English | Bahasa Malaysia
Cari  
 
 
 
 
 
Buah Fikiran
Saiz Teks A A A

Rakan-rakan sekalian, selamat datang ke laman web piara.com.my. Anda di jemput untuk memberi komen bagi entri blog saya.

Malaysia Perlukan Pengurusan Tegas Sumber Air - BERNAMA

Malaysia Perlukan Pengurusan Tegas Sumber Air

Oleh Melati Mohd Ariff

 

Air ialah nadi kehidupan. Sekitar dua pertiga permukaan bumi dilitupi air dan tubuh manusia dikatakan mengandungi 75 peratus air. Air juga mempunyai kos dan nilai dan apabila berlaku pencemaran, pedulikah kita?

 

Bernama menemu bual S. Piarapakaran, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) mengenai air dan kos pencemaran. Ini bahagian akhir daripada dua rencana bersiri.

 

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) - Apabila berlaku pencemaran air, lazimnya jari yang dituding hanya kepada pihak berkuasa kerana penguatkuasaan yang lemah.

 

Malaysia sudah pun mempunyai dua akta yang boleh diaplikasi terhadap pesalah yang melakukan pencemaran air mentah iaitu Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA)dan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (WSIA).

 

S. Piarapakaran, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) menjelaskan EQA ialah undang-undang pertama negara yang membendung pencemaran sumber air.

 

Akta ini memberikan kuasa kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mendapatkan kembali kos melalui harta atau kepentingan yang dimiliki oleh pesalah dan memaksa pesalah membersihkan sendiri atau menebus semula perbelanjaan daripada pesalah.

 

Akta kedua, WSIA pula memberi kuasa kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendenda pesalah antara RM100,000 hingga RM500,000 bergantung kepada tahap serius kesalahan yang disabit. Bagaimanapun adakah dua akta ini sudah cukup untuk membendung gejala pencemaran air mentah?

 

CUKUPKAH UNDANG-UNDANG

 

Piarapakaran pantas berpendapat kedua-dua EQA dan WSIA perlu ditambahbaik bagi mendapatkan semula semua jenis kos akibat

pencemaran terhadap air mentah.

 

"Ini bermakna pengguna akan dilindungi daripada dikenakan tarif yang tinggi jika pencemaran meningkat.

 

"Kita juga perlu mewujudkan satu perlaksanaan bersepadu untuk mengenalpasti sumber-sumber pencemaran dan membina kemudahan pra-perawatan untuk mengurangkan kesan pencemaran," kata Piarapakaran.

 

Bagi beliau penggunaan loji pra-perawatan dan pengurangan pencemaran adalah kaedah yang jauh lebih murah dalam jangka masa panjang.

 

CONTOH KES

 

Piarapakaran menyandarkan contoh lembangan Sungai Langat dalam membincangkan seterusnya mengenai isu pencemaran air mentah. Menurut beliau, terdapat lebih 33,000 tangki septik individu di dalam lingkungan lembangan Sungai Langat yang melepaskan sisa kumbahan terus kepada sungai.

 

Tangki septik yang lama perlu dinyahenapcemar atau dibuang mendapannya sekurang-kurangnya sekali setiap tiga tahun untuk

memastikan tangki septik berfungsi dengan cekap.

 

"Jika semua pemilik rumah dengan tangki septik individu melakukan nyahenapcemar secara berkala, ini dapat mengurangkan kandungan ammonia dalam sungai dalam kadar yang banyak," tambahnya. Piarapakaran juga menyentuh agenda pembersihan Sungai Klang, sungai yang mengalir sepanjang kira-kira 120 kilometer menerusi Kuala Lumpur dan Selangor.

 

"Walaupun kita dapat membersihkan kesemua sampah-sarap daripada sungai tersebut, kita tidak mungkin dapat memulihkan sungai ini. "Bahan pencemar sungai ini adalah dalam bentuk air sisa yang dihasilkan setiap hari. Maka pra-perawatan dan juga mengurangkan pencemaran adalah satu-satunya cara untuk menyelamatkannya.

 

"Cadangan lain akan hanya membazirkan peruntukan daripada kerajaan atau mana-mana pihak," demikian pandangan Piarapakaran. Dalam masa yang sama, kajian yang teliti perlu dibuat untuk mengklasifikasikan punca pencemaran kepada kritikal, sederhana dan berpatutan.

 

Jelasnya, kawasan yang dikenalpasti sebagai kritikal sudah semestinya diberikan perhatian yang sepenuhnya manakala dua kawasan lain diawasi supaya tidak menjadi teruk.

 

"Proses pemulihan juga perlu dilaksanakan dengan betul dan berkesan. Kita tidak boleh tergopoh-gapah dalam melaksanakan proses pemulihan supaya setiap langkah dapat dijalankan dengan lebih berkesan," tegasnya.

 

RUJUKAN LUAR NEGARA

 

Piarapakaran menarik perhatian bahawa banyak negara maju sudah ke depan dalam mengawal pencemaran air mentah dan usaha mereka boleh dirujuk dan dijadikan contoh oleh Malaysia.

 

Jerman, katanya meskipun banyak menggunakan sumber air bawah tanah untuk menampung kekurangan air hujan, negara berkenaan mempunyai peraturan kawalan yang ketat memandangkan pengambilan air bawah tanah mempunyai impak besar ke atas alam sekitar.

 

Jerman juga mempunyai peraturan ketat dalam mengawal pelepasan air sisa dan Akta Air Persekutuannya mewajibkan syarikat yang melepaskan lebih daripada 750 meter padu air sisa sehari, supaya melantik seorang pegawai.

 

"Akta itu juga menggariskan bahawa pesalah mesti membayar semua ganti rugi jika melakukan tindakan mencemar sumber air."

Beliau turut mengambil negara jiran terdekat Malaysia, Singapura sebagai contoh, berjaya menggunakan air larian hujan sebagai sumber air yang penting.

 

"Untuk melakukan ini apa yang diperlukan ialah pelaksanaan undang-undang yang tegas dalam mengelakkan serta mengurangkan pencemaran air larian hujan.

 

"Pengurangan di sini bermaksud memastikan air hujan yang mengalir ini tidak dicemari pelbagai bahan pencemar dan aktiviti manusia," katanya. Piarapakaran memberitahu bahawa Singapura turut memastikan kawasan tadahan air dilindungi dan dijaga sebagai satu daripada aspek keselamatan negara.

 

"Ini juga satu lagi perkara yang kita perlu akui masih kurang di Malaysia," tambahnya.

 

JALAN PENYELESAIAN

 

Di sebalik kekurangan yang masih ketara baik dari segi undang-undang mahupun bidang penguatkuasaan, Piarapakaran berpendapat masih ada ruang dan peluang untuk memperbetul keadaan.

 

"Sebagai jurutera, saya berpendapat untuk mewartakan kawasan tadahan air bukanlah satu misi yang mustahil.

 

"Pada masa yang sama kerajaan kita perlu menggunakan kaedah-kaedah yang sudah terbukti berjaya dilaksanakan di negara lain sebagai penanda aras perkhidmatan air negara di samping melindungi sumber air.

 

"Ini juga selaras dengan wawasan negara untuk mencapai status negara maju menjelang 2020," kata Piarapakaran.

 

Dalam menangani isu kawasan tadahan air, kerajaan negeri turut memikul tanggungjawab mewartakan kawasan berkenaan sebagai hutan simpanan tetap dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang. Pada pandangan beliau, tempoh itu adalah tempoh kritikal untuk kerajaan negeri bertindak. Ia juga termaktub dalam Rancangan Malaysia ke-10.

 

Piarapakaran menekankan bahawa segala usaha yang dibuat untuk mewartakan kawasan tadahan air turut mengambil kira kepentingan dan keperluan generasi akan datang.

 

Beliau turut berpendapat semua agensi yang berkaitan dengan isu-isu air perlu digabungkan di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

 

Bagaimanapun, katanya Jabatan Alam Sekitar masih perlu mengawalselia kualiti air mentah sementara Kementerian Kesihatan Malaysia mengawal selia kualiti air terawat secara berasingan bagi memastikan penilaian yang telus.

 

USAHA MENYELURUH

 

Piarapakaran turut menyarankan supaya transformasi yang sama dilakukan di Sabah dan Sarawak. Sehingga kini, katanya, SPAN tidak mempunyai sebarang bidangkuasa ke atas perkhidmatan air di Sabah dan Sarawak.

 

Tambahnya, ketelusan perkhidmatan air di Sabah dan Sarawak masih tidak tercapai.

 

"Semua proses transformasi ini perlu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bagi memastikan jaminan air di Malaysia. Ini kerana, air ialah komponen penting dalam keselamatan negara. Melalui transformasi ini, kita dapat mengelakkan krisis air yang teruk. Maka, tempoh yang diberikan adalah lebih daripada mencukupi.

 

"Kita mesti bertindak sekarang dengan mengambil langkah yang tegas dan berani demi melindungi hak generasi akan datang.

"Air dan alam sekitar secara keseluruhannya bukannya hak kita untuk dimusnahkan begitu sahaja," tegas Piarapakaran.

Komen (0 Posted)

Rekod Tidak Dijumpai!

Rekod Per Halaman
Memaparkan Halaman daripada

Tinggalkan komen atau cadangan anda

Komen / Cadangan
  Sila masukkan perkataan dalam imej di bawah:

Tidak dapat dibaca? Tukar teks.


 
   
 
Pengumuman
 
 
 
   
   
 
Hakcipta © 2010 - 2011 piara.com.my. Semua Hak-hak Terpelihara.
 
Engineered by : Two Sigma Technologies