English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA 2015: TUJUH BILION IMPIAN. SATU PLANET. GUNA SECARA BERTANGGUNGJAWAB.

SURAT KEPADA PENGARANG - 04 JUN 2015 (KHAMIS)

HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA 2015: TUJUH BILION IMPIAN. SATU PLANET. GUNA SECARA BERTANGGUNGJAWAB.

Hari Alam Sekitar Sedunia disambut setiap 5 Jun. Tema tahun ini mengutarakan kerisauan masyarakat global secara tepat, 'Tujuh Bilion Impian. Satu Planet. Guna Secara Bertanggungjawab. (Seven Billion Dreams. One Planet. Consume With Care.)'. Tiga isu utama yang telah diketengahkan adalah Air, Tenaga dan Makanan. Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin mengupas hubung kait antara isu-isu ini.  Mari kita teliti lebih mendalam perspektif 30 juta impian di Malaysia yang hanya merupakan 0.43% daripada impian global.

Air

Berdasarkan statistik terkini (2013), Malaysia mempunyai 488 loji rawatan air dengan kapasiti reka bentuk 18,421 juta liter sehari (JLH) dan pengeluaran air terawat sebanyak 15,536 JLH. Pada tahun 1983, Malaysia mempunyai hampir 32,693 km paip untuk membekalkan air bersih dan pada tahun 2013, hampir 138, 669 km paip disediakan untuk membekalkan air kepada semua kategori pengguna. Pada tahun 2013, 61.5% daripada jumlah air terawat telah digunakan oleh pengguna domestik.

Secara umum, jumlah penggunaan air dibahagikan kepada sektor domestik, industri (termasuk komersil) dan pertanian yang menggunakan 17%, 21% dan 62 % masing-masing. Walau bagaimanapun, hampir 2/3 daripada air terawat digunakan oleh sektor domestik. Ini adalah kerana banyak industri dan aktiviti pertanian mengambil air terus dari alam sekitar untuk kegunaan mereka.

Pembangunan dan perubahan dalam guna tanah (land-use) membuat ketersediaan air mentah sukar didapati. Atas alasan pembangunan, kita mencemarkan air yang kita gunakan dan proses untuk menyediakan air terawat menjadi lebih mahal. Pembangunan tertumpu (dengan kepadatan penduduk yang tinggi) membuat ia lebih sukar untuk memenuhi permintaan air terawat yang semakin meningkat.

Dasar-dasar kita telah membutakan diri kepada penggunaan air yang tinggi (air mentah) di sektor industri dan pertanian. Air sisa daripada sektor-sektor ini semakin meningkat seiring dengan kadar pertumbuhan. Dalam 5 tahun yang akan datang, kita bercita-cita untuk menjadi sebuah negara maju. Adakah kita mempunyai anjakan paradigma untuk menguruskan sumber air kita?

Rancangan Malaysia Ke-11 telah mengenal pasti tarif sebagai salah satu mekanisme dalam pengurusan permintaan air untuk menggalakkan kecekapan air. Adakah ia boleh laksana (feasible)? Jawapannya TIDAK! Satu-satunya cara untuk menjadi cekap air adalah untuk memastikan rakyat menghargai kepentingan air dan meningkatkan kadar tarif tidak akan dapat membantu mencapai matlamat ini. Rakyat akan terus dengan tabiat penggunaan air mereka dan membayar bil jika mereka tidak memahami kepentingan air. Tambahan pula, semakan tarif sepatutnya membantu syarikat-syarikat air mendapat pulangan bagi perbelanjaan modal, perbelanjaan operasi serta keuntungan yang dikawal selia. Mengapakah pengguna perlu membayar tarif yang lebih tinggi apabila perbelanjaan modal, perbelanjaan operasi serta keuntungan yang dikawal selia telahpun ditebus melalui tarif? Sekiranya kita dapat mencapai tarif berpatutan di mana rakyat juga adalah cekap air, Malaysia akan menjadi contoh terkemuka di dunia. Inilah pencapaian sebenar yang membanggakan.

Sebagai permulaannya, AWER telah membangunkan alat atas talian untuk membantu pengguna domestik menjadi cekap air melalui kalkulator Tangkap si Hydro (www.water.org.my). Alat atas talian ini boleh digunakan oleh kedua-dua masyarakat tempatan dan antarabangsa. AWER telah menggunakan kaedah "pintu ke pintu" (gate to gate) daripada pendekatan Kajian Kitar Hayat (Life Cycle Assessment - LCA) untuk menghasilkan Tangkap si Hydro dan membangunkan kadar penggunaan air (water footprint) bagi sebuah isirumah.

Tangkap si Hydro dibahagikan kepada dua aktiviti utama. Pilihan pertama adalah menggunakan data preset bagi mereka yang kurang pasti dengan peralatan yang diguna di rumah. Pilihan kedua adalah mengukur sendiri di mana kaedah ini meningkatkan ketepatan data yang dikumpul. Keputusan akan dihasilkan daripada data yang diberikan dan akan menunjukkan kadar penggunaan air bagi pelbagai aktiviti di rumah dan perbandingan keputusan. Tambahan pula, tip-tip yang akan diberikan adalah 'khusus' (tailor-made) berdasarkan aktiviti-aktiviti yang membazirkan air. Ini akan membantu pengguna-pengguna menyelesaikan masalah-masalah utama yang mengekangkan mereka untuk menjadi cekap air.

Tenaga

Penggunaan Bekalan Tenaga Primer per kapita (Primary Energy Supply per Capita) (toe/kapita) Malaysia telah meningkat daripada 0.79 pada tahun 1980 kepada 3.03 pada tahun 2013. Sektor pengangkutan mempunyai Permintaan Tenaga Akhir (Final Energy Demand) tertinggi pada 2013 iaitu 22357 ktoe atau 43.34% daripada jumlah Permintaan Tenaga Akhir. Permintaan tenaga elektrik per kapita (kWj/orang) kita telah meningkat daripada 626 kWj pada tahun 1980 kepada 4110 kWj pada tahun 2013.

Apabila kuasa otot digantikan dengan alat-alat yang bergantung kepada tenaga elektrik atau lain-lain jenis sumber tenaga untuk beroperasi, kita meningkatkan permintaan tenaga kita. Sementara percubaan untuk mencari sumber tenaga boleh diperbaharui dipergiat, sumber-sumber ini juga wujud dengan risiko yang berkaitan dengan alam semulajadi. Terdapat hadnya, garis had yang disediakan oleh hukum alam.

Menjadi cekap tenaga adalah satu lagi kaedah yang boleh dipergiat. AWER telah membangunkan alat atas talian untuk membantu semua kategori pengguna untuk mengenal pasti 'pencuri' yang banyak menggunakan tenaga elektrik di premis masing-masing. Alat atas talian kami ini, Tangkap si Pencuri (www.click.org.my) memberi langkah-langkah mudah bersama animasi untuk mengenal pasti peralatan yang banyak menggunakan tenaga elektrik bagi membantu pengguna mengambil langkah-langkah untuk menjadi lebih cekap tenaga. Kami juga sedang melaksanakan lebih banyak penyelidikan untuk memastikan penyelesaian-penyelesaian yang kami sediakan sampai kepada pengguna (semua kategori) melalui alat atas talian.

Pada masa kini, kita akan panik jika bekalan elektrik terputus di kawasan kediaman kita. Pernahkah kita berfikir, kehidupan dengan sumber tenaga yang terhad dalam beberapa dekad akan datang?

Makanan

Aktiviti-aktiviti pertanian menjadi pengguna air yang utama (penggunaan yang tidak cekap) dan punca pencemaran air. Aktiviti-aktiviti pertanian berskala besar yang tidak terkawal menyebabkan bencana seperti banjir di Cameron Highlands dan Kelantan.

Sedangkan kita memerlukan air untuk tumbuh makanan kita, tenaga juga memainkan peranan yang penting dalam mengepam air, pemprosesan produk-produk pertanian, meningkatkan teknik-teknik pertanian dan banyak lagi untuk meningkatkan pengeluaran pertanian.

Selain daripada itu, sisa yang dihasilkan dalam sektor ini mempunyai potensi yang tinggi untuk ditukarkan kepada sumber yang boleh diperbaharui seperti biogas dan tenaga elektrik. Di samping itu, pengurangan penggunaan air dalam sektor pertanian juga amat penting kerana ia akan meningkatkan ketersediaan air mentah untuk tujuan lain.

Dengan aplikasi-aplikasi teknologi dan inovasi yang betul, air dan tenaga boleh melakukan keajaiban untuk membawa makanan dengan harga yang berpatutan, segar dan berkhasiat berhampiran dengan tempat kerja dan ruang hidup anda tanpa orang tengah. Ini bukan angan-angan. Tetapi, bolehkah kita membuat anjakan paradigma? Bolehkah pertanian tertumpu dan tanpa tanah dijalankan di pusat-pusat bandar?

Apakah Masa Depan Kita?

Rancangan Malaysia ke-11 telah mengguna pakai banyak cadangan AWER dalam bidang air dan tenaga. Pelaksanaan adalah satu lagi isu yang perlu dipantau dengan teliti. Tetapi, ini tidak mencukupi. Kami hanya 0.43% daripada 7 bilion impian dengan hanya satu planet untuk dikongsi bersama.

Bayangkan masa depan dengan hanya segelintir orang mempunyai akses kepada sumber-sumber seperti air, tenaga dan makanan. Selebihnya adalah dalam keadaan huru-hara dan berperang untuk sumber. Manusia mungkin membunuh antara satu sama lain demi sebotol air. Ini mungkin adalah situasi ekstrem yang kita tidak mahu akui. Akan tetapi, ini adalah masa depan yang bakal berlaku jika kita tidak belajar untuk menguruskan sumber-sumber kita.

Masa depan adalah di tangan anda. Kita boleh membina masa depan yang lebih baik dan lebih lestari. Kita cuma perlu menetapkan had di antara keperluan dan ketamakan. Kita semua perlu membetulkan impian kita. Jadi, guna dengan penuh tanggungjawab kerana kita hanya mempunyai satu bumi untuk didiami dan dikongsi bersama!

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

 

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies