SIARAN MEDIA - 29 OKTOBER 2015 (KHAMIS)
RUNDINGAN TERUS TRACK 4A MENGHANTUI SEKTOR TENAGA ELEKTRIK MALAYSIA
Kali pertama Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) membangkitkan isu berkaitan rundingan terus Track 4A adalah pada 21 Mei 2014. Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah bergembleng tenaga dalam memutar belitkan fakta kejuruteraan untuk mewajarkan sebab-sebab Track 4A dianugerahkan melalui rundingan terus. Malah, Menteri KeTTHA sendiri telah memutar belit beberapa fakta-fakta ini kepada media. Track 4A ialah loji janakuasa turbin gas kitaran bersepadu (combined cycle gas turbine-CCGT) berkapasiti 1000 - 1400 MW yang mengambil masa kira-kira 32 - 36 bulan untuk dibinakan. Projek ini telah dianugerahkan kepada satu konsotium yang terdiri daripada SIPP-YTL-TNB. YTL merupakan entiti pertama yang menarik diri daripada projek ini. Baru-baru ini, TNB telah juga mengumumkan bahawa ia telah menarik diri daripada projek ini.
Kini selepas 17 bulan, Suruhanjaya Tenaga telah dipetik oleh sebuah akhbar perniagaan pada 26 Oktober 2015 yang berkata bahawa Track 4A dijangka menghadapi kelewatan 1 tahun. Respon sebegini oleh Suruhanjaya Tenaga adalah satu tamparan hebat pada muka Menteri KeTTHA, pegawai-pegawai Kementerian serta Suruhanjaya Tenaga. Jika kita imbas kembali dengan jelas, pada 12 Jun 2014, Menteri KeTTHA mendakwa Track 4A telah dipercepatkan melalui rundingan terus untuk memastikan pembinaannya dapat diselesaikan dengan cepat bagi menyelesaikan masalah margin simpanan tenaga elektrik yang "tidak selesa". Apa yang menghairankan, margin simpanan tenaga elektrik kini tiba-tiba adalah dalam keadaan terkawal seperti yang didakwa oleh Suruhanjaya Tenaga baru-baru ini.
Tarif purata terkini terdiri daripada kos bahan api sebanyak 36.80% dan caj kapasiti sebanyak 29.74%. Jika proses pembidaan kompetitif yang adil dan telus dijalankan, loji janakuasa gas asli yang lebih baru dan cekap boleh menyalurkan penjimatan dalam kos bahan api dan caj kapasiti. Ini akan diterjemahkan sebagai tarif elektrik yang lebih berpatutan dan saksama.
AWER berdiri teguh dengan pendirian kami bahawa levelised tariff yang saksama hanya boleh dicapai melalui proses pembidaan kompetitif yang adil dan telus. Setiap kenaikan 1 sen dalam levelised tariff bagi loji janakuasa 1000 MW dengan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 25 tahun akan menyalurkan lebih kurang RM 1.75 bilion kos tambahan kepada tarif elektrik. Sudah tentu, kos tambahan ini akan dibayar oleh kedua-dua pengguna domestik dan perniagaan.
Walaupun harga gas asli cecair (Liquefied Natural Gas-LNG) telah dikurangkan kepada RM 31.30 setiap mmBTU (million metric British Thermal Units) sekarang berbanding dengan RM 41.68 setiap mmBTU pada Januari 2014, harga gas asli yang dikawal selia yang terkini telah meningkat sebanyak RM 1.50 bagi setiap mmBTU kepada RM 16.70 setiap mmBTU mulai 1 Julai 2015. Dengan menggunakan RM 16.70 setiap mmBTU sebagai harga penanda aras, anggaran kos bahan api tahunan bagi loji janakuasa 1000 MW CCGT yang lama (dengan kecekapan penjanaan sekitar 35%) dianggarkan pada RM 1083 juta dan anggaran kos bahan api tahunan untuk loji janakuasa 1000 MW CCGT yang baru (dengan kecekapan penjanaan sekitar 60%) adalah hanya RM 813 juta. Ini bermakna CCGT yang baru dan cekap boleh menjimatkan kos bahan api sebanyak RM 270 juta setiap tahun berbanding dengan CCGT lama. Penjimatan ini juga dijangka akan meningkat apabila Kerajaan Persekutuan meningkatan harga gas asli yang dikawal selia secara berperingkat. Malangnya, penjimatan kos bahan api sebegini tidak dapat direalisasikan kerana Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) beberapa loji janakuasa gas lama akan dilanjutkan akibat daripada kegagalan Suruhanjaya Tenaga untuk menjalankan fungsi-fungsi dan tugas-tugasnya bagi memastikan Track 3B (Jimah East) dan Track 4A memenuhi keperluan dalam menyiapkan projek-projek tersebut. Oleh itu, rakyat dan sektor perniagaan akan dihantui oleh kos tambahan bahan api ini yang tidak sepatutnya disalurkan kepada tarif elektrik.
Rundingan terus Track 4A patut dibatalkan dan pembidaan kompetitif yang dipercepatkan perlu dilaksanakan. Proses bidaan boleh disiapkan dalam masa 9 hingga 12 bulan dan proses memuktamadkan sumber kewangan boleh dicapai dalam masa 6 bulan. Ini akan mengambil masa lebih kurang 15 hingga 18 bulan. Jika pembinaan CCGT disiapkan tanpa sebarang masalah, ia akan mengambil masa 32 bulan. Maka, jika bidaan kompetitif dijalankan pada bulan November 2015, Tarikh Operasi Komersil (Commercial Operation Date - COD) untuk Track 4A melalui pembidaan kompetitif adalah dijangka antara September 2019 dan December 2019.
AWER tidak mahu mendengar lagi apa-apa alasan daripada Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA. Mereka mesti mematuhi Akta Suruhanjaya Tenaga serta Akta Bekalan Elektrik dari segi tugas dan di sisi undang-undang untuk melaksanakan langkah-langkah yang betul bagi melindungi kepentingan pengguna dari segi tarif dan jaminan bekalan.
Satu soalan lagi masih berlegar, adakah Menteri KeTTHA, pegawai-pegawai kanan KeTTHA serta ahli-ahli lembaga Suruhanjaya Tenaga dan pegawai-pegawai kanannya akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam kesilapan Track 4A ini dan meletak jawatan?
Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)