English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

LOJI JANAKUASA MANJUNG 4: SEKTOR PENJANAAN ELEKTRIK MEMERLUKAN KERANGKA PENGAWAL SELIAAN YANG LEBIH KETAT

SIARAN MEDIA - 6 APRIL 2015 (ISNIN)

LOJI JANAKUASA MANJUNG 4: SEKTOR PENJANAAN ELEKTRIK MEMERLUKAN KERANGKA PENGAWAL SELIAAN YANG LEBIH KETAT

Minggu lepas, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menerima maklumat bahawa loji janakuasa arang batu 1000 MW Manjung 4 milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak dapat memenuhi Tarikh Operasi Komersil (Commercial Operation Date - COD) pada 31 Mac 2015. COD bagi Manjung 4 dijangka mengalami kelewatan di antara 2 minggu hingga 4 minggu.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh oleh AWER mengenai isu ini, loji janakuasa Manjung 4 kini menjalani ujian terakhir yang mesti dilengkapkan seperti yang ditetapkan di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) sebelum pensijilan diberikan secara rasmi untuk memulakan COD. Dalam kelewatan (sebelum mencapai COD) ini, Manjung 4 masih menjana tenaga elektrik dan disambungkan ke grid. Berdasarkan PPA, kos bahan api semasa ujian akan disalurkan kepada tarif elektrik. Walau bagaimanapun, caj kapasiti tidak akan dibayar sehingga COD dicapai. Selain daripada itu, TNB sedang membayar denda harian seperti yang ditetapkan di dalam PPA. Oleh itu, berdasarkan parameter yang dinyatakan di atas, tiada kos tambahan akan disalurkan kepada tarif elektrik.

Kelewatan dalam penyiapan projek telah menunjukkan dengan jelasnya bahawa Malaysia kekurangan kerangka kawal selia bagi memastikan masalah dalam sektor penjanaan elektrik ditangani dengan sewajarnya. Masalah ini (Manjung 4 gagal memenuhi COD) bukan satu-satunya masalah yang membelenggu sektor penjanaan elektrik.

Sektor penjanaan elektrik adalah bahagian industri elektrik yang dikawal selia secara longgar di Malaysia. Sejak 2011, AWER telah mendesak untuk peraturan yang lebih ketat bagi mengawal selia sektor penjanaan industri elektrik. Malangnya, desakan kami tidak diendahkan dan kini semua yang dikhuatiri sedang berlaku.

Mari kita lihat kepada beberapa isu yang timbul dalam tempoh 12 bulan yang lalu:
(i) Derailment loji-loji janakuasa arang batu telah menjejaskan bekalan elektrik beberapa negeri pada May 2014.
(ii) Rundingan terus (direct negotaition) 2 loji janakuasa gas asli tanpa pembidaan kompetitif. Kedua-dua loji janakuasa tersebut sebenarnya mempunyai masa yang mencukupi untuk melaksanakan proses pembidaan kompetitif.
(iii) Permohonan pelanjutan masa penyiapan projek daripada loji janakuasa arang batu 1000 MW yang masih berada di fasa pembinaan. Baru-baru ini, pemilik loji ini telah mendakwa bahawa pembinaan adalah mengikut perancangan. Akan tetapi, Suruhanjaya Tenaga belum menjamin bahawa tiada kelewatan akan berlaku.
(iv) Permohonan pelanjutan masa penyiapan projek daripada loji janakuasa arang batu 2000 MW yang belum memuktamadkan sumber kewangan (financial close).
(v) Kelewatan dalam COD bagi loji janakuasa yang sudah siap dan beroperasi.

Isu-isu ini telah berlaku dalam tempoh kurang dari 12 bulan dan semua isu ini boleh dielakkan sekiranya agensi-agensi berkaitan melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab mereka secara profesional. AWER menggesa Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) menyiasat Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Suruhanjaya Tenaga dan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) di atas kegagalan mereka untuk menjalankan tanggungjawab-tanggungjawab mereka. Semua keputusan mereka perlu disiasat dengan terperinci.

Kebanyakan isu-isu yang disebut di atas menyebabkan peningkatan kos penjanaan elektrik akibat daripada peningkatan dalam kos bahan api dan caj kapasiti. Semua isu-isu ini menunjukkan sektor penjanaan elektrik amat memerlukan kerangka kawal selia. Perubahan dasar secara ad-hoc (penganugerahan projek loji janakuasa melalui rundingan terus) berbanding dengan janji-janji yang diterbitkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10, laporan-laporan Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta kajian perundingan yang mahal (oleh MyPower Corporation) mesti disiasat juga. Pembinaan loji janakuasa tidak seperti membina taman permainan di sesebuah komuniti. Ia memerlukan perancangan yang teliti dan keperluan untuk membina loji janakuasa yang baru akan diketahui lebih awal sebelum tempoh masa yang diperlukan untuk melaksanakan pembidaan kompetitif. Alasan bahawa 'masa tidak mencukupi' dan penganugerahan projek secara rundingan terus telah melampaui batas.

AWER menyeru PAC untuk membentangkan hasil penemuan di Parlimen untuk mempertingkatkan lagi pencapaian sektor elektrik yang bersamaan dengan keselamatan negara (national security). Pemantauan loji janakuasa secara berterusan (sebelum financial close, semasa pembinaan dan semasa operasi), kerangka pengawal seliaan yang lebih ketat, peningkatan piawaian yang berterusan, pemeriksaan bebas dan laporan berkala amat diperlukan bagi sektor penjanaan elektrik negara kita.

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies