Malaysia Disaran Liberalisasikan Pasaran Gas Asli Menjelang 2013
KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Malaysia perlu menyasarkan untuk meliberalisasikan pasaran gas asli menjelang 2013 untuk menyediakan masa bagi peserta industri merancang ke hadapan untuk membawa masuk bekalan masing-masing semasa negara ini masih lagi pengeluar bersih komoditi itu.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia S. Piarapakaran berkata, berdasarkan corak penggunaan semasa, Malaysia dijangka menjadi pengimport bersih gas menjelang 2016.
"Sejak 1990 hingga 2008, penggunaan gas di Malaysia meningkat 3.9 kali kepada 27,000 ktoe (kilo tan metrik bersamaan minyak)," katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.
Piarapakaran mengulas mengenai langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi kepada sektor tenaga dan mencapai struktur harga yang dipacu pasaran menjelang 2015 di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).
Sambil menyatakan langkah itu sebagai penting, katanya ia turut menonjolkan bahawa perkara itu akan memberikan risiko terhadap industry kerana hampir 99.8 peratus daripada gas asli itu digunakan bagi tujuan bukan domestik.
"Ia akan mengancam keselamatan tenaga negara ini dan membantutkan pertumbuhan syarikat kecil dan sederhana di dalam sektor gas," katanya.
Piaraparakan juga mencadangkan penubuhan Tabung Penstabilan Harga Tenaga di sini bagi menampan turun naik harga pasaran dengan segera dan mengembalikan keyakinan pasaran.
"Tabung ini tidak boleh digunakan untuk memberi subsidi terhadap industri itu," katanya.
Katanya Suruhanjaya Tenaga perlu dikembangkan bagi membangunkan undang-undang dan peraturan industri minyak dan gas asli.