15 NOVEMBER 2022 (SELASA)
SURAT KEPADA PENGARANG
BANJIR KERAP ADALAH BERKAIT RAPAT DENGAN INTERVENSI MANUSIA
Pada April 2021, kenyataan menteri alam sekitar bahawa Malaysia bukan negara yang terdedah kepada kesan perubahan iklim (climate vulnerable country) telah mengejutkan pelbagai pihak. Nampaknya kini, menteri yang sama mendakwa bahawa kerajaan Malaysia serius dalam menangani isu perubahan iklim di mana RM 392 bilion diperlukan untuk mengatasi masalah banjir melalui langkah-langkah jangka panjang sehingga tahun 2100. Jika kita melihat kembali kepada 3 dekad yang lalu, banyak kawasan telap air telah ditukar menjadi zon tidak telap air di mana saliran dan tebatan banjir adalah satu keperluan. Akan tetapi sebidang tanah yang kecil pun akan diubah menjadi bangunan bertingkat dan beberapa dakwaan tentang penukaran kawasan kolam tadahan yang dirancang kepada zon pembangunan juga berlaku. Oleh itu, seseorang tidak sepatutnya meletakkan “ketentuan Tuhan” (Act of God) sebagai alasan untuk keadaan banjir tanpa meneliti segala (exhausting) bukti saintifik.
Iklim dan Pembangunan
Iklim hutan hujan tropika seperti Malaysia terdedah kepada banjir kerana ia adalah sebahagian daripada kitaran air kita. Musim monsun, el Nino, la Nina dan corak iklim serantau yang lain merupakan sebahagian daripada iklim kita. Hutan dara (virgin forest) yang tidak terganggu melambatkan aliran air hujan dengan menggunakan tanah gambut semulajadi sebagai span. Mitigasi semulajadi seperti tasik, kolam, tanah lembap dan paya air tawar juga memainkan peranan yang penting.
Tamadun manusia biasanya berkembang lebih dekat dengan sumber air dan terdedah kepada risiko banjir. Walau bagaimanapun, di bawah nama pembangunan, kawasan-kawasan tebatan banjir semulajadi telah digondol dan digantikan dengan kolam tadahan yang lebih kecil dan projek tebatan banjir yang hanya meliputi sebahagian kecil daripada kapasiti pencegahan banjir bagi sesetengah kes. Penyahgazetan (degazetting) hutan simpan, pembangunan projek perlombongan dan kuari baru, pembalakan serta ladang monocrop besar-besaran memburukkan lagi situasi banjir.
Kita juga melihat peningkatan salah guna insiden kepala air, banjir lumpur (puing) dan bencana lain yang disebabkan oleh aktiviti manusia kini dilabel sebagai “ketentuan Tuhan”. Jika kejadian sebegini berlaku di tengah-tengah hutan dara, ia adalah kejadian semulajadi. Perkara asas yang perlu kita fahami adalah manusia yang menghancurkan hutan untuk aktiviti pembangunan dan tidak menggantikan keupayaan tebatan banjir semulajadi yang dilakukan oleh hutan dan sistem sokongannya dengan betul. Oleh itu, ia adalah tidak berakal untuk menyalahkan Pencipta atas perbuatan kita sendiri yang memburukkan lagi situasi banjir.
Perubahan Guna Tanah adalah Bidang Kuasa Kerajaan Negeri
Guna tanah adalah urusan kerajaan negeri yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan. Pihak berkuasa tempatan mesti mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) apabila terdapat cadangan pembangunan baru. Walau bagaimanapun, pelaksanaan sistem saliran dan pencegahan banjir adalah sangat bergantung kepada perbincangan di antara pihak berkuasa tempatan dan pemaju atau pemilik tanah. Oleh itu, kita perlu mengaudit proses ini untuk mencari jurang di antara cadangan daripada JPS dan pelaksanaan sebenar yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan.
Keduanya, projek tebatan banjir utama adalah berdasarkan perancangan sedia ada untuk lokasi tertentu. Sekiranya perubahan besar berlaku dan meningkatkan air larian permukaan (surface runoff) dengan cepat, projek tebatan tersebut tidak akan dapat menangani kejadian banjir dengan berkesan. Kawasan hilir yang mempunyai empangan dan stesen pam banjir utama (termasuk terowong SMART) mungkin turut terjejas akibat daripada pelepasan dan pengepaman air. Apabila seluruh lembangan sungai menerima hujan, pergerakan air yang dipercepatkan oleh infrastruktur seperti terowong SMART boleh meningkatkan risiko banjir di kawasan hilir. Oleh itu, pemodelan semula risiko banjir adalah penting.
Perubahan Iklim dan Kenaikan Paras Laut
Kehilangan pesat 'tebatan banjir semulajadi' telah menyebabkan peningkatan kekerapan kejadian banjir serta saiz kawasan yang terjejas. Perubahan iklim mungkin tidak bertanggungjawab sepenuhnya terhadap corak iklim kita yang melampau. Kenaikan paras laut dan air pasang boleh menyebabkan banjir pantai (coastal flooding) dan ia tidak sampai ke arah hulu lembangan sungai. Oleh itu, penggunaan perubahan iklim, kenaikan paras laut dan air pasang sebagai alasan kejadian banjir mesti disokong dengan fakta saintifik yang tepat.
Ramalan banjir dan kemarau masa hadapan untuk membangunkan tindakan mitigasi yang sesuai adalah satu kemestian. Pelaksanaan simulasi corak iklim yang melampau untuk masa lalu dan situasi banjir semasa adalah penting. Simulasi ini adalah untuk meramalkan perubahan dalam corak iklim dan mengenal pasti jika terdapat sebarang kesan daripada perubahan iklim dan tahap gangguannya. Ia adalah penting untuk menentukan sama ada terdapat corak perubahan yang boleh diramal. Sekiranya terdapat corak yang jelas, ia akan membantu untuk mereka bentuk projek mitigasi dengan faktor keselamatan yang disyorkan supaya kos dapat dioptimumkan. Sekiranya tiada corak yang jelas, ia akan menyebabkan kos langkah mitigasi yang tinggi kerana kita perlu menggunakan faktor keselamatan yang lebih tinggi dalam reka bentuk projek mitigasi serta penempatan semula zon berisiko tinggi ke lokasi baru.
Superkomputer dan Pusat Data
Ketua Audit Negara mesti mengaudit perolehan superkomputer (supercomputer) untuk pemodelan banjir dan operasinya berbanding dengan garis masa pelaksanaan, penyebaran maklumat serta operasi senario kes terburuk. Minggu lepas, kementerian air telah mengumumkan bahawa terdapat kegagalan fungsi sistem penyejukan pusat data dan ini telah memberi kesan kepada operasi optimum ramalan dan amaran banjir. Apabila sistem pusat data adalah operasi keselamatan negara dan melibatkan nyawa, faktor kebolehpercayaan (reliability) harus sentiasa dititikberatkan. Justeru, Ketua Audit Negara juga mesti menyiasat kejadian kegagalan fungsi sistem penyejukan ini dan melaporkannya kepada Parlimen.
Kesimpulannya, kita mesti menerima hakikat bahawa banjir dan cuaca yang lebih kering akan menjadi sebahagian daripada iklim kita pada masa hadapan. Corak iklim yang melampau dan tidak dapat diramalkan akan sentiasa menjadi cabaran baru yang perlu dihadapi oleh komuniti saintifik, kejuruteraan dan pentadbiran di Malaysia. Begitu juga, ia adalah menjadi tanggungjawab komuniti-komuniti ini untuk bekerja secara padu untuk melindungi rakyat, negara dan ekonomi daripada kesan negatif ini. Manusia bersikap inovatif dan berdaya tahan. Jika tamadun kuno telah menghadapi cabaran-cabaran ini dengan penggunaan aplikasi teknologi yang sangat asas, maka dengan teknologi canggih, kita sememangnya boleh menghadapi cabaran ini dengan lebih baik. Sekali lagi, tahap keseriusan (severity) kejadian banjir dan kesannya adalah disebabkan oleh intervensi manusia.
Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)