English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

KEMALAPAN ISU-ISU TENAGA DALAM RANCANGAN MALAYSIA KE-11 (RMK11)

SIARAN MEDIA - 28 MEI 2015 (KHAMIS)

KEMALAPAN ISU-ISU TENAGA DALAM RANCANGAN MALAYSIA KE-11 (RMK11)

Ini adalah komen bahagian kedua oleh Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) mengenai RMK11. Komen-komen ini adalah berdasarkan kepada laporan-laporan dan cadangan-cadangan yang diterbitkan oleh AWER berbanding dengan maklumat di dalam RMK11 (dibaca bersama dengan Kertas-kertas Strategi oleh EPU), Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) dan Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9).

1. Bekalan Elektrik Luar Bandar

Adalah penting untuk diambil perhatian bahawa selepas bertahun-tahun program bekalan elektrik luar bandar dilaksanakan, kegagalan pelaksanaan dalam kemampanan program ini akan ditangani dalam RMK11. AWER gembira cadangan kami untuk melibatkan masyarakat luar bandar supaya mereka dilatih untuk mengendalikan dan menyelengara sistem-sistem ini telah diterima pakai dalam RMK11. Hanya dengan kaedah ini, jangka hayat operasi sistem off-grid boleh dioptimumkan serta mewujudkan pekerja separa mahir dan pekerja mahir di kalangan komuniti luar bandar.

2. Pembangunan 'Green Washing' dan Pelepasan Karbon

AWER telah menegaskan bahawa prestasi alam sekitar tidak boleh ditanda aras dengan pelepasan karbon atau gas-gas rumah hijau (GHG) semata-mata menerusi pelbagai platform. Prestasi alam sekitar adalah ditentukan oleh pelbagai parameter. Dalam RMK11, wujudnya kekurangan mekanisme penilaian prestasi alam sekitar yang mutlak untuk pembangunan hijau (green growth). Menanda aras prestasi alam sekitar dengan menggunakan parameter tegar (rigid) akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang toksik di mana  akan berlakunya kos tambahan untuk menguruskan sisa-sisa ini. Tambahan pula, mekanisme Sustainable Consumption and Production (SCP) tidak mengguna pakai parameter alam sekitar yang lain sebagai petunjuk (indicator). Oleh itu, rancangan-rancangan dan projek-projek sebegini tidak boleh diklasifikasikan sebagai sebahagian daripada pembangunan lestari (sustainable development). Pembangunan hijau bukan hanya pada warna semata-mata; terdapat banyak penyelesaian-penyelesaian dan teknologi-teknologi yang dapat meningkatkan prestasi alam sekitar Malaysia. Siapakah yang telah memesongkan kerajaan dalam inisiatif-inisiatif pembangunan lestari? Teknologi rendah karbon tidak bersamaan dengan penyelesaian lestari!


3. Sistem Pengangkutan Awam Bersepadu

AWER berpendirian teguh dengan pendapat kami bahawa pengurangan tertinggi dalam penggunaan tenaga oleh sektor pengangkutan adalah melalui sistem pengangkutan awam bersepadu. Penjimatan akan meningkat lagi jika sistem ini dilengkapi dengan kenderaan pengangkutan awam (bas, LRT, MRT) yang cekap dalam penggunaan tenaga. Ini juga akan membawa pengurangan pelepasan karbon yang lebih besar daripada sektor pengangkutan. Penyambungan (connectivity) juga merupakan satu lagi isu penting yang AWER telah bangkitkan. Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) perlu memastikan sambungan sehingga ke laluan terakhir (last mile connectivity) yang betul dengan kekerapan pengangkutan awam yang tinggi. Jika last mile connectivity adalah rendah, penggunaan kereta persendirian akan meningkatkan kesesakan lalu lintas dan penggunaan tenaga.

Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang telah diterima pakai di bawah RMK11adalah satu lagi mekanisme yang telah dicadangkan oleh AWER untuk mengurangkan penggunaan tenaga dalam sektor pengangkutan. Kami juga ingin memberikan amaran mengenai percubaan oleh kumpulan vested interest untuk memasukkan Kenderaan Electric (EV) sebagai sebahagian daripada inisiatif EEV. Jumlah pelepasan karbon dari EV masih lebih tinggi daripada kenderaan konvensional. Apabila Penilaian Kitar Hayat (LCA) digunakan untuk menilai EV, prestasi alam sekitar EV jatuh ke pretasi yang lebih rendah lagi. AWER menyeru Kerajaan Persekutuan lebih teliti dalam memilih mekanisme yang betul untuk meningkatkan prestasi alam sekitar negara.

4. Mengurangkan Herotan Pasaran dan Pengenalan Akses Pihak Ketiga untuk Gas Asli

Meningkatkan harga gas asli paip untuk mencerminkan harga pasaran dikenal pasti sebagai satu langkah penting untuk mengurangkan herotan pasaran harga tenaga. Ironinya, apakah harga gas asli paip yang sebenar? Adakah perbezaan harga di antara gas asli paip dan Gas Asli Cecair (LNG) sama dengan kos pencairan, perkapalan dan regasification LNG? Adakah terdapat pengiraan telus yang mencerminkan mekanisme harga antarabangsa? Isu-isu ini perlu ditangani sebelum 'harga pasaran' untuk gas asli paip dicapai. Ini juga isu-isu yang sama yang akan menentukan sama ada akses pihak ketiga akan berjaya atau tidak.

5. Bahan Api Bersih untuk Sektor Pengangkutan

Selepas bertahun-tahun kelewatan, peningkatan kualiti bahan api bagi sektor pengangkutan akhirnya telah menuju ke arah yang betul. Tahun lepas, AWER telah menekankan bahawa kualiti bahan api yang lebih rendah akan meningkatkan kos penyelenggaraan dan menyebabkan pelepasan karbon yang lebih tinggi. Kami berpuas hati bahawa cadangan kami untuk meningkatkan standard bahan api bagi petrol dan diesel telah diterima pakai di RMK11. Bagi program B15 untuk diesel, adakah kajian-kajian yang terperinci telah dilakukan bagi memastikan Malaysia tidak mengalami krisis makanan-bahan api (food-fuel) sama seperti apa yang pernah berlaku di Brazil?

6. Tarif Galakan (Feed-in-Tariff/FiT)

Negara-negara yang memulakan FiT telah akhirnya mengakui bahawa mekanisme ini mempunyai masalah. Sebelum pengenalan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Akta Tenaga Boleh Diperbaharui, kami telah memberi amaran awal kepada menteri yang bertanggungjawab ke atas masalah-masalah berkaitan FiT yang mungkin timbul pada tahun 2011. AWER menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE) tetapi FiT adalah seperti dadah. Apabila mengurangkan atau menghentikannya, industri RE tidak akan berkembang. FiT bukanlah cara yang sesuai untuk membangunkan industri RE dan ramai menggunakan mekanisme yang salah. Tambahan pula, Perjanjian Pembelian Tenaga RE (REPPA) ditandatangani selama 21 tahun. Jika Akta Anti Pencatutan digunakan untuk menyiasat kadar keuntungan di bawah FiT, sebagai contoh Solar Photovoltaic (PV), kita akan mendapati bahawa kadar keuntungannya adalah lebih tinggi berbanding dengan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) generasi pertama. Pembangunan biomas / biogas perlu dibiayai melalui proses pembidaan yang betul untuk memastikan daya maju projek serta pembangunan RE tidak berasaskan pencatutan. Walaupun mungkin ada sesetengah pihak akan mendakwa bahawa FiT untuk PV akan dihentikan pada tahun 2017, impak negatif telahpun dilakukan kerana REPPA adalah ditandatangani untuk tempoh selama 21 tahun. RE tidak boleh dibangunkan dengan merompak golongan miskin untuk membayar yang kaya!

7. Mewujudkan Rangka Kerja Tarif yang Lebih Mampan

Kos penjanaan adalah komponen kos terbesar dalam tarif elektrik. Berdasarkan tarif purata terkini, 36.80% adalah kos bahan api dan 29.74% adalah caj kapasiti. Melanjutkan PPA loji janakuasa lama akan menyebabkan komponen kos bahan api kekal tinggi dan pelepasan karbon yang lebih tinggi. Selain itu, pembidaan kompetitif tidak dilakukan selepas proses pembidaan Track 3B dengan alasan bahawa Suruhanjaya Tenaga juga menggunakan mekanisme Rundingan Terus dan Pembidaan Terhad. Apabila  Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan RMK11 dikaji dengan teliti, tidak ada cetakan Rundingan Terus dan Pembidaan Terhad walaupun dalam nota kaki (footnote). Adakah Suruhanjaya Tenaga telah mengaburkan orang ramai, Kabinet dan Parlimen? Bagaimanakah tarif mampan boleh dicapai jika Suruhanjaya Tenaga sentiasa melanggar segala sandaran dalam RMK10 dan telah meletakkan batu asas pada tahun 2015 untuk melanggar segala sandaran dalam RMK11? Kelewatan dalam pembinaan loji janakuasa, pelanjutan PPA loji-loji janakuasa lama, robustness loji janakuasa yang boleh dipersoalkan, kegagalan menjangka kelewatan projek dan banyak lagi isu berkenaan dengan sektor penjanaan akan menjadikan Suruhanjaya Tenaga sebagai entiti tunggal yang akan menyebabkan kegagalan jaminan tenaga dan kos tarif yang tinggi. Adakah Kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan terhadap individu-individu atau agensi yang bersalah?

8. Menambah Baik Pengurusan Permintaan (DSM)

Tiada bukti bahawa program SAVE dalam RMK10 dapat mengurangkan pelepasan karbon. Program SAVE bukan satu program penggantian bagi peti sejuk dan penyaman udara. Malah disebabkan kegagalannya yang ketara, mekanisme seperti ini telah dielakkan daripada diguna pakai dalam Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Kebangsaan (NEEAP) yang baru. Selepas desakan berterusan daripada AWER, Piawaian Pencapaian Minimum Tenaga (MEPS) dan pelabelan mandatori penarafan 5 bintang bagi peralatan elektrik terpilih telah diperkenalkan di Malaysia. Mekanisme MEPS terus diperluaskan bagi lebih banyak peralatan di bawah RMK11 dan ia adalah selaras dengan seruan kami untuk memperkenalkan MEPS untuk pelbagai produk secara meluas. Penggunaan pensijilan Pengurusan Tenaga ISO 50001 adalah bertindih dengan ISO 14001. Malah di bawah siri ISO 14000, penggunaan Penilaian Kitar Hayat (LCA) memberikan output yang lebih baik untuk mana-mana industri untuk berhijrah ke pembuatan lestari (sustainable production). LCA seharusnya diguna pakai sebagai hala tuju yang betul. Merangkumi kecekapan bangunan, kecekapan thermal dan penggunaan tenaga dalam sektor pengangkutan dalam DSM adalah langkah yang selaras dengan seruan AWER untuk Pengurusan Permintaan yang holistik. Pelan induk DSM perlu dibangunkan dengan penglibatan semua pihak berkepentingan dan bukannya entiti "ya bos" dan kumpulan vested interest sahaja.

9. Penyusunan Semula Institusi Sektor Awam Dan Mengurangkan Pertindihan Peranan

Untuk sektor tenaga dan teknologi hijau, SEDA dan Yayasan Hijau boleh ditutup pada tahun 2015. Fungsi SEDA boleh dijalankan oleh Suruhanjaya Tenaga. Sementara itu, fungsi Yayasan Hijau boleh dijalankan oleh GreenTech Corporation Malaysia. SEDA diilhamkan kerana politik pejabat dan bukannya keperluan dasar negara yang sebenar. Akta RE telah disediakan sebelum 2011 oleh Pusat Tenaga Malaysia (kini GreenTech Corporation Malaysia). Adalah amat menyedihkan untuk diperhatikan bahawa kabinet dan parlimen telah dipermainkan oleh individu-individu yang bersubahat dalam pembentukan SEDA. Kini, memandangkan terdapat exit policy dalam RMK11, pegawai-pegawai sebegini perlu dikeluarkan daripada perkhidmatan kerajaan. Yayasan Hijau pada dasarnya melakukan beberapa kerja yang sebelum ini dilakukan oleh GreenTech Corporation Malaysia. Kami menggesa Kerajaan Persekutuan untuk memimpin melalui teladan untuk menutup kedua-dua agensi bertindih ini yang di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

KESIMPULAN

Suruhanjaya Tenaga telah menyebabkan risiko yang serius dalam jaminan tenaga dalam perjalanan Malaysia menjadi sebuah negara maju. Kami dapat ramalkan krisis tenaga sistemik yang disebabkan oleh ketidakcekapan di Suruhanjaya Tenaga yang terumbang-ambing (flip-flopping) sehingga ke tahun 2020. Kerajaan Persekutuan perlu menangani masalah-masalah utama di Suruhanjaya Tenaga termasuk ketidakcekapan modal insannya.

Di samping itu, ia adalah penting untuk kerajaan mengkaji pelan-pelan, pelan-pelan induk dan pelan-pelan tindakan berkaitan tenaga yang telah dirangka semasa Rancangan Malaysia ke-9 dan ke-10. Peruntukan-peruntukan tidak boleh dibazirkan dengan melantik perunding-perunding yang menghasilkan laporan dan pelan tanpa hasil sebenar yang memenuhi kehendak-kehendak kumpulan-kumpulan vested interest sahaja. Oleh itu, pelan induk DSM perlu telus dan meliputi pihak-pihak berkepentingan sebenar berbanding dengan entiti 'ya bos' dan vested interest groups.

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies