English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

TENAGA NUKLEAR DI MALAYSIA: MARI KITA LIHAT PENDAPAT RAKYAT MALAYSIA MENGENAINYA DENGAN LEBIH MENDALAM

SIARAN MEDIA - 1 JULAI 2015 (RABU)

TENAGA NUKLEAR DI MALAYSIA: MARI KITA LIHAT PENDAPAT RAKYAT MALAYSIA MENGENAINYA DENGAN LEBIH MENDALAM

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menjalankan Kajian Jaminan Tenaga Kebangsaan (National Energy Security Survey-NESS) untuk mewujudkan data asas mengenai isu-isu berkaitan tenaga. Rangka pensampelan yang digunakan adalah senarai Blok Penghitungan (BP) yang dikemaskini maklumat Tempat Kediaman (TK) daripada Banci Penduduk dan Perumahan 2010. Pensampelan dibangunkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Responden telah ditanya sama ada mereka yakin akan kemampuan agensi-agensi kerajaan untuk mengawal selia teknologi nuklear bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Hairannya, hanya 2.14% rakyat Malaysia yakin akan kemampuan agensi-agensi kerajaan Malaysia untuk mengawal selia teknologi nuklear bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Di samping itu, sebanyak 34.99% rakyat Malaysia berpendapat bahawa agensi-agensi ini tidak mampu mengawal selia teknologi nuklear. Baki 62.87% rakyat Malaysia tidak pasti dengan kemampuan agensi-agensi kerajaan Malaysia untuk mengawal selia teknologi nuklear. Data-data ini hanya menunjukkan tahap keyakinan rakyat yang sangat rendah ke atas kemampuan agensi-agensi kerajaan Malaysia untuk mengawal selia teknologi nuklear bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Dalam kajian NESS kami, kami ingin juga mengetahui dengan lebih lanjut tentang persepsi negatif terhadap nuklear. Apabila responden ditanya mengenai kerisauan utama mereka berkaitan dengan loji tenaga nuklear, 34.44% rakyat Malaysia risau akan impak kesihatan terhadap mereka dan ahli keluarga mereka. Ini diikuti 16.22% rakyat Malaysia risau akan impak sisa radioaktif ke atas alam sekitar dan sebanyak 12.75% rakyat Malaysia risau akan berlakunya letupan atau kebocoran bahan radioaktif. Secara keseluruhanya, ketiga-tiga respon (impak terhadap kesihatan, impak sisa radioaktif ke atas alam sekitar serta letupan atau kebocoran bahan radioaktif) ini menunjukkan bahawa 63.41% rakyat Malaysia risau akan keselamatan loji tenaga nuklear. Sementara itu, 34.29% rakyat Malaysia tidak pasti dengan kerisauan utama mereka berkaitan dengan loji tenaga nuklear. Walau bagaimanapun, kami telah sertakan "Saya yakin loji tenaga nuklear selamat" sebagai sebahagian daripada pilihan dan hanya 2.20% rakyat Malaysia memilih respon ini. Realitinya, kerisauan rakyat mengenai keselamatan loji tenaga nuklear adalah satu isu penting yang perlu ditangani oleh Kerajaan Persekutuan dengan hanya 2.20% rakyat Malaysia yakin loji tenaga nuklear adalah selamat. Jadual 1 menunjukkan kerisauan utama rakyat Malaysia mengenai loji tenaga nuklear.

JADUAL 1: Kerisauan Utama Rakyat Malaysia Mengenai Loji Tenaga Nuklear

 

Kerisauan utama Peratus
Kesan kepada kesihatan saya dan keluarga 34.44%
Kesan sisa radioaktif kepada alam sekitar 16.22%
Khuartir akan berlaku letupan atau kebocoran bahan radioaktif 12.75%
Saya tidak pasti 34.29%
Saya yakin loji tenaga nuklear selamat 2.20%
Lain-lain 0.10%

 

 

Apabila responden ditanya sama ada kerajaan patut mengkaji dengan teliti keperluan tenaga negara (sumber dan permintaan) sebelum membina loji tenaga nuklear,  66.61% rakyat Malaysia berpendapat bahawa kerajaan patut melakukan kajian teliti dahulu. 11.00% rakyat Malaysia berpendapat bahawa kajian yang teliti adalah tidak diperlukan dan baki 22.39% rakyat Malaysia tidak pasti sama ada langkah ini perlu dilaksanakan. Respon 66.61% rakyat Malaysia adalah sehaluan dengan pendirian AWER bahawa kerajaan perlu membangunkan dasar campuran tenaga jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang bersama-sama strategi-strategi pengurusan permintaan sebelum meneruskan pembinaan loji tenaga nuklear.

Apabila responden ditanya sama ada kerajaan perlu mendedahkan cadangan lokasi-lokasi untuk loji tenaga nuklear terdahulu untuk memastikan maklumbalas yang lebih efektif daripada rakyat, 69.20% rakyat Malaysia berpendapat bahawa kerajaan mesti mendedahkan lokasi-lokasi ini terdahulu. Ini adalah satu lagi isu yang telah diutarakan oleh AWER berulang kali. Penglibatan rakyat secara efektif hanya boleh dilakukan jika cadagangan lokasi-lokasi didedahkan serta-merta. Ini akan membolehkan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan memberikan maklumbalas yang tertumpu, efektif dan membina.

Modal insan memainkan peranan penting dalam memastikan operasi loji tenaga nuklear yang lancar kerana banyak insiden-insiden nuklear adalah berkaitan secara langsung dengan kesilapan manusia. Apabila responden ditanya sama ada mereka yakin bahawa Malaysia mempunyai tenaga kerja pakar untuk menguruskan loji tenaga nuklear, hanya 20.66% rakyat Malaysia yakin akan Malaysia mempunyai tenaga kerja pakar. Malangnya, 79.34% rakyat Malaysia tidak yakin akan Malaysia mempunyai tenaga kerja pakar untuk menguruskan fasiliti loji tenaga nuklear. Jadual 2 menunjukkan keyakinan rakyat Malaysia mengenai tenaga kerja pakar untuk menguruskan loji tenaga nuklear.

JADUAL 2: Keyakinan Rakyat Malaysia bahawa Malaysia Mempunyai Tenaga Kerja Pakar untuk Menguruskan Loji Tenaga Nuklear

 

Negeri Mempunyai tenaga kerja pakar Tidak mempunyai tenaga kerja pakar
Johor 22.70% 77.30%
Kuala Lumpur 18.09% 81.91%
Kedah 25.33% 74.67%
Kelantan 16.12% 83.88%
Labuan 20.39% 79.61%
Melaka 14.47% 85.53%
Negeri Sembilan 11.51% 88.49%
Pulau Pinang 11.18% 88.82%
Pahang 19.74% 80.26%
Perak 12.83% 87.17%
Perlis 29.93% 70.07%
Putrajaya 29.28% 70.72%
Sabah 23.68% 76.32%
Sarawak 29.61% 70.39%
Selangor 19.74% 80.26%
Terengganu 25.99% 74.01%
National 20.66% 79.34%

 

 

Pelupusan sisa radioaktif adalah satu lagi isu yang penting. Apabila responden ditanya sama ada ia adalah wajar untuk melupuskan sisa radioaktif ke negara-negara lain, hanya 26.69% rakyat Malaysia berpendapat bahawa ia adalah wajar untuk melupuskan sisa radioaktif ke negara-negara lain.  Baki 73.31% rakyat Malaysia berpendapat bahawa ia adalah tidak wajar untuk melupuskan sisa radioaktif ke negara-negara lain. Dalam erti kata lain, walaupun rakyat Malaysia tidak ingin isu ini berlaku berhampiran mereka, secara amnya mereka juga berpendapat bahawa ia adalah salah untuk melupuskan sisa yang berbahaya ke negara-negara lain.

Berdasarkan data-data NESS, ia adalah terbukti bahawa Kerajaan Persekutuan perlu menangani isu-isu utama yang berkaitan dengan pembinaan loji tenaga nuklear dengan serta merta. Isu-isu ini adalah campuran tenaga dan pengurusan permintaan, lokasi loji tenaga nuklear, keselamatan loji tenaga nuklear, kos penutupan loji (decommissioning), modal insan, pelupusan sisa radioaktif dan impak jangka panjang kepada tarif elektrik yang sebenar.

 

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies