SIARAN MEDIA - 15 MEI 2014 (AHAD)
AWER MENYERU MENTERI KeTTHA DAN AGENSI BERKAITAN UNTUK BERHENTI PUTAR BELIT FAKTA BAGI MENJUSTIFIKASIKAN RUNDINGAN TERUS TRACK 4A
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) membidas penjelasan yang diberikan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) yang tidak profesional dan tidak beretika di dalam laporan media baru-baru ini (Bernama- Kerajaan Timbang Semua Pilihan Sebelum Beri Projek Turbin Gas - Ongkili, bertarikh 12 Jun 2014) yang mendapat liputan luas dalam media lain serta laporan di beberapa media lain. Penjelasan menteri itu dilihat sebagai percubaan memutarbelitkan fakta kejuruteraan untuk menjustifikasikan rundingan terus projek Track 4A. Persoalannya, siapa yang telah mengaburkan menteri KeTTHA untuk mengelirukan rakyat, perniagaan dan pelabur? AWER ingin menangkis penjelasan yang dikeluarkan oleh Menteri KeTTHA dalam laporan-laporan media baru-baru ini.
PENJELASAN 1: Keputusan untuk memberikan projek adalah disebabkan margin rezab (simpanan) penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia adalah "tidak lagi selesa".
Seperti yang dinyatakan oleh AWER dalam kenyataan akhbar kami sebelum ini yang bertarikh 10 Jun 2014, keputusan untuk mempercepatkan pembinaan Track 4A telah dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) tahun lepas. Ia (pembinaan Track 4A) tiada kaitan dengan pengurangan bebanan (load shedding) yang berlaku di beberapa negeri baru-baru ini. Fakta mengenai gangguan tidak berjadual dari loji janakuasa arang batu boleh dikaitkan dengan 3 sebab utama:
I. Operasi lampau (over running) loji-loji arang batu semasa kekurangan bekalan gas asli sejak 2011,
II. Amalan operasi dan penyelenggaraan, dan
III. Rekabentuk economizer yang tidak teguh (robust) (arang batu jenis tertentu tidak sesuai).
Sebab-sebab ini yang telah menjejaskan penjanaan elektrik daripada loji-loji janakuasa arang batu baru-baru ini. Menurut pembentangan pada mesyuarat Panel Perundingan Tenaga pada 10 Jun 2014, margin simpanan adalah sekitar 29.7% pada masa ini dan ia dijangka turun kepada 25%. Pengurangan margin simpanan juga selaras dengan kriteria yang ditetapkan oleh JPPPET iaitu Kehilangan Beban (Loss of Load Equivalent/LOLE) pada < = 1 hari (yang bersamaan dengan penanda aras 22% margin simpanan bagi negara membangun) seperti yang dilaporkan dalam laporan “Peninsular Malaysia Electricity Supply Industry Outlook 2013” (muka surat 34). Disebabkan oleh peningkatan dalam permintaan dan untuk memenuhi keperluan gangguan terjadual, simpanan operasi (operating reserve) juga dikurangkan daripada 2300 MW (MegaWatt) kepada 1800 MW. Purata peningkatan permintaan tenaga elektrik adalah dianggarkan sekitar 3.31% bagi 2014 hingga 2018. Apabila proses reka bentuk semula economizer selesai pada tahun depan (1 tahun adalah tempoh piawai untuk mereka bentuk semula economizer), simpanan operasi akan kembali normal. Kita juga mempunyai beberapa loji janakuasa baru yang akan mula beroperasi pada tahun 2015.
Untuk makluman semua, ini adalah beberapa loji-loji janakuasa yang akan mula beroperasi dari 2015 sehingga 2019:
I. Janamanjung (Unit 4: 1 x 1000 MW - Mac 2015),
II. Hulu Terengganu (250 MW - September 2015),
III. Connaught Bridge (1 x 350 MW - September 2015),
IV. Prai (2 x 535 MW - Januari 2016),
V. Tg Bin (Unit 4: 1 x 1000 MW -Mac 2016),
VI. Janamanjung (Unit 5: 1x1000 MW Coal - Oktober 2017),
VII. Pengerang (400 MW - Julai 2017),
VIII. Ulu Jelai (372MW - 2018), dan
IX. 1MDB (2 x 1000 MW - 2019).
Penjelasan menteri (Keputusan untuk memberikan projek adalah disebabkan margin rezab "tidak lagi selesa") untuk menjustifikasikan rundingan terus Track 4A nampaknya "terlupa" bahawa kita mempunyai banyak kapasiti penjanaan baru yang akan mula beroperasi tidak lama lagi. Hakikat kejuruteraan ialah, pemberian Track 4A melalui perundingan terus TIDAK AKAN MENINGKATKAN margin simpanan dan simpanan operasi (operating reserve) sehingga Track 4A mula beroperasi pada Jun 2018. AWER tertanya-tanya mengapa menteri KeTTHA, KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga tidak dapat memahami fakta yang paling mudah dan asas ini! Track 4A merupakan loji penjanaan turbin gas kitaran bersepadu (CCGT) yang akan mengambil masa kira-kira 3 tahun untuk disiap bina. Jika proses pembidaan kompetitif yang telus dijalankan sekarang dan Notice to Proceed (NTP) diberikan pada bulan Jun 2015, masih ada masa yang mencukupi untuk membina Track 4A. Mengapa Menteri KeTTHA, KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga mengelirukan rakyat, perniagaan dan pelabur?
PENJELASAN 2: Kementerian menggunakan tiga konsep untuk mendapatkan loji janakuasa baharu iaitu pembidaan kompetitif, tender terpilih (bidaan terhad) dan rundingan terus.
Rancangan Malaysia Ke-10 (halaman 117), “Peninsular Malaysia Electricity Supply Industry Outlook 2013” (halaman 65) dan Laporan Tahunan Program Transformasi Ekonomi 2013 (muka surat 45) hanya menggariskan pembidaan kompetitif sebagai langkah untuk penambahan kapasiti penjanaan baru dan langkah selainnya tidak dinyatakan. Apakah tanggapan pelabur apabila kerajaan menjalankan pelaksanaan yang berbeza berbanding dengan ikrar yang dibuat dalam penerbitan rasmi yang disediakan untuk pelabur? Malah, alasan "konsep" yang diberikan oleh Menteri KeTTHA tidak pernah disebut di dalam bengkel pembaharuan Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) sama sekali. AWER merupakan salah satu daripada pihak-pihak berkepentingan yang mengambil bahagian dalam proses ini. Menteri KeTTHA boleh memainkan semula semua rakaman; tidak ada penerangan "konsep" bidaan terhad atau rundingan terus yang dikatakan dikenal pasti sebagai cara untuk penambahan kapasiti penjanaan baru. Kesimpulan akhir bengkel pembaharuan MESI adalah BIDAAN KOMPETITIF YANG TELUS adalah satu-satunya cara untuk mengawal kos daripada sektor penjanaan dan meningkatkan keyakinan pelabur. Mengapa KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga membuat pusingan 'U' selepas komited untuk Pembidaan Kompetitif yang Telus? Apakah sebab BUKAN teknikal yang menghalang kerajaan daripada menjalankan pembidaan kompetitif yang telus untuk mendapatkan teknologi terbukti yang terbaik dengan tarif purata (levelised tariff) yang paling rendah?
PENJELASAN 3: Projek diberikan berdasarkan kadar kompetitif yang diberikan dalam proses tender Track 3B yang dimuktamadkan baru-baru ini dan dakwaan kadar tarif tidak munasabah tidak harus timbul sama sekali.
Pada 7 Mac 2014, Suruhanjaya Tenaga mengeluarkan satu kenyataan akhbar untuk menjustifikasikan mengapa Konsortium YTL-SIPP tidak mematuhi Bahagian 2 (Spesifikasi Teknikal) bagi dokumen Permintaan untuk Cadangan (Request for Proposal-RFP) untuk projek Track 3B. Bahagian 2 menetapkan bahawa loji janakuasa yang ditawarkan hendaklah direka bentuk berasaskan teknologi terbukti yang telah beroperasi secara komersial pada keadaan stim (steam condition) sama seperti yang dicadangkan dalam tawaran.
Berdasarkan penjelasan ini, jika semua pembida untuk projek Track 3B menggunakan teknologi tidak terbukti, mereka tidak akan menghadapi apa-apa kesukaran untuk menawarkan bidaan yang lebih rendah kerana perbezaan antara tarif purata (levelised tariff) yang ditawarkan oleh pembida teknologi terbukti (1MDB-Mitsui) dan pembida teknologi tidak terbukti (YTL-SIPP) hanya 0.21 sen/kWj. 1MDB-Mitsui memenangi tawaran Track 3B pada tarif purata (levelised tarif) iaitu 25.33 sen/kWj.
Kerajaan TIDAK AKAN DAPAT meramalkan tawaran yang paling rendah tanpa menjalankan pembidaan kompetitif yang telus. Penambahan kapasiti penjanaan baru bukannya aktiviti "tilik nasib" dan kerajaan tidak mengambil "tukang tilik nasib" untuk bekerja sebagai ketua agensi-agensi untuk menentukan hasil proses-proses bidaan masa depan. AWER menggesa Menteri KeTTHA dan pegawainya tidak mempersendakan rakyat, perniagaan dan pelabur dengan alasan yang lemah dan memutar belit. Ingat seluruh dunia melihat dan terdapat banyak jurutera serta profesional di seluruh dunia. Jangan membuat mereka tertawakan Malaysia!
KESIMPULAN: Tabik kepada YBhg Datuk Mohd Nasir bin Ahmad yang Meletak Jawatan sebagai Ahli Suruhanjaya Tenaga kerana Suruhanjaya Gagal Melaksanakan Bidaan Kompetitif yang Telus untuk Track 4A
AWER ingin tabik langkah yang diambil oleh YBhg Datuk Mohd Nasir bin Ahmad yang meletak jawatan sebagai ahli Suruhanjaya Tenaga kerana kegagalan Suruhanjaya Tenaga untuk menjalankan pembidaan kompetitif yang Telus untuk Track 4A seperti yang dilaporkan oleh media. Merujuk kepada perkara ini, ia juga membingungkan mengapa hanya segelintir daripada ahli-ahli Parlimen yang sebenarnya menentang tindakan keji dan menjijikkan (pemberian Track 4A melalui rundingan terus) yang diputar belit oleh KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga ini. Ini merupakan peluang keemasan untuk wakil-wakil rakyat (ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri) untuk membantah rundingan terus sebelum Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) ditandatangani. AWER berharap mereka semua akan berdiri teguh untuk melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia dan ekonomi negara.
Bagi para Pegawai Kanan di KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga, pengerusi suruhanjaya serta ahli-ahli suruhanjaya dan juga menteri KeTTHA, AWER masih memberikan dua pilihan:
Pilihan 1: Menjalankan proses pembidaan kompetitif yang telus untuk Track 4A;
Pilihan 2: Meletak jawatan serta-merta kerana gagal untuk melaksanakan janji-janji yang diterbitkan dalam laporan-laporan rasmi kerajaan persekutuan serta mengelirukan rakyat, perniagaan dan pelabur.
Tuan-tuan dan puan-puan, pilihan masih ada di tangan anda!
Piarapakaran S.
President
Association of Water and Energy Research Malaysia (AWER)