English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

ADAKAH LOJI-LOJI JANAKUASA SUDAH MENJADI CENDERAHATI (DOOR GIFTS)?

SIARAN MEDIA - 07 MAC 2016 (ISNIN)

ADAKAH LOJI-LOJI JANAKUASA SUDAH MENJADI CENDERAHATI (DOOR GIFTS)?

1. PERMINTAAN TENAGA ELEKTRIK SEMENANJUNG MALAYSIA

Jadual 1 menunjukkan peningkatan permintaan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia dari tahun kewangan 2011 hingga 2015. Ia terbukti bahawa peningkatan permintaan tenaga elektrik telah menurun selepas tahun kewangan 2012. Penurunan dalam peningkatan permintaan tenaga elektrik juga bermakna tidak wujud keperluan untuk mempercepatkan (fast track) mana-mana projek pada masa ini.

Jadual 1: Peningkatan Permintaan Tenaga Elektrik di Semenanjung Malaysia

Tahun kewangan Peningkatan Permintaan Tenaga Elektrik di Semenanjung Malaysia (%)
2011 3.1
2012 4.3
2013 3.8
2014 2.5
2015 2.2

Sumber: Tenaga Nasional Bhd (www.tnb.com.my)

 

2. 1000 MW SOLAR BERSKALA UTILITI (USS)

Berdasarkan laporan-laporan media, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah menganugerahkan projek USS 200 MW melalui rundingan terus untuk mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut. Adakah kita sangat memerlukannya? Peningkatan permintaan tenaga elektrik telah menjunam sejak beberapa tahun yang lalu dan "mempercepatkan" 200MW USS tidak memberi apa-apa pulangan dari segi kejuruteraan dan ekonomi. Beberapa loji-loji janakuasa bahan api fosil telah dianugerahkan secara rundingan terus dengan memutar-belit fakta kejuruteraan untuk mewajarkan asalan mempercepatkan projek. Semua rundingan terus ini mesti dihentikan dan kesemua USS 1000 MW hendaklah dianugerahkan melalui proses pembidaan kompetitif yang adil dan telus oleh Suruhanjaya Tenaga. Alasan "mempercepatkan (Fast Track)" menjadikan Malaysia kelihatan seperti mempunyai keupayaan kejuruteraan dan perancangan yang SIFAR. Sebarang kelewatan dalam mencapai campuran Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) yang lebih tinggi dalam campuran penjanaan (generation mix) tenaga elektrik adalah silap KeTTHA sendiri. AWER telahpun berulang kali memberi amaran kepada KeTTHA mengenai kemungkinan kegagalan dalam Tarif Galakan (Feed-in-Tariff-FiT) serta pembentukan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) yang mempunyai fungsi yang bertindih (redundant) sejak 2011. Menganugerahkan projek melalui rundingan terus bagi memenuhi kegagalan SEDA dan FiT bukan cara yang betul. Malah, KeTTHA dan pegawai-pegawainya (semasa dan bekas) yang mengesyorkan penubuhan SEDA dan FiT sebagai penyelesaian untuk meningkatkan campuran RE dengan segera harus dipertanggungjawabkan dan dikenakan hukuman berat.

 

3. PELANJUTAN LOJI-LOJI JANAKUASA LAMA

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga pada 9 Oktober 2012, tarif purata (levelised tariff) loji-loji janakuasa lama yang dilanjutkan  PPA (Genting Sanyen Power, Segari Energy Ventures dan TNB Pasir Gudang) telah diumumkan. Loji-loji janakuasa lama mempunyai kecekapan penjanaan yang lebih rendah dan akan menyalurkan kos bahan api yang lebih tinggi kepada tarif elektrik. Tahun lepas, ia telah dilaporkan secara meluas bahawa Suruhanjaya Tenaga akan menjalankan pembidaan kompetitif bagi pelanjutan beberapa loji-loji janakuasa lama. Apabila pelanjutan telah diberikan, tidak ada pengumuman levelised tariff yang telah diluluskan untuk pelanjutan ini. Mengapakah Suruhanjaya Tenaga gagal untuk menerbitkan levelised tariff ini seperti apa yang dilakukan olehnya pada tahun 2012? Apakah yang Suruhanjaya Tenaga sedang cuba sembunyikan? Berapakah pembida terlibat dan apakah harga bidaan? Mengapakah tidak ada ketelusan dalam perkara ini? Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin menegaskan sekali lagi bahawa pelanjutan loji-loji janakuasa lama ini adalah disebabkan oleh kegagalan Suruhanjaya Tenaga untuk mengelakkan kelewatan dalam projek-projek baru loji janakuasa untuk memuktamadkan sumber kewangan (financial close). Risiko ini sudah diutarakan kepada Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA sejak beberapa tahun yang lalu. Kegagalan mereka untuk mengambil tindakan yang sewajarnya kini menyebabkan penyaluran kos bahan api yang lebih tinggi kepada tarif elektrik.

 

4. NASIB TRACK 4A

Track 4A ialah loji janakuasa turbin gas kitaran bersepadu (combined cycle gas turbine-CCGT) berkapasiti 1000 - 1400 MW yang mengambil masa kira-kira 32 - 36 bulan untuk dibinakan. Projek ini telah dianugerahkan kepada satu konsotium yang terdiri daripada SIPP-YTL-TNB. Walau bagaimanapun, kedua-dua YTL dan TNB telah menarik diri daripada projek ini. Projek ini juga telah gagal memenuhi keperluan untuk memuktamadkan sumber kewangan (financial close) beberapa kali. Suruhanjaya Tenaga mesti membatalkan penganugerahan Track 4A kepada SIPP dan melaksanakan proses bidaan kompetitif yang telus dengan segera. Kelewatan dalam melaksanakan bidaan kompetitif akan menghabiskan tempoh masa yang selesa untuk melaksanakan bidaan kompetitif. Mengapakah Suruhanjaya Tenaga menghalang bidaan kompetitif? Kegagalan untuk melaksanakan bidaan kompetitif akan menghalang kos yang adil dan berpatutan disalurkan kepada tarif elektrik.

 

5. HAD PEGANGAN EKUITI ASING DAN PENJUALAN HAK PEMBANGUNAN PROJEK-PROJEK LOJI JANAKUASA

Tiada pemansuhan had pemilikan ekuiti asing apabila bidaan penjualan aset-aset tenaga IMBD ditutup pada 16 Oktober 2015. Malaysia mempunyai had pemilikan ekuiti asing sebanyak 49% bagi sektor penjanaan elektrik kerana aset-aset tenaga adalah aset-aset strategik negara. Ia adalah sebahagian daripada Jaminan Keselamatan Negara (National Security). Maka, mana-mana entiti yang menyertai bidaan di Malaysia mesti mematuhi dasar ini dan kerajaan tidak perlu melayan sebarang permintaan untuk menukar dasar bagi mengelakkan menetapkan dahuluan (precedence) yang tidak baik dalam industri. Pada 29 Februari 2016, Suruhanjaya Tenaga memuatnaikkan notis untuk pra-kelayakan bakal pembida dan had pemilikan ekuiti asing 49% adalah sah dan digunakan dalam notis ini. Adakah terdapat dasar flip-flop? Terdapat juga beberapa alasan yang telah diberikan di mana Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement - PPA) akan melindungi hak pengguna dan negara. PPA hanyalah satu perjanjian komersil dan hak memasuki premis (step in right) boleh dielakkan jika pemilik memberi justifikasi bahawa mereka sedang melakukan "sesuatu" untuk menangani masalah loji janakuasa. Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA sepatutnya mengetahui perkara ini dengan jelas. Jangan cuba untuk memperdaya!

Penganugerahan loji-loji janakuasa adalah beserta syarat-syarat yang ketat termasuk larangan menjual hak pembangunan. Track 4B yang merupakan turbin gas kitaran bersepadu (CCGT) 2000 MW di Melaka dan 10 x 50MW loji janakuasa solar skala utiliti (USS) yang telah dianugerahkan melalui rundingan terus kepada 1MDB telah termasuk dalam penjualan aset-aset tenaga 1MDB. Loji-loji janakuasa ini masih belum dibina. Mengapakah Suruhanjaya Tenaga membenarkan penjualan hak pembangunan projek?

 

6. JPPPET, ADAKAH KITA MASIH MEMERLUKANNYA?

Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tariff (JPPPET) adalah satu jawatankuasa yang penting untuk perancangan masa depan bekalan tenaga elektrik. Semua keputusan-keputusan yang dibuat oleh JPPPET memberikan impak terus kepada tarif elektrik dan keputusan-keputusan ini mestilah diterbitkan untuk pengetahuan umum. Misteri-misteri yang dokumen-dokumen JPPPET perlu dedahkan adalah:
(i) alasan-asalan Track 4A diberikan secara rundingan terus;
(ii) adakah USS 10 x 50 MW yang dianugerakan kepada 1MDB adalah sebahagian daripada keputusan JPPPET;
(iii) alasan-alasan bagi USS 200MW USS diberikan secara rundingan terus; dan
(iv) adakah jawatankuasa ini tahu bagaimana untuk merancang bekalan tenaga elektrik negara?

 

7. KETUA AUDIT NEGARA MESTI MENYIASAT

Suruhanjaya Tenaga adalah bertanggungjawab untuk mengikuti fungsi dan kuasa yang digariskan dalam Akta Bekalan Elektrik dan Akta Suruhanjaya Tenaga. Oleh itu, kegagalan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab seperti yang dinyatakan di dalam kedua-dua akta ini adalah satu pengkhianatan kepada negara dan mesti diambil tindakan setegas-tegasnya.

Pembinaan loji janakuasa dan kosnya memberikan impak yang tinggi kepada tarif elektrik, daya saing, kemampuan membeli produk dan perkhidmatan, keyakinan para pelabur dan bina negara. Kami menyeru Ketua Audit Nagara untuk mengaudit isu-isu berikut:
(i) audit semua proses kelulusan dan surat anugerah bagi loji janakuasa di KeTTHA, Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA)  mulai 2012;
(ii) audit semua keputusan, minit mesyuarat, dokumen dan persembahan(presentation) JPPPET mulai 2012;
(iii) pengendalian proses bidaan kompetitif bagi loji janakuasa baru dan dokumentasi termasuk bagaimana nodal point dan keperluan tanah (green field dan brown field) ditetapkan;
(iv) proses pelanjutan bagi loji janakuasa lama dan proses pembidaannya; dan
(v) kegagalan SEDA dan FiT untuk memenuhi sasaran campuran RE serta misteri proses penubuhan SEDA dan mekanisme FiT.

Semua penemuan mesti dibentangkan di Parlimen dan diterbitkan untuk pengetahuan umum.

Pembidaan kompetitif adalah untuk memastikan masyarakat awam dan perniagaan mendapat manfaat melalui tarif yang adil dan berpatutan. Banyak fakta kejuruteraan telah diputar-belit untuk mengelirukan orang ramai dan Parlimen bagi membenarkan apa yang dikenali sebagai 'fast track' dan 'rundingan terus' serta pelanjutan loji janakuasa lama. Semua keputusan ini akan memberikan kesan yang sangat serius dan negatif kepada Malaysia dalam jangka masa panjang. Selain daripada itu, mengapakah Kerajaan Persekutuan harus terus menggaji golongan tidak kompeten untuk menguruskan Suruhanjaya Tenaga? Pelbagai pihak berkepentingan industri dan pelabur telah menyatakan kebimbangan mereka mengenai perkembangan terkini dalam sektor tenaga elektrik. Kami menggesa kerajaan mengambil tindakan segera kerana tidak ada gunanya apabila nasi telah menjadi bubur.


Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

 

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies