English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Jaminan Bekalan Air Kita adalah Masa Depan Kita Bersama: Adakah kita telah mencapai sasaran?

SURAT KEPADA PENGARANG - 21 Mac 2015 (SABTU)

Jaminan Bekalan Air Kita adalah Masa Depan Kita Bersama: Adakah kita telah mencapai sasaran?

Hari Air Sedunia disambut setiap 22 Mac. Sambutan ini adalah bertujuan untuk menandakan kepentingan air terutamanya kepada manusia. Ia adalah sebahagian daripada aktiviti Dekad untuk Air (2005 - 2015) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tema sambutan tahun ini adalah 'Air dan Pembangunan Lestari'. Dalam tahun terakhir Dekad untuk Air ini, apakah yang telah kita capai dalam perancangan, pengurusan and perlindungan air yang merupakan satu komponen penting dalam kehidupan kita?

Air adalah Kesihatan
Akses kepada bekalan air yang bersih, selamat dan berterusan adalah penting untuk memastikan aktiviti harian kita tidak terganggu. Sanitasi memerlukan air juga. Kewujudan kaedah curah, tangki septik individu dan tangki septik komunal akan memberikan kesan kepada air mentah. Melangkah ke arah kemudahan pembetungan bersambung untuk lokasi yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi akan dapat mengelakkan pencemaran kepada air mentah dari pembetungan di samping menuai sumber-sumber bahan mentah dari sistem pembetungan dengan cara yang berkesan, ekonomi dan lestari. Berdasarkan statistik rasmi 2013, Semenanjung Malaysia masih mempunyai 4,378 tangki septik komunal, 1,306,662 tangki septik individu dan 894,859 kaedah curah. Sehingga 2013, Sarawak mempunyai 401,564 tangki septik individu dan 95 tangki septik komunal. Ini memberikan risiko yang tinggi kepada pencemaran air mentah. Contoh insiden yang berkaitan dengan pencemaran pembetungan adalah tahap ammonia yang tinggi di Sg Langat tahun lepas yang menyebabkan loji rawatan air Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi ditutup. Indah Water Konsortium mesti distruktur semula di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) tahun ini untuk memulakan revolusi industri pembetungan. Begitu juga, Sabah dan Sarawak mesti menstruktur semula mengikut model WSIA untuk mempertingkatkan industri perkhidmatan air di kedua-dua negeri ini.

Air adalah Alam Sekitar
Kebakaran tanah gambut, kekurangan air semasa musim kering dan banjir ketika musim hujan adalah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa kita telah gagal untuk mencapai keseimbangan di antara pembangunan dan kelestarian. Banjir tahun lepas telah menunjukkan kepada kita kesan menghapuskan halangan dan perlindungan semula jadi, iaitu hutan. Guna tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Maka, kerajaan tempatan dan kerajaan negeri bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa jua kesan daripada perubahan dalam penggunaan tanah. Segmentasi hutan dengan menyimpan sebahagian kecil hutan sebagai kawasan hutan simpan dan memenggal selebihnya telah secara mendadaknya mengurangkan keupayaan hutan untuk mengawal iklim tempatan. Begitu juga, hutan yang dilindungi menyediakan air mentah secara berterusan untuk kegunaan manusia. Krisis air pada tahun lepas di Lembah Klang adalah satu lagi contoh yang membuktikan kita telah gagal untuk merancang dan melindungi kawasan tadahan air. Dengan mengurangkan litupan hutan dara, adakah Malaysia akan mampu menghadapi corak iklim yang lebih ekstrem atau akan Malaysia terus menghabiskan berbilion Ringgit untuk menangani situasi selepas bencana telahpun berlaku?

Air adalah Urbanisasi
Berdasarkan statistik terkini (2013), Malaysia mempunyai 488 loji rawatan air dengan kapasiti reka bentuk 18,421 juta liter sehari (JLH) dan pengeluaran 15,536 MLD air bersih. Pada tahun 1983, Malaysia telah menganggarkan hampir 32,693 km paip untuk membekalkan air bersih dan pada tahun 2013 hampir 138, 669 km paip disediakan untuk membekalkan air kepada semua kategori pengguna. Peningkatan permintaan untuk air bersih adalah petunjuk tamadun yang matang. Pada tahun 2013, 61.5% daripada air terawat digunakan oleh pengguna domestik. Dengan peningkatan penduduk di bandar, permintaan untuk air bersih di kawasan bandar akan terus meningkat. Memandangkan tumpuan banyak diberikan kepada pembangunan infrastruktur air di bandar, pembangunan infrastruktur kawasan sub-bandar dan luar bandar akan menjadi lebih mahal. Oleh itu, AWER menyeru negeri-negeri yang belum struktur semula di bawah model WSIA menyempurnakan penstrukturan semula dengan segera untuk memastikan pertumbuhan yang seimbang dan memastikan bekalan air yang berterusan, selamat dan boleh dipercayai (reliable) dapat dibekal kepada semua kategori pengguna.

Air adalah Industri
Jumlah penggunaan air dibahagikan kepada sektor domestik, industri (termasuk komersil) dan pertanian di mana penggunaan adalah 17%, 21% dan 62% masing-masing. Walau bagaimanapun, hampir 2/3 daripada air terawat digunakan oleh sektor domestik. Ini adalah kerana banyak industri dan aktiviti pertanian mengekstrak air terus dari sumber air mentah untuk kegunaan mereka. Pada masa ini, tidak ada langkah atau arahan untuk memastikan industri adalah cekap air. AWER menyeru Kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang peringkat Persekutuan (kaedah-kaedah atau peraturan) untuk memastikan amalan cekap air digalakkan dan dikuatkuasakan serta ditambah baik secara berterusan. Ini secara tidak langsung akan membantu industri di Malaysia untuk membangunkan teknologi cekap air yang inovatif dan berkesan serta boleh mengkomersilkan teknologi ini di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa.

Air adalah Tenaga
Sehingga 31hb Disember 2012, Malaysia mempunyai 11.4% atau 3,317 MW (MegaWatt) kapasiti terpasang untuk hidroelektrik. Hidroelektrik masih merupakan bahagian terbesar sumber tenaga boleh diperbaharui dan kadar pelepasan karbon (carbon footprint) adalah antara 6.5g CO2 bersamaan / kWj (kiloWattjam) bagi penjanaan hidroelektrik air larian sungai (mini hidro) hingga 60g CO2 bersamaan / kWj bagi tenaga elektrik yang dijana daripada empangan hidroelektrik skala besar. Sebuah loji janakuasa arang batu subkritikal yang baru biasa mengeluarkan lebih daripada 1000g CO2 bersamaan / kWj. Membina empangan hidroelektrik berskala besar memberi impak sosial dan alam sekitar yang tinggi kepada masyarakat tempatan. Satu prosedur pembangunan empangan hidroelektrik dan penempatan semula yang ketat perlu dibangunkan untuk memastikan, pembinaan empangan hidroelektrik memberi penyelesaian yang lebih positif dengan kesan sosial dan alam sekitar yang minimum.

Air adalah Makanan
Sektor pertanian merupakan sektor yang menggunakan air dari bahan mentah sehingga produk akhir. Sama seperti sektor industri, sektor pertanian yang mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap air juga perlu dibantu untuk menjadi lebih cekap air melalui penanda aras kadar penggunaan air (water footprint). Water footprint dapat membantu kita untuk menentukan penggunaan air untuk pelbagai sektor. Ini adalah pengurusan permintaan yang lebih baik dan berkait rapat dengan semua sektor. Melalui mekanisme water footprint, sektor pertanian boleh menjadi lebih cekap air dan mengurangkan kebergantungan yang tinggi terhadap air secara strategik. Ini juga akan menyumbang ke arah pengurangan pencemaran air dengan ketara. Selain itu, langkah inovatif ini juga boleh dikomersialkan.

Air adalah Kesaksamaan
Sedangkan banyak mengkaitkan peranan wanita di antara air dan kesaksamaan, AWER melihat kepada intipati yang lebih besar. Air merentasi sempadan (Transboundary) serta perlindungan hutan adalah penting untuk memastikan negeri-negeri jiran menikmati pembangunan berterusan. Tarif air mentah berdasarkan kualiti air mentah perlu dibangunkan dan dilaksanakan bagi memastikan kerajaan negeri memperoleh pendapatan yang saksama melalui perlindungan kawasan tadahan air untuk mendapatkan sumber air mentah termasuk air mentah merentasi sempadan. AWER melihat ini sebagai satu langkah penting bagi memastikan kerajaan negeri menerima pendapatan berterusan tanpa perlu menjalankan aktiviti pembalakan atau projek-projek pembangunan yang lain di kawasan tadahan air. Di samping itu, melindungi kawasan tadahan air akan memastikan kualiti air mentah yang lebih baik dan mengurangkan kos rawatan air yang akhirnya akan diterjemahkan kepada tarif air yang adil dan berpatutan.

Air adalah Kehidupan, Anda dan Saya
Apa yang kita rancang dan laksanakan sekarang akan melakar masa depan anak-anak kita dan waris mereka. Adakah kita akan meninggalkan masa depan yang lebih baik untuk mereka atau adakah generasi semasa akan memenuhi ketamakannya sendiri? Kita perlu bertindak sekarang. Setiap minit kelewatan hanya akan meningkatkan kapasiti bencana-bencana.

 

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies