SIARAN MEDIA
TARIKH:  09 MEI 2023 (SELASA)
KERAJAAN PERLU BERSIAP SEDIA UNTUK MENGHADAPI KEMUNGKINAN BERLAKUNYA FENOMENA EL NINO
Baru-baru  ini beberapa agensi meteorologi antarabangsa telah meramalkan  pembentukan El Nino akan bermula pada pertengahan 2023 hingga awal 2024  dan banyak negara telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah  kesan buruk fenomena ini. Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia  (AWER) ingin mengetengahkan kepada kerajaan isu-isu yang mesti  dipertimbangkan supaya Malaysia bersedia menghadapi corak cuaca bermusim  ini.
1.         Paras Air Empangan dan Ketersediaan (Availability) Air Mentah
Setiap  empangan mempunyai manual operasi tersendiri dan pelaksanaan pemodelan  semula (remodeling)  ketersediaan air mentah adalah penting. Litupan  hutan dara yang sebenar telah berkurangan secara mendadak sejak beberapa  dekad yang lalu dan ini akan memberi kesan kepada ketersediaan air  mentah dan keupayaan pengisian (replenishing) semula jadi. Oleh itu,  data yang berkaitan dengan fenomena El Nino sebelum ini dan  pembentukannya mesti digunakan untuk perbandingan relatif bagi  meramalkan kemungkinan musim panas yang berpanjangan dan kesannya.
2.         Kehilangan Air Mentah dalam Aliran Sungai
Empangan  digunakan untuk mengawal aliran sungai bagi memastikan aliran dasar  (base flow) sungai mencukupi untuk menyokong semua aktiviti yang  bergantung kepada sungai tertentu. Terdapat kelewatan (lag) dalam aliran  air selepas air dilepaskan dari empangan sehingga mencapai titik  penggunaan. Disebabkan oleh litupan hutan yang berkurangan dan cuaca  kering, air yang dilepaskan dari empangan mungkin menghadapi kehilangan  air (water loss) yang tinggi ke persekitaran dan mungkin tidak dapat  memenuhi aliran dasar yang dikehendaki. Jika lebih banyak air dilepaskan  untuk mencapai aliran dasar pada tahap yang diperlukan, tindakan ini  akan menghabiskan air empangan pada kadar yang lebih cepat.  Langkah-langkah yang berkesan mesti dilaksanakan untuk memastikan  kehilangan air diminimumkan dan tidak memberi kesan kepada pengekstrakan  air mentah secara langsung untuk kegunaan industri, pengairan dan  operasi loji perawatan air.
3.         Penurunan Aliran Dasar Mungkin Boleh Menyebabkan Pencemaran
Aliran  dasar sungai menurun semasa musim panas dan fenomena El Nino boleh  menyebabkan ia menurun ke tahap yang lebih rendah. Keadaan ini akan  mengurangkan faktor pencairan (dilution factor) di sungai. Walaupun  kuantiti bahan pencemar adalah sama, kekurangan faktor pencairan boleh  meningkatkan tahap pencemaran di sungai. Oleh itu, langkah tambahan  seperti pemantauan tahap bahan-bahan pencemar dengan lebih kerap mesti  dilaksanakan untuk memastikan air mentah sesuai untuk diekstrak dan  digunakan.
4.         Penerobosan Air Laut (Seawater Intrusion)
Disebabkan  penurunan aliran dasar di sungai yang mungkin disebabkan oleh fenomena  El Nino, sesetengah sungai mungkin menghadapi risiko penerobosan air  laut yang lebih tinggi. Langkah pencegahan mesti dilaksanakan untuk  memastikan aktiviti ekonomi biasa tidak terjejas terutamanya jika  terdapat loji perawatan air di hiliran atau stesen pam air mentah antara  negeri.
5.         Pencegahan Pencemaran
Aliran  dasar yang rendah semasa musim panas yang berpanjangan atau disebabkan  oleh El Nino akan memberi tekanan tinggi kepada ketersediaan air mentah.  Bagi memastikan operasi loji perawatan air tidak terjejas, Jabatan Alam  Sekitar dan agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab ke atas air  mentah mesti meningkatkan penguatkuasaan bagi mengelakkan kejadian  pencemaran air. Pengesanan kilang-kilang dan tapak pelupusan haram perlu  dilakukan dengan pantas dengan bantuan Pihak Berkuasa Tempatan.
6.         Kebakaran Tanah Gambut dan Jerebu
Kekurangan  litupan hutan terutamanya litupan hutan dara akan memberi kesan kepada  kitaran air semula jadi yang akhirnya menyebabkan hujan setempat  (localised rainfall) yang lebih rendah. Maka, risiko kebakaran tanah  gambut akan meningkat semasa musim panas. Agensi-agensi yang berkaitan  perlu berwaspada untuk mengelakkan kebakaran tanah gambut daripada  berlaku dan memastikan bekalan air mencukupi untuk memadam kebakaran  tanah gambut. Masalah jerebu mungkin akan menjadi lebih teruk semasa  fenomena El Nino juga.
7.         Penggunaan Tenaga dan Kos Tenaga Elektrik
Cuaca  yang lebih panas meningkatkan penggunaan air dan elektrik. Kita sedar  bahawa perang Ukraine-Rusia dan permainan kartel OPEC+ telah memberi  kesan kepada harga sumber tenaga antarabangsa. Di samping itu, pembinaan  loji janakuasa lebih daripada 4500 MW (MegaWatt) telah dianugerahkan  secara rundingan terus (direct negotiation). Ini menyebabkan kos  penjanaan (caj kapasiti) yang lebih tinggi yang akhirnnya akan memberi  kesan kepada tarif tenaga elektrik. AWER telah menasihatkan kerajaan  untuk merunding semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) terutamanya  bagi PPA yang telah melanggar dasar kerajaan secara langsung bagi  mengurangkan kesan kepada tarif. Kerajaan juga mesti sedar bahawa  fenomena El Nino diramalkan berlaku pada separuh kedua 2023 yang akan  bertembung dengan krisis tenaga musim sejuk 2023. Justeru itu, kerajaan  mesti mengambil langkah untuk menguruskan impak kos bahan api bagi  separuh pertama 2024 apabila ICPT (Penyaluran Kos Tidak Seimbang)  dilaksanakan.
Selain  daripada itu, penjanaan tenaga solar yang mempunyai masalah  keterputus-putusan (intermittency) telah meningkat dengan pesat  sepanjang dekad yang lalu disebabkan oleh ketidakcekapan perancangan  pembinaan loji janakuasa. Maka, kebergantungan yang lebih tinggi akan  diletak semula kepada penjanaan elektrik menggunakan bahan api fosil  untuk menampung permintaan puncak (peak demand). Keadaan ini akan timbul  sekiranya keadaan jerebu yang teruk disebabkan oleh fenomena El Nino  untuk tempoh yang berpanjangan. Oleh itu, kerajaan mesti menyediakan  mekanisme pengurusan kos yang sewajarnya untuk memastikan pengguna dan  sektor perniagaan tidak terjejas oleh kenaikan tarif elektrik (melalui  surcaj ICPT) berikutan peningkatan kebergantungan kepada bahan api  fosil.
8.         Bekalan Air Terawat
Suruhanjaya  Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kedua-dua kerajaan negeri Sabah dan  Sarawak mesti menyediakan mekanisme yang bersesuaian untuk memantau dan  mengurus situasi bekalan air terawat. Sekiranya krisis air berlaku  disebabkan oleh fenomena El Nino, kawalan penggunaan air terawat  (Seksyen 54: Pengurangan atau Pemberhentian Bekalan) dan kecemasan air  (Seksyen 56: Kuasa Khas Semasa Kecemasan) boleh dilaksanakan di bawah  Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA). Di bawah Seksyen 54, catuan  air, pemberhentian bekalan serta kawalan tekanan air boleh dilaksanakan.  Bagaimanapun, jika keadaan bertambah buruk, Seksyen 56 boleh digunakan  untuk melaksanakan kawalan dan pemberhentian bekalan air yang lebih  ketat dan bersasar. Memandangkan Sabah dan Sarawak bukan sebahagian  daripada model WSIA, kedua-dua negeri boleh mencontohi pendekatan yang  sama.
Pengekodan  warna (colour coding) dan penandaan (tagging) keadaan ketersediaan air  mentah kepada warna hijau, kuning, jingga, merah dan perang serta  menyediakan mekanisme kawalan yang bersesuaian dengan situasi bekalan  air terawat boleh dilakukan lebih awal dan dimaklumkan kepada semua  pengguna untuk memastikan pelaksanaan yang lancar. Pengalaman sebelum  ini dalam menjalankan catuan air juga menunjukkan bahawa Air Tidak  Terhasil (NRW – air terawat yang hilang dalam sistem bekalan air terawat  akibat daripada kebocoran dan kesilapan teknikal lain serta kecurian)  akan meningkat disebabkan oleh bekalan air terawat yang terkawal  mempunyai tekanan air yang lebih tinggi. Ini mungkin akan meningkatkan  kebocoran air semasa catuan air. SPAN dan kedua-dua kerajaan negeri  Sabah dan Sarawak mesti memastikan pengurusan tekanan yang betul supaya  NRW terkawal semasa catuan air.
9.         Kawasan yang Kekurangan Infrastruktur Bekalan Air
Penempatan  lama, kawasan subbandar dan luar bandar mungkin menghadapi tekanan air  rendah dan keadaan tiada bekalan air semasa musim panas yang mungkin  berpanjangan disebabkan oleh penggunaan air pada waktu puncak. Justeru  itu, kawasan yang mempunyai kekurangan infrastruktur bekalan air dan  tekanan air yang rendah mesti dikenal pasti dan dilengkapi dengan tangki  air statik yang boleh diisi dengan menggunakan lori tangki air. Ini  akan meminimumkan kesan gangguan bekalan air pada waktu puncak. Kini  semua syarikat-syarikat air mesti mengetahui lokasi-lokasi ini dan tiada  alasan patut dilayan. Situasi ini masih wujud berikutan kelewatan  pelaksanaan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara  (PSIPAN). Projek bekalan air luar bandar yang bukan di bawah bidang  kuasa kementerian yang bertanggungjawab ke atas air harus tertakluk  kepada pendekatan yang sama untuk menyelaraskan pengurusan krisis.
10.       Aktiviti Ekonomi yang Bergantung Kepada Air Mentah
Pengekstrakan  air mentah secara langsung dari sungai mesti diukur dan diuruskan  dengan kaedah yang sesuai. Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan  negeri mesti menyediakan mekanisme yang bersesuaian untuk menganalisis  dan memperoleh parameter kecekapan bagi sektor yang mengekstrak air  mentah secara langsung untuk operasinya bagi mengelakkan pembaziran air  mentah.
11.       Penggunaan Semula Air dan Kitar Semula Air
Penggunaan  semula air ialah penggunaan semula air sisa yang dihasilkan dalam  operasi dengan rawatan minimum untuk menggantikan penggunaan air  terawat. Kitar semula air ialah pengenalan proses rawatan yang lengkap  untuk memproses air sisa untuk digunakan dalam aktiviti perindustrian  atau perniagaan bagi menggantikan penggunaan air terawat. Sektor  perniagaan mesti melabur untuk mengurangkan risiko operasinya yang  mungkin terjejas akibat daripada ramalan fenomena El Nino serta menjadi  sebahagian daripada perjalanan untuk mengurangkan penggunaan air (water  footprint) secara strategik.
12.       Menyelaras Perancangan dan Pelaksanaan Langkah-langkah Kerajaan
Jawatankuasa  peringkat persekutuan dan negeri mesti dibentuk untuk memastikan  perkongsian maklumat yang diselaraskan dan usaha bersepadu dijalankan  bagi menguruskan krisis yang berkemungkinan berlaku akibat daripada  fenomena El Nino. Semua kejadian fenomena El Nino yang lepas yang telah  direkodkan mesti dikaji dan dibanding dengan kehilangan litupan hutan  semula jadi. Kami ingin menegaskan bahawa hutan pengeluaran (production  forest) tidak sama dengan hutan dara semula jadi. Oleh itu, pemodelan  semula ketersediaan air mentah yang dikemas kini mesti dilakukan untuk  memastikan kita bersedia menghadapi senario terburuk dan meminimumkan  kesan sosial, ekonomi dan alam sekitar.
AWER  telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, anggota kabinet yang  berkenaan dan kerajaan-kerajaan negeri untuk mengambil langkah segera  bagi bersiap sedia menghadapi fenomena El Nino. Walaupun pembentukan El  Nino masih di peringkat ramalan, adalah lebih baik untuk kita semua  bersedia dan meminimumkan sebarang kesan negatif sosial, ekonomi dan  alam sekitar.
PIARAPAKARAN S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)