti Zhao Gao, salah satu sida-sida yang paling korup, keji dan ganas.
Yang Benar,
Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)