English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

PEMBIDAAN KOMPETITIF YANG TELUS ADALAH SATU-SATUNYA HALATUJU KE HADAPAN UNTUK MALAYSIA

SIARAN MEDIA - 19 JUN 2014 (KHAMIS)

PEMBIDAAN KOMPETITIF YANG TELUS ADALAH SATU-SATUNYA HALATUJU KE HADAPAN UNTUK MALAYSIA

Penarikan diri oleh YTL Power International daripada rundingan terus Track 4A akan memaksa Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) untuk menjalankan pembidaan kompetitif yang telus. Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin menegaskan sekali lagi bahawa pengurangan kos pembinaan loji janakuasa hanya boleh dicapai melalui proses pembidaan kompetitif yang telus. Penjimatan ini adalah satu faedah secara langsung kepada rakyat, perniagaan dan pelabur kerana hanya tarif yang saksama dan berpatutan akan disalurkan.

Proses pembidaan kompetitif yang telus perlu mengenal pasti teknologi yang paling cekap serta mempunyai rekod operasi yang telah terbukti dengan tarif purata (levelised tariff) yang terendah. Teknologi yang paling cekap akan membolehkan loji janakuasa untuk menghasilkan output tenaga elektrik yang lebih tinggi dengan input bahan api yang lebih rendah. Ini secara langsung akan mengurangkan kesan kos bahan api kepada tarif. Kos bahan api (41%) adalah komponen yang tertinggi dalam tarif elektrik diikuti oleh caj kapasiti (28%).

Berdasarkan perkembangan terkini, kita masih mempunyai masa yang mencukupi untuk membina Track 4A melalui proses pembidaan kompetitif yang telus. Track 4A merupakan loji janakuasa turbin gas kitaran bersepadu (CCGT) yang mengambil kira-kira 3 tahun (32 bulan kepada 36 bulan) untuk disiapkan. Suruhanjaya Tenaga perlu menjalankan proses pembidaan kompetitif yang telus sekarang dan Notice to Proceed (NTP) mesti dikeluarkan menjelang Jun 2015.

AWER akan memantau dengan teliti semua proses pembidaan kompetitif untuk memastikan kriteria-kriteria yang ditetapkan bagi proses pembidaan mengurangkan kos projek dan membolehkan tarif purata (levelised tariff) yang lebih rendah di capai. Kami juga menyeru semua ahli-ahli Parlimen untuk memantau proses ini dengan teliti dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu memainkan peranan utama dalam hal ini.

Sebagai PERINGATAN AWAL kepada Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA, terdapat keperluan segera untuk mula merancang bagi menggantikan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) generasi kedua yang akan tamat. PPA bagi Penjana Bebas (IPP) generasi kedua yang mempunyai loji janakuasa gas akan tamat seperti berikut:
I.  Pahlawan Power Sdn Bhd (322 MW / Ogos 2020),
II.  GB3 Sdn Bhd (640 MW / Disember 2022),
III. Panglima Power Sdn Bhd (720 MW / Februari 2023),
IV.  Teknologi Tenaga Perlis Consortium Sdn Bhd (650 MW / Mac 2024),
V.  Prai Power Sdn Bhd (350 MW / Jun 2024).

Berdasarkan mesyuarat AWER dengan Suruhanjaya Tenaga pada 11 September 2013, Suruhanjaya Tenaga telah berjanji bahawa TIADA RUNDINGAN SEMULA bagi PPA untuk generasi kedua dan proses PEMBIDAAN KOMPETITIF yang TELUS akan dilaksanakan untuk menggantikan kapasiti yang akan tamat PPA. Kapasiti loji-loji yang akan tamat PPA dan perlu diganti adalah sebanyak 2682 MW (Mega Watt). Sepatutnya tidak ada apa-apa sebab "TIADA MASA YANG MENCUKUPI" untuk terpesong daripada proses pembidaan kompetitif yang telus.

Isu Track 4A menunjukkan suara yang lebih kuat daripada semua pihak berkepentingan untuk memastikan hanya kos yang saksama dan berpatutan daripada sektor penjanaan electric disalurkan kepada tarif elektrik. Dengan peningkatan harga gas asli untuk sektor penjanaan elektrik bagi mencapai harga pasaran pada 1 Januari 2016, pembidaan kompetitif yang telus adalah satu-satunya halatuju ke hadapan. Track 4A hanyalah salah satu loji janakuasa; terdapat lebih banyak lagi loji-loji janakuasa yang akan di bina dan kita semua perlu memantau proses bidaan dengan teliti kerana apabila PPA ditandatangani, kita akan terikat dengan kos ini lebih daripada 2 dekad.

Sediakan payung sebelum hujan!

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies